Isma Ae Mohamad menulis kisah hidup sendiri yang dialami, dirasai, diharungi dan berdepan dengan ranjau sepanjang perjalanan kehidupannya antara Thailand dan Malaysia. Pengalaman hidup beliau diadun dan diolah secara kreatif disulami fakta sejarah menjadikan keunikan karyanya. Karya ini akan menjadi dokumen sosial dan budaya berbentuk fiksyeen serta amat penting dalam memahami kehidupan orang yang sering disebut sebagai 'pendatang' sama ada secara 'halal' mahupun 'haram'.
Emosi aku dah macam roller-coaster pulak; kejap seronok, kejap sedih, kejap marah, kejap letih.
Pengalaman 4 tahun lebih bertugas di Daerah Tumpat, Kelantan buat aku dapat menjiwai watak-watak dalam buku ni, sikit-sikit walau tak banyak mana.
Wilayah Selatan Thailand memang biasa berlaku pergolakan, dan penulis pandai menterjemahkan peristiwa tu dalam penulisan dia.
Salah satu bab yang menarik minat aku; Surat Untuk Pegawai Penyiasat (kalau tak silap). Oh, jangan lupa standby sapu tangan; kot-kot korang nak lap air mata masa tengah feeling membaca nanti.
DNF-ed this book. It was just a repetition of the same stories with different characters. Was let down with this book indeed as I had expected more folklores, stories about its people and culture, their beliefs etc.
Instead, the same storyline in each chapter. Fight for their rights. It is important but then the title of the book was "Cerpen-cerpen Bangsa Patani". Tak kan itu sahaja yang hendak diceritakan, bukan?
The book was also filled with spelling errors. What? No proofreaders hired?
Cerpen-cerpen yang menceritakan rintihan-rintihan anak Patani yang ditindas entah sejak bila. Ada 14 cerita, dan hampir kesemuanya adalah rintihan.
Rintihan di bumi Patani, di mana hidup sentiasa dicurigai oleh pemerintah dan sering menjadi mangsa fitnah.
Kemudian ke bumi Malaysia, juga merintih itu ini.
Aduh!
Itukah yang mahu disampaikan, hal merintih sahaja?
Cerita bangsa Patani dianaktirikan, bukan cerita baru. Sudah mengantarabangsa, sudah maklum. Lebih molek kalau dikisahkan bagaimana bangsa ini bangkit dan melangsungkan hidup, di mana itu lebih menginspirasi kerana jarang didengar.
Cerpen ini ada cerita, tapi alihkan saja sudut pandangnya kepada yang lebih positif.
Oh! Bahasanya, pemilihan perkataan juga agak lain. Kesalahan ejaan juga di sana-sini. Jangan ambil mudah perkara ini dalam hal penulisan kerana mudah saja merubah mood pembaca.
Selepas novel sejarah Ratu2 Patani, saya kira himpunan cerpen ini juga penting untuk memahami keadaan masyarakat Patani. Terima kasih tuan penulis, kerana membuka mata pembaca dari Malaysia seperti saya.
Kesemua cerpen dalam buku ini bertemakan masyarakat Patani, yang menetap di kampung halaman dan yang berhijrah ke Malaysia.
"Kita tidak redha dengan sempadan ini" antara kalimat yang menyentuh hati saya.
Sebenarnya, tanpa sedar, garis sempadan bukan sekadar memisahkan wilayah negara tapi turut menyumbang kepada perspektif manusia yang meng-kasta-kan warga lain seperti orang2 Patani.
Saya suka dengan pandangan penulis terhadap pendidikan yang disampaikan secara tersirat dalam cerpen2nya. Hari ini, berapa ramaikah yang menghargai nikmat pendidikan yang dikecapi?
Secara keseluruhannya, saya kagum dengan teknik penulisan dan gaya bahasa penulis, yang lebih baik berbanding saya. Haha.
Ini buku kedua Isma Ae yang saya baca selepas Republik Sungai Golok. Terdapat dua sebab mengapa saya mahu mengikuti perkembangan pengarang Pattani ini: i) penulisannya yang merentas budaya nasionalisme Asia-Tenggara; dan ii) memahami dengan lebih lanjut cerita-cerita melayu di persempadanan.
