Buku ini mencatatkan kegusaran serta respons anak muda terhadap segala macam kekacauan yang berlaku di sekelilingnya. Beliau meninjau isu-isu politik, krisis keagamawan, serta kebejatan dalam kalangan gerakan mahasiswa dengan nada yang sinis dan pesimis, dengan sikap yang kritis dan non-kompromi. Suara-suara anak muda seperti Rien Sd ini adalah catatan penting dalam merakam detik-detik kemarahan dan perlawan yang berlangsung dalam era Malaysia yang kacau-bilau serta tenat dengan gejala rasuah yang berleluasa ini.
Buku yang ringkas dengan kumpulan esei penulis sekitar 2016-2018. Kebanyakan kritikannya terhadap isu yang dibangkitkan masih segar, sekurang-kurangnya setakat masa saya khatamkan buku ini (2018).
Idea tentang kesamarataan kelas adalah sesuatu yang idealistik, walaupun tidak dinafikan ianya bagus dan mungkin dapat dilaksana. Cuma dalam suasana hari ini, tidak ada manusia yang tidak ada kelas dalam masyarakat. Sistem kelas ini tidaklah sejelas (obvious) dahulu di mana perhambaan masih wujud, tetapi sistem ini pada hari ini meletakkan golongan buruh, kelas pekerja, politikus dan agamawan dalam takah yang berlainan.
Penulis, berjaya membawa satu idea yang canggung pada pandangan saya. Iaitu soal tauhid sosial, yang mana istilah ini membawa mesej kesamarataan manusia, hanya yang tinggi dan besar itu adalah Tuhan. Manusia adalah sama semuanya. Tidak ada yang kaya melampau, kekayaan akan disebarkan (distribute) secara seimbang.
Ya, tidak dinafikan ianya boleh terlaksana. Sudah ada negara yang mampu beri pendidikan percuma, sifar rakyat tidak berumah (homeless) dan seangkatan dengannya. Soalnya, saya tidak nampak di mana ianya akan terlaksana di Malaysia.
Mungkin ia akan terlaksana apabila mentaliti setiap anak muda dan mahasiswa tidak lagi terpasung dengan pemikiran feudalistik?
Walaupun tulisan buku ini ringkas, tetapi setiap idea yang dibawa memerlukan diskusi dan telaah yang panjang.
Buku yang sekejap sahaja dibaca. Bukan kerana isinya tidak berat, tetapi mungkin kerana penulis buku ini menganut idea yang hampir sama dengan pengomentar ini, iaitu idea Islam Kiri, sebuah brand kepada Islam subversif, yakni Islam yang bukan sekadar memerhatikan kesenjangan begitu sahaja -neutral- tetapi mengambil sikap dengan keberpihakan.
Sedikit pencerahan, yang dimaksudkan bahawa Islam Kiri adalah sebuah brand kepada Islam subversif, bukanlah bermaksud Islam Kiri itu seperti atau = Islam Kanan/Fundamentalis yang diimani kelompok Haraki - Harakah Islamiyah (JIK dll). Islam Kiri mempunyai magnum opusnya yang tersendiri yang dikarang oleh figur-figur seperti Hassan Hanafi, Ali Syari'ati, Asghar Ali Engineer, Haji Misbach dan ramai lagi. Kira-kira sekitar 25 tokoh Islam Kiri boleh dijadikan sebagai sandaran dan panutan. Tokoh-tokoh inilah antara yang termuatkan dalam senarai rujukan karya oleh Rien Sd di akhir bukunya.
Rien bukan sahaja menulis-nulis di dalam kamar, tetapi beliau juga aktivis yang turun ke lapangan. Bukan sekadar turun ke lapangan memberi makan, bahkan turun beraksi-berkomuniti memberikan pendidikan. Inilah yang mahalnya pada karya-tulisan Rien. Nyatalah beliau menulis apa yang beliau lakukan, dan beliau melakukan yang beliau tuliskan.
Saya bersetuju dengan hampir kesemua yang diutarakan oleh Rien, dengan penambahan bahawa untuk karya-karya Rien akan datang dapat lebih memfokuskan tentang permasalahan di Sabah khususnya di Sandakan seperti yang tertera dalam bab Menemukan Tuhan di Sandakan; mungkin ini boleh dijadikan tajuk buku Rien yang seterusnya. Pemfokusan terhadap masalah-masalah setempat masihlah kurang mendapat sentuhan atau singgungan aktivis/penulis yang menganuti mazhab Islam Kiri - ditambah juga tidak ramai yang menganut mazhab keberpihakan ini.
Saya mendoakan Rien akan melahirkan lagi karya-karya kritis yang seterusnya!
Sebuah kumpulan artikel dan esei yang mengkritik isu-isu yang kurang popular khususnya hak pendidikan anak-anak di Sabah, pertikaian kaum agamawan yang seringkali bergaduh perkara yang remeh. Malah, kritikan-kritikan ini menampilkan satu sudut pandang daripada menulis yang masyarakat sewajarnya dididik dengan membudayakan budaya intelektual. Khususnya, isu-isu yang remeh dan bersifat populis.
Walaupun penulis cenderung ke arah Islamis Kiri, namun nasihat dan kritikan mengenai isu-isu sosial yang bermain di dalam lingkungan sfera khususnya pada usia belia ini sesuatu yang harus diambil. Namun, masalah peradaban dan dunia intelek yang dipandang enteng oleh mahasiswa itu bagi saya hanya terpakai pada zaman era penulisan ini.
Semakin bertambah tahun, semakin ramai mahasiswa yang celik mengenai isu ini. Banyak pentas dan wacana bersifat intelek yang diketengahkan. Semakin ramai idealis di kalangan belia dilahirkan dek kerana kekangan dan penindasan daripada pelbagai pihak yang bersifat drakonian khususnya universiti dan kerajaan. Maka, terlahirlah generasi idealis.
Namun, tak dapat dinafikan generasi-generasi idealis ini lahir di saat penindasan berlaku. Cumanya, acuan untuk pembentukan itu seharusnya lebih terarah dalam membentuk satu identiti kepada mahasiswa di Malaysia ini supaya seimbang dalam menjadi seorang idealis dan juga realis. Bukannya bersifat canggung dalam sesuatu isu.