Kehidupan ini umpama sebuah cerita. Bukan cerita novel atau drama, tetapi cerita realiti kehidupan. Realiti kehidupan yang perlu kita tempuhi dan hadapi dengan keberanian.
Benar kata orang, pengalaman itu mendewasakan. Dan pastinya kita tidak mahu melupakan setiap detik pengalaman yang menedewasakan itu.
Life is A Story merupakan sebuah buku motivasi berbahasa Melayu. Seperti yang kita tahu, hidup ini telah tertulis ceritanya tersendiri. Pengarang berkongsi pelbagai hal yang terjadi dalam hidupnya, sama ada positif mahu pun negatif. Yang positif dimuliakan sebagai pemberian bermakna Allah kepada hamba-Nya. Yang negatif pula diambil dan dianggap kurniaan kasih sayang Allah kepada hamba-Nya. Bersangka baik dan tenanglah jiwa.
Banyak kesedaran yang saya peroleh melalui pembacaan buku ini. Hidup kita ini dipenuhi dengan ujian yang telah ditetapkan. Setiap manusia ujiannya tidak sama. Ada antara ujian yang saya terima, tertulis dalam buku ini tentang ujian orang lain yang lebih pahit untuk ditelan, malah untuk dipikul mungkin sahaja kita tidak mampu.
Jadi, bersyukurlah kita dengan ujian ini menandakan Allah masih memberi perhatian dan kasih sayang-Nya kepada kita.
Secara keseluruhannya, buku ini berbaloi untuk dibaca bagi meningkatkan rasa syukur kita kepada Allah dan teruskan hidup dengan senyuman dan ketabahan.