Kalau kita gambarkan pelangi sebagai kebahagiaan, maka kita kena faham satu perkara. Kebahagiaan memerlukan waktu suka dan duka. Kebahagiaan tidak boleh hadir dengan waktu yang kita anggap senang dan gembira saja. Ia juga memerlukan waktu susah, waktu duka, waktu marah dan waktu mengalirkan air mata.
Benar. Kedua-dua elemen yang sangat kontra antara satu sama lain sebenarnya saling memerlukan. Rintik air dan cahaya matahari membentuk pelangi. Suka dan duka, itulah juga yang sebenarnya membentuk kebahagiaan kita!
Kisah-kisah pelangi selepas hujan. Inilah yang cuba diketengahkan menerusi antologi CLEAR ini. Tentang kebahagiaan yang hanya mampu dirasai oleh orang-orang yang telah teruji.
Masa muda dahulu banyak keputusan yang dibuat tidak berapa tepat. Semasa saya kembali akrab dengan buku, genre motivasi mendapat tempat dalam hati. Penulisan Bonda Nor antara buku yang akan saya baca.
Melalui antologi Clear, penulisan beliau dan rakan penulis yang lain sedikit sebanyak memberi pencerahan dan menyumbang kepada pertimbangan diri jika melalui saat sukar begitu.
Ada penulis yang berkongsi hal jodoh, sakit, penceraian, pengalaman menjaga anak syurga dan seumpamanya. Tertarik juga dengan susunan perkataan yang lancar sekaligus menjadikan penceritaan sampai maksudnya kepada pembaca.
Buku yang banyak menceritakan bagaimana setiap kisah duka memegang setiap kemanisan hikmah. Mula-mula baca, saya ingatkan hanya ada seorang pencerita rupa-rupanya setiap kisah mempunyai latar belakang pencerita yang berbeza.
Spoiler: Saya suka satu bahagian yang megisahkan tentang bagaimana anak perempuannya seorang yang tekun berusaha tetapi keputusan UPSRnya tidak selari dengan kerja keras yang dia usahakan. Kita mudah lupa bahawa yang berusaha itu tugas kita namun yang menetapkan rezeki selepas usaha kita adalah Allah.
Dan pendekatan bagaimana anak itu adalah hadiah dan bukan hak merupakan sesuatu yang baru bagi saya. Terima kasih atas ilmu baru! :)
Clear terbitan Galeri Ilmu Sdn Bhd (2018) adalah buku kompilasi kisah nikmat kebahagiaan yang lebih dihargai oleh mereka yang telah teruji. Terdapat 25 kisah kesemuanya yang dinukilkan oleh penuis-penulis berlainan: Bonda Nor, Dr Khamizi dan lain-lain. Laras bahasa yang baik menarik perhatian saya untuk membaca setiap kisah satu demi satu. " Setiap musibah menghadirkan hikmah. Apabila hikmahnya semakin jelas, kehadirannya tuntas."