Artakus mengembara ke Pulau Urul dengan bantuan Karum, naga yang garang. Sementara itu, puak Aurora bersedia melancarkan perang dengan Morrok. Segala-galanya berjalan dengan lancar. Sejumlah besar askar dapat dikumpulkan dan diberikan latihan tentera yang secukupnya. Masalah logistik seperti persiapan senjata dan bekalan makanan yang mencukupi telah dapat diatasi. Artinius berserta ketua-ketua puak yang lain telah berjaya mengasaskan satu gerakan bawah tanah di kota-kota utama Aurora dengan tujuan menjatuhkan Morrok.
Ahmad Patria Abdullah ialah seorang penulis fiksyen sains dan fantasi yang terkenal di Malaysia. Beliau merupakan anak sulung kepada Sasterawan Negara Datuk Haji Abdullah Hussain dan Datin Siti Saroja Basri. Beliau dianggap sebagai pengasas genre fantasi di Malaysia menerusi novel pertamanya "Permata Aurorius" pada tahun 1987, yang terpilih sebagai Buku Terbaik 1987 dalam kategori Penulis Harapan oleh Majlis Kemajuan Buku Kebangsaan Malaysia. Novel ini turut disifatkan sebagai novel fantasi terbaik yang pernah ditulis dalam bahasa Melayu ( Johan Jaaffar, Berita Harian 2012). Ahmad Patria juga dianggap sebagai nama yang paling besar dan paling berpengaruh dalam dunia sai-fai dan fantasi Melayu (Ainon Mohd, Konvensyen Sai-Fai Melayu 2009)
Pertama kali baca hasil karya Abang Pat. Selalu dengar yang garapan Abang Pat sangat halus dan bahasanya sangat indah. Pedang Aurora, saya beli satu set dengan empat buah buku lagi. Mungkin berkait. Yang ini, yang pertama saya baca. Insya-Allah, yang lain akan menyusul. . Permulaan bacaan memang teruja. Garapan pengenalan watak, seiring dengan plot. Bahasa, memang banyak penggunaan metafora dan personifikasi. Amat cantik. Saya menjangkakan, bila muka hadapan buku gambar watak berpedang menunggang naga dan seorang lagi watak menghunus pedang (yang mungkin Pedang Aurora), saya fikir ia akan bergerak pantas dengan aksi-aksi ganas perlawanan. Tetapi, sangkaan saya meleset. . Garapan Pedang Aurora lebih kepada perbualan dengan imbasan (melalui perbualan dan aksi watak), terhadap satu-satu situasi. Perbualan watak utama bernama Artakus dengan beberapa watak, di latar tempat yang berbeza. Ada perbualan dengan naga, dengan sekutu dan dengan musuh. Juga, dengan watak yang saya kira kawan wanita merangkap yang dikasihi. . Babak perlawanan yang rancak dan membuatkan bacaan saya hidup hanya sewaktu Artakus berbual dengan Merkia. Sebelum itu mereka bercerita tentang watak Azkram yang bertarung dengan jembalang. Pertarungan itu dipaparkan oleh Merkia untuk tontonan Artakus pada bola kristal. . Untuk sebuah cerita pertarungan, ia agak perlahan bila watak terlalu banyak berkomunikasi tanpa beraksi. Walaupun ia hanya mengandungi 142 halaman, tetapi saya mengambil masa berminggu untuk menamatkan bacaan. . Cuba nak hadam cerita dengan bahasa indah. Cuba nak mengingat nama-nama watak yang banyak dengan diri watak itu sendiri.
Karum - naga Humkakar - naga Artakus - manusia (watak utama) Aurora - pedang / dan nama puak Aurorius -permata Merkia - manusia Herakos - manusia Armorikus - nama puak Morrok - nama puak Olafhul - Silikin - Zenon - nama tempat Esis - manusia Atinius - manusia Godorojo - ahli sihir Osrakhun - manusia (ketua angkatan Morrok) / nama gelarannya, Karkon Timur Takaranda - manusia (panglima Morrok, pembantu Osrakhun) Kirkus - nama puak Jundak - manusia (panglima) Nazril -manusia Urul - pulau Ombror - raja jembalang
Banyak lagi nama yang sewaktu saya membacanya, saya cuba sebaik-baiknya mengingat dan menghadam. Membayang adakah nama tersebut seorang manusia, naga, pedang atau nama puak.
Memang penulis seorang yang hebat bila mampu mengingat dan menampilkan pelbagai nama tanpa kekeliruan. Imaginasi penulis cukup tinggi. Pembacaan saya perlahan demi menghayati cerita dan bayangan perjalanan cerita dengan pelbagai watak di dalamnya.
Mungkin, saya patut baca empat buah buku lagi untuk mendapat dan mengingat watak-watak yang banyak ini. Cerita mereka berkait. Baca satu, memang tak nampak keseluruhan. Apapun, saya masih okey dengan cerita sebegini, cuma perlahan dalam menghadami.
Tak puas baca, nipis sangat buku ini. Sambungan kisah Artakus diteruskan. Buku kali ini agak santai, Artakus dan ketua-ketua puak sedang menyusun strategi perang dengan tentera Morrok.
Panglima perang Morrok Jundak mula disebut-sebut. Adakah Jundak akan menjadi lawan Artakus?
Naktai mula buat perangai. Adakah penyatuan puak Aurora akan berjaya.
Buku yang lebih nipis tapi menjanjikan debaran yang lebih padu. Malangnya aku belum memiliki buku-buku seterusnya. Ini adalah bala sebab kisah ini melekat kuat dalam kepala. Tak amanlah rasa selagi tak habis baca 😓
Ujian menjadi seorang Artakus sangat hebat. Artakus pun manusia, perlukan sokongan dari yang disayangi. Seronok baca penulisan yang sedap, boleh rasa loneliness, ketakutan dan dilema Artakus. Nak sambung lagi