Pemikiran merupakan sesuatu yang berubah, tidak statik tetapi dinamik. Seusia kita berubah, seputar zaman berlalu, banyak fakta berubah menjadi sejarah, banyak idea menjadi lesu dan basi. Sepanjang zaman suasana akan berubah, orang yang tidak mahu berubah akan ketinggalan, orang yang berani melihat perubahan sebagai satu pengembaraan dan sedia berubah akan kekal relevan.
Buku ini pada asalnya ditulis bagi mengumpulkan pengalaman dan ilmu yang dikutip sepanjang mengikuti aktiviti dakwah dan tarbiyah di dalam pergerakan Islam di Malaysia. Oleh kerana buku ini ditulis dalam jangka masa yang lama, sekitar 5 tahun, ia juga memuatkan pemikiran-pemikiran hasil dari pembacaan dan juga isu-isu semasa. Antara isu yang dibincangkan adalah permasalahan dalam pergerakan organisasi Islam serta teori-teori sedia ada. Selain itu buku ini turut membicarakan pandangan penulis berkenaan dengan politik di peringkat nasional dan antarabangsa. Juga pengaruh dan peranan media dalam kancah pertarungan politik. Ia juga memuatkan kritik sosial dan juga kritikan terhadap model ekonomi dan pendidikan sedia ada, cabaran dan penambahbaikan. Fokus buku ini adalah untuk mengajak pembaca menilai semula neraca fikir dan berani berfikir dalam konteks yang lebih luas dan rencam.
Syed Ahmad Fathi is an author and editor based in Malaysia. His writing regularly appeared on local online portals and in prints. He authored several non-fiction books and has edited numerous anthologies. He runs the blog Meniti Jambatan Masa.
Saya terdetik untuk membeli buku ini kerana ternampak komen negatif berkenaan buku ini. Pelik, bukan? Dan komen negatif itu ditulis oleh rakan FB yang dikenali. Tanpa mengenali siapa penulisnya, mahupun apa kandungan buku ini, saya beli buku ini disebabkan faktor itu dan tajuk buku yang turut mengundang rasa ingin tahu.
Setelah beberapa minggu di rak, barulah 'mood' hadir untuk membacanya tiga hari yang lalu. Saya kira saya baca buku ini dengan hati dan minda terbuka. Saya suka keadaan begitu, kerana kewujudan pre-existing condition yang mungkin tidak adil (bias) terhadap sebarang isu yang dikongsi dalam buku ini tipis.
Buku ini tebal, kandungannya agak berat jika anda tidak biasa membaca buku sebegini. Bahasa yang digunakan teratur dan agak tinggi, isu yang ditulis pelbagai. Pengalaman berusrah dikongsi dan dapat dijadikan latar belakang dan faktor mengapa sesuatu isu dipilih untuk dikupas panjang, dan buah fikiran tertentu dibentuk.
Ada beberapa isu yang dikemukakan, saya tidak begitu berminat untuk membaca, seperti politik Malaysia haha. Namun topik-topik lain seperti Islam, perjuangan, pengorbanan dan dakwah menjadi fokus utama dalam penulisan buku ini.
Perkara yang paling saya suka dalam buku ini ialah perkongsian mengenai buku-buku yang dibaca oleh penulis, yang diselitkan di hampir setiap bab. Saya akan baca dengan penuh minat, menanda dengan pen penyerlah dan kongsi di media sosial. Itu salah satu strategi juga untuk mempromosi buku ini. Alhamdulillah ada beberapa bertanya di mana untuk membelinya.
Untuk seseorang yang berusia agak muda dan mempunyai buah fikiran sebegini, suka membaca, berfikir dan berdakwah (tidak boleh difahami dengan pengertian persepsi yang ortodoks/tradisional), saya kira sebuah buku yang patut dibaca oleh lebih ramai ahli masyarakat.
Satu kekurangan yang saya ingin kongsikan sebagai penambahbaikan ialah bersifat editorial. Mungkin boleh susun semula artikel mengikut topik/segmen yang lebih jelas. Line spacing seharusnya diseragamkan. Margin perlu diperbaiki, dan rekaan kulit buku perlu ditambah baik supaya lebih menarik.
