Pertama-tama sekali, terima kasih dan tahniah diucapkan kepada Saudara Arsyad Mokhtar, kerana dengan usaha dan dayanya, telah berjaya merumikan Hikayat Nabi Yusuf daripada penulisan Jawi.
Seterusnya, terima kasih dan tahniah diucapkan buat Penerbit FIXI kerana menerbitkan buku Hikayat Nabi Yusuf, sekaligus mengenengahkan sastera-sastera klasik kepada rakyat moden. Ini adalah suatu langkah yang perlu diteruskan, semoga lebih banyak lagi sastera klasik diterbitkan semula.
Apapun, Hikayat Nabi Yusuf ini amat mudah dibaca. Mungkin saja sebab saya memang dah biasa dengan bacaan sastera klasik, atau kerana kepandaian Saudara Arsyad Mokhtar yang telah berjaya mengolah dan mengubahsuai struktur ayat sastera klasik agar lebih mudah difahami pembaca moden.
Lagipun, Hikayat Nabi Yusuf ini bukanlah asing bagi saya, dan juga saudara-saudara Muslim yang lain. Kerananya, kita sudah pun dibiasakan dengan sirah-sirah Nabi semenjak kecil. Cuma, di dalam Hikayat Nabi Yusuf ini ada beberapa cerita yang saya baru tahu atau baru saja baca.
Contohnya, kisah cinta antara Puteri Zulaikha dan Nabi Yusuf yang agak mendalam di dalam penceritaan hikayat ini. Bagaimana Puteri Zulaikha selama ini masih lagi dara sepanjang perkahwinan bersama raja, dan seterusnya bagaimana baginda puteri meraih penamat gembira bersama Yusuf yang dicintainya. Selama ini, hanya tahu versi potong epal jari terluka sahaja hihi.
Akhir sekali, buku ini harus dibaca oleh semua, hanya kerana saya mahu semua orang lebih menghargai sastera klasik Melayu zaman dulu-dulu. Iya, cerita Nabi Yusuf ini mudah saja didapati di dalam Al-Quran, internet dan juga buku-buku sirah lain, tetapinya Hikayat Nabi Yusuf ini sendiri ditulis di dalam Bahasa Melayu lama. Lenggok bahasa klasik. Oleh itu, amat wajar untuk para pembaca membacanya, sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.
Oh ya, sebelum terlupa, ilustrasi oleh Saudara Arif Rafhan Othman memang terbaik dan cantik sangat! Harap akan ada buku-buku terbitan kelak yang akan memuatkan karya-karya ilustrasi Saudara Arif lagi.