Pandangan politik al-Ghazali amat relevan dengan politik dan kenegaraan moden yang semakin kehilangan sentuhan dan nilai-nilai agama. Al-Ghazali tidak hanya melihat politik sebagai ilmu yang mempelajari pembentukan dan pembahagian kekuasaan kerana falsafah bernegara adalah untuk membangunkan kemaslahatan umat dan menjauhkan apa-apa sahaja perkara yang boleh mendatangkan keburukan. Oleh sebab itulah al-Ghazali memberi peringatan, jika seseorang pemimpin (sultan) sentiasa menjaga adab berpolitik, maka ia adalah satu tugas mulia manakala jika berbuat zalim, ia wajar dijauhi.
ULASAN BUKU Negara Maslahah Dalam Konteks Malaysia
IMAM al-Ghazali lebih dikenali dengan tasawufnya. Kalau di Asia Tenggara, umat Islam rata-rata mengenali tokoh ini di samping karya agung beliau, Ihya’ Ulumiddin. Buku ini wajar dihargai lantaran memartabatkan lagi ketokohan al-Ghazali khususnya dalam bidang politik dan kenegaraan. Pengarang, Tan Sri Dr Alies Anor menggelarkan gagasan al-Ghazali ini sebagai gagasan ‘negara maslahah’.
Sebelum itu, ayuh kita tadabbur peringatan daripada Allah dalam al-Quran di surah an-Nisa’, ayat 58 bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.”
Antara perkara paling ketara yang saya dapati daripada gagasan al-Ghazali itu adalah seperti berikut: a) Politik dan agama tidak dapat dipisahkan. Bila disebut politik dan negara maslahah. Maslahah itu merujuk kepada agama, yang mendasari al-Quran dan as-Sunnah. Sebaliknya, kemudaratan (sebagai kata lawan maslahah) adalah suatu yang bertentangan ajaran agama. b) Menumbangkan kerajaan dengan cara yang kejam adalah suatu yang harus dielakkan. Menyokong pemerintah yang sah tapi lemah lebih baik daripada menyokong pemberontak yang kuat. Ini selari dengan pandangan Imam Ibn Taimiyah, “Bahawa 60 tahun di bawah pemimpin yang zalim adalah lebih baik daripada semalam tanpa sultan.” c) Kerosakan penguasa disebabkan oleh ulama. Menurut al-Ghazali, “Sebenarnya, kerosakan rakyat disebabkan oleh kerosakan para pemimpinnya, dan kerosakan pemimpin disebabkan oleh kerosakan ulama, dan kerosakan ulama disebabkan oleh cinta harta dan kedudukan, dan sesiapa yang dikuasai oleh keinginan duniawi tidak akan mampu mengurus rakyat kebanyakan, termasuklah pemimpinnya. Allahlah tempat meminta pertolongan.”
Dalam bahagian penutup, pengarang bersetuju bahawa gagasan al-Ghazali sesuai dalam konteks Malaysia memandangkan sifatnya yang fleksibel, manakala sistem federal yang diamalkan di Malaysia.
Antara amalan kenegaraan Malaysia yang ada keselarian dengan gagasan negara maslahah saya cuba gariskan seperti berikut: a) Sistem beraja atau monarki – konsep sultan dan monarki disokong oleh al-Ghazali sebagai kemuncak kuasa pelindung syariat. b) Demokrasi – bagaimanapun idea demokrasi al-Ghazali adalah daripada rakyat untuk rakyat kerana Tuhan. c) Perundangan Islam yang merujuk al-Quran dan as-Sunnah (namun hanya untuk muslim). d) Sistem pungutan cukai demi kebajikan rakyat tanpa mengira muslim dan bukan muslim.
Akhir kalam, barangkali sebahagian daripada idea politik dan kenegaraan seperti oleh al-Ghazali, al-Mawardi, Ibn Taimiyah dan Ibn Khaldun kurang sesuai dalam konteks di luar sistem khilafah Islam. Justeru, idea politik dan kenegaraan moden tidak boleh diketepikan. Ini termasuklah daripada Badiuzzaman Said Nursi, Hasan al-Banna, Muhammad Iqbal, HAMKA, Tariq Suwaidan dan Khalid Ali Muhammad al-Anbari (penulis Sistem Politik Islam).
Tidak ketinggalan daripada amalan parti politik orang Islam itu sendiri seperti di Malaysia (termasuk PAS, UMNO dan AMANAH), Indonesia (termasuk PKS, NU dan Muhammadiah), Turki, Tunisia (termasuk Ennahda), Nigeria, Oman (sistem monarki) dan lain-lain. Tidak mudah untuk tonjolkan teori moden mana yang paling mantap, mungkin disebabkan suasana politik negara umat Islam itu sendiri tidak begitu mantap?