Saya membaca buku “Berfikir tentang Pemikiran” sebanyak dua kali. Membaca kali kedua supaya dapat menulis ulasan buku ini dengan lebih baik. Pada pendapat saya, buku ini sangat sesuai dengan pemuda yang masih atau pernah terlibat dengan gerakan Islam,usrah dan ada semangat islah/membaiki masyarakat. Kalau tidak pernah terlibat, pembaca mungkin akan sedikit terkejut. Buku ini juga sesuai untuk sesiapa sahaja yang berminat dengan isu politik negara dan luar negara dan bukan seorang yang penyokong “fanatik’’. Penulis neutral dalam isu politik dan mengkritik semua parti. Saya rasa tema buku ini juga tema berfikir dan pandang dari sudut yang jauh.Penulis bawakan kisah Carl Sagan yang melihat gambar bumi dari jarak 6 billion kilimoter yang diambil dari camera Voyager-1 iaitu gambar bumi yang kelihatan sangat kecil. Pada pendapat saya, itu satu kisah pedoman yang baik untuk seorang pemikir. Kadang-kadang manusia perlu melihat dari skop yang lebih jauh, luas untuk apa-apa persoalan atau masalah. Lihatlah dunia luar, jangan melihat dalam kelompok sendiri sahaja. Di dalam buku ini penulis banyak memberi rujukan dan contoh-contoh dari pandangan luar dan besar dan saya akan petik beberapa dalam ulasan ini. Ada pepatah Arab lebih kurang begini maksudnya tangan/kuku sendiri lebih tahu di mana bahagian yang gatal untuk digaru.(Hazrul Hazwan pernah cakap pepatah ini dalam program usrah di Moscow, saya cari di google tidak jumpa pula .Tapi pernah ternampak di dalam buku Hamka).Maksudnya manusia lain-lain rasanya dan apa yang manusia tersentuh .Ulasan saya ini ulasan yang general dan sedikit pendapat peribadi untuk dikongsi dan akan menyentuh beberapa topik yang diutarakan oleh penulis yang bagi saya menarik untuk diamati. Dalam buku ini saya ingin menyentuh beberapa topik yang ditulis oleh penulis.
1.Dakwah : Isu dakwah, tarbiyah dan pengerakan penulis memberi mesej dan nasihat untuk pendakwah dan gerakan dakwah .Dakwah perlukan kefahaman, tidak cukup dengan semangat sahaja. Penulis menukilkan kisah dari seorang penulis bernama Naíma Robert dalam bukunya ‘From my sister’s lips’. Nai’ma menceritakan bahawa kebanyakan wanita barat memilih Islam adalam kerana kefahaman mereka setelah mengkaji, bertanya dan membaca mengenai Islam. Dakwah juga perlukan pengorbanan dan keikhlasan. Penulis memberi contoh kenalan-kenalan beliau yang beliau segani dan salah satu sebab beliau terus konsisten dalam jalan dakwah adalah kerana contoh-contoh yang baik dari murabbi-murabbi beliau. Sebenarnya dengan berkorban membuatkan hati anak didikan kita lebih terpaut dan itulah juga cara Nabi. Ada pautan hati dalam berdakwah. Saya pernah membaca satu kisah sahabat nabi yang memberitahu ,mereka rasa macam merekalah yang paling disayangi nabi dek kerana layan Baginda terhadap mereka. Isu ikhlas pula saya setuju dengan pandangan penulis bahawa tidak salah mengwar-warkan kebaikan kita supaya dapat dicontohi oleh masyarakat. Sekarang ini kisah-kisah tidak bermanfaat dan trend semasa seperti menari tepi kereta lebih dipublisitikan berbanding perkara yang baik.Dakwah juga perlukan konsitensi. Pembaca mesti terkejut kerana penulis membaca contoh ulasan Noam Chomsky tentang gerakan parti komunis. Gerakan tersebut kuat pada waktu itu kerana continuity dan kosistensi manusia-manusia yang terlibat. Di dalam isu dakwah, saya sangat suka dengan hujung bab 5 “Sisi-sisi yang tidak dapat ditinggalkan’’ dalam bahagian ‘siapa yang perlu berdakwah’. Bagi saya semua umat Islam yang rasa selesa dalam kelompok sendiri harus membacanya. Penulis menceritakan pengalaman beliau di Saint Petersburg bergaul dengan orang-orang Uzbekistan. Untuk pengetahuan semua, Imam Bukhari yang terkenal dengan kitab Sohih Bukhari berasal dari sana. Bukhara adalah merupakan bandar di dalam Uzbekistan. Tetapi sedihnya kebanyakan orang Uzbekistan yang penulis bergaul sangat kurang kefahaman dan praktis mereka dalam Islam. Mereka tidak berpuasa