Ada beberapa cerpennya yang menangkap perasaan tetapi saya lupa judulnya. Isinya bagus dan ceritanya ada kala menyakitkan hati, mengenangkan ketidakadilan yang sewenang-wenangnya dilaksanakan atas dasar prejudis dan diskriminasi.
Karya penulis seberang yang cukup untuk menitiskan air mata, menyoal kembali sikap kita terhadap orang lain serta membawa satu perasaan yang bercampur baur. Membaca cerpen-cerpen yang berkisar soal cinta, perbezaan agama, pendidikan, masyarakat yang suka menyebarkan khabar angin, masalah status warganegara, konflik wilayah selatan Thailand serta penindasan oleh rejim tentera.
Karya ini membawa mesej jujur kepada kita yang memandang serong kepada mereka-mereka (pendatang) ini. Kita sebenarnya gagal dalam menyelami masalah yang dialami mereka ke liku-liku kehidupan dan kita cepat menghukum mereka sebagai orang malas, tidak pandai serta suka mengambil kesempatan di negara kita.
Melalui cerpen Gadis Tomyam, penulis membawa sebuah konflik yang berlaku keatas Nuriya, seorang gadis pintar dan digelapkan masa depannya dengan kegagalan mendaftar diri sebagai warnegara, selalu diejek dan membawanya ke alam pekerjaan sebagai gadis di kedai tomyam untuk menampung hidup.
Cerpen Kisah Penjual Lokcing pula, penulis seakan-akan membawa mesej dan mengkritik masyarakat yang suka khabar angin. Itulah sikap kita, selalu sahaja mempercayai berita tanpa ditapis dan tidak suka menyelidiki.
*****
Buku ini mempunyai 14 buah cerpen yang ditulis dan diolah Isma Ae Mohamad melalui apa yang dirasai, diharungi dan berdepan dengan ranjau-ranjau kehidupan sebagai seorang anak pendatang tanpa izin. Sebuah karya yang perlu dibaca oleh anak-anak muda bagi memikirkan kembali sikap kita terhadap golongan PATI ini.
"Sudarat... Saya percaya ini ketentuan tuhan terhadap keluarga saya. Memang ketentuan tuhan yang mematikan ayah saya. Kehendak tuhan juga ibu saya lumpuh. Saya terima. Mungkin saya tidak akan sekolah lagi selepas ini, juga saya terima. Saya sudah bersedia berkorban. Tuhan saya, bukan, tuhan kita... Maha adil. Sebetulnya yang buta bukannya tuhan. Saya akan tahu apa sebenarnya di sebalik ujian ini, tunggu masa sahaja," Ali seperti berkhutbah. -Cerita Dari Sempadan AM
Hampir menitis air mata saya apabila membaca harapan seorang gadis yang ingin bersekolah dan harapan seorang ibu supaya anaknya tahu membaca agar kelak tidak sesat dalam perjalanan.
Namun, penghujung cerpen ini menerbitkan senyum di bibir saya.
"Dia mahu bersekolah lagi, tak mahu berkahwin awal dan diharap jangan patah hati."
(halaman 60)
Ilmu itu mahal bagi mereka. Yurannya kewarganegaraan.
Tema memang berulang-ulang, cuma cara cerpen yang disembahkan itu yang berbeza.
Tapi bagi aku isinya unik, mungkin sebab isu tentang bangsa Melayu di Selatan Thailand jarang aku tanggapi sebelum ini. Apabila dibaca, sesuatu yang baru terseluk ke kalbu.
Buku yang ringkas, namun dengan tujuan & impak yang besar dan mendalam.
Tiada siapa orang Melayu di Malaysia kini yang tidak mengetahui perjuangan kaum sebangsa di Selatan Thai & Aceh sejak sekian lama. Wilayah yang lebih dekat dengan kita dari segala segi berbanding dengan negara induk mereka sendiri ini sudah pastinya lebih terasa dekat dihati, kerana mereka sudah tidak ubah seperti saudara kita juga, cuma berada di berlainan negara.
