Sebagai seorang ustaz yang mendapat pendidikan dari Universiti al-Azhar, dia berazam agar nafsu natiqahnya akan menunggangi nafsu nasamah. Dia mesti jujur. Dia mesti lurus. dia meesti benar dalam kata-kata, dalam niat dan dalam perbuatan. Demikian kejap keazaman itu tertanam di dalam sanubarinya sehingalah dia berdepan dengan ujian apabila mahu menyelamatkan keluarga Datuk Jalal Akbar jangan sampai digilis oleh mata benda dunia. Pada hakikatnya dia mahu mengislamkan sebuah keluarga yang sudah menyimpang dari keimanan dan ketakwaan.
Sesungguhnya dia adalah manusia tulen. Berdarah, berdaging, bergelumang dengan emosi dan berperasaan. Apabila dia dapat menjinakkan gadis kijang emas - anak Datuk Jalal Akbar - tiba-tiba perasaan cinta kepada gadis itu bermain-main dalam dirinya sehingga memukul fikiran kritisnya. Dapatkah dia keluar dari labyrinth yang menjerat dan mengepung dirinya?
Ustaz memotretkan sebuah kisah cinta yang murni. Walaupun tersilau dengan kecantikan, keindahan budi bicara dan kebendaan, namun tidak sampai pula mengetepikan hukum-hakam Islam agar senantiasa memelihara keimanan dan ketakwaan.
Dilahirkan sebagai Syed Othman bin Syed Omar (al-Yahya) pada 13 November 1938, di Tebing Tinggi, Kemumin, Kota Bharu, Kelantan.
Beliau berkelulusan Sarjana Muda Sastera (1979) dan Sarjana Sastera (1982/83) dari Universiti Sains Malaysia. Kemudian pada tahun 1994/95 beliau memperoleh Ph.D dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Setelah lulus Ijazah Sarjana, S. Othman berkhidmat dengan Universiti Sains Malaysia selama dua tahun. Mulai tahun 1983, beliau berkhidmat di Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai pensyarah di fakulti Pendidikan/ ATMA. Jawatan terakhirnya yang disandang ialah profesor madya hingga beliau bersara pada tahun 1997. Kemudian beliau berkhidmat sebagai pensyarah kontrak di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya (1997-1999).
S. Othman Kelantan aktif menulis puisi, cerpen, novel serta esei/kritikan. Beliau gemar meneroka persoalan yang mencakupi soal-soal kemasyarakatan, politik, agama, dan falsafah. Novel yang dihasilkannya ialah 12 buah novel dewasa dan empat buah novel remaja. Antaranya ialah Pengertian (1966), Pertentangan (1967), Angin Timur Laut (1969), Perjudian (1973), Juara (1976), Perwira (1980), Ruang Perjalanan (1989), Wajah Seorang Wanita (1990), Ustaz (1991), Nagogho Astana (1997), dan Orang Kota Bharu (2003). Beliau juga menghasilkan lima buah antologi cerpen persendirian. Selain menulis cerpen dan novel, S. Othman Kelantan turut menghasilkan esei dan kertas-kertas kerja untuk beberapa pertemuan penulis baik pada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
Beliau pernah menjadi Ketua Satu Persatuan Penulis Kelantan (PPK) (1973-1976), Persatuan Penulis Nasional, Penasihat PPK, dan Penasihat Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (Puspa). Kesungguhannya menghasilkan karya dan mengabdikan dirinya dalam ujana kesusasteraan mewajarkan beliau dipilih untuk menerima hadiah seperti Hadiah Peraduan Mengarang Novel DBP 1962, Pelangi (sagu hati), Hadiah Sastera Malaysia 1972, 1973, 1974 (cerpen) dan 1984 (esei), S.E.A. Write Awards (1990), Pingat Bakti (PB) oleh DYMM Sultan Kelantan (1973), Pingat Ahli Mangku Negara (A.M.N.) oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong (1974), Anugerah Tokoh Sastera Negeri Kelantan (2003), dan Anugerah Sastera Negara (2003). (Sumber: Dewan Bahasa dan Pustaka)
Saya tidak pasti sama ada novel Ustaz karya S. Othman Kelantan ini memberikan subliminal idea untuk saya pada kira-kira sedekad kemudian melanjutkan pengajian ke Universiti al-Azhar untuk menjadi 'ustaz' (sebelum filem The Paper barangkali memberikan subliminal idea untuk saya terjun ke dunia kewartawanan!).
Bagaimanapun, novel Ustaz yang berlegar -sudah tentu, siapa lagi!- seorang ustaz muda yang mengajar al-Quran dan fardu ain kepada sebuah keluarga hartawan khususnya anak gadisnya memang memberikan satu sorotan kepada konsep cinta yang murni, sebelum novel mutakhir lahir dengan judul-judul ustaz.