dengan konsisten dan malah ada juga yang meminum arak. Pada pendapat penulis, mereka hanyalah mangsa sistem sekularisma yang mencengkam wilayah mereka yang diwarisi dari kesatuan soviet yang komunis dan ateis. Sekiranya mereka lahir di negara yang mengamalkan Islam, dalam keluarga yang mengamalkan Islam, dan dibesarkan dengan didikan Islam mungkin mereka tidak sebegitu. Pada pendapat saya, kita sepatutnya bersyukur dengan nikmat kefahaman tentang Islam. Kadang-kadang kita ini baik bukan sebab sendiri. Kita hanya beruntung,bernasib baik sahaja. Saya dahulu macam rasa marah dengan kenalan-kenalan yang tidak solat tetapi saya rasa mungkin isu itu berakar dari didikan zaman kecil lagi. Dari marah saya menjadi kasihan. Di sebalik kisah sedih tadi, penulis berkongsi juga kisah yang baik tentang orang Uzbekistan, bernama Hamidullah. Beliau merantau mencari kerja, sementara itu beliau membuka kelas pengajian al-Quran percuma di masjid. Begitulah semangat Islam yang ada dalam diri beliau. Penulis juga disapa oleh orang tua di sana yang masih belajar iqra, mengenal huruf arab dan mengatakan kita sangat beruntung. Bagi saya kisah ini sepatutnya memberi semangat dan keinsafan tentang diri sendiri. Adanya insan-insan ikhlas seperti Hamidullah, Islam akan bersinar semula dan sama ada kita terlibat atau tidak janji Allah pasti datang. Untuk pengetahuan penulis, saya berkongsi kisah ini dengan seorang pemuda yang terlibat dengan tabligh. Saya jumpa pemuda itu di surau ketika saya berehat, menunggu isteri saya di klinik kesihatan. Ketika itu saya memang tengah membaca buku tuan penulis, dan saya gembira dapat berkongsi kisah orang Uzbekistan ini dengan pemuda tersebut.
2.Politik : Bagi saya bab 10 “Kritik terhadap politik tempatan dan antarabangsa” adalah bab paling panjang dalam buku ini. Saya paham apa yang penulis cuba sampaikan. Apakah itu demokrasi? Demokrasi ini sistem Islamkah? Jika Islam benarkan, acuan yang bagaimana yang boleh? Bagi saya , semua manusia perlu faham politik ini bukanlah isu 0 atau 1 semata-sematanya. Kebanyakan dalam ‘’grey area’’. Kalau seseorang terlalu jumud dalam isu politik, bagi saya dia tidak membaca. Isu politik juga sangat penting untuk kita terbuka. Di zaman sahabat, gerakan Syiah ini adalah lebih kepada gerakan politik, kini ia berubah kepada gerakan agama yang bagi saya sudah menyeleweng kefahaman mereka tentang Islam. Dalam topik ini saya suka isu American Exceptionalism. Saya rasa ini skop besar seperti melihat bumi dari jauh jugak untuk kita memahami isu politik dan demokrasi dengan lebih luas.Bagi saya, isu exceptionalism dan rasa exclusive ni pun terlibat dalam gologan kecil juga, seperti rasa kelompok sendiri lebih baik( keluarga, politik, bangsa) dari kelompok lain. Antara topik dari sudut pandang yang jauh yang dibawa penulis adalah tentang autobiografi Nelsom Mandela, ‘Long Walk to Freedom’ dalam isu menangkap imiginasi rakyat biasa. Bagi saya semua rakyat perlu tahu tentang kisah ini supaya kita boleh bertanya pada diri sendiri. Betul ke ahli politik ini ambil kisah tentang kita seperti Nelsom Mandela? Isu kesatuan juga dibincangkan. Berpecah memang melemahkan sesuatu organisasi, tetapi memang menjadi lumrah manusia akan berbeza pendapat. Dalam bab kritikan tentang perpecahan pegerakan Islam dan parti politik, penulis ada memberi contoh bagaimana negara Eropah Bersatu membentuk European Union, dan berjaya membawa wilayah mereka menjadi satu kuasa kuat yang mampu menyaingi hegemoni Amerika walaupun sebenarnya mereka berbeza. Topik politik ala Machiavellianisme juga suatu yang baru untuk saya. Quote "it is much safer to be feared that loved’’ itu sangat tepat. Penulis menerangkan hasil kajian Machiavelli tentang sejarah-sejarah politik dahulu, bagaimana kuasa pemerintahan boleh jatuh dan bagaimana ia boleh berkuasa dengan stabil. Point penting dari hasil kajian beliau adalah moral dan politik adalah sesuatu yang tiada kaitan.
