Diraz dilahirkan di Dasuq, Kafr al-Syeikh, Mesir pada 1894. Beliau mempelajari bahasa Perancis selama tiga tahun, memperjuangkan pembebasan tanah Mesir daripada penjajahan British melalui penanya dan akhirnya mendapat biaya untuk menyambung pelajaran ke Sorbonne selama 12 tahun. Diraz akan membaca enam juzu' al-Quran pada setiap hari dan menyuruh anak muridnya berwudhu' setiap kali menghadiri kelasnya sebagai tanda persediaan menimba ilmu.
Diraz menerapkan uslub balaghah dan i’jaz al-Quran dalam karyanya. Sesiapa yang pernah menekuni al-Nabā' al-’Azhīm pasti terpesona melihat kemampuan luar biasa Diraz dalam mensintesis pertalian antara setiap ayat al-Quran dengan bidalan-bidalannya yang mengasyikkan. Diraz berpendapat bahawa al-Quran menekankan unsur psikologi ketimbang undang-undang apabila tiga (75%) daripada empat ayat al-Quran berkenaan pengharaman arak ditulis dari aspek pendekatan emosi dan hanya satu ayat sahaja (25%) yang ditulis dari aspek hukuman.
Menurut al-Syanqiti, inti pemikiran Diraz terdapat pada empat karyanya iaitu Dustūr al-Akhlāq fī al-Qur'ān (yang merupakan tesis Diraz), al-Nabā' al-’Azhīm (yang dikarang oleh beliau ketika berusia 63 tahun), al-Dīn dan Madkhal ilā al-Qur'ān al-Karīm.
Menurut Ali Shariati (memetik daripada Muhammad Iqbal), dunia tidak akan bangkit tanpa intelektualiti Barat dan spiritualiti Timur. Menurut al-Syanqiti, Diraz mampu mengadun 'ruhaniah' al-Ghazali, al-Hakim al-Tirmizi (pengarang Bayān al-Farq bayn al-Sadr wa al-Qalb wa al-Fu'ād wa al-Lubb), Abu Talib al-Makki dan akliah Descartes, Kant dan Bergson. Contohnya, Diraz mengaitkan ayat al-Quran berkenaan kudrat ilahi dengan ayat berkaitan keadilan ilahi bagi ayat Maidah: 1 dengan Ghafir: 20 mengenai hukuman, al-A’raf: 156 dengan al-Nisa': 147 mengenai azab dan al-Baqarah: 26 mengenai kesesatan.
Penulis kemudiannya berpindah kepada mesej utama yang dibahaskan oleh Diraz dalam kesemua karyanya seperti perbahasan sunnah-bid’ah, keamanan-peperangan, akli-nakli, agama-ilmu, kesempurnaan-keseimbangan, berperingkat-kemajuan dan kesederhanaan. Matlamat falsafah ialah makrifah (pengetahuan) manakala matlamat agama ialah keimanan itu sendiri. Penulis memetik Ibn Taimiyyah yang mengatakan setiap kesesatan adalah apa yang bercanggah antara akal dan syara’. Ayat cahaya di atas cahaya (نور على نور) pula boleh diibaratkan seperti wahyu di atas akal.
Bid’ah pula dibahagikan kepada dua iaitu mahmudah dan mazmumah. Apabila perkara itu untuk kebaikan dan tidak bercanggah dengan al-Quran, Sunnah, athar dan ijma’, ia adalah mahmudah. Apabila ia bercanggah, ia adalah mazmumah. Syeikh al-’Izz dan Imam al-Qarafi membahagikan hukum bid’ah kepada lima iaitu wajib (pengumpulan al-Quran), sunat (solat tarawih), harus (mempelbagaikan warna dalam makanan), makruh (hiasan dalam masjid) dan haram ('ruhbaniah').
Diraz diumpamakan sebagai pelopor teori akhlak dan 'masdar' al-Quran kerana beliau mengarang mengenai i’jaz al-Quran dari sudut yang baharu. Antara tokoh yang mengkaji tentang i’jaz dan balaghah al-Quran sebelum beliau ialah al-Baqillani, al-Razi, al-Suyuti, al-Rafi’i dan Mahmud Syakir.
Menurut Syams al-Din al-Babili, karangan yang bermanfaat itu terkategori kepada tujuh iaitu:
i. Mengarang sesuatu disiplin baharu yang tidak pernah dikarang sebelumnya.
ii. Menyempurnakan sesuatu yang kurang.
iii. Mensyarahkan apa yang terkunci.
iv. Meringkaskan apa yang panjang tanpa mencacatkan makna teks asal.
v. Menyusun sesuatu yang bercampur aduk.
vi. Menjelaskan sesuatu yang salah.
vii. Menghimpunkan sesuatu yang terpisah-pisah.
Buku Faylasūf al-Qur'ān ini secara keseluruhannya tidaklah secemerlang al-Khilāfāt al-Siyāsiyah bayna al-Sahābah dan Khairat al-’Uqūl kerana perbahasan mengenai falsafah Barat dalam buku ini tidak disentuh secara lumat berdasarkan karya-karya asal mereka sendiri (pengarang hanya memetik daripada sumber kedua sahaja iaitu karya Diraz untuk menerangkan Comte dll.) tetapi buku ini merupakan pengenalan yang baik sebelum kita menelaah sebahagian karya Diraz yang tebal seperti Dustūr al-Akhlāq fī al-Qur'ān.