Memang, akan ada ketidaksempurnaan cinta dan soleh seperti yang terkandung dalam novel ini tetapi ia bukanlah menunjukkan kekurangan kepada definisi dan makna sebenarnya, kecuali kelemahan yang ditampilkan pada watak manusia dalam menterjemahkan makna berkenaan dalam kehidupan real.
Kepada peminat novel mutakhir yang mengenakan judul ustaz, saya kira novel Sasterawan Negara (SN) kita ini wajar dijadikan bacaan awal untuk mengimbangi nilai-nilai moden dan komersial yang ditampilkan dalam karya yang ada itu.
Ujian itu didatangkan berdasarkan kadar ilmu dan iman seseorang. Semakin tinggi ilmu dan iman seseorang, maka makin besar ujian yang bakal dihadapinya. Salah satu ujian yang telah mencatatkan sejarah dunia adalah perempuan.
Tajuk: Ustaz Penulis: S. Othman Kelantan Penerbit: Nusa Centre Tahun terbit: 2021
Terbitan asal: Citra Pub., 1991
Tarikh beli: 11 Jun 2022 (reruai Nusa Centre, PBAKL 2022) Tarikh mula baca: 14 Ogos 2023 (12.30pm) Tarikh tamat baca: 14 Ogos 2023 (10.20pm)
‼️‼️‼️SPOILERT ALERT DI BAHAGIAN BAWAH SEKALI. SILA BACA DENGAN PERLAHAN DAN BERHENTI PADA "Akhir cerita, ... " SAHAJA‼️‼️‼️
Wah! Novel-novel lama memang kebanyakannya panjang ya satu-satu perenggan tu! Namun, tetaplah harus baca dengan cermat. Seterusnya, bab awal lebih menekankan monolog gejolak dalaman Ustaz Saifuddin sendiri. Monolog ini membuka lembaran cerita dengan persoalan-persoalan yang tersendiri.
Ustaz Saifuddin: Mengajar Siti Nuriza dan adik-adiknya mengaji di rumah Datuk Jalal Akbar dan Datin Sarinah, tidak semudah disangka. Walaupun Siti Nuriza berpakaian agak terbuka, namun Saifuddin nekad bahawa kehadirannya di situ hanyalah sebagai pendakwah kepada keluarga Datuk Jalal Akbar.
Siti Nuriza: Mendengarkan seorang ustaz akan mengajar dia dan adik-beradiknya mengaji dan hukum-hakam, yang terlintas di fikiran, hanyalah seorang ustaz yang tua dan buncit. Namun, salah sama sekali. Ustaz Saifuddin yang datang begitu segak, muda dan tampan, masih bujang lagi.
Bermulalah segala gejolak dalaman pada diri Situ Nuriza dan Saifuddin, seorang lulusan Universiti Al-Azhar sepanjang tempoh mengajar. Ya, hanya gejolak dalaman. Siti Nuriza semakin lama, semakin baik perilakunya, lebih tertib bicaranya. Hal ini membuatkan ibunya ingin menjodohkannya dengan sepupu mereka, Kamalul, seorang pemuda lulusan Sains Polimer dari luar negara yang telah lama kenal dengan Siti Nuriza sejak sekian lama dulu.
Antara Saifuddin dan Kamalul, siapa agaknya yang bertakhta di hati Siti Nuriza?
Dari awal ke penghujung, cerita dipacu dengan sangat menarik. Monolog dalaman dan gejolak perasaan digambarkan dengan sangat jelas dan penuh perasaan. Dialog memang agak sedikit, namun yang sedikit itu begitu utuh menguatkan segala jalan cerita.
Penceritaan pada beberapa bab yang menumpukan sesuatu watak sangat berkesan dalam membangkitkan cerita daripada pandangan watak-watak sampingan yang penting. Ia membuatkan pembaca lebih memahami letak duduk cerita ini dengan lebih mendalam.
Perbincangan watak-watak dewasa dalam menceritakan ilmu dunia dan akhirat nampak matang dan tidak dipaksa-paksa. Begitu juga babak ceramah, diselitkan sesuai dengan jalan cerita dan sangat berkesan. Watak adik-adik Siti Nuriza juga diangkat secara wajar, persis seorang remaja dan tidak keterlaluan.
Akhir cerita, jelas mengenai mesej yang ingin dibawa oleh penulis, tentang peri pentingnya seorang ustaz dalam menjaga diri, jauh lebih hebat lagi dari orang awam.
‼️‼️‼️SPOILERT ALERT DI BAWAH. TERUSKAN PEMBACAAN ATAS RISIKO SENDIRI ‼️‼️‼️
Mengapa dari awal Siti Nuriza berubah sedikit demi sedikit menjadi lebih baik, namun akhir ceritanya dia boleh berpakaian sedemikian rupa? Lupakah dia pada segala didikan Ustaz Saifuddin? Sedih jugaklah.
Aku ada pendapat sendiri, jika sekiranya Siti Nuriza berjumpa dengan Saifuddin pada malam akhir berkenaan dengan memakai pakaian yang menutup aurat, adakah kesudahan cerita ini boleh jadi berbeza?