3.Perjuangan : Semua manusia adalah pejuang, pentingkan hal diri sendiri juga adalah pejuang. Tetapi kita perlu lebih dari itu. Penulis membawa kisah dari buku seorang penulis Profesor Norman G. Finkelstein bertajuk ‘The Holocaust Industry’ . Finkelsten mengkritik Israel dalam buku dan hasil kajiannya tentang Holocaust walaupun beliau adalah seorang YAHUDI. Beliau aktivis yang aktif berjuang untuk hak rakyat Palestin. Begitulah contoh yang patut kita ambil. Seorang yang setelah mengetahui kebenaran, memeluk erat dengan pegangan itu. Fikelstein walaupun seorang yahudi, beliau melawan bangsanya sendiri, memilih berjuang menjangkaui perjuangan peribadi. Ini pengajaran yang penting dalam tema perjuangan.
4.Berfikir/Berdebat/Memberi pendapat Isu berdebat ini quote ini sangat penting bagi saya. “The most difficult subjects can be explained to the most slow-witted man if he has not formed any idea of them already; but the simplest thing cannot be made clear to the most intellingent man if he is firmly persuaded that he knows already, without a shadow of doubt, what is laid before him ‘’ -Leo Tolstoy . Dalam beberapa hari lepas, saya berbeza pendapat, berdebat di facebook dan terus saya teringat quote ini. Pada pendapat saya kebanyakan manusia sudah ada pegangan masing-masing ketika berdebat. Susah untuk kita bersemuka, berdebat untuk menjadi pendengar dahulu, memahami buah fikiran lawan kita dan kemudian berubah. Saya pernah berborak dengan penulis sewaktu di dalam pengajian di Selatan Malaysia. Penulis berkongsi cerita tentang debat Sunnah-Syiah di Perak. Penulis ada nukil kisah ini di buku beliau. Di akhir debat tersebut, pedebat Syiah berkata beliau pun tidak mahu sesat, semua orang mencari kebenaran. Penulis dan saya setuju dengan kenyataan itu. Semua orang hendak berada di pihak benar dan siapa ingin di pihak yang salah(kecuali ada kepentingan dan isu ego seperti Arab Quraish). Kadang- kadang kita perlu tahu sebab apa kebenaran bagi orang yang lain dari kita berbeza pula. Iya hidayah milik tuhan. Penulis juga pernah memberitahu saya yang beliau membaca buku tentang atheis, di dalam buku ini beliau nyatakan juga tentang bacaan beliau dan mendengar perbincangan orang ateis seperti Richard Dawkins. Bagi saya itu tidak salah dan mencari kebenaran memerlukan kita berfikir, menganalisa. Mungkin tersalah dalam apa-apa pendapat itu lumrah. Penulis membawa skop pandang jauh tentang isu mencari kebeneranan dan berani untuk berfikir dengan berkongsi kisah Aristotle. Aristotle membuat kesimpulan bumi berbentuk bulat , bukan mendatar dan bumi merupakan pusat alam. Matahari ,bulan mengelilingi bumi. Di zaman itu semua orang menganggap bumi ini mendatar. Kemudian, setelah manusia semakin maju dalam bidang sains dan astronomi, ternyata pandangan bumi adalah bulat betul tetapi bumi adalah pusat alam adalah salah. Namun, Aristotle masih dikenang sebagai seorang pemikir yang hebat walaupun model bumi beliau tidak tepat sepenuhnya. Beliau adalah seorang pemikir yang berani. Teringat saya tentang tulis komen di facebook. Di dalam isu Syiah, seorang ustaz membawakan hasil kajian beliau dengan dalil-dalil dari sejarah dan juga bukti tentang salah paham Syiah tentang agama dan kenyataan-kenyataan dari pihak Syiah. Kemudian seorang memberi komen yang berbunyi begini,"Takkan lah tok guru tak tahu tentang ini. Aku tak percaya kau. Aku lebih percaya tok guru aku”. Begitu dangkalnya manusia sebegini. Tidak mengunakan anugerah akal dari tuhan untuk berfikir, hanya mengikut sahaja. Saya sangat marah ketika membaca komen tersebut. Saya yakin saranan membaca dalam Islam juga bermaksud membaca, menganalisa dan berfikir. Itulah saranan yang pertama dalam Islam dan sangat cocok untuk zaman ini. Owh isu fictional reality juga menarik.
