"Kalau esok tuhan tanya, 'Hang pi oversea, bawak balik apa untuk kawan-kawan yang tak dapat pi?' Takkan aku nak jawab fridge magnet kot. Mau kena panah petir nanti"
Maka aku tulislah sedikit, supaya jadi ilmu berguna.
Buku orang putih memang banyak tentang kembara. Mereka banyak kongsi maklumat berguna. Tapi kau kena tahu bezakan antara buku kembara yang bercerita macam travelog atau buku panduan untuk kembara seperti Lonely Planet. Kalau kau mahu melihat perspektif kembara, kau baca travelog. Tapi kalau kau mahu tahu cara-cara kembara ke destinasi tertentu, maka dapatkan buku panduan kembara.
Kalau nak berhijrah, fikir dan rancang dulu. Banyak benda yang perlu dikorbankan. Terima kasih ID kerana berkongsi pengalaman berhijrah yang tak semua orang sudi ceritakan kat siapa2 kita dalam hidup dia. Kalau ada orang tanya dia macam mana boleh berhijrah dan persediaan nak berhijrah, dah tak payah ulang suara dah, tunjuk je buku, nahhh baca sendiri 😊
Irwan Dahnil (ID) bercerita hal-hal berkaitan migrasi. Sebelum, semasa dan selepas. Jangkaan-jangkaan dan hakikat apabila berpetualang, keluar dari zon selesa yang sudah lama membelengu.
Penceritaan beliau tidak pun berbau "lupa diri". Malaysia tetap dalam hati bapa tiga anak satu isteri (status semasa) ini. Sudah semestinya kita akan membanding-bandingkan apa yang ada di negara orang dengan apa yang kita ada di negara sendiri. Sesiapapun begitu. Bezanya, cara kita melihat perbezaan itu. Yang selalu, kita akan mencemuh. Tapi yang bijak, akan melihat itu sebagai ruang membaiki diri dan maju terus.
Panduan ID boleh digunapakai ke mana saja. Sama ada Eropah, Korea mahupun Sri Lanka. Ya, boleh juga untuk dijadikan panduan kalau mahu keluar dari Kuala Lumpur dan migrasi ke Kuala Nerang. Cerita mudahnya, keluar dari zon selesa dan belajar menyesuaikan diri.
Oh!
Ada juga hal yang menjengkelkan dengan buku ini.
Font kecil, warna putih dan berlatarbelakangkan warna biru sangat tidak mesra mata warga veteran seperti saya. Kau kejam, bang!
Dan nak bagitau juga, ID ni senior saya di matrik/uni dulu. Baik orangnya, memang jenis pilihan mak-mak mentua.
Lost in Sekutland, sekali baca tajuk macam ada satu negara baru di dunia, tapi kau jangan pula google dan cari negara tersebut. Ianya merujuk kepada negara Scotland, di mana negara saudara penulis Irwan Dahnill tinggal sekarang. Kau jangan panik okay?
Sebelum review buku ni, teringat aku pada sebaris ayat dari ilmuan Islam Arab Muhammad Abduh iaitu “Aku melihat Islam (di Eropah), tapi tidak melihat Muslim. Dan aku melihat Muslim (di Mesir) tetapi aku tidak melihat Islam”.
Ya, buku ini dalam skala besar adalah berkenaan tentang ayat tersebut. Ianya adalah catatan kembara tentang pengalaman penulis di sana, di negara Eropah. Ianya berkenaan perkara perkara baik yang dikutip dalam setiap perkara yang dilaluinya di sana.
Ia disampaikan dalam bahasa yang sempoi dan bersahaja, kau tak perlu berkerut dahi membaca setiap catatan kembara dalam buku ini. Kita mudah faham, mudah ambil ikhtibar dari setiap bab yang ditulis. Kau juga boleh lompat lompat bab kalau mahu baca buku ini.
Pilihlah mana mana bab dan dalam setiap bab penulis mengajak kita berfikir yang sebenarnya buat perkara baik itu mudah, semudah kau makan megi.
Secara analoginya, bila kau sudah makan megi sedap dan cepat dimasak, kau buang bekas megi tadi dalam tong sampah yang khusus untuk recycle. Ya, perbuatan buang bekas megi dalam tong sampah recycle itulah perkara baik yang diberitahu dan dihuraikan secara mudah faham kepada pembaca selepas kau sedap makan megi. Mudahkan? Buku ini banyak tentang perkara baik yang mudah kita hadam. Kau baca dan kau akan terus ingat.
Buku setebal lebih kurang 230 mukasurat dari kulit depan hingga ke kulit belakang. Kalau kau jenis hantu buku, sekejapan saja habis satu buku kau baca dan ayat pula jenis sedap, baca sekali tak sedar sampai ke kulit belakang kau baca.
