Buku ini tentang seorang anak manusia yang banyak melakukan kesalahan, dia mahu jadi nabi sosial, mau merubah zamannya dan kesilapan yang lampau. Buku ini bukan tentang intelektual mana pun, tidak ada istilah canggih, bombastik, jargon atau disiplin ilmu, tetapi tentang latar dan persekitaran yang membentuk idea. Buku ini sesuai untuk para pesalah, kaum pendosa yang tersisih, anak yang terbuang, mereka yang tak diiktiraf, mereka yang diasingkan, mereka yang mahu mencari jalan lain, mereka yang rasa tak berdaya mengubah masa depan, akibat kekhilafan yang telah dilakukan. buku ini sesuai untuk mereka yang tercari-cari tujuan hidup atau terpenjara akibat dosa-dosa lama. Buku ini untuk dia yang mahu melompat keluar dari dinding yang menyekat keterbatasannya! Ini adalah sebuah buku semi autobiografi –perjalanan intelektual sarjana acah-acahan, penyajak kurang ajar, aktivis tepi jalan- travelog yang miskin, syarahan latar puisi, sebuah dokumentasi pengakuan kisah benar seorang marhaen biasa merangkap penulis dan penjual buku kecil-kecilan, sebuah rakaman terima kasih dan sedikit penyesalan seorang manusia berdosa. Kita harus menulis sejarah kita sendiri. Kerana kita harus tahu, kita sebagai orang kecil, tiada orang yang akan menulis sejarah kita, melainkan kita sendiri. Terlalu banyak cerita, adalah cerita orang besar, anak raja, tengku mahkota, perdana menteri, ahli politik, ahli perniagaan, ahli syurga. Jika kita tidak menulis sejarah kita, 1000 tahun lagi, jika dunia ini masih ada, manusia masa hadapan hanya tahu tentang kewujudan orang besar. Ini adalah usaha orang kecil, melawan orang besar.
Isnin hari tu aku pergi KL ada urusan sekejap. Ya, memang sekejap saja aku berada di KL dalam 3 jam saja. Turun saja bas aku baru teringat Benz Ali. Ajak dia lepak sambil nak COD buku dia.
Kalau ikutkan buku ni tak ada dalam wishlist aku pun. Baru saja letak lepas dapat buku ni. Tapi alang-alang jumpa dia, order je la yang ni.
Balik dari KL aku tak tahu nak buat apa dalam bas. Pergi KL tu aku tengok cerita dalam phone, 30 minit lepas tu aku tidur. Tapi balik dari KL, aku start baca buku ni dari bas bergerak sampailah bas berhenti di Jengka, Pahang. Separuh buku ni aku habiskan dalam bas. Aku tamat baca dalam sehari.
Buku ni boleh dikatakan antithesis kepada Antithesis. (Jadi sintesis-kah ia?). Apapun, Antithesis bersifat keras, melawan, liar, angkuh. “Mamat ni datang dari mana” — mungkin ini persoalan yang timbul bila somebody baca Antithesis.
Buku seterusnya dan seterusnya sampailah ke Advencer Si Penjual Buku; buku ni lebih bersifat memoir. Memoir yang menelanjangkan diri Benz dari kecil sampailah ke dewasa.
‘Tafsiran’ seseorang adalah relatif. Kau boleh membodohkan seorang Benz lepas baca Antithesis (sekarang tak boleh baca dah, sebab dah diharamkan), tapi Benz saja rasa apa yang dia alami. Kalau benarlah cerita dalam Advencer Si Penjual Buku ni, maksudnya Benz ingin mencari apa yang patut ada dalam dirinya.
Aku baca buku ni; terasa sayu sebenarnya. Benz menulis apa yang yang berkecamuk dalam dirinya. Seperti Ahmad Wahib yang mencari Tuhan melalui diarinya Pergolakan Pemikiran Islam, sama seperti Benz menulis dalam buku ini.