5.Ekonomi: Penulis memberi penerangan tentang Kapitalisme dan Komunisme. Ada istilah-istilah baru yang saya dapat belajar seperti kaum proletariat, borjuis dan nama-nama seperti Adam Smith dan Karl Marx. Walaupun pemikiran komunis, sosialis agak radikal kerana isu tidak percaya kepada kewujudan tuhan, tetapi idea komunis ada menyumbang juga dalam sistem sekarang. Sistem bekerja 8 jam sehari merupakah hasil perjuangan idea tersebut. Saya baru tahu tentang itu setelah diterangkan oleh penulis di dalam buku ini. Antara topik yang menarik bagi saya adalah kajian daru buku bertajuk 'Why Nation Fail'.Ia adalah kajian berkenaan faktor sesebuah negara maju dari segi ekonomi. Adakah faktor geografi, hasil bumi atau faktor lain? Kesimpulan buku tersebut, faktor terbesar adalah dari polisi negara dan institusi politik negara tersebut. Polisi yang elok membuat rakyat kreatif. Saya ada kawan yang cemerlang dan ada idea yang bernas dalam bisnes. Sekarang beliau berjaya juga.(bukan niaga kedai makan atau jual produk kecantikan)
Penambahbaikan Saya tahu sebahagian dari kandungan buku adalah dari blog penulis. Ada sebahagian topik penulis mengunakan ganti nama diri aku, kebanyakan gunakan perkataan saya. Mungkin perlu selari? Kemudian,saya rasa kalau disusun kembali sebahagian tajuk dalam tajuk besar lagi baik. Seperti tajuk dakwah dan kemudian subtopik pandangan penulis, tajuk politik dan ada subtopic pendapat penulis. Tetapi saya paham konsep buku ini, seperti travelog. Buku Ustaz Hasrizal berbentuk begini juga. Ada satu perengan yang saya rasa kurang jelas. Muka surat 263, perengan ke 3.
Terakhir, saya berharap 10 atau 20 tahun akan datang penulis dapat mengkritik padangan penulis sendiri yang penulis rasa mungkin isu sekian-sekian sudah berubah atau tersalah. Haha review buku seperti sinopsis pula.
Aku rasa semua orang kena baca buku ni. Buku ni banyak bercerita tentang bermacam jenis pemikiran menurut perspektif penulis. Tema utama buku ini ialah pembentukan pemikiran seorang Muslim sejati. Sebagai Muslim, kita akan berhadapan dengan bermacam rencam pemikiran yang menjadi batu penghalang dan dugaan untuk menjadi seorang Muslim sejati. Dari sekecil-kecil institusi sehinggalah sebesar-besar institusi.
Pada awalnya, aku agak sedikit skeptikal dengan penulis sebab aku rasa penulis akan bersifat tak neutral dalam penulisannya. Tapi, ternyata jangkaan aku meleset. Penulisan dan ulasan yang diberikan sangat baik dan tidak berat kepada sesuatu pihak/perkara. Dan cara penulis selitkan elemen keagamaan dalam isu kritikal seperti politik dan ekonomi memang patut dipuji. Kritikan yang diberikan sememangnya membuka mata kita untuk melihat sesuatu perkara dari banyak perspektif.
