Faisal nampak begitu selesa dalam percubaannya mempersoal agama sebagai candu rencam label ini. Antara yang mengesankan, dalam Doa Perkahwinan, Beliau memerhatikan seorang wanita Kristian yang sedang “berlutut di depan altar/ (…) –O Tuhan yang kudus/ dia merintih dengan tangan di dada/ ingatan dosanya terbeban di lutut”. Setelah keluar dari kamar pengaduan, wanita ini mempersoal kembali ‘keberkesanan’ aduannya kepada Tuhan yang mungkin tidak dapat memahami gejolak hidupnya kerana Tuhan barangkali seorang lelaki.
Pemuisi muda ini begitu sedar dan berjaya memanipulasi praktik tradisi sesuatu agama untuk menyampaikan makna yang lebih besar. Puisi Nyanyian antara lain, segar dan cerdik—pembaca secara automatik diberi capahan makna yang lebih besar apabila melihat pembinaan fizikal dan amalan ritual di sesebuah rumah ibadat pasca membaca puisi ini:
Kita pun tergesa-gesa dengan pahat dan tukul di tangan mengukir ketakutan menjadi tuhan
*Adilla Abd Rahim, ulasan penuh boleh dibaca di web SelangorKini: goo.gl/obRhng
Faisal Mat Zawi ialah graduan perubatan dari India. Ahli penggerak GKLN (Grup Karyawan Luar Negara), dan mantan Minggu Penulis Remaja, Dewan Bahasa & Pustaka tahun 2008. Gemar menulis sajak dan tangkap gambar pada waktu lapang.
Seorang penulis, terutamanya penyair, tulisannya akan mendewasa dan membesar bersama pengalaman. Pengalaman menggemukkan tubuh kurus puisi-puisi yang terdahulu melidi dan mudah diolak angin. Pengalaman akan meranumkan pengamatan yang naif dan polos, seterusnya mewangikan puisi-puisi yang dihasilkan oleh penyair.
Faisal tidak lagi seorang yang hanya mengemukakan pertanyaan-pertanyaan polos seperti dalam kumpulan puisi pertamanya, Sajak Kepada Tuhan. Pertanyaannya berani, persoalannya merentas global, pengamatan mengusik nurani.
Apabila saya berpeluang mengendalikan sejumlah sajak-sajak barunya, saya menyedari keakraban Faisal dengan sebuah kota bernama Bangalore. Seperti Faisal telah membuka jendela dan mengutip bahagian-bahagian cerita kota ini yang melintas jendela rumahnya untuk disembunyikan ke dalam puisinya.
Dalam puisi, Faisal menyembunyikan kenangan manis dan pedih. Yang pernah menjadi butiran pasir di hujung kaki, menjadi tawa di bibir manis perawan dan malam-malam panjang yang menyimpan lirih.
Bahagian pertama kumpulan puisi ini dibuka dengan ingatan dan kenangan. Siapalah penyair tanpa dukungan-dukungan ingatan yang membina kedewasaannya. Faisal gemar sekali menanamkan percakapan-percakapan malam panjang tentang impian dan harapan dalam puisinya. Seperti malam adalah ruang terbaik untuk membicarakan hal-hal kecil dan lucu. Atau mungkin impian-impian lugu yang mungkin sukar dicapai dalam kecerahan siang hari.
Malam telah memaniskan puisi-puisi Faisal dalam kepekatan dan kemisteriannya dan membuatkan puisi-puisi menjadi berani berlari dan membina mimpi sendiri.
Tetapi dapatkah pelarian dan penyembunyian menyelesaikan segala-galanya? Bahagian kedua merupakan titik kesedaran daripada binaan mimpi-mimpi malam panjang. Seolah-olah pelarian malam hari telah menemukan dengan kenyataan. Faisal kembali menjadi penyoal, pengamat dan menyorot peristiwa-peristiwa kecil yang membekas akibat letusan peristiwa besar.
Dari tengah Kota Bangalore, teriak orang miskin dan lapar, perempuan-perempuan yang tertindas dan tersepit, pergolakan wilayah perang dan letusan bom tanpa kesudahan telah menggoncang jendela. Puisinya mula memercikkan api dan darah. Kepekatan malam tidak dapat menyembunyikan merahnya darah dan maraknya api membakar. Faisal mengembalikan pertanyaan-pertanyaan yang menghuni dalam fikirannya kepada pembaca. Di manakah agamawan dan politikus? Siapakah yang benar-benar terkorban dalam perang dan perbalahan?
Faisal Mat Zawi, penyair muda yang membaurkan bahasa yang manis dan menyala dalam puisi-puisinya. Kita bakal tersenyum mengenangkan ingatan muda yang ranum dan juga merasa pedih dengan torehan pertanyaannya.
Selamat bersembunyi di dalam puisi-puisi Faisal Mat Zawi.
*Tulisan ini dimuatkan dalam buku Malam Persembunyian di bawah tanda "Kata Editor"
kita berdua cukup di meja makan berbicara tentang cuaca, pengalaman kecil dan lucu kita begini saja, sampai syurga cemburu.