Buku ini banyak menghentam KUIS. Aku tak pasti apa masalah KUIS. Tapi dengar ceritanya KUIS ni banyak islamist sejati. Banyak jugak bersifat travelog terutama di Perlis dan aku tak tahu kenapa kena ada travelog tu. Penulis boleh saja menulis tanpa perlu dikacau oleh negeri Perlis tu. Tapi mungkin juga dia nakkan nuansa Perlis tu, jadinya terhasilah seperti travelog.
Nama-nama yang disebutkan ramai yang aku kenal dan ada sesetengahnya pernah bersua muka. Nama-nama penulis dan pemikir besar sesekali singgah di tinta — mungkin inilah yang banyak mempengaruhi pemikiran seorang Benz Ali.
Buku ini bersifat lembut. Humble. Seorang Benz yang kita kenal keganasan dan kegilaannya, menulis buku dengan tenang. Walaupun ada cacian dan makian dalam buku ini sekalipun, aku anggap buku ini sebuah buku yang sedikit sebangak menjawab persoalan ‘why?’ dalam kalangan peminat atau pembencinya.
Buku genre memoir + travelog. Aku suka dengan idea "orang kecil juga harus menulis tentang dirinya" yang Benz Ali cuba ketengahkan. Bukan niat nak mencari publisiti, tetapi sebagai tanda kenangan dan pembakar semangat untuk terus berusaha melakukan yang lebih baik di kemudian hari. Agak terkejut pada awalnya, bila mana penulis kata dia berasal dari keluarga yang Islamis; baik dari sudut ideologi politik mahupun cara didikan yang diterima. Ex-student KUIS, timbalan amir lagi tu. Dahsyat. Patut la idea yang dia bincangkan pun agak berat; menghentam kepincangan pendidikan agama yang sekadar menghafal dan sebagainya. Tapi sebab hasil penulisan dia amat kontra dari asuhan awalan yang dia terima, aku kagum betul. Ni mungkin penangan dari bacaan karya-karya falsafah sosialisme yang dia banyak telaah kot.
Cuma agak cheezy sikit la part unplanned vacation ke Perlis tu. Mungkin penulis nak berkongsi pengalaman, tapi part Teha tu macam tak perlu kot. Lagi menarik kalau dia boleh ceritakan pengalaman/dapatan survei pasal student/warga kat sana. Atau, dia boleh lontarkan idea; macam mana nak ubah/tarik minat students yang malas baca buku (selain untuk exam) ni jadi seronok dan teruja untuk baca buku, dan kritis dengan bacaan mereka.
5 naskhah buku dalam 7 tahun. Power! Power bukan sebab jumlah buku; tapi sebab 5 buku yang berbeza-beza genre. Ada puisi, ada anekdot, ada novel, sekarang memoir. Apa brand kismis minda dia telan? Nak try jugak la. Kah kah kah.
Setelah membaca beberapa buah buku Benz Ali(bukan semua)... Boleh dikatakan setiap bukunya berlainan jenis. Puisi, anekdot, novel, himpunan artikel. Aku rasa tak jumpa lagi la penulis yang tulis dalam pelbagai jenis buku ni. Buku ni pula tentang pengalaman & pengembaraan hidupnya. Lebih kurang memoir+travelog. Yang menariknya, dia tulis pasal kawan2 & kenalan dia. Ramai juga. Dan perjalanan pemikiran dan pandangannya ada yang berubah, ada yang tetap. Rugi orang biasa tak menulis kisah hidup sendiri. Dan aku pon rasa nak menulis juga ni. Haha.
