Doktor Tahun depan di Jerusalem Candy, KL & Putrajaya Kenabius @ Cannabis Cinta, Politik & Kemerdekaan Apa Kau Cari? Boxing, Boxing, Boxing Sebuah Kehidupan Alam Memilih Hanya yang Terkuat Al-Faraj
Seringkali saya terjumpa persamaan watak utama di dalam cerpen-cerpen yang dirinya berpendidikan tinggi; rajin membaca buku-buku falsafah, psikologi tetapi akhlak-akhlak mereka tidak selari dengan apa yang digambarkan dengan ilmu yang ada di dalam diri mereka. Seakan-akan suatu sindiran sinis terhadap masyarakat yang tidak mengamalkan ilmu yang dipelajari. Apa pun saya suka dengan pendekatan psikologi yang digunakan dalam cerpen-cerpen Azman Hussin ini sekaligus membuatkan kita berfikir tentang keruntuhan akhlak serta permasalahan yang membejat di kalangan masyarakat sekarang.
“Kemudian kau terangkan kau masih suka membaca buku-buku. Kau tanyakan apa buku terbaharu aku baca. Tiada, aku tak ada masa membaca buku. HIdupku habis terpakai membayar hutang dunia. Bil air, elektrik, rumah, kereta, belanja anak anak, dapur dan keperluan isteri. Malam untuk tidur sebelum bangun bekerja. Begitulah aku hidup, statik. Tiada yang menarik”
Azman Hussin dalam catatan awal kumcer memperjelaskan bahawa beliau bukan berhala tuju sebagai sasterawan, beliau hanyalah manusia ‘Pemikir’. 9 cerpen dan 1 bonus tentang alat sulit perempuan jelas memperlihatkan hal tersebut.
Dalam suasana absurd, selalunya hanya ada dua manusia dalam ruang intimasi, penulis menghamburkan segala keresahan manusia. Diwujudkan persoalan tentang eksistensial, keraguan, pemanipulasian, drama akal, tikaian agama, politik dan dominasi, segala yang menjadi praktik manusia dalam perhubungan.
Jelasnya Azman Hussin banyak membaca, maka difiksyenkanlah dialog dalam pernyataan nama nama penulis hebat sebagai sisipan intelektual & laga akal. Begitu juga dengan barisan luahan sinis drama politik tempatan sebagai latar hias penceritaan: Doktor yang sakit, Godaan gadis Yahudi, Candy si mata sepet, Penangan Kanabis, Politik &Kemerdekaan (kilas pandang), Apa kau cari, Sebuah Kehidupan (perspektif hidup di kota), Memilih yang terkuat dan Al faraj (anatomi perempuan)
Penulis banyak memintas sifat sifat anarkis yang tidak membawa bekalan (materi & akal), bersifat sama naik dengan isu yang ditantang. Bolak balik kelakuan saat di bawah sadar dengan perdebatan untuk dinikmati oleh pembaca yang ikut mahu berfikir.
Buku 104 halaman ini hadir secara minimalis. Mudah diselit dalam tas. Hias kulit meragukan sebagai tanda tanya pada pembaca – Apa Kau Cari? Kumcer yang perlu dibaca, kerana ia tidak ralat untuk berkisah tentang kelemahan pemikiran dan tindak tanduk.
“Manusia sibuk mencari ubat untuk fizikalnya yang sakit, walhal segala jenis kuman penyakit membiak dalam jiwa dan fikiran yang menderita, yang resah gelisah diperdaya dunia”