Seperti menjejakkan kaki ke dalam sebuah gedung permainan rasa. Segala macam perasaan, segala jenis luahan, beribu bentuk pandangan yang diolah mesra, secukupnya supaya tidak terlalu mencuba, supaya nampak hidup seadanya.
Kisah-kisah yang mungkin pada bijak pandai nampak seperti biasa, tetapi bagi kita kita yang membaca, kita kita yang mengalaminya, percayalah andai disarungkan kasut kaca itu, mereka tidak akan mampu bertahan walau satu langkah, malah hancur berkecai menjadi abadi di dalam tapak kaki, mendiam disitu menjadi nanah keji.
Tiada kisah kisah terbang ke langit dengan sayap sayap manisfesto acahnya untuk mengubah cerita menjadi intelektual, supaya pembaca cerdik sambil mengelak helaian kamus sastera sekaligus angkuh dengan ilmu dan tatabahasa diri yang tinggi kononnya, tetapi kisah kisah hati dan perasaan, kisah kisah cinta yang terasing dari penyatuan dua jasad cuma, kisah kisah yang kecil, sambil menyuap nasi ke dalam mulut anak, si ibu melayan Rosalinda di tv3 sedangkan hatinya galau memikirkan sen dan nilai gemerincing yang perlu dicari esok hari demi menampung tiga mulut kecil, kisah kisah kita semuanya yang bersenandung di balik tabir seorang penglipur lara yang saya anugerahkan sebagai Ratu Hati dan Perasaan.
Kisah kisahnya tidak sombong dan bongkak. Kisah kisahnya tidak memandang jauh dengan berkiblatkan figura cult penulisan yang dipandang-sujud oleh sesetengah pemuja penulisan. Kisah kisahnya tidak tunduk pada daulat Tuhan Tuhan Sastera. Ia hanya sebuah himpunan rasa yang lahir jujur tanpa dipaksa, cuma dilepaskan mengikut semilir angin. Dibiarkan terbang laju masuk menangkap jiwa jiwa pembaca dan terus hidup di situ membentuk suatu hidupan yang bernama kepuasan.
Tiada bintang yang selayaknya dianugerahkan kepada Tari Pasar Perempuan ini kerana bagi saya, secara harfiahnya Tari Pasar Perempuan cuma layak berada di dada langit. Terang dan biru dengan gumpalan awan yang meredupkan tatkala siang, gelap dan sunyi tatkala malam dengan butiran bintang yang mahal berkelip sebagai topeng untuk menutup kehibaan diri.
Terima kasih Fazleena Hishamuddin, Ratu Hati dan Perasaan. Tidak perlu sempurna, hanya perlu cinta dan kasih sayang.