Advencer si Penjual Buku adalah buku ketiga yang saya baca hasil penulisan Benz Ali selepas Antithesis dan Jalan Kiri Menuju Syurga. Ada dua lagi buku beliau di dalam simpanan saya, Agama & Hegemoni Negara (yang saya baru baca separuh dan berhenti untuk membaca Advencer si Penjual Buku) dan Anticonformity. Ini adalah buku beliau yang pertama saya review, bukan kerana ia lebih baik dari buku-buku yang saya baca sebelumnya, bukan juga buku yang paling saya suka. Tetapi kerana saya mahukan begitu. Resensi (review) ini adalah secara umum sahaja memandangkan buku ini masih baru dipasaran, maka adalah tidak adil kepada pembaca lain (juga penulisnya) jika diceritakan secara terperinci tentang kandungannya. Pada mulanya saya kurang bersetuju dengan tajuk buku ini. ‘Advencer’ bukan Bahasa Melayu, bukan juga tidak ada perkataan Bahasa Melayu yang boleh menerangkan maksudnya. Tetapi mungkin itu bukan isu yang terpenting bagi penulisnya. Rekacorak kulitnya hadapannya cantik, tetapi tulisan pada kulit belakang agak sukar dibaca. Saya agak kurang berkenan dengan kualiti bahan kulit buku, tetapi saya sangat menyukai jenis kertas helaian pada buku ini. Kertasnya nipis, berwarna off-white dan yang paling penting, ia melentur dengan baik apabila buku dibuka lantas memberi keselesaan ketika membaca. Saiz tulisannya agak kecil tetapi jarak (spacing) yang besar mengurangkan kesukaran pembacaan. Buku ini dimulakan dengan Prolog, dimana penulis menceritakan (memperkenalkan) diri beliau yang dahulu serta factor dan pengaruh yang membentuk pemikiran beliau hari ini. Seterusnya buku ini mengadungi 4 bab, diikuti dengan temubual yang pernah dirakamkan di facebook dan beberapa artikel yang pernah ditulis berkenaan diri penulis. Di celah-celahan helaian buku ini disisipkan beberapa coretan puisi yang diangkat dari Koleksi Puisi Masturbasi. Melihat kepada tajuk dan penceritaan serta kata pengantar, saya kategorikan buku ini sebagai autobiografi. Namun ia bukanlah autobiografi yang biasa/tipikal. Penceritaan tidak berkisar tentang kisah hidup dan tidak mengikut kronologi masa. Watak-watak yang dibawakan bukan dari latar keluarga, saudara-mara atau rakan-rakan. Semua watak yang dibawakan adalah mereka yang memberi kesan dan pengaruh terhadap proses penempaan pemikiran beliau serta mereka yang hadir di sepanjang ‘advencer’ beliau mencari tujuan hidup (sic). Buku ini bukanlah berkisah tentang penjual buku yang menjual buku-bukunya, tetapi tentang pemikiran seorang manusia yang di dalam hidupnya ada aktiviti menjual buku, disamping aktiviti-aktiviti lain. Buku ini agak ‘tenang’ gaya penulisannya, berbanding buku-buku beliau yang saya baca sebelum ini, yang menyinga, geram, marah dan kecewa. Penulis merakamkan pemerhatian beliau terhadap peristiwa-peristiwa, perlakuan-perlakuan dan watak-watak di dalam bentuk komentar, ulasan dan kritikan. Beliau tidak terlalu self-centered (atau mungkin tidak kelihatan seperti itu) di dalam ulasan dan kritikan. Sekadar melontarkan komentar/ulasan tanpa berusaha terlalu keras (trying too hard) untuk mempengaruhi atau memaksa pembaca untuk bersetuju dengan pemikiran beliau. Namun tidaklah bermakna saya tidak merasa tercabar dengan penulisan beliau. Penulis juga tidak terlalu asyik meletakkan emosi beliau di dalam penulisan, pembaca bebas meletakkan rasa mereka sendiri ketika melewati sesuatu pengkisahan. Bab awal buku ini menceritakan bagaimana beliau memulakan RepublikBuku, daripada