Dari isu feminisme, sekularisme, sehinggalah ideologi politik dan perbandingan ekonomi kapitalis dan komunis, semuanya diolah dan dikritik dengan baik. Perasaan skeptikal aku bertambah kuat dalam bahagian kritikan politik dalam negara. Tapi, penulis dah membuktikan sebaliknya. Penulis mengkritik secara adil tanpa memandang parti sama ada parti dalam kerajaan, parti pembangkang mahupun parti yang memperjuangkan Islam. Aku suka pegangan yang dibawa oleh penulis iaitu biarlah dilabel lalang asalkan tidak mengiyakan yang salah, menyalahkan yang betul atau dalam erti kata lain taksub. Penulis ada menyentuh mengenai pemikiran binari dalam kalangan penyokong parti politik iaitu pemikiran yang hanya mempunyai 2 unsur; ya/tidak, hitam/putih. Pada pendapat aku, pemikiran binari ni terlalu jumud.
Penulis ada membincangkan tentang peranan buku dalam kehidupan manusia. Buku mampu membuatkan kita bergaul dengan lingkungan daripada luar bidang kita dengan hanya membaca. Buku mampu mencambahkan pemikiran kita sekaligus membantu kita membuat hujah yang tidak merapu dengan hanya membaca. Kuasa politik juga mampu dicabar dengan hanya membaca. Ya, itulah kuasa buku!
Aku bersetuju 100% dengan penulis di mana pengharaman buku sudah tidak lagi relevan pada masa kini. Jika anda ingin membaca mengenai fasisme? Silakan. Jika anda ingin membaca mengenai komunisme? Silakan. Jikan anda ingin membaca mengenai atheis? Silakan. Yang penting anda tahu mengenai batas-batas akidah dan anda tahu membezakan baik dan buruk. Tak semua perkara daripada pemikiran-pemikiran yang kita anggap berbahaya dan membawa keburukan ini perlu kita tolak kesemuanya.
Penulis ada menyelitkan beberapa puisi dalam buku ni. Untuk orang yang tak minat sastera macam aku, aku rasa puisi tak bagi apa-apa kesan pada aku. Untuk orang lain mungkin ya. Tapi tak bermakna puisi yang ditulis tu tak bagus. Mungkin ada nilai-nilai tersirat yang aku sendiri tak nampak.
**buku yang dikemaskini, diterbitkan oleh bibliobuku
Buku ni adalah kompilasi isu-isu semasa yang dikupas secara kritis dari sudut pandang yang berbeza. Kupasan penulis nadia kira lengkap meliputi permasalahan dalam organisasi Islam dan gerakan dakwah. Turut diselitkan isu politik tempatan dan antarabangsa. Selain itu, penulis juga memuatkan isu sosial, pendidikan dan ekonomi, melalui pengalaman, pemerhatian dan pembacaan beliau.
Nadia sangat tertarik dengan pendekatan yang digunakan iaitu, subtopik pendek setiap bab lebih kurang 2-3 m/s (jadi tak rasa bosan dan meleret) Selain itu, penulis mengambil contoh daripada buku, kata-kata penulis, dan 'quote' daripada buku yang dibaca. Susunan penulisan juga kemas dan teratur sebab ia disusun daripada isu yang ringan dan menarik perhatian sehingga ke isu besar dan mencabar di akhir bab😍
Tapi di pertengahan bab, isu yang dibawa agak berat dan kupasan yang panjang seperti realiti politik dan ekonomi 🙈 apapon sangat bagus untuk kita tahu hal-hal ni👍🏻 bila lagi kan?
Keseluruhannya, buku ni sangat membuka mata, membuatkan kita rasa nak membaca lagi, nak tambah ilmu lagi! dan mengajak kita untuk 'paksa' otak berfikir secara kritis!
**agak berat bagi yg tak biasa baca buku macam ni, tapi i really enjoy reading it!
"Science and religion are not at odds. Science is simply too young to understand" Pemikiran itu perlu kritis dan seharusnya selari dengan kehandak Pencipta. Agar pemikiran insan tidak jatuh ke lembah kerosakkan yang difikir baik oleh manusia. Perkongsian dalam jalan merubah masyarakat yang sangat menarik. Pemikiran-pemikiran kritis yang perlu ada dalam setiap reformis. Jalan perubahan itu tidak mudah, namun pengalaman yang dikongsi sangat membantu utk generasi seterusnya jadikan panduan dalam berjalan.
