‘Gaijin’ menghimpunkan cerpen bertemakan kemasyarakatan, memaparkan budaya dan cara hidup masyarakat Jepun yang pada umumnya masih asing dalam kalangan masyarakat Malaysia. Bermaksud ‘Orang Asing’, Gaijin berunsur pengajaran, memberi ruang kepada masyarakat Malaysia untuk menyelami budaya Jepun melalui pembacaan.
Selaku rakyat Malaysia, Suzie, atau nama asalnya Siew Eee Zen, ingin memartabatkan Bahasa Malaysia dengan menghasilkan ‘Gaijin’ dalam bahasa Malaysia demi menyahut seruan memperkasa Bahasa Malaysia, di samping menambah koleksi karya-karya tempatan yang bertemakan kemasyarakatan.
Gaijin bermaksud orang asing. Koleksi cerpen berkaitan kehidupan orang asing di negara orang. Subjek di dalam buku ini ialah Jepun. Menonjolkan perbezaan budaya orang. Kejutan budaya akan dihadapi jika berhijrah dari tanah asal.
Jepun masyhur tentang kehebatan budaya dan kemajuan mereka. Namun, Penulis cuba mempamerkan sisi gelap budaya negara matahari terbit itu.
Tiada pengisian rohani di dalam jiwa mereka sehingga ketika tertekan tiada unsur spiritual untuk mereka berpaut.
Budaya kerja yang sangat serius memberi impak institusi kekeluargaan. Beberapa cerpen hampir mengulang-ngulang tema yang sama sehingga saya mula berprasangka mungkin penulis berpengalaman disakiti oleh perbezaan budaya ini. Lebih spesifiknya dikecewakan oleh lelaki Jepun.
Unsur Feminisme diselitkan dalam beberapa cerpen. Wanita berdikari dan bekerja keras demi kelangsungan hidup selepas berpisah. Begitu juga wanita yang meninggalkan kerjaya prosfesional demi menguruskan rumah tangga.
Namun, Cerpen sayonara yang terakhir mengembalikan kepada inilah fitrah. Setiap negara, bangsa dan budaya punya titik kelemahan. Setiap kemajuan yang dikejar pasti tercicir beberapa nilai kebahagiaan. Di Setiap kemunduran atau kekurangan pula pasti ada nilai kebahagiaan yang masih boleh dicipta. Dalam setandan pisang tidaklah semuanya busuk.