sekadar mencetak semula buku-buku orang lain sehingga Berjaya menerbitkan buku sendiri dan buku-buku penulis lain juga. Begitupun, cerita tentang RepublikBuku hanyalah latar belakang sahaja. Yang lebih menarik di dalam penceritaan ini adalah orang-orang yang beliau jumpai di sepanjang perjalanan tersebut serta idea-idea dan pemikiran yang ditempa hasil dari pergaulan dengan mereka. Bab kedua mengisahkan pengembaraan ke Perlis (saya kira ia lebih kepada pengembaraan rohani kerana secara fizikal, tidak jauh yang boleh dijelajah di Perlis). Bahagian ini disusun secara bersiri ‘Kenapa Perlis Tak Jadi Singapura?’ Sekali pandang, tentulah tidak adil membandingkan Perlis dengan Singapura. Sangat jauh (bukan sahaja jarak km) perbezaan mereka. Pada mulanya saya kira penulis bersatira, tetapi akhirnya beliau berjaya mengakali saya untuk percaya bahawa topik ini layak untuk diangkat di dalam perbincangan yang serius. Bab ketiga memaparkan kritikan penulis terhadap universiti, disusuli bab keempat, kritikan terhadap ‘orang-orang’ agama (agamawan?) samada persendirian atau berinstitusi. Dua perkara ini (university dan agamawan) adalah tidak asing di dalam siri kritikan-kritikan seorang Benz Ali. Secara umumnya saya bersetuju dengan kritikan-kritikan beliau. Saya juga berpendapat, kedua-dua institusi inilah yang sepatutnya paling diambil berat oleh masyarakat, justeru paling hebat dikritik. Masyarakat patut diberi dan mengambil mandat untuk menentukan halatuju dan perlaksanaan di institusi ini. Begitupun, secara khusus, adalah kurang adil untuk menilai semua universiti dan kandungannya menggunakan hanya satu neraca. Sebagai contoh, ada saintis-saintis kita dikenali di peringkat dunia dengan menghasilkan penulisan-penulisan saintifik yang diiktiraf di dalam jurnal yang berimpak tinggi. Hasil kajian saintis kita juga digunakan oleh makmal-makmal sains di luar negara. Kita berjaya menemukan penawar untuk virus nipah. Kita juga menemukan kaedah merawat selsema burung dengan pantas (sebaik sahaja wabak dikesan). Kita juga mempelopori bidang-bidang teknologi tinggi yang setaraf dengan negara maju. Bukan sedikit anugerah yang diterima oleh para penyelidik kita diperingkat antarabangsa. Pusat doping USM menjadi makmal rujukan untuk ujian dadah didalam pertandingan sukan berprestij (komanwel, olimpik dsb). Sekadar beberapa contoh yang saya tahu. Begitupun, saya percaya ‘universiti’ yang penulis maksudkan adalah tempat dimana falsafah, pemikiran dan ideologi-ideologi dikembangkan. Saya tidak ada sebarang bantahan terhadap perkara ini. Membaca Advencer si Penjual Buku memberi satu pengalaman naik-turun emosi yang menarik. Ia mencabar apa yang saya sudahpun tahu untuk dinilai semula. Ia juga membuat saya terpaksa bersetuju dengan perkara yang pada asasnya saya tidak bersetuju. Saya kira buku ini sepatutnya diterbitkan/dibaca sebelum buku-buku lain karangan penulis, agar pembaca lebih memahami maksud dan hala tuju penulisan beliau. Buku ini sesuai (perlu) dibaca oleh sesiapa sahaja yang sedang mencari, yang telah menjumpai tetapi tidak pasti, yang telah menjumpai dan pasti tetapi perlu muhasabah. Tidak ada sempadan umur untuk pembaca buku ini kerana umur tidak mesti berkadar dengan pemikiran. Sekadar peringatan/panduan; buku ini tidak sesuai untuk mereka yang berfikiran literal.
Walaupun genre-nya semiautobiografi, tetapi kau takkan dapat kenal Benz Ali sepenuhnya hanya melalui buku ini.