Selain dari catatan pengalaman baik yang dilalui, penulis juga berkongsi maklumat tentang persediaan ringkas sebelum kau berhijrah ke luar negara dan checklist berguna yang boleh dijadikan panduan untuk kita jika berniat untuk berhijrah
Sebelum aku akhiri review buku ini, aku bersetuju dengan penulis. Di awal buku ini penulis tegaskan yang penulis bukan protes atau tidak patriotik pada negara sendiri tapi ianya adalah sumbangan kecil penulis untuk melihat mindset negaranya lebih terbuka, bebas dan matang.
"Bendera kau dan bendera aku tetap sama. Kita raikan perbezaan. Kita tetap anak Malaysia" - Irwan Dahnill
Kebelakangan ini kita dapat menyaksikan kebanjiran buku-buku bercitra travelog di pasaran (selain dari buku tarbiah dan dakwah sentap menyentap). Kalian namakan sahaja ceruk benua mana sekalipun, besar kemungkinan akan ada buku travelog yang bercerita mengenai tempat tersebut.
Namun begitu majoritinya lebih menekankan tentang "how-to". Bagaimana. Bagaimana untuk mengembara ke satu-satu destinasi, panduan khusus untuk backpackers, bagaimana jika anda merupakan pengembara solo, atau ingin mengembara secara berkumpulan. Jarang sekali (bukan langsung tidak ada, ya) kita ketemukan buku yang bercerita tentang pengajaran hidup di rantau orang.
Bagi aku, Lost in Sekutland tulisan Tuan Irwan Dahnil ini mengisi ruang hampa yang ditinggalkan kebanyakan penulis buku travelog yang lain. Buku ini membariskan anekdot kehidupan penulis sepanjang beliau menetap di Sekutland khususnya dan kembara beliau di Eropah umumnya. Buku ini dihasilkan melalui perspektif individu yang bermukim di sana.
Gaya penceritaan beliau ada pelbagai. Ada yang berbentuk penilaian diri (introspektif), ada cerita-cerita pengalaman beliau sebelum, semasa, dan sesudah berpindah, dan ada juga puluhan panduan yang berguna kepada pembaca yang ingin berhijrah. Tulisan beliau sedikit sebanyak dapat menjawab persoalan yang bermain di fikiran sesiapa yang berkira-kira mahu berhijrah.
Meskipun catatan Tuan ID berlatar belakangkan Sekutland dan negara-negara di sekitarnya, pengajaran dan hikmah dalam setiap catatan bersifat rentas sempadan dan budaya. Ia tetap terpakai sekalipun kalian hanya beniat untuk bermastautin di Malaysia kita ini.
Mungkin antara halangan (dan alasan) terbesar bagi kebanyakan dari kita ialah faktor keluarga. Tidak dapat dinafikan, keluarga merupakan penghubung di antara kita dan tanah air. Namun apa yang aku dapat dari penulis, berhijrah bukan bermaksud kita harus membongkar segala akar yang memasak kukuh kita di tanah air ini. Paling penting hubungan kita dengan keluarga, orang tua kita terutamanya wajib kekal terpelihara. Jarak bukan lagi penghalang, tambah pula kita berada di zaman kegemilangan dunia telekomunikasi. Segalanya berada di hujung jari. Itu yang paling utama.
Aku sendiri pernah menetap di negara orang biarpun tidak lama. Meskipun di benua yang berbeza, aku bersetuju sangat-sangat dengan segala apa yang dinukilkan. Berjalan membuka minda kita, meluaskan pandangan kita, dan mematangkan fikiran kita. Kitalah yang berperanan untuk memilih butiran permata di antara kaca yang bertaburan, untuk dibawa pulang kembali ke tanah air.
Buku ini bagi aku sesuai bagi semua yang pernah mengembara, atau minat mengembara, atau masih berkira-kira sama ada mahu mengembara ataupun tidak. Moga-moga dengan mengembara, lama ataupun sekejap, menjadikan kita manusia yang lebih baik dan membawa kebaikan untuk negara kita dan penduduknya. Penulis sendiri mengakui yang bukunya adalah gabungan travelog, panduan kembara, dan juga panduan pindah negara. Jadi, apa lagi alasan kalian untuk tidak membaca buku ini?
Akhir sekali, sesat "Lost in Sekutland" ini bukan sebarang sesat. Sesat ini membawa kita akhirnya menemukan diri kita yang sebenarnya, yang selama ini dilitupi keselesaan, kesenangan di tanah air sendiri.
