Novel Fixi pertama yang saya baca. Satu sisi yang berbeza jika hendak dibandingkan dengan bahan bacaan picisan kegemaran saya sebelum ini iaitu novel. Garapan dari Sham Hashim dan Julie Anne ini benar- benar berbeza daripada penulis novel biasa.
Jika anda seorang yang amat mementingkan laras bahasa yang betul, anda tidak digalakkan untuk membaca novel- novel Fixi.
Pada mulanya agak terkejut dengan isi dalam LICIK ini kerana sebelum ini dibiasakan dengan novel biasa yang mementingkan bahasa. Novel Fixi, bahasanya santai, tidak skema, malahan ada yang kasar, tak ada tapisan (yang mana buruk itu pejamkan mata dan hati sahaja ya), ejaan apatah lagi. Ah, nama lagi Fixi.
Okey berbalik kepada kisah LICIK. Satu kisah, dua orang penulis. Bagi saya, kisah ini menarik. Tiga jam sahaja masa untuk menghabiskan sehingga ke muka surat terakhir. Penuh dengan kelicikan. Licik mencari mangsa untuk dijerat. Targetnya, orang- orang yang berpoket tebal. Penuh dengan unsur saspen. Penuh dengan dendam. Penuh dengan kebodohan. Sangat beremosi tika saya membacanya. Geram dengan Alias, geram dengan Sadik, geram dengan watak- watak jahat. Watak- watak yang ada dalam kisah ini juga dikaitkan dengan episod pembunuhan pada masa lampau. Sadik, Khairi, dua- dua bekas pembunuh tanpa rela. Alias, si lelaki yang kotor, terlampau licik!
Alias-Fira-Sadik. Mahu ditumbuk-tumbuk sahaja mereka ini. Benar- benar licik! Penulis juga menyelitkan unsur sinis terhadap dunia politik. Tan Sri Ehsii Mizan dengan bisnes gelang magnet itu seakan- akan sama dengan di alam realiti.
Dan saya perasan satu benda, Fira bila di rumah, memasak masakan Melayu. Bila makan di luar, Fira makan makanan barat. Oh lupa! Salah satu cara untuk menunjukkan bahawa lakonan Fira menjadi.
Di awal pertemuan antara Fira dengan Sadik, saya dapat teka Fira bakal jatuh ke tangan Sadik. Kerana Sadik juga datang dari cara yang sama. Penipuan identiti. Baru buku bertemu dengan ruas.
Di akhir- akhir cerita, penulis berjaya membuatkan saya menukar perasaan dari geram kepada simpati terhadap Fira. Bagai separuh mati nak melepaskan Sadik dari cengkaman Darren, konon-kononnya. Tapi Sadik itu licik! Sadik licik, Fira dua kali licik! Gila. Memang gila. Tak akan disangka jalan ceritanya begini.
Target baru, mengumpul novel- novel Fixi lagi banyak.