Buku ini adalah sebuah daripada trilogi novel Saga Artakusiad yang kisahnya bersambung-sambung. Persoalan asas trilogi ini membicarakan persoalan kepimpinan dan kekuatan seseorang pahlawan atau kaum mempertahankan maruah, visi dan perpaduan kaumnya daripada gugatan kaum lain. Persoalan itu disorot dan dicerna dengan kemas, realistis, hidup dan menyakinkan. Persoalan dan tema yang disentuh menjadi lebih berkesan dengan kebijaksanaan penulis membina watak-watak yang hidup, melalui gambaran latar dan cara yang kreatif dan artistik. Pendekatan dan teknik penceritaan novel ini adalah asli, tersendiri, mudah difahami dan bersesuaian dengan persoalan dan mesej cerita fantasi yang ingin disampaikan. Dalam penggunaan gaya bahasa ternyata penulis punya cara gaya tersendiri, punya nilai-nilai keindahan dan estetika yang memberikan pengalaman baru kepada pembaca khususnya golongan remaja.
Ahmad Patria Abdullah ialah seorang penulis fiksyen sains dan fantasi yang terkenal di Malaysia. Beliau merupakan anak sulung kepada Sasterawan Negara Datuk Haji Abdullah Hussain dan Datin Siti Saroja Basri. Beliau dianggap sebagai pengasas genre fantasi di Malaysia menerusi novel pertamanya "Permata Aurorius" pada tahun 1987, yang terpilih sebagai Buku Terbaik 1987 dalam kategori Penulis Harapan oleh Majlis Kemajuan Buku Kebangsaan Malaysia. Novel ini turut disifatkan sebagai novel fantasi terbaik yang pernah ditulis dalam bahasa Melayu ( Johan Jaaffar, Berita Harian 2012). Ahmad Patria juga dianggap sebagai nama yang paling besar dan paling berpengaruh dalam dunia sai-fai dan fantasi Melayu (Ainon Mohd, Konvensyen Sai-Fai Melayu 2009)
Petua Azkram merupakan buku keempat dari siri novel Saga Artakusiad. Novel ini juga merupakan novel sambungan terus dari novel yang sebelumnya iaitu Kembar Artakus. Menarik untuk dinyatakan bahawa ini merupakan novel yang pertama dari siri ini yang tidak mengandungi sebarang ilustrasi di dalamnya.
Selepas membuktikan bahawa dirinya merupakan Artakus yang sebenarnya,Rizal mengatur langkah yang seterusnya. Atas kepentingan strategik peperangan,kota pelabuhan Sarrium mesti ditawan. Bersama-sama dengan Esis,Artakus berjaya menawan kota tersebut dengan bantuan Takron,seorang lelaki misteri yang mempunyai agendanya yang tersendiri untuk menjatuhkan Morrok. Penaklukan ke atas kota strategik Morrok ini juga berjaya membuatkan pengaruh Artakus ke atas kaum Aurora semakin kukuh. Terutamanya kepada kaum atau puak Inkatus dan Jegadai yang masing-masing dipimpin oleh Jeenusix dan Darumir.
Sekembali ke Kota Arialun,Artakus bertemu dengan Azkram,seorang karman yang diutus oleh Merkia untuk membantu pahlawan tersebut mencari Permata Aurorius yang hilang. Permata tersebut hilang akibat dirampas oleh Qrokul,seorang yisykrak yang jahat. Azkram berpendapat bahawa Olsin-Ai yang turut dikenali sebagai Puteri Bulan,yang tinggal di Pulau Urul boleh membantu Artakus menjejaki Permata Aurorius. Namun demikian,Pulau Urul merupakan sebuah pulau yang amat berbahaya. Artakus dan rakan-rakannya mesti terlebih dahulu pergi ke Banjaran Nakassos untuk meminta bantuan dari Karum,seekor naga merah yang garang!
Rangkap puisi yang aku tidak boleh lupa dalam cerita ini. Disampaikan oleh seorang tua kepada Artakus semasa dia dalam misi untuk menawan Pelabuhan Sarrium.
"Jika hilang salji di gunung, bertanyalah kau kepada sungai yang mengalir. Jika hilang air di laut, bertanyalah kau kepada awan yang berarak. Jika hilang emas di timur, bertanyalah engkau kepada mentari yang bersinar. Tetapi jika hilang bintang di langit, kepada siapa harus kau bertanya?
Perjuangan Artakus semakin menarik. Aku paling terkesima dengan kemunculan Azkram. Siapa kawan baik dia lagi aku terkilan. Aku dah agak dah dari sejarah Nazril dalam Kronikel Nashan lagi—yang setiap karman mesti ada ilmu fizik yang dia guna. Penerangan teori sains dalam ni memang mantap. Lepastu aku geram je dengan gurauan Artakus dengan Laila. Dah la aku baca buku in public, mesti orang ingat aku gila tersenyum sorang-sorang 🥹