Cuma, buku ini sangat-sangat merancakkan fikiran. Kau tahulah, Benz Ali. Fikir sudah jadi nama tengahnya, maka membacanya bukunya juga akan buat kau fikir banyak perkara.
Aku sudah dapat kenal sedikit latar belakang beliau - asalnya, pendidikannya, statusnya.
Ada dua perkara yang paling menarik dalam buku ini.
Satu, tentang 2L - love and lust.
Tak pernah terfikir aku akan belajar tentang cinta dengan orang macam Benz, haha. Tapi ideanya menarik dan segar. Dua L ini jika berjaya kau bezakan, kau dapat jalani pelayaran cinta kau dengan lebih baik.
Dua, tentang percaya.
Kata Benz, percaya tak perlu bukti. Benar.
Hari tu aku cakap pada audiens program Orator Talk tentang kepercayaan yang arwah rakan aku berikan pada aku ketika mula-mula terlibat dengan debat. Dan aku sedar sekarang, percaya dia tak perlu bukti,, tak perlu hujah. Macam percaya kita pada Tuhan.
Stok masih ada. Kalau berminat silalah beli.
P/s : siapa yang mahu pinjam juga boleh roger aku.
Buku mencari diri. Buku pertama dari penulis yang saya selami.
Seperti kebiasaannya, cara saya 'berkenalan' dengan seseorang penulis itu, dengan membaca buku biografi / memoir / catatan peribadi mereka yang pertamanya, bukannya dengan buku yang paling popular mereka.
Dari kisah diri mereka sendiri ini kita boleh cuba mengenali & menyelami cara penulisan mereka, gagasan pemikiran mereka, serta idea kasar mereka dalam menghasilkan karya-karya besar mereka, sama ada fiksyen mahupun bukan selama ini. Buku terlaris & terpanas mereka belum tentu menceritakan perihal sebenar diri mereka. Jika buku mengenai diri mereka sendiri, itu ya.
Benz Ali ini, pasti merupakan satu susuk tubuh yang menarik dari pengamatan peribadi saya. 2 perkara yang kami kongsi bersama. Sama-sama peniaga, sama-sama juga peminat buku.
Tidak dinafikan, fasa awal remaja dalam mencari diri, mencari makna hidup, menjadi diri sendiri, selalunya merupakan fasa yang paling besar dalam sebuah kehidupan. Anda ingin mengubah dunia dengan tangan sendiri. Banyak perkara yang anda ingin wujudkan. Banyak benda yang anda ingin cabar. Semuanya tidak kena. Semuanya tidak sehaluan. Semuanya salah. Perlukan perubahan.
Itulah remaja. Saya pasti semua pernah melaluinya.
Namun selepas beberapa tahun sejak buku ini dikeluarkan, seiring dengan kedewasaan & kematangan beliau, semoga penulis sudah menjumpai apa yang dicarinya selama ini.
Seronok juga kalau dapat bersemuka satu hari nanti. Boleh ditanya sendiri pada empunya diri;
"Anda masih orang yang sama seperti di dalam buku ini Benz? Masih tetap bersemangat, masih tetap rebel seperti biasanya?"
Advencer Si Penjual Buku. Benz Ali. Republik Buku. 2017.
1) Ini satu-satunya buku yang aku beli untuk diri sendiri di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Sebenarnya, dah lama usha buku ni tapi, kat kedai buku takde dijual.
2) Buku kedua yang aku baca setakat ni daripada tulisan Benz Ali. Buku pertama yang aku baca haritu, Antithesis.
3) Buku ini setebal 301 mukasurat. Mengandungi 4 buah bab ditambah dengan lampiran temubual, artikel dari suratkhabar & blog.
4) Tengok tajuk buku ni. Advencer (baca:adventure), yang pada fahaman aku, adventure tu bermaksud perjalanan, pengalaman @ pengembaraan.
