Buku penting yang menyorot sejarah perkembangan tradisi Deoband di India khususnya dalam hubungannya dengan politik sezaman dan wacana ‘keras’ dengan tradisi Barelvi yang biasa disalah tanggap antara pertembungan Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan Wahabi dari satu sisi atau Sunni dengan gerakan bidaah dari sisi lain, dibaca ketika Taliban berjaya merampas Kabul dan Afghanistan jatuh ke tangan kumpulan itu.
Antara isu penting dalam membuat jangkaan sejauh mana kumpulan Taliban akan mengekalkan pendekatan keras mereka seperti sebelum ini atau sekadar mana mereka mengubahsuaikannya, ia perlu juga dilihat dalam konteks hubungan Taliban yang lahir daripada sistem madrasah Deoband serta wacana yang dibawa tokoh-tokoh penting Darul Ulum Deoband baik pada peringkat penubuhannya seperti Muhammad Qassim Nanautvi, Rasihd Ahmad Gangohi dan Haji Imdad Allah al-Makki khususnya berkaitan tauhid serta tasawuf atau ulama selepasnya khususnya Ashraf Ali Thanvi, selain isu kontroversi kedudukan Maulid dan urs untuk memperingati wali yang meninggal dunia yang menjadi titik pertembungan dengan Barelvi hingga membawa serangan berbentuk tab’id (membidaahkan) dan mensyirikkan antara kedua-dua golongan itu.
Bagaimanapun, buku ini tidak akan memberikan jawapan mutlak sejauh mana pendekatan bakal diambil Taliban itu tetapi ia menjelaskan apa-apa saja usaha untuk menilai isu semasa itu tidak boleh dibuat dengan asas yang salah, iaitu Taliban itu Deoband dan Deoband itu adalah Wahabi. Ini kerana bukan sahaja tradisi Deoband itu sendiri bukan satu bentuk yang kaku, bahkan ia sendiri tidak terpisah daripada kerangka tasawuf atau sufi serta terikat dengan mazhab Hanafi, sekali gus berbeza dengan aliran Wahabi meskipun berlaku beberapa persamaan secara zahir dari sudut beberapa pandangan.