4.5 bintang, kerana masih ada kesilapan teknikal buku yang mengganggu diri ini sebagai pembaca.
*Awas, review/nukilan maha panjang menanti.*
Ini Sekolah Kita adalah catatan-catatan perjalanan kerja-kerja sukarelawan yang dilakukan oleh para pelajar Malaysia di bumi Jordan. Luahan hati-hati yang menanggapi menyantuni si cilik pelarian Syria sebagai suatu tanggungjawab yang harus dipikul dan diperjuangkan. Sedikit kisah jatuh bangun yang dihadapi mereka sepanjang memperjuangkan hak dan nasib anak-anak kecil.
Ternyata, kerja-kerja sukarelawan bukan suatu pekerjaan yang indah dan manis sepanjang masa. Hanya yang benar-benar kuat sahaja yang akan mampu bertahan berhadapan kerenah dan birokrasi yang menggugat. Pendek kata, janganlah mengejar populariti jika memilih jalan ini.
Aku faham dan mengerti setiap ujian yang perlu mereka lalui. Aku juga, suatu ketika dahulu, pernah memperjuangkan nasib mereka yang kurang bernasib baik. Tapi, tidaklah sampai jauh terbang hingga ke Jordan. Mereka yang sempat aku santuni cumalah rakyat Malaysia, anak-anak dengan latarbelakang penuh warna suram, tetapi sungguhpun begitu, tetap perlu ada sosok kuat yang membantu mereka. Mewarnakan kembali cita-cita dan masa hadapan. Mendorong mereka menjadi insan teguh berlari kencang di muka bumi. Namun, itu cuma sejarah yang telah lama aku tinggalkan.
Membaca kembali Ini Sekolah Kita ibarat melihat setiap anak-anak yang pernah aku ajar. Keperitan mengajar mereka membaca dan mengira, senyuman puas setelah mereka berjaya menunjukkan perubahan prestasi yang baik. Selain mendengar cerita mereka, meminjamkan telinga untuk setiap lawak dan jenaka, menjadi bahu yang menampung tangisan setelah kalah bergaduh dengan rakan-rakan. Semuanya kembali bermain di benak fikiran aku. Membuatkan jauh di sudut hati, terdetik satu persoalan, "Tidakkah engkau mahu kembali untuk memperjuangkan hak anak-anak itu, Fatin?"
Aku kira, buku ini jatuh kategori wajib untuk dibaca oleh setiap daripada mereka yang bercita-cita untuk membantu anak-anak kecil, tidak kira sama ada anak-anak Malaysia ataupun Syria. Buku ini ibarat seorang teman yang sedia menjadi tempat engkau meluahkan 1001 rasa saat melakukan kerja-kerja sukarelawan, namun kemudiannya teman itu akan terus memotivasikan engkau agar tidak berputus asa.
Buku ini juga perlu dibaca oleh mereka yang mahu mencari makna sebuah kehidupan. Mungkin kau masih mencari-cari tujuan kehidupan serba singkat ini, maka bacalah buku ini. Mana tahu ada sedikit inspirasi menyerap di sanubari, seterusnya membuka satu langkah untuk engkau pula bantu mereka yang memerlukan.
Lagi, aku berasa perlu buku ini dibaca oleh setiap mahasiswa Malaysia, khususnya. Aku kira, sudah cukuplah mahasiswa kita majoritinya bersifat lemah fikiran dan hanya mementingkan diri sendiri, susah benar untuk diajak bersukarelawan. Bacalah, moga-moga engkau sebagai mahasiswa dapat menyalurkan segala kebaikan yang tersimpan dalam tubuhmu kepada insan di luar sana. Ya benar, semakin ramai sukarelawan dalam kalangan mahasiswa kini tetapi masih tidak memadai. Aku bermimpi agar semua mahasiswa mampu bersukarelawan, dan menjadi suara-suara keras yang berani memperjuangkan apa yang hak serta melawan kebatilan.
Ah, banyak betul aku menulis kali ini. Entah kenapa, Ini Sekolah Kita mengingatkan kembali kepada semangat-semangat yang telah pudar. Mengenangkan aku kepada mimpi-mimpi yang telah terkubur. Sesungguhnya aku benar-benar berterima kasih buat Thukul Cetak yang menerbitkan buku ini. Sekali lagi, terima kasih kerana menerbitkan Ini Sekolah Kita, semoga ada harapan baru buat mereka yang di ambang keputus-asaan.