Buku ini memfokuskan kisah nyata saudara kita di Selatan Thai, yang disampaikan dalam bentuk fiksyen cerpen, oleh penulis yang sememangnya berasal dari sana. Bermakna ini adalah perjuangan penulis demi bangsanya, Muslim Siam, dalam bentuk karya sastera. Usaha yang nampak kecil, namun tidak boleh diabaikan impak jangka masa panjangnya.
Sejak dahulu lagi, bukan tidak pernah ada karya-karya yang telah mempengaruhi perubahan besar dalam sejarah peradaban manusia. Lihat sahaja bagaimana pengaruh ahli falsafah Jerman, Nietzhe dari buku-bukunya yang telah mempengaruhi falsafah negara Nazi Jerman Adolf Hitler kemudiannya, bagaimana buku Melayu Mudah Lupa oleh Mahathir Mohamad menjadi penumbuk luar sedar buat perubahan mentaliti orang Melayu, dan telah menjadi antara rujukan ketika Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilaksanakan kemudiannya. Mahupun yang lebih besar impaknya, bagaimana majalah-majalah pembaharuan pemikiran Islam oleh Sayid Jamaludin Al-Afghani, Sheikh Muhammad Abduh & Sayid Rashid Ridha di Paris & Kaherah lama dahulu telah membawa perubahan besar kepada kemajuan kehidupan beragama umat Islam serata dunia, yang telah melahirkan gerakan Kaum Muda di Nusantara akhirnya.
Semuanya itu bermula dari sebuah buku.
Secara ringkasnya, penulis berjaya mempersembahkan dua sisi yang sangat kontra dari buku ini. Dari satu sudut, bagaimana payahnya menjadi seorang Muslim di Selatan Thai. Dari satu sudut lagi, bagaimana menjadi Muslim kelas kedua di Malaysia, lebih-lebih lagi buat anak pendatang asing tanpa izin dari sana.
Buku ini juga menggambarkan bagaimana pentingnya Sungai Golok dan banyak lagi jeti haram sebagai nadi penduduk di sana. Bagaimana kuatnya kebergantungan di antara rakyat Selatan Thai & Timur Malaysia di antara satu sama lain. Banyaknya urusniaga dan saudara-mara yang berada di kedua belahan dunia ini, yang sedihnya dipisahkan oleh sempadan negara, yang amat malang sekali dicipta kerana percaturan politik di zaman silam.
Buku yang sememangnya penting buat menjadi pencelik mata orang Malaysia mengenai realiti sebenar perjuangan rakyat disana dalam keadaan yang nyata. Mereka bukan sengaja beramai-ramai mencari rezeki disini. Semua ada sebabnya. Perjuangan mereka lebih besar dari sekadar mencari rezeki disini sahaja.
Semoga tiada lagi pandangan rendah & sinis ketika kita menjamu selera di kedai tomyam lagi selepas ini. Semoga tiada juga yang suka memperlekehkan Bahasa Melayu Siam yang mereka pertuturkan. Semoga kita lebih menyokong mereka dari segi ekonomi, doa & semangat. Kerana mereka sebahagian dari diri kita juga.
Berjaya menghabiskan bacaan ini dalam masa sembilan hari sepanjang pengembaraan di bumi Siam. Masa-masa yang terluang sewaktu menaiki keretapi 15 jam dari Bangkok ke Chiang Mai dan ke Bangkok semula. Kemudian 18 jam dari Hua Hin ke Sungai Kolok dan seterusnya 11 jam dari Pasir Mas menuju Bahau. Maka, habislah sebuah buku walaupun kadang-kadang lebih banyak tidur berbanding baca.
Sengaja memilih buku ini sebab nak ambil mood bangsa Siam (walaupun sebenarnya cerita pasal orang Melayu-Patani) dan juga bawa buku ni sebab nak minta tandatangan penulis, Isma Ae Mohamad di Bangkok.
