Ketika khilaf dan perbalahan golongan agama memuncak sehingga menggugat keharmonian masyarakat awam, buku ini cuba mengutarakan pendekatan Iebih harmoni mengenai beberapa persoalan teras seperti ijtihad, taklid, kepatuhan kepada sunnah (ittiba’ al-sunnah), punca berlaku khilaf ulama, kemunculan mazhab fiqh dan hukum beriltizam dengannya, yang sering menjadi perselisihan antara aliran Syafi’iyyah dan Salafiyyah. Pertembungan antara kedua-duanya daripada segi idealisme, metodologi berfikir dan hujah intelektual sentiasa menatijahkan impak kepada masyarakat awam daripada segi amali. Ilmu fiqh dan usul fiqh yang mengkoordinasi sumber al-Quran dan sunnah dalam suatu kesepaduan hukum Islam, sepatutnya mengangkat tahap kesarjanaan ilmuannya. Malangnya `orang pengajian Islam’ masa kini hanya menjadi pakar konflik dalam isu hukum yang tidak dinamik. Justeru, buku ini adalah satu pintu kecil untuk para pembaca awam menjejak pengetahuan tentang disiplin syariah dan hukum Islam yang teramat luas cakupannya. Konsep-konsep syariah yang sukar difahami, telah diwacanakan dalam gaya penyampaian yang mudah dan ringkas. Mensarjanakan pembaca awam dengan pengetahuan prinsip-prinsip syariah adalah solusi meminimumkan konflik tersebut. Buku ini juga percaya hanya pendekatan sederhana (wasatiyyah) berjaya membina suasana yang kondusif bagi mempraktikkan hukum syarak di Malaysia.
Buku ini ditulis dengan maksud untuk 'mengharmonikan' atau mungkin lebih tepat mencari pandangan yang boleh meredakan kekeliruan orang awam hasil daripada keghairahan satu pihak menjadikan pandangannya sebagai satu-satunya berada dalam lingkungan kebenaran dengan menggunakan cara pandang yang cenderung literal dan keras, manakala satu pihak lagi yang cuba mempertahankan pandangan yang sudah diterima dalam tradisi ilmu khususnya fiqh tetapi dengan kaedah yang juga lantang.
Kedua-dua golongan ini bukanlah berada pada posisi yang sama, iaitu kelompok literalis yang menggunakan dan/atau dilemparkan dengan pelbagai label daripada salafi, neo-salafi dan psedo-salafi serta Wahabi hinggalah ahli sunnah, ahli hadis, ansar as-sunnah dan sebagainya yang sememangnya sering menculik pandangan dalam ranah khilaf fiqh dan membawanya kepada ruang akidah yang sangat fatal akibatnya kepada ummah. Pada satu pihak lagi adalah golongan yang mempertahankan mazhab khususnya mazhab Syafie yang sudah diterima bukan saja dalam konteks tradisi ilmu itu sendiri, bahkan secara sejarawi menjadi mazhab utama di alam Melayu tetapi cara dan kaedah yang digunakan untuk mempertahankannya mungkin dianggap sedikit keras oleh pengarang.
Sebahagian tulisan dalam karya Dr Mohd Hapiz Mahaiyadin ini sudahpun diangkat menjadi status di media sosialnya atau mungkin ia berangkat daripada status berkenaan. Bagaimanapun, pandangan yang diberikan oleh pengarang sangat berguna khususnya kepada orang awam yang dapat membantu mereka ke arah kefahaman yang benar dalam konteks khilaf dan ikhtilaf yang sebenarnya tidaklah asing kepada penuntut ilmu.
Sebagaimana buku yang membincangkan persoalan terbabit, buku ini turut menyusur apa yang dipanggil ilmu tarikh tasyrie' atau sejarah perundangan Islam untuk memahami mengapa berlaku khilaf dan muncul mazhab fiqh. Ini kerana perbezaan dan perselisihan pandangan bukan berlaku hanya pada zaman imam bertaraf mujtahid mutlak, iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad bin Hanbal, sebaliknya sudah berlaku pada zaman Rasulullah SAW, malah al-Quran dan sunnah sendiri membuka ruang kepada perbezaan berkenaan.
Buku ini wajar dijadikan bacaan oleh masyarakat awam kerana ia ditulis dengan bahasa yang mudah dan disampaikan dengan gaya bahasa yang cenderung memilih untuk bertolak-ansur.
'Ini Mazhabku: Bagaimana Saya Beriltizam Dengan Mazhab (?)' tulisan Dr. Mohd Hapiz Mahaiyadin adalah buku yang mengetengahkan keperluan bermazhab dengan membawakan isu tuntas yang timbul dalam masyarakat.
Penulis membuktikan perihal pentingnya berinteraksi dengan perbezaan pandangan dan memberi penekanan pada kaedah berguru dengan guru yang 'alim dalam bidang berkaitan.
'Blurb' kulit buku ini mencatatkan pandangan Sheikh Said Hawwa tentang kelayakan pembicara memandangkan ramai pendakwah 'sudah berfatwa seperti mufti' yang akhirnya menimbulkan polemik.
Topik dalam buku ini dicerakin dan disampaikan melalui wacana sosial yang mudah digambarkan oleh pembaca yang hanya mengikuti isu melalui massa. Gaya penulisan akademik masih dikekalkan misalnya memberi kredit pada setiap rujukan.
Sebuah buku yg mesti dibaca oleh para agamawan khusunya golongan muda yg berdarah panas & mudah melenting terhadap sesuatu isu.
Buku ini telah mengubah perspekfif saya dlm melihat sesuatu khilaf atau permasalahan yg berlaku. Walaupun kebenaran itu adalah suatu perkara yg penting, namun ada yg lebih penting lagi iaitu kesatuan umat Islam.
Buku ini secara rumusnya mengajarkan kita bagaimana menghadapi sesuatu khilaf dalam agama & kepentingan bermazhab.