Cumanya, Perlu lagi kepada penulisan yang lebih tersusun dan berkait setiap bab yang disampaikan. Penceritaan mengenai pemikiran politik rakyat Malaysia sebaiknya ditulisdi buku berasingan. Walaubagaimanapun, pemikiran yang baik utk dijadikan panduan pembaca.
Pada awalnya, saya menyangka bahawa buku ini mengetengahkan falsafah sebagai isi utama buku. Melihat kepada kulit buku, saya tertipu. Tapi andai takrifan falsafah itu ialah proses berfikir, maka andaian itu betul. Buku ini tiada tema. Kumpulan tulisan-tulisan pendek Syed Ahmad Fathi berkenaan kehidupan. Ada yang terbit daripada pengalaman, ada yang munculnya daripada proses pemikiran. Apa jua sekalipun, buku ini insyaAllah akan membuatkan anda berfikir dan kembali merenung puing-puing kehidupan yang telah ditinggalkan.
Ada kritikan dan bangkangan, saranan dan penambahbaikan yang terhasil daripada pembacaan dan pengalaman. Buku ini santai, tidak berat. Hatta fakta-fakta sejarah dan teori dipermudahkan bahasanya.
Sebahagian besar bahagian buku ini bercerita tentang dakwah dan tarbiah. Bagi mereka yang bergiat aktif dalam haraki barangkali dapat merasai sentuhan tangan dan curahan hati penulis. Baki-baki muka surat berbicara tentang politik, pendidikan, masyarakat, ekonomi dan hal-hal lain yang menghiasi latar kehidupan bermasyarakat.
Walau ada beberapa bahagian yang saya kurang bersetuju, seperti pandangan penulis berkenaan pelarian dan semangat nasionalisme negara, juga berkenaan mencari titik persamaan (baca: mengharmonikan) teori-teori acuan Barat dan Islam (seperti Prof Syed Hussein Alatas terhadap sosialisme dan Islam), penulis telah memaklumkan terlebih dahulu bahawa tidak semesti pandangannya harus diterima. Kepelbagaian dalam memandang sesuatu perkara itu kadang memberikan kebaikan.
Satu perkara yang saya gemar ialah penulis menyelitkan buku-buku yang beliau baca. Buku-buku itu kemudiannya saya tandakan dengan pen penyerlah. Akan ada buku baharu yang dimasukkan ke dalam senarai bahan bacaan. Terima kasih!
Rumusnya, buku yang baik dan santai. Sesuai dibaca oleh semua lapisan, muda atau tua. Barangkali buku ini akan diselak semula nanti.
Beberapa tahun yang lalu, penulis telah memberitahu saya perihal buku ini ketika ia masih dalam proses pembikinan. Setelah selesai, beliau telah menerbitkan buku ini di bawah Independent Insight dengan modal sendiri dan akhirnya sekarang telah diulang cetak oleh syarikat percetakan yang lebih berpengalaman. Kepada sesiapa yang ingin mendapatkan buku ini boleh dapatkan terus di Kinokuniya.
Saya telah mengenali penulis sejak dari zaman kami di UniKL MIAT pada 2009 dan seterusnya melanjutkan pelajaran bersama-sama di Saint Petersburg. Akhirnya kini kami dipertemukan kembali apabila kami bekerja di syarikat yang sama. Boleh kata lebih kurang 12 tahun kami berkawan.
Walaupun telah lama kenal, untuk mengetahui pemikiran seorang makhluk bernama Syed Ahmad Fathi ini bukanlah mudah kerana sifat dan lagaknya yang bersahaja dan sering melawak membuatkan saya secara peribadi susah untuk meneka apa yang sedang difikirkan. Dengan membaca buku ini, saya seperti dapat melihat satu sisi yang tidak dapat saya lihat di kehidupan seharian. Segala ilmu dan pandangan beliau telah dimuatkan dalam buku yang kompleks ini. Semoga Syed Ahmad Fathi akan terus sukses di masa akan datang dan mengeluarkan buku lagi.