5) Ya, di dalam buku ini, Benz Ali menceritakan perjalanan hidup dia daripada kecil sehingga la dia drop out daripada KUIS. Selepas drop out tu dia ada buat macam-macam. Kerja dengan orang, mengembara, menjual buku dan pastinya melawan.
6) Biasalah, darah muda memang cepat menggelegak. Benz Ali membawa idea-idea yang luar daripada kebiasaan dan agak radikal serta berhaluan kiri. Namun, bukan semua idea tu perlu ditolak. Ada juga idea yang kita boleh ambil, tapis dan laksanakan.
7) Benz Ali ni anti-conformist. Yang bermaksud, dia tak sukakan sesuatu yang senang. Menurut Benz Ali, keselesaan itu membunuh.
8) Di dalam buku ini, Benz Ali mengkritik universiti, mahasiswa dan macam-macam lagi la. Kau boleh baca sendiri buku ini.
9) Nak bagitahu, tulisan dalam buku ini agak kecil. Hahahahaha..
Disebabkan aku obses gila dgn buku Antithesis, aku start stalk Benz Ali kt Facebook almost everyday. Disbbkan terlebih obses, aku memilih utk beli buku ni at pbakl2018 sbb dngr2 ada citer sikit psl background penulis.
Buku ni semi-biografi/travelog.
However, I have to say, buku ni agak depressing sebenarnya. Sbb penulisan author mcm agak pessimistic and life dia pon bunyi mcm sad. Kdg2 it's too much smpai aku kena pause kejap supaya depressionnya x brjangkit ngan aku. lulz.
It's nice to know how your favorite author became the writer he is today. Tapi sebenarnya rasa agak tragis yg he turned out this way even after a life full of Islamic-based education. Possibly because of that type of education, dia jd camni.
Sbnrnya dia sedikit sbnyk mengingatkan aku psl kwn aku yg sorg ni yg juga pernah bersekolah agama, and dngr dri citernya, bunyi mcm pemerintahan kuku besi. sngt strict, not to mention aku rasa kegagalan para asatizah di sekolah trsebut utk mendidik pljr2nya dgn betul telah melahirkan beberapa lelaki yg agak misogynistic.
Catatan Benz Ali ini membuatkan aku terfikir, apakah aku ini sudah cukup masak dalam hidup ini? Atau aku belum melakar sebuah kehidupan bermakna.
Melawan itu dicorak atas kesedaran diri, kesedaran bahawa masharakat marhaen itu perlu dibela, sekolah itu tempat membina diri bukan tempat di'petak'kan dengan pemikiran guru yang lemah dan lesu, universiti itu tempat idea, bukannya tempat uda dan dara bercinta sebelum ke alam kerja. Pengangkutan awam, ruang acara untuk seni dan anak muda itu harus dibawa dan disuara. Bukan sekadar dijadikan manifesto ketika pilihanraya.
Dari seorang anak asuhan pondok menjadi manusia rebel, melawan pembodohan dengan tulisan dan kata kata puisi yang pedas dan tajam.
Cerita hidup Benz Ali ini cukup asam garamnya, geram, suka, duka, sedih, kritik dan kreatif. Bagi aku ini sosok anak muda yang berani dan patut diteladani. Buku ini terasa begitu dekat pembaca dengan gaya bahasa santai.
Benz Ali, Terima Kasih atas semua idea, pandangan dan nasihat mu.
Aku tak pandai nak buat ayat bunga² untuk review jadi aku ambil potongan ayat dari Xifu Naser : " Benz adalah pemuda yang rajin membaca dan berfikir. Bukan sekadar membaca,tetapi berfikir. Bukan sekadar berfikir,tetapi membaca. Bukan sekadar membaca dan berfikir tetapi mencabar ".