Sepatutnya, dalam pengembaraan ni nak singgah selatan Thai, boleh ambil gambar buku bersama signboard Patani dan singgah di Masjid Kerisik yang berpuluh kali disebut dalam buku ini, tapi duit bhat tak cukup, jadi kita teruskan perjalanan menuju pantai timur Malaysia sahaja.
Banyak kisah-kisah duka masyarakat marhaen Patani yang tidak terceritakan di dalam televisyen, radio dan surat khabar. Kisah-kisah tentang mereka hanya boleh kita baca lewat artikel-artikel dan buku yang ditulis oleh rakyat Patani sendiri seperti ini. Kisah tentang takyat ada dua warganegara, kisah penyeludupan beras, kisah seberang Sungai Kolok untuk pergi sekolah di Kelantan dan perebutan kuasa.
Terima kasih kepada penulis kerana berjaya menyampaikan cerita tentang masyarakat Patani dengan baik. Rasa seperti mahu membaca lebih banyak lagi cerita-cerita berkenaan bangsa Patani
Allahu, buku yang amat meruntun jiwa. Daripada 'Cerita Dari Sungai Golok', 'Rindu Cerita Nenek' dan 'Kisah Penjual Lokcing', hati saya sungguh terkesan. Paling tidak akan saya lupakan ialah 'Nasi Goreng Budu Kakak'.
Mungkin kerana saya keturunan Kelantan yang mempunyai darah Patani daripada sebelah datuk, tidak mungkin saya akan lupa akan akar umbi diri saya. Terkilan kerana hanya dapat ke negeri di sebelah sana semasa saya kecil.
Bagi saya, hanya pembaca yang pernah membaca sejarah dan mengenali Melayu Patani sahaja akan betul-betul rasa setiap perkataan yang dirantai dalam buku ini. Betapa sepatutnya negeri-negeri Selatan Thailand itu dikekalkan sebagai satu negara.
Saya amat merindui kedamaian dan keamanan daerah Yala, Patani & Narathiwat dengan kelembutan, kemurahan hati dan kesopanan warganya, sebelum diapi-apikan dengan isu agama & perkauman juga dibakar dengan kebencian. Tiada pengganti akan Patani.
Saya tak tahu banyak tentang orang Patani kecuali mereka satu cabang Melayu yang baik² belaka dan masakan mereka sedap². Dan betullah, cerpen² ini, disamping kisah² jati diri dan kewarganegaraan yang menginsafkan, banyak terselit cerita masak-memasak.
Encik Isma Ae, walaupun dah jauh di Bangkok sana (betul ke?), saya mohon terus juga menulis. Kami di sini amat rugi kalau tak menghargai dan kehilangan penulis buku Melayu yang bagus seperti tuan.
Kisah hidup penulis dalam bentuk cerita pendek (baca: cerpen). Sangat menarik! Kalaulah matapelajaran sejarah di terangkan dalam bentuk cerpen, semoga subjek sejarah bukan lagi menjadi subjek tido untuk para pelajar.
Himpunan cerpen ini adalah nukilan pengalaman hidup penulis yg berbangsa Patani. Pahit manis hidup di wilayah bergolak selatan Thailand. Pos tentera yg mengawal kebebesan rakyat. Pejuang yg mahu wilayah mereka bebas dar pemerintah di Bangkok. Juga kesusahan rakyat yg menjadi mangsa penindasan.
Buku yang buat aku bersyukur dengan negara aku. Penulis mengetengahkan konflik yang berlaku d patani dan sekitar thailand. Bagaimana cerita cerita pendek yang berkisar pelbagai situasi buat pembaca ingin terus menerokai buku ini
Ada sebab mengapa Tuhan menjadikan kisah hidup penulis seperti itu. Dan, melalui kisah penulis sendiri banyak perkara yang membuatkan saya berfikir lama mengenai cerita beliau. Saya paling suka bahagian "Kisah Penjual Lokcing" .
Saya yakin banyak cabaran yang beliau jalani namun, kisah seperti inilah yang membuka minda dan hati masyarakat .