2. Kehidupan dan Dakwah
Di awal buku ini, penulis banyak menceritakan pengalamannya dalam dunia dakwah semenjak beliau kecil, kemudian memasuki sekolah agama berasrama di utara Malaysia dan seterusnya perjalanan dakwah itu diteruskan di bumi Soviet.
Jujur saya katakan, saya tidak bergiat aktif dalam aktiviti-aktiviti dakwah di Rusia dahulu lebih-lebih lagi yang memerlukan untuk bergerak jauh seperti ke Moscow yang mengambil masa 7-8 jam perjalanan dengan menaiki keretapi. Hanya sekadar mampu menghadiri usrah kecil-kecilan yang diadakan di rumah kami setiap hari Khamis.
Penulis banyak berkongsikan kisah perjalanan dakwah beliau semenjak beliau belajar di sekolah berasrama di Perlis. Melalui penceritaan penulis, ia memberikan satu gambaran kepada says tentang sekolah aliran agama (kerana saya sekolah yang beraliran sains) dari segi struktur dakwah dan tarbiyah, konsep pendekatan dakwah secara adik-abang dan sebagainya. Namun yang menjadi saya tertarik adalah pengorbanan yang ditempuhi penulis dan rakan-rakannya yang terpaksa berkorban wang dan masa demi dakwah. Bagi saya ini adalah bahagian yang paling kritikal kerana bukan semua orang yang mampu melakukan hal yang sama seperti apa yang di kongsikan penulis.
3. Ilmu tanpa batasan
Saya tertarik dengan kisah yang ditonjolkan penulis berkenaan dengan seorang pakcik yang ditahan selepas didapati menyertai Ikhwanul Muslimin di Mesir. Pakcik itu hanyalah seorang tukang kayu namun ceramahnya banyak dihadiri oleh golongan bijak pandai termasuk golongan ilmuan dan profesional. Dalam kehidupan, kita selalu terdengar dengan ungkapan “dia ni memang tak boleh pakai langsung”. Saya teringat suatu ketika dahulu, guru saya pernah berpesan bahawa setiap manusia yang diberikan kesempatan lahir di dunia ini adalah beruntung dan tidak ada seorang pun yang diberikan kehidupan yang sia-sia. Sedangkan binatang yang tidak mempunyai akal itu pun mampu mengajar kita akan beberapa perkara, inikan pula manusia. Dalam buruknya, saya percaya pasti ada satu dua perkara yang kita boleh belajar dari manusia lain.
Penulis berkongikan pengalaman beliau ketika berdiskusi dengan seorang pakcik pemandu teksi berkenaan politik dan Islam di Malaysia. Penulis bertanya beberapa soalan sensitif seperti adakah kita perlu memilih pemimpin yang beragama Islam atau yang bukan beragama Islam ketika pilihanraya. Pakcik tadi memberikan jawapan yang bagi saya cukup mudah dan bernas.
Saya bersetuju 100% bahawa pemimpin yang beragama Islam tetapi berpaksikan sistem jahiliyah perlu ditolak, manakala pemimpin yang bukan Islam tetapi berlaku adil dan tidak meruntuhkan syiar Islam, perlu didukung. Sebagai contoh pada hari ini, saya lebih memilih Uncle Kentang untuk menjadi wakil rakyat dari pemimpin zalim yang berbangsa Melayu dan Islam. Intinya dalam memilih pemimpin, selagi mana seseorang itu boleh berlaku adil dan tidak menyalahi hukum fikrah manusa dan Islam, kita sebagai rakyat perlu menyokongnya walaupun berlainan bangsa dan agama.
Kita perlu bijak dalam menilai percaturan politik di negara ini. Ada segelintir manusia yang cuba memainkan sentimen politik kebencian yang berselindung di sebalik topeng nasionalisme. Pada pendapat saya, nasionalisme itu penting dan perlu dalam kehidupan seluruh rakyat Malaysia asalkan tidak terlalu disempitkan skopnya sehingga menidakkan segala apa yang datang dari golongan yang pada fikiran kita bukan nasionalis.
4. Dakyah pemikiran liberal
Masyarakat pada hari ini keliru dan dipesongkan dengan dakyah pemikiran liberal. Media telah menjadi satu medium yang paling pantas dalam melebarkan sayap-sayap ideologi liberalