Pada usia 28 tahun, buat pertama kalinya saya menyelak lembaran karya Ramlee Awang Murshid (RAM) dan buku ini bukan permulaan yang ringan. Anding Ayangan adalah antara karya beliau yang sarat dengan maksud tersirat dan tema yang berat. Namun sebagai pembaca yang gemar mengaitkan naskhah bacaan dengan realiti kehidupan, karya ini membuka mata saya terhadap sisi dunia yang barangkali tidak semua berani sentuh secara terbuka.
Menariknya, RAM sendiri menyatakan bahawa Anding Ayangan adalah kisah dongeng yang dihibridkan dengan dunia nyata. Anding Ayangan membawa pembaca menyusuri garis halus antara realiti dan ilusi, menjadikan setiap helaian sebagai teguran lembut terhadap masyarakat global terutamanya menyentuh isu perbezaan kepercayaan, perseteruan antara dua pihak yang berbeza fahaman, ketamakan kuasa dan pengkhianatan.
Yang menjentik perasaan, penulis secara bijaksana dan penuh berhikmah menyisipkan simbolik dua mazhab besar Islam — Sunni dan Syiah — melalui watak dan latar dua kerajaan yang saling bertentangan: Anding dan Ayangan. Perbezaan kepercayaan yang sepatutnya diraikan secara hikmah, berubah menjadi medan pertempuran berdarah yang meragut nyawa mereka yang tidak bersalah. Ironinya, sumber kepercayaan tetap satu tetapi manusia memilih untuk bermusuh kerana kerakusan kuasa.
Ternyata, kuasa tidak rebah di tangan musuh, tetapi tumbang oleh pengkhianatan dari dalam. Itulah yang berlaku kepada Kerajaan Anding. Kekuatan yang dibina hancur sekelip mata akibat tikaman dari orang sendiri, satu peringatan yang cukup tajam buat kita hari ini: bahawa kepercayaan tidak boleh diberi semudahnya, apatah lagi jika menyentuh soal maruah dan keselamatan negara.
Tidak keterlaluan juga jika saya katakan bahawa Anding dalam kisah ini ibarat Palestin pada masa kini tanah yang kecil dan kian menyempit, namun terus menjadi rebutan oleh kuasa tamak seperti Ayangan simbolik kepada zionis yang percaya tanah itu penuh keberkatan. Watak-watak di dunia Anding Ayangan seperti Betatar dan Raja Tabakbauta' mungkin sekadar fiksyen, tetapi apabila dibandingkan dengan Nyian, Damit, dan Datuk Johar di dunia realiti, pembaca akan menyedari betapa tipisnya sempadan antara dunia fantasi dan realiti. Kedua-dua dunia memperjuangkan kebenaran, menentang kebatilan, dalam medan yang berbeza, tetapi matlamat yang sama menegakkan yang hak.
Daripada aspek teknikal, ini adalah pengalaman pertama saya membaca karya RAM dan didedahkan dengan bahasa Borneo. Penggunaan bahasa Borneo agak mencabar untuk difahami, namun tetap memberi keunikan tersendiri kepada naskhah ini. Tambahan pula, kerana ia merupakan siri pertama daripada tiga, maka pengakhirannya terasa tergantung seolah mengundang pembaca untuk menyambung pencarian kebenaran ke siri seterusnya.
Namun saya sangat mengagumi keberanian RAM mengangkat latar Borneo dan Brunei — dua wilayah yang kaya dengan sejarah, budaya, dan kekuatan pegangan agama. Ia bukan sahaja memperlihatkan keunikan geografi tempatan, tetapi juga kebijaksanaan penulis dalam menjadikan latar tempat sebagai watak penting dalam naratif.
Akhirnya, pengajaran paling berharga yang saya kutip: baik di dunia nyata mahupun dalam dunia dongeng, kemenangan sejati hanya milik kebenaran yang hakiki. Dan selama mana kebenaran itu terus diperjuangkan, kebatilan pasti akan tersingkir cuma waktu yang akan menentukan.