Sebenarnya saya tidak tahu hendak masukkan buku ini dalam genre apa. Novel ini mempunyai unsur-unsur jenayah, misteri, advencer, juga saifai. Novel ini dibahagikan kepada tiga bahagian.
Bahagian I
Berlatarbelakangkan tahun 2028 dan Malaysia kini mempunyai Perdana Menteri kelapan yang sangat muda. Saya tersenyum sinis apabila membaca ayat di halaman 34: Tidak seperti di Kuala Lumpur dan Shah Alam, Pahang masih sama. Masih banyak hutannya, masih banyak kawasan yang belum diterokai. Heh.
Dimulakan dengan kisah Redza yang baru kembali ke Malaysia kerana dia ingin merungkai kes kematian ibu bapanya sepuluh tahun lampau. Selepas kematian orang tuanya itu, Redza dibawa oleh makciknya ke Korea Selatan dan tidak pernah pulang lagi. Sedikit tak logik di sini: ibu bapa Redza ditemukan mati tergantung pada penghujung Ramadan. Polis tidak menemui sebarang bukti pembunuhan lalu menutup siasatan. Redza dibawa ke Korea Selatan pada hari raya kedua. Cepatnya settle siasatan dalam beberapa hari sahaja? Hebat PDRM. Kes langgar SOP dan rentas negeri niqabis tersohor Malaysia pun ambil masa berminggu-minggu. LOL.
Redza mempunyai kelebihan melihat memori seseorang/sesuatu itu apabila menyentuh sebarang benda dengan jemarinya. Dia berkenalan dengan Julia, seorang pemandu teksi/Grab. Ketika ini juga Redza tahu kewujudan sebuah tembok tinggi (penjara) yang dipanggil Genajaya.
Bahagian II
Pembaca dibawa mengembara ke dalam memori Julia yang telah terlantar kerana kemalangan. Bermula dengan kapal terbang yang dinaiki Julia ke Australia terhempas, ini kisah Julia dan penumpang-penumpang lain yang terselamat dan upaya mereka untuk melangsungkan hidup di sebuah pulau/hutan. Pembaca tak akan terlepas merasai vibe 'The Hunger Games' di sini, kerana memang itulah yang dinyatakan sebanyak tiga kali. Bab-bab dalam Bahagian II ini pada saya sedikit melelahkan, terlalu panjang kerana banyak watak tambahan dan kerana saya tidak tahu apa kaitannya dengan Bahagian I.
Bahagian III
Dalam bahagian ini dirungkaikan kaitan tentang Bahagian I dan II. Demikian pun masih banyak misteri lain yang tidak terungkai, dan kisah ini berakhir tanpa konklusi. Apakah ada kesinambungan lagi selepas ini? Wallahualam.
Saya suka dengan naratifnya yang pantas. Ayat-ayat yang digunakan ringkas, mudah, dan sentiasa membangkitkan rasa ingin tahu babak seterusnya. Kecuali komen saya di atas tentang Bahagian II yang panjang meleret, bagi saya naskhah ini sangat baik dan menghiburkan.
Seperti komen kebiasaan saya tentang buku-buku keluaran FIXI, naskhah ini turut mengandungi banyak kesalahan tatabahasa, tanda baca, dan sedikit kesilapan ejaan. Tetapi saya juga baru mengetahui bahawa ejaan 'celopar' yang betul ialah dengan menggunakan huruf O dan bukan U. #TIL. Terima kasih banyak-banyak.
Begitupun, ada dua kesalahan yang bagi saya sangat jelas yang tidak diteliti oleh pihak editorial:
(1)Terdapat tiga ayat yang kontradik antara satu sama lain, yang ditebalkan:
- Aku kembali memandang ke arah muka pintu. Nenek tiada di situ. Yang ada kini cumalah seorang wanita yang mungkin usianya dalam sepuluh ke lima belas tahun tua daripada aku. (halaman 40)
- Seingat aku, Habibah binti Deraman itu sahajalah yang ada gelaran Kak Bie dalam kampung ini. Anak angkat nenek yang aku gelarkan sebagai Maksu. Tetapi aku lebih selesa memanggilnya Kak Bie disebabkan umur kami yang tidak berapa jauh jaraknya. (halaman 41)
- Pasangan di hadapanku sekarang, sebenarnya lebih sesuai kalau kupanggil Kak Bie dan Abang Borhan. Jarak umur kami yang tidak sampai 10 tahun membuat aku rasa kekok memanggil mereka Paksu dan Maksu. (halaman 42)
(2) Novel ini menggunakan sudut pandangan watak-watak yang berbeza. Tetapi ada satu bab yang menggunakan 'Jue' sahaja dan bukannya 'Julia'.
Memang saya berkira-kira mahu memberi di antara tiga atau empat bintang, dan meski masih banyak persoalan berbaki yang tidak diselesaikan, penulis telah berjaya mengekalkan momentum untuk saya khatamkan buku ini dalam satu hari, jadi ⭐⭐⭐⭐ daripada saya seorang pembaca yang cerewet. Syabas!