Entah secara kebetulan ataupun tidak, ketika membaca Pluviohile, hujan akan turun secara tiba-tiba. Boleh jadi juga saat ini kawasan sekitar sedang bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh yang kebiasaannya melanda pada bulan November sehingga Mac. Pluviophile ditulis oleh Nur Suhada yang merupakan sebuah buku berkonsepkan cerpen dan diterbitkan oleh Kata-Pilar. Mempunyai sebanyak 13 buah cerpen yang menceritakan kehidupan penulis yang telah dilewati dalam perjalanan merentasi waktu kedewasaan.
Mungkin ada yang hairan, apa kaitan dengan hujan yang turun ketika saat aku sedang menikmati naskah Pluviophile? Bagi yang tidak tahu, Pluviophile itu sendiri bermaksud pencinta hujan; orang yang berjumpa ketenangan dan kebahagiaan dalam suasana hujan. Merujuk pada kata pengantar penulis, manusia boleh belajar dan mengambil pengajaran apa yang Tuhan telah turunkan pada kita melalui hujan. Penulis menggambarkan bahawa dugaan itu adalah seperti hujan yang menyakitkan dan membasahkan diri kita. Katanya lagi, tumbuhan perlukan air hujan untuk terus hidup, maka manusia perlukan ujian untuk semakin dekat dengan Tuhan.
Secara umumnya, Pluviophile mengajak pada pembaca untuk mengenali diri sendiri terlebih dahulu iaitu tempat yang paling jauh untuk ditakluki yakni sebuah hati. Kita tidak perlu keluar jauh ketika saat datang masalah dan ujian, sebaliknya kembali pada hakikat diri. Segala apa yang kita temui di jalanan, sedar ataupun tidak, kesemuanya memberi pengalaman dan pengajaran kepada kita. Untuk menyedari hakikat tersebut, kita perlulah membaca. Membaca yang bagaimana? Bukan hanya setakat membaca buku bahkan membaca alam, membaca manusia dan paling utama membaca jiwa sendiri.
Dalam banyak-banyak cerpen, selain daripada cerpen Pluviophile itu sendiri, aku tertarik dan terkesan dengan cerpen ‘Dari Kebun Waktu ke Taman Kalbu’. Cerpen ini menjelaskan tentang falsafah hujan yang mengajarkan pada kita untuk menyucikan lima komponen penting dalam diri seorang insan, bermula dengan roh. Tuhan menyuruh manusia membersihkan rohnya agar ianya mendapat al-Falah iaitu menuju kebahagiaan, kejayaan, kecemerlangan dan kedamaian.
Yang kedua adalah qalb (hati), yang merasai dan memaknai. Setiap dari kita punya tanggapan, set minda, pengalaman, budaya dan nilai yang berbeza. Kita hanya perlu meraikan dan mendamaikan.
Yang ketiga adalah nafs. Nafs inilah potensi yang membolehkan kita merasa sesuatu yang tidak dapat dituliskan dengan kata-kata, bekerja keras untuk membenci kekufuran dan mencintai keimanan. Penulis juga mengibaratkan nafs seperti pelangi yang mendorong kita melalui berjuta rasa, berjuta warna, berjuta rahsia dan berjuta makna.
Yang keempat adalah akal. Dengan akal inilah Allah menurunkan surah al-Alaq kepada Nabi Muhammad s.a.w. Falsafah hidup manusia adalah bersandarkan iqra – bacalah dan kenalilah dirimu sendiri sebelum mengenali Tuhanmu. Sepertimana biasa yang kita dengar , “Man ‘Arofa Nafsahu faqod ‘Arofa Rabbahu“. “Barangsiapa mengenal dirinya (nafsahu) maka ia akan mengenal Tuhannya”. Penulis juga mengakui bahawa perjalanan yang paling sulit adalah perjalanan dalam hati, dalam mencari dan menemui diri sendiri.
Yang terakhir, kelima, adalah jasad. Jasad ibarat purnama. Roh dan rohani ibarat matahari. Matahari itulah yang menyuluh purnama untuk bersinar. Tambahnya lagi, ilmu, sikap, adab dan akhlak inilah yang menjana roh dan membentuk jasad. Walaupun zaman, suasana dan waktu berubah, tapi akhlak manusia adalah kekal dari Nabi Adam hinggalah Rasulullah s.a.w. Maka lengkaplah lima komponen penting dalam membangunkan diri seorang insan.
Antara lain, cerpen ‘Seuntai Puisi, Selingkar Memori dan Sepotong Hati’ juga menarik perhatianku bagaimana penulis mentakrifkan ‘perempuan’ kepada potongan huruf jawi iaitu huruf ‘Fa’, ‘Ra’, ‘Mim’ ‘Fa’ (yang kedua), ‘Wau’ dan ‘Nun’ yang merujuk kepada buku Surat-surat Perempuan Johor karya Faisal Tehrani. Manakala cerpen ‘Cahaya Tabrizi di Langit Rumi’ pula membawa kepada pembaca supaya mencontohi Syamsuddin Tabrizi yang menghidupkan cahaya yang sudah sedia ada di dalam jiwa Rumi sehinggalah muncul satu kejadian yang menyebabkan Tabrizi diusir pergi dan terpaksa berpisah. Perpisahan tersebut menimbulkan kerinduan yang mendalam oleh Rumi pada Tuhan dan sahabat sejatinya Tabrizi sehinggalah tercipta bait-bait puisi yang mengagumkan, karya
yang kita kenali sebagai Mathnawi.
Satu sisi yang dikagumi terhadap buku Pluviophile ini adalah penulis meletakkan banyak nama penulis dan karya mereka yang kita boleh ikuti pada kemudian hari, antaranya Kitab Minjahul Abidin oleh Imam Ghazali r.a, Tuesday With Morrie oleh Mitch Albom, Surat-surat Perempuan Johor oleh Faisal Tehrani, Risalah Untuk Kaum Muslimin oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas, Biblioholisme dan Kekasih oleh Shaharom T.M Sulaiman dan sebagainya. Penulisan penulis juga tampak dipengaruhi oleh Hamka yang menjadi sumber inspirasinya dalam Pluviophile apabila banyak mengetengahkan falsafah hidup, keelokan peribadi, cinta dan sebagainya. Jadi tidak hairanlah, karya-karya Hamka banyak disebut seperti Peribadi, Falsafah Hidup, Lembaga Budi, Dari Hati ke Hati, Lembaga Budi, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck dan sebagainya.
Cuma satu sahaja persoalan yang aku tidak pasti, makna kepada nombor yang diletakkan pada puisi setiap cerpen, merujuk kepada ayat dan surah di dalam al-Quran ataupun tidak? Secara keseluruhannya, Pluviophile merupakan sebuah naskah yang patut dibaca, memandangkan ia terkandung pelbagai nasihat yang diceritakan dalam bentuk kehidupan seharian.