Judul : Lost in Sekutland. 228 muka surat termasuk kulit. Tulisan : Irwan Dahnil Terbitan : Komrad Buku, cetakan pertama April 2017
Kalian juga boleh ikuti catatan Tuan ID di Facebook beliau, Irwan Dahnil
Sebuah buku Travelog + Panduan Kembara + Pindah Negara oleh penulis yang kadang kala penulisannya muncul di Facebook den.
Cerita penulis dan keluarga berhijrah ke Scotland memulakan kehidupan jauh dari bumi Malaysia.
Den rasa buku ini 20% travelog dan 80% adalah panduan kembara + pindah negara.
Kalau baca buku travelog, memang akan disarankan untuk travel terutamanya ketika muda belia. Pelbagai kebaikan travel untuk semua. Begitulah juga buku ini.
Nasihat dan tips kepada mereka yang berhasrat hendak berhijrah. ✅Kenapa hendak berhijrah? ✅Hendak berhijrah ke negara mana? ✅Persiapan untuk berhijrah. ✅Pelbagai perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum memutuskan untuk berhijrah termasuk faktor keluarga, kerjaya, kewangan, sosial, kesihatan, insurans, dsb. ✅Tips menyimpan duit
Diselitkan juga kisah-kisah orang Malaysia yang melancong ke negara luar tetapi berperangai yang kuban-kuban terutamanya tinggalkan homestay dalam keadaan bersepah, hisap rokok dalam tandas, dsb.
Buku ini sesuai untuk mereka yang di bawah 40 tahun kerana kita pun faham yang umur 40an ke atas ni kebanyakannya datang bersekali dengan pakej sakit sana sini😅. Banyak negara tidak akan terima orang yang berpenyakit sebab akan ada isu kesihatan nanti. Kita pun faham tu.
This entire review has been hidden because of spoilers.
Pengalaman penulis yang tinggal di luar negara. Buku ni bagi inspirasi mengapa kita sebagai orang muda patut berhijrah dan tinggalkan zon selesa. Pengalaman tu mahal harganya.
Selain beri tip nak survive hidup di negara orang, penulis juga bercerita tentang realiti pahit. Memang kita akan nampak wajah ceria berlatar belakangkan salji dalam media sosial, namun ada pelbagai cabaran dan dugaan yang membenihkan rindu pada tanah air.
Semakin jauh kita kembara, semakin kita rasa sayang pada Malaysia.
Malaysia tak sempurna, namun di Malaysia ada segala-galanya.
Panduan berguna buat sesiapa yang berhasrat berhijrah ke luar negara. An intimate perspective from a guy who knows his stuff. Sungguhpun penulis meletakkan Scotland selaku contoh, kebanyakan saranan am masih relevan dan praktikal buat destinasi-destinasi lain. Secara peribadi, Catatan no. 54 paling berkesan di hati saya. Bicara tentang kesan hidup terlalu lama di luar Malaysia. Sisi yang jarang dibicarakan dalam buku.
Aku baca buku ni agak perlahan. Sebab sibuk satu hal tapi isi dan pengajaran buku ni sangatlah banyak jadi bila baca perlahan lahan ni penghadaman lebih membekas. Sangat relatable dengan pengalaman sendiri. Pengamatan dan kisah yang penulis kongsikan sangat memberi inspirasi. Yang paling penting pandangan yang realistik dan bersifat kebenaran di sebalik keindahan berkelana di luar negara. Terima kasih penulis atas tulisan ini!
Banyak tips diberikan tentang panduan kembara dan pindah negara. Agak terkilan sebab saya jangakan penulis ada menceritakan tempat yang patut diterokai di Scotland. Kalau tak, boleh dapat 5 bintang! 😁 Walau bagaimanapun, saya tak menyesal beli. Memang dah lama follow fb beliau dan suka baca buku panduan sebegini.
Buku ni recommended untuk sesiapa yang suka travel dan ada niat untuk berhijrah ke luar negara. Cara penulisan yg bersahaja, bagi saya seronok untuk dibaca dan mudah nak imagine apa yg penulis cuba sampaikan.
Buku ni dah boleh jadi influencer untuk orang migrate...kalau aku jumpa buku ni lebih awal, aku rasa aku kat UK dah sekarang ni 🫣 banyak panduan untuk travel dan migrate tapi sebelum tu ada beberapa benda yang kita kena faham tentang negara luar, sikap kita dan big why kita ke luar negara
The title didn't reflect the content of the book. It's doesn't tell much about Scotland, but UK in general. But it provides a useful guide for those planning to travel to other country.
Siapa makan cili, dia rasa pedas Siapa rasa pedas, kata aku main cakap lepas Ambil baju, ukur kat badan sendiri Mana tahu kene setepek ke tempias sipi-sipi