Ulasan Buku Rumah Rahsia oleh A. Samad Said
Buku Rumah Rahsia karya A. Samad Said ini jelas ditujukan kepada golongan remaja. Pengisiannya sarat dengan nilai-nilai murni dan nasihat yang berguna, menjadikannya bacaan yang sesuai untuk pembaca muda yang sedang membentuk jati diri.
Watak utama, Abu, digambarkan sebagai seorang remaja, namun cara berfikir dan pertimbangannya agak matang—kadangkala terasa seperti seorang dewasa yang terperangkap dalam tubuh remaja. Gaya penulisannya sedikit skema pada sesetengah bahagian, namun masih mampu memberi kesan kepada pembaca.
Plot berkisarkan tentang sebuah rumah rahsia di atas bukit dan pengembaraan Abu bersama rakan-rakannya untuk merungkai misteri yang menyelubunginya. Bila rahsia itu terbongkar… perasaan jadi ‘hanging’. Mungkin kerana sebagai pembaca yang sudah biasa dengan novel seram dan thriller yang lebih berat, jangkaan kita agak tinggi. Namun, kita harus ingat, buku ini sememangnya ditulis untuk remaja—maka jalan ceritanya lebih ringan dan bersesuaian dengan tahap pembaca sasarannya.
Apa pun, karya ini tetap menarik dari sudut gaya penulisan. Tidak hairanlah, kerana ini hasil tangan seorang sasterawan negara. Ini merupakan buku pertama A. Samad Said yang saya baca, dan ternyata beliau memang otai dalam dunia penulisan. Penulisan beliau tersusun, kemas dan berkelas A++++.