Bangalore, Mac 2016. . . aku mula jadi peminat puisi karya faisal mat zawi tahun lalu menerusi kumpulan puisi Sajak Kepada Tuhan. puisinya indah, halus, perasaan membacanya sama seperti mendengar bacaan ustaz hazza al-balushi. dan aku terus menambah faisal dalam senarai pemuisi tempatan yg aku gemari. . . pada pendapatku sebagai pembaca yg marhaen ini, puisi kali ini jauh berbeza dari puisi sebelumnya yg aku rasa sedikit polos dan mudah dimengerti. tapi kali ini, entah berapa kali aku baca dan cuba hadam apa yg cuba disampaikan dalam setiap bait-bait puisi faisal. aku ulang baca satu puisi berkali-kali, mencuba untuk menafsir makna (terasa seperti membaca puisi sufism pun ada. ceh!~ metafora-kah ini (?)). yg membuatkan buku ini lebih indah selain lukisan-lukisan karya rasyidah othman ialah penggunaan diksi dan cerita-cerita lainnya dalam puisi kali ini; yg bukan cuma pengalaman penulis dalam kehidupannya sehari-hari. . . menerusi buku ini, bangga aku mengatakan, bahawa belia tempatan juga mampu berkarya (tidak semestinya bergenre indie semata-mata. huhuhu~). . . semoga Tuhan tidak pernah lelah memberi ilham buat faisal untuk terus berkarya ! ~
Membaca jejak-jejak penyair baharu yang padanya ada kesan kemiskinan kota yang udaranya dihirup dan kemewahan sastera yang karyanya diikut dengan kefakiran salik yang kisahnya dicicip dan keni'matan makrifat yang hawanya terbau dari kejauhan. Masih terasa aroma gelojak jiwa remaja penyair ini tetapi pasti akan tiba saatnya, beliau meninggalkannya seperti beliau meninggalkan kota Bangalore.
3.78 untul buku ni. pertamanya ilustrasi dan kaver sangat lawa. aku suka. konsep buku puisi yang wajar diikuti oleh penerbitan lain.
Ada dua puisi yang bagi aku betul2 stand out, menunjukkan Faisal sebagai pemain kata-kata yang baik iaitu Bulan di Dalam Cawan dan Malam Persembunyian. berkenaan puisi2 yang berbau menyoal atau kritik sosial, aku kurang gemar, mungkin sebab ia belum cukup kuat atau, memang aku je rasa camtu. Yang berbau rohaniah? no komen. tak minat.
Malam Persembunyian Koleksi ke 2 sajak sajak anak Kuala Kerai Kelantan ini sangat MEMIKAT. Bersama bait bait kata dibawa sekali lambang anak muda yang taat pada teknik lama sambil menongkah kata melalui mata hatinya yang moden. Koleksi ini bagi saya akan kekal berada di reruai buku dalam tempoh yang lama, garapan sewaktu penulis berada di Bangalore, Belaguru, Kota Baharu bercerita perihal manusiawi dan alam. Selain dari 2 koleksi sajak solo, beliau juga sudah terlibat dengan pelbagai antoloji. Koleksi ini harus dimiliki buat pencinta kata.
aku lari ke pulau Dewata tapi yang aku lihat orang orang mabuk arak di pasar tawar menawar bahagian tangan dan kaki dewata ditanda harga (cuplikan LARI KE PULAU DEWATA yang dalam maksudnya)
Bahagia sekali melihat anak anak muda, Faizal Mat Zawi salah satunya yang tidak bersifat penting diri apabila melakarkan sajak sajak mereka. Resah resah cinta picisan tidak ada langsung di dalamnya, yang terlakar hanyalah mata anak muda melihat dan merasa sekitarannya.
Susunan Font dan lakar yang menarik oleh Rasyidah Othman membuatkan kita terfikir, ya... kita buat masa ini ada kemampuan untuk menerbitkan buku sajak berkualiti tinggi. SYABAS!!!
Aku kurang biasa dengan puisi - sekadar menikmati biasa-biasa. Dah banyak kumpulan puisi dengan tema dan teknik yang klise, tapi tidak buat kumpulan puisi ini.
Bagi aku suatu puisi itu indah serta bermakna bila aku perlu baca dan renung banyak kali untuk mendapatkan makna paling hampir - itu yang aku hadapi bila baca puisi-puisi ini.
Ruang dalaman buku ini diserikan dengan lakaran berwarna oleh Rasyidah Othman. Ada aku dengar orang cakap - siapa tak minat puisi pun akan beli sebab bukunya memang cantik.
Saya tidak pasti sama ada Faisal masih gemarkan keju ataupun tidak, yang pasti saya sukakan 'Malam Persembunyian'.
Saya kira kumpulan puisinya yang ini lebih matang berbanding sebelumnya (yang sebelumnya juga masih mengujakan) dan sebegitulah seharusnya. Faisal berbicara dengan bahasanya sendiri menemani saya mengharungi perjalanan malam pulang dari kotaraya. Ya, puisinya punya roh!