Membaca naskah ini semasa hati sedang rusuh, fikiran bercelaru dengan masalah peribadi, dan tekanan akademik. Saya tutup nota kuliah dan saya fikir nak cari sesuatu untuk lapangkan dada. Maka saya gapai buku ini yang baru dibeli.
Tanpa sedar saya terus menikmati sehelai demi sehelai buku ini. Naskah ini bukan travelog, tapi lebih kepada perkongsian pandangan dan perasaan seorang perempuan, kepada perempuan.
Antara semua bahagian buku ini, saya seakan 'tenggelam' pada bahagian terakhir : Warkah Buat Perempuan.
Penulis bukan kakak saya, atau seseorang yang saya pernah bertemu secara bertentang mata. Tapi saya baca surat-surat ini seolah-olah saya menerima titipan warkah dari kakak kandung, yang jauh di mata, yang terpisah antara benua.
Hati saya seakan terpujuk apabila membaca satu perenggan tentang definisi cinta. Cintailah diri sendiri, wahai perempuan!
Dan, satu persoalan yang bermain-main dalam kepala saya setelah mengkhatamkan naskah ini, sebenarnya, menjadi perempuan itu, harusnya bagaimana? Apa ertinya?
Saya kira, setiap perempuan, punya nilai dan definisi sendiri, terhadap persoalan ini.
Ah, nampaknya saya perlu mengulang baca semula naskah ini lagi. Mungkin pada waktu emosi saya stabil dan fikiran saya lapang...