ribuan halangan yang merentang, apapun; duri pada bunga, bisa pada cawan atau belati yang melayang adalah nama-nama bagi takdir.
Senandika - satu cetusan suara dalam diri, satu nyanyi sunyi, satu potensi kepada suatu kejadian, Ia perasaan sekali gus fikiran, ia rindu sekali gus dendam, ia benci sekali gus sayang, ia ingin menyatakan sekali gus ingin menyembunyikan, ia subjektif sekali gus objektif. Semua ini tertanam beberapa ketika di dalam diri, sebelum tumbuh dan kemudiannya menjadi sesuatu yang utuh, yakni puisi.
Lutfi Ishak, baik genre apa pun (cerpen atau puisi), memang punya karakter tersendiri melalui gaya bahasa yang sesuai mengikut nada puisinya. Puisi resah, puisi protes, tetap kedua-dua nada ini disampaikan melalui wacana yang meminta pembaca memikirkannya berulang-ulang - tentang kemanusiaan, nasionalisme dan resah hati terhadap apa juga yang berlaku di sekeliling.
Pernah dilabel sebagai penyajak sufi melalui kumpulan puisinya yang memenangi tempat pertama Sayembara Penulisan ITBM-Pena-BH II, 2015 , nyata Senandika ini bukan sahaja cantik hasilnya dari aspek fizikal (sungguh, ini buku puisi yang cantik, berkulit keras dan punya ilustrasi - dengan harga yang tidak mahal), isinya apatah lagi, tentulah tidak mengecewakan. Bagai sebuah pintu yang membuka pintu-pintu lain ke dunia yang berbeza. Bagai sebuah hidangan yang lazat, dihidang dalam pinggan yang cantik dan eksklusif, pada malam yang indah dan lapang.
Buku ini ditulis sebelum buku Dondang Pembukaan. Sudah nampak perubahan gaya penulisan dari Kafe. Penulis banyak menggunakan perlambangan yang biasa digunakan dalam puisi sufi seperti yang terdapat dalam karya Rumi, atau juga Muhammad Iqbal atau Umar Khayyam.
Nyanyi sunyi seorang penyair yang sangat membekas kerana sentuhannya isu yang digarap tersa terkini walaupun telah ditulis lama. Rasa lega bila membaca karya ini kerana terasa penulis seperti telah meluahkan apa yang tersarang di jiwa dan fikir saya selama ini. Resah gelisah dalam siasah dunia yang menyesakkan jiwa.
Puisi- sebuah bentuk kata-kata kecil dalam merangkum makna yang besar. Penyair Lutfi Ishak merupakan antara penulis generasi muda yang mendepani kehidupan dengan puisi-puisinya yang berat - dengan makna dan bahasa. Penyair merakam pengalaman beliau ke dalam bentuk puisi sepanjang kembara ke beberapa kota seperti Jakarta, Istanbul, Chennai dan lain-lain. Kekuatan puisinya melayakkan penyair untuk menerima beberapa pengiktirafan dan diterjemahkan ke beberapa bahasa asing.
Saya dipertemukan dengan buku ini ketika mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 tempoh hari. Sejak membaca Dondang Pembukaan Lutfi Ishak, saya sudah berazam untuk memiliki dan membaca kesemua puisi beliau. Kekaguman terhadap wacana dan pengajaran yang disisipkan dalam Dondang Pembukaan masih tidak sirna, lantas dipertemukan dengan buku ini, menghadirkan kebahagiaan buat saya.
Tajuk buku ini, yang mengandungi perkataan “Nyanyi Sunyi” mengingatkan saya kepada Nyanyi Sunyi-nya Amir Hamzah; antara karya terbaik yang pernah saya miliki. Sahabat saya, saudara Haikal merupakan individu yang memperkenalkan, sekali gus yang paling banyak mensyarahkan perihal Amir Hamzah dan sajak-sajaknya kepada saya. Maka, tajuk buku ini sedikit-sebanyak mengimbau semula detik jatuh cinta saya dengan karya pertama Amir Hamzah yang pernah saya baca.
Walau bagaimanapun, saya secara peribadi tidak meletakdudukkan sajak-sajak (sanjak-sanjak) Amir Hamzah dalam Nyanyi Sunyi-nya sama tinggi dengan puisi-puisi dalam Senandika Lutfi Ishak. Namun, karya ini masih mempunyai kekuatannya yang tersendiri. Hampir kesemua puisi yang terkandung dalam Senandika diilham sekali gus ditulis ketika Lutfi Ishak dalam kelana dari satu negara ke satu negara dan satu tempat ke satu tempat yang lain pula. Puisi yang dihasilkan bukan sekadar ekspresi perasaan diri, sebaliknya pengamatan yang mendalam dan tajam kerana dijalinkan bersama dengan latar belakang tempat yang beliau kunjungi. Hal ini bertepatan dengan hasrat beliau pada bahagian kata pengantar buku, “niat saya untuk tidak terlalu mengungkapkan pengalaman diri semata, tetapi diharmonikan dengan renungan tertentu”.
Persoalannya, adakah puisi yang lahir daripada pengalaman diri itu tidak wajar ditulis? Oh, semestinya tidak. Ilham yang lahir, hasil daripada hal-hal yang dicerap indera yang lima—adalah satu permulaan yang baik dalam menghasilkan puisi. Namun, andai ia terbatas kepada perkara ini sahaja, maka akan lahirnya banyak puisi-puisi nihil makna, yang berselindung di sebalik “ekspresi pengalaman peribadi”. Walhal, setiap karya itu seharusnya bersabit kepada perkara yang memberi manfaat, sarat dengan makna dan wacana, mendorong aqal untuk berfikir dengan lebih mendalam dan mengajak manusia lebih mendekati kebenaran. Inilah prinsip asas yang harus dipegang oleh setiap pengkarya, lebih-lebih lagi apabila dirinya seorang Muslim yang ditaklifkan dengan kesedaran beragama. Dan, kumpulan puisi dalam Senandika ini, walaupun tidak mencapai hakikat kepada perkara yang disebutkan di atas, masih menapak pada jalan yang sama.
Berikut saya petik beberapa bait puisi yang berbekas buat saya:
apa benar kita berbeza? apa diinsafi sejarah tapi dinafi siasah? kau pun tahu, zaman ini kebatilan diperdagang media menjadi laba mengayakan sedikit orang, merugikan selebihnya kebenaran kitab suci disaring sekadar menebar benci (hlm. 79).
Andai diamati setiap baris puisi, akan tergambar juga senandika (dialog yang ditujukan buat diri sendiri) penulis yang ber-nyanyi sunyi secara bersendiri. Apabila saya menyelak hingga ke halaman 101, maka benarlah pernyataan ini kerana diakui sendiri oleh penulis:
tapi senandika sejenis puisi, suatu pemberontakan sunyi berakhir dengan penghakiman diri.
Sekadar ingin menambah perkataan Amir Hamzah dalam Nyanyi Sunyi-nya:
Sunyi itu duka Sunyi itu kudus Sunyi itu lupa Sunyi itu lampus