"Jelaskan kepada kami, apa itu Islam?" "Apa itu jihad?" "Apa itu makanan halal?" "Bagaimana cara ibadah kamu?" "Adakah kamu tidak mati jika berpuasa?" "Kenapa kamu pakai tudung? Apa fungsinya?"
Tiga negara.
Kesemuanya mempunyai minoriti penduduk yang beragama Islam.
Bagaimana kita dapat memberikan pemahaman kepada mereka?
Bagaimana kita dapat belajar daripada mereka?
Oki Setiana Dewi menjelajah ke tiga buah negara. Mengunjungi komuniti Islam di sana. Berdialog dengan golongan bukan Muslim. Bertemu dengan pelbagai kepercayaan dan anutan.
Catatan dan ibrah yang diperolehi Oki ketika menjelajah Australia,Jerman dan Sepanyol dalam menelusuri kehidupan Muslim di sana.Ralit membaca pengalaman beliau di sana kerana beliau pergi atas tiket biasiswa bagi bertemu masyarakat Muslim di sana dan bukan untuk niat melancong pada awalnya.
Satu perjalanan rohani yang mengesankan buat penulis, dan juga buat para pembaca yang berjaya menikmatinya.
Berjumpa & berbicara dengan Muslim (imigran & penduduk asal) di Australia, Jerman & Sepanyol ini banyak menimbulkan keinsafan & kesedaran tersendiri. Menjadi golongan minoriti yang sering disalah erti dan ditindas disana sememangnya menjanjikan satu cabaran yang besar buat mereka. Bukannya kadangkala terkena, malahan hampir sepanjang masa.
Keadaan harian mereka yang akan membuatkan kita merenung kembali diri, adakah kita cukup bersyukur dengan nikmat Islam yang kita imani, di dalam persekitaran negara yang membenar & memudahkan? Dapatkah kita bertahan jika kita dalam situasi yang sama seperti mereka?
Kisah perbezaan & kekeliruan ketara akidah Islam juga antara yang menarik perhatian dari kembara rohani penulis ini. Kisah Muslim gay yang berani mengakuinya secara terbuka di Australia, malahan giat berusaha untuk cuba mengumpul sesama jenisnya di serata dunia. Serta kisah Islam liberal di satu masjid di Jerman dimana terdapat imam wanita yang mengepalai jemaah, malahan menjadi khatib berkhutbah & menjadi imam solat Jumaat juga. Amat pelik dan menyedihkan bila nafsu & akal yang cetek dijunjung melebihi arahan jelas dari Al-Quran & sunnah itu sendiri. Semoga kita sentiasa berada dalam jalan yang sebenarnya hingga ke akhir nanti. Jalan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Namun di sebalik itu, kisah-kisah positifnya tetap menginspirasikan dari buku ini. Kisah bagaimana Islam cuba bangkit kembali di Andalusia, Sepanyol setelah hampir 500 tahun hilang dari bumi itu sangat mengharukan. Menariknya kebangkitan ini bermula dari inisiatif anak jati Sepanyol sendiri, yang mana usaha mereka masih lagi muda, yang baru berputik kembali sekitar tahun 1970an dahulu. Sama-sama kita bantu dari segala segi yang kita mampu buat mereka. Cuba cari 'A Tile for Seville' di Internet. Demi saudara seagama.
Kesimpulannya buku yang boleh dijadikan sumber pedoman & muhasabah diri buat diri kita sebagai seorang Muslim di sekitar Nusantara ini. Bagaimana kita seharusnya perlu amat bersyukur dengan segala kemudahan & keselesaan dalam mempraktikkan Islam itu di bumi sendiri. Kerana di segenap pelusuk dunia, pasti terdapat saudara seagama yang amat mengimpikan suasana seperti kita disini.
Buku ini juga amat sesuai untuk dijadikan rujukan sekiranya kita berpeluang untuk menjelajah ke tiga negara ini bagi meneroka tinggalan & cahaya terkini Islam disana. Pelbagai info berkenaan pertubuhan, kesatuan, tempat menarik dan bersejarah, malahan insan berkaitan yang mungkin dapat membantu sekiranya kita berkunjung kesana.
Kemana saja kita mengembara walaupun pelbagai jenis Islam yang kita akan jumpa, tetap perlu diingat, hanya Al-Quran & sunnah Rasulullah saja yang harus menjadi pegangan utama kita.
MasyaAllah, sebuah karya yang mantap hasil tulisan Oki Setiana Dewi. Beliau sebaya dengan saya, tetapi melalui penulisannya saya dapat kesan tahap kematangan yang jauh lebih tinggi.
Saya telah berpeluang membaca tiga buku pertamanya, yang juga berbentuk travelog — dan saya kagumi kebolehan beliau mengimbangi antara penceritaan pengalaman dan fikiran sendiri, kisah² watak yang dijumpai, petikan hadis dan Quran, sejarah tempatan serta fakta² yang beliau kaji.
Gaya bahasa dan suntingan buku ini juga sangat elok dan memudahkan pembaca. Saya hormati keputusan penganjur, penerbit dan penulis untuk menyertakan pertemuan dengan pihak² yang berkontroversi seperti imam gay di Australia dan masjid berimamkan perempuan di Jerman.
Tahniah Oki atas pengembaraan berfokus dan penceritaan berhikmah, lebih² lagi ketika sarat hamil. Moga Allah menerima usaha Oki dan rakan² yang lain sebagai amal jariah. Moga ramai lagi yang mencontohi Oki dalam pengembaraan mencari ilmu & penulisan menyampaikan pengalaman berharga kepada semua.
Buku ini membuatkan saya muhasabah diri tentang apa yang telah saya sumbangkan untuk agama saya memandangkan saya tinggal di negara majoriti muslim. Jika merdeka yg tinggal di Eropah boleh menyumbang jasa yang besar pada agama, mengapa tidak saya? Walhal di Eropah, kebanyakan penduduknya tidak biasa mendengar tentang Islam. Malah ada juga yang tidak pernah tahu apa itu Islam.