Punk seringkali dipandang negatif dan dilemparkan dengan tuduhan-tuduhan seperti sampah masyarakat, tidak berguna, tidak berakhlak dan sebagainya. Realitinya, wujud komuniti-komuniti punk lain yang melakukan bermacam-macam aktiviti dengan maksud untuk menyumbang sesuatu kepada masyarakat. Buku ini cuba untuk menampilkan sesuatu yang berbeza, iaitu tindakan politik dan aksi langsung yamg telah dilakukan oleh komuniti punk seperti Rumah Api di Kuala Lumpur, Malaysia dan Komunitas Taring Babi di Jakarta, Indonesia. Buku ini juga menonjolkan nilai-nilai penentangan, pemberontakan dan kemandirian punk yang boleh dilihat melalui pelbagai prinsip seperti kerja bertukang sendiri (do-it-yourself). Oleh yang demikian, buku ini berkeyakinan bahawa punk harus dilihat dalam lensa sub-budaya, ketidakakuran, penentangan dan transnasional bagi membolehkan mana-mana individu atau komuniti punk dapat difahami dengan lebih dekat sebagaimana Rumah Api dan Komunitas Taring Babi.
Punk yang merupakan satu sub-budaya yang menjadi ikutan anak-anak muda yang inginkan kelainan dari budaya yang dominan. Bermula di New York pada zaman 1970-an yang pada asalnya adalah lebih kepada muzik bawah tanah yang kemudiannya berkembang menjadi sub-budaya yang tersebar di serata dunia. Punk berkembang apabila ia memasuki Great Britain. Di sini Punk dilihat bukan sekadar muzik dan fesyen sahaja, tetapi telah menjadi satu budaya yang menjadi ikutan dan amalan kepada sesetengah masyarakat.
Di Malaysia, kedua-dua muzik dan fesyen Punk telah mendapat tempat dikalangan anak muda semenjak awal tahun 1980-an. Perkembangan Punk di Malaysia, dibincangkan dengan lebih lanjut di dalam buku ini.
Buku ini dibahagikan kepada beberapa bab yang menerangkan latar belakang sejarah sub-budaya dan idea-idea yang terkandung didalamnya. Konsep dan fahaman di dalam komuniti punk juga dibincangkan di dalam buku ini yang merangkumi anarkisme, Do It Youself(DIY) serta ruang autonomi dan muzik yang mendasari komuniti Punk.
Perbincangan yang seterusnya di dalam buku ini adalah berkenaan dengan perkembangan Punk di Malaysia yang memberi fokus kepada komuniti Rumah Api, di Ampang Kuala Lumpur. Perkara yang dibincangkan adalah berkenaan dengan latar belakang penubuhan dan perkembangan komuniti Punk dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan di Rumah Api seperti “Food Not Bombs”, “Really Really Free Market”, “Gig”, bengkel, pameran serta diskusi. Turut dibincang juga adalah berkenaan reaksi Rumah Api terhadap isu-isu tertentu.
Seterusnya, buku ini membincangkan tentang perkaitan komuniti Punk di Malaysia dengan Indonesia yang digelar Komunitas Taring Babi.
Membaca buku ini, dapat memberi pemahaman kepada sub-budaya yang berfokus kepada budaya Punk, sejarah Punk dan perkembangan Punk di Malaysia. Realiti sebenar Punk di ulas dengan lebih lanjut di dalam buku ini. Buku ini diselitkan dengan nota kaki yang memudahkan pemahaman kepada sesuatu istilah. Apa yang menjadi dasar kepada perjuangan Punk juga di ulas di dalam buku ini. Buku ini juga disertakan temubual-temubual dengan beberapa orang yang terlibat dengan komuniti Punk.
Pertama kali membaca kajian ilmiah berkaitan sub-budaya punk seperti buku ini, amat menarik perhatian juga.
Walaupun buku ini boleh dikira membawa topik yang agak berat namun ianya tetap menyeronokkan. Ini kerana kajian penulis di dalam buku ini merangkumi pelbagai jenis lapangan ilmu seperti bidang falsafah, sains politik, konsep ikhtiar hidup dan sebagainya.
Kajian ilmiah seperti ini lebih menitikberatkan sumber rujukan dari pelbagai kajian ilmiah lain dan artikel-artikel rasmi yang berkaitan. Berbanding dengan zine, iaitu medium utama perhubungan dalam komuniti punk, penulis atau editor zine tersebut selalunya lebih membincangkan perihal prinsip punk ini berdasarkan kefahaman mereka sendiri ataupun secara kolektif jika zine tersebut membabitkan ramai penulis. Tiada atau sedikit saja rujukan dari sumber yang lain.
Disamping itu di dalam buku ini juga kajian sendiri oleh penulis, temuramah serta soal-selidik secara langsung kepada komuniti punk ini turut dimuatkan. Dan dari dua sumber ini akhirnya satu konklusi dapat disimpulkan oleh penulis, iaitu berkenaan peranan komuniti punk ini dalam mencorakkan pergerakan penentangan terhadap autoriti ataupun politik arah kiri dengan cara mereka.
Memang menarik untuk dikaji. Buku ini saya cadangkan kepada anda yang meminati sub-budaya ini, lebih-lebih lagi kepada yang biasa memandang enteng & negatif mereka ini.
Punk bukan hanya sekadar pada rupa luaran, muzik & fesyennya sahaja. Menentang itu juga adalah punk.
Buku ini sesuai jika anda berminat tentang kajian sub-budaya secara umumnya, dan punk secara khususnya. Tema-tema yang dibincangkan agak berat, antaranya meliputi konsep punk sebagai ideologi penentangan terhadap budaya arus perdana dan kapitalisme. Jika anda mengharapkan buku ini menceritakan tentang sejarah muzik punk semata-mata ataupun punk dari aspek ritualistik (fesyen, zine, gig dan sebagainya), maka ia mungkin tidak sesuai bagi anda.
Bahasa yang disampaikan dan rujukan yang diselitkan memang agak akademik, tapi masih sesuai untuk bacaan umum. Mungkin mereka yang berminat untuk membuat kajian tentang sub-budaya yang lain boleh mengambil buku ini sebagai rujukan umum tentang cara-cara untuk membuat penelitian tentang sesuatu sub-budaya.
Antara buku yang patut dibaca boleh budak-budak punk. Adakah punk itu benar-benar penentangan, atau sekadar fesyen? Tetapi buku ini agak akademik sedikit menyebabkan tidaklah begitu mudah untuk dibacanya begitu sahaja. Buku ini juga membawakan pendekatan atau kritikan penulis "The Rebel Sell" bahawa perlawanan budaya adalah sejenis budaya pemasaran. Adakah cukup sekadar beraktivisme dalam sub-budaya, atau bertindak lebih serius menyusun organisasi perlawanan? Adakah cukup sekadar menyanyi, atau turun menyusun organisasi?
Ini antara buku sub-budaya yang penting dibaca dan ditulis dalam Bahasa Melayu.