Ini buku ke Benz yang ke 4 aku pernah baca. Aku mungkin hanya mengenali Benz melalui tulisan² dia sahaja, dan aku cukup hairan dengan manusia² yang begitu cepat menghukum tanpa cuba mendekati atau mengenali siapa Benz sebenarnya. Tidak semua idea yang dilontarkan oleh Benz dapat aku hadam tetapi aku respect dan kagum dengan sifat dia yang suka membaca dan berfikir.
Cuma satu je yang buat aku agak tidak selesa, saiz dan jenis font yang digunakan agak tidak memuaskan.
Ada juga hujah Benz yang saya kira sangat paradoks dengan praxis beliau sendiri, contohnya beliau menyebut “tidak ada perubahan yang terlahir di dunia hasil maki memaki dalam Facebook”. Pernyataan ini saya lihat sangat kontradik dengan status-status harian Benz Ali di Facebook. Walaupun peringkat awal buku ini pembacaan agak tenteram dengan nada penceritaan, semangat perlawanan dengan nada agresif seperti Antithesis muncul juga di helaian-helaian belakang apabila beliau mengkritik mahasiswa dan universiti. Saya tidak bersetuju dengan kenyataan bahawa “jika kau berniat bahawa kau masuk ke universiti untuk menuntut ilmu. Sama ada kau slow atau kau pura-pura...”. Ya benar universiti banyak kelemahan, dan ada segelintir yang menganggapnya sebagai medan transisi ke alam pekerjaan. Tetapi ini adalah generalisasi yang terlampau luas, ada sahaja manusia yang ke universiti memang dengan hati yang mencintai ilmu. Buku ini juga saya kira punya pengulangan isi yang sama, contohnya cerita tentang Abdul Rauf Baharuddin. Juga ketika beliau menulis bahawa “aku lebih kepada mengikut apa yang disuruh, apa saja yang didengar, apa saja yang diajar, apa saja yang dibaca, tanpa kompromi. Dan gigit dengan geraham”, kenyataan ini kedengaran begitu kontradik sekali dengan idea beliau sendiri bahawa kita perlu mempersoal dan melawan.
Apa pun buku ini sangat enak dibaca, terutamanya bab-bab awal perihal bagaimana Benz Ali meriwayatkan kisah hidupnya, disitu kita dapat memahami bagaimana seorang Amir Hamzah di deconstruct dan kemudian di construct semula menjadi Benz Ali yang melahirkan Antithesis. Ia memberi perspektif untuk kita memahami kisah disebalik buku kontroversi Antithesis. Kritik-kritik beliau juga tajam seperti biasa, cuma mungkin ada beberapa paradoks dan kontradiksi.
Pada thesis yang ke-11 di dalam Theses on Feuerbach Karl Marx menulis “Die Philosophen haben die Welt nur verschieden interpretiert; es kommt aber darauf an, sie zu verändern” yang bermaksud bahawa ahli falsafah hanya mentafsir dunia dalam pelbagai cara, namun, apa yang perlu dilakukan adalah mengubah dunia. Dalam kritik Benz Ali mungkin boleh kita katakan bahawa pengkritik boleh mengkritik dunia dalam pelbagai cara, namun, apa yang diperlukan adalah kritikan ini boleh diaplikasikan untuk mengubah dunia.
Buku penulisan selepas buku Antithesis. Buku ini lebih teperinci berbanding buku yang sebelumnya. Penulisannya lebih mendalam sedikit berbanding buku yang sebelumnya juga. Sedikit tentang latar belakang penulis dan perjalanan hidup beliau.
Ada beberapa aspek yang ditekan oleh penulis. Benda yang menarik minat aku jugak seperti Universiti ini ibarat "Penjara" atau "Kilang" dan kemampuan kau hanya terbatas disitu sahaja melainkan mahasiswa atau mahasiswi itu sedar dan mempunyai pemikiran kritis serta mempunyai kemahiran lain selain bidang diambil.
Walaubagaimana pun, buku ini sangat menarik dari sebelum dan berbaloi untuk dibaca berkali kali jika perlu.
