Evolusi sufisme (atau lebih tepat tasawuf) yang sebenarnya bukanlah ranah asing atau baharu dalam agama - seperti sering yang diungkapkan 'dahulu tasawuf ialah realiti tanpa nama tetapi pada masa ini, nama tanpa realiti.'
Banyak yang boleh dipelajari daripada apa yang disorot oleh Geoffroy ini khususnya golongan yang menolak tasawuf atau terpengaruh dengan definisi yang diberikan oleh orientalis dalam sejarah orientalisme meskipun ada beberapa bahagian yang memerlukan kita mengambil sikap berhati-hati terutama dalam melihatnya dalam konteks tracendental of religions.
Buku ini memberikan kita pandangan dari mata burung untuk melihat sejarah evolusi yang bermula daripada realiti tanpa nama pada zaman Rasulullah SAW yang mewariskannya kepada para sahabat sehinggalah ia membentuk suatu disiplin ilmu dan amalan yang binaannya tersusun melalui suatu metodologi yang kemudian dikenali sebagai tariqat.
Dalam reaksi kepada zaman (ahli sufi selalu dianggap sebagai anak zaman), sarjana ini melihatnya dalam dua bentuk yang perlu diberi perhatian oleh kita, iaitu reformasi oleh ahli tasawuf dan tariqat sendiri serta interaksi golongan literalis khususnya Wahabi dan modenis.
Buku ini ternyata boleh menguak pintu pengetahuan kita terhadap makna tasawuf atau sufisme tetapi tentunya jendela yang dibuka oleh pengarang adalah juga mewakili pandangan alam pengarangnya juga.