Membaca 13 ulasan (di Goodreads) tentang Advencer membuatkan aku terharu. Belum lagi ulasan di tempat-tempat lain. Terasa hendak memberikan sampai ke 5 bintang. Tapi cukuplah hanya 4.
Advencer lebih tegak dan tegap berbanding karya-karyaku yang lain. Yang hampir menghampiri filosofikal dan ketegangan yang agak sama -juga ketidakpopularitian- adalah Masturbasi diikuti Jalan Kiri yang bersilih ganti kedudukannya dengan Agama & Hegemoni Negara, Khutbah Alternatif, M.A.H.A.T.H.I.R, barulah Antithesis dan Anticonformity (aku masih menelaahnya). Jadi susunan karya-karya tidaklah dibuat berdasarkan kepopularitian (baik apa sebab pun) mahupun jumlah vol cetakan. Ia dibuat berdasarkan perasaan -deep down- terdalam mengenang perjalanan dan kegoncangan pemikiran selama ini.
Apa yang tertulis dalam Advencer sedikit sebanyak melondehkan segala aib si penulis yang tersangatlah kurang sama sekali. Buku karangan bernada semiautobiografi-melankolik itu hanyalah merekodkan catatan hidup sebagai anak manusia selama kurang lebih 30 tahun. Dan kemungkinan besar ianya tidak akan dicetak lagi ketika tahun 2021. Buat masa ini, jumlah cetakan hanyalah 200 naskhah sahaja. Dan dalam proses percetakan untuk naskhah yang ke-300 sempena PBAKL2019. Jadi beruntunglah pada barangsiapa yang mendapatkannya. Ia boleh dijual, dicetak semula atau dibakar. Tiada masalah.
Segala kata-kataku tentang Advencer telah dirakamkan dalam Advencer. Maka tiada kata apa, selain, teruskan mencari, jangan berhenti, dan jangan terlalu pasti. Terima kasih sekali lagi, dan ampun maaf kupinta pada segala yang terasa hati.
xxx Sekali lagi membaca buku Advencer, merenung semula kesilapan-kesilapan yang dilakukan sepanjang penulisan buku ini. Tetapi akhirnya menerima bahawa itulah 'buku catatan' penulis. Di awalnya bernada pesimistik dan di akhir-akhirnya semakin tajam dengan kritikan. Moga ia memberi erti atau sesuatu kepada yang membaca dari awal sehingga akhir. Terima kasih semua :)
Buku ini aku dapatkan terus dari Benz, sebab memang tiada dijual di luar rasanya. Rasanyalah.
Sebuah tulisan autobiografi yang bukan seperti suapan autobiografi lain yang ada di pasaran. Jujurnya, aku agak terkejut dengan laras bahasa dan nada penulisan yang agak lembut dari buku-buku beliau yang sebelum ini.
Tapi, mungkin itulah yang diperlukan pun dalam menulis autobiografi, emosi yang terlibat mungkin pelbagai, sesuai mengikut latar masa yang mendampingi cerita-cerita dalamnya.
Selain dari penceritaan kisah hidup dari kecil, zaman sekolah rendah dan menengah, kolej, perjalanan ke Perlis, pembantaian terhadap agamawan dan universiti tetap ada.
Sebuah penulisan yang sedikit lembut, merendah diri dan menampakkan sisi berbeza Benz Ali.
Penulis yang mempunyai keberanian semacam ini sangat jarang ada di kalangan anak-anak muda. Aku harap Benz Ali takkan berhenti. Sampai bila-bila.
Lepas ni Benz dah tak payah nak cerita pasal kisah hidup dia sebab dah ada buku ni. Bagi aku, penat juga bila orang tanya, macam mana boleh jadi sampai macam ni. Lebih baik bukukan, dan Benz jimat masa dan boleh dapat untung bila ada orang beli.
Kisah Benz dari kecil sampai besar. Kemudiannya adalah dia selitkan apa dia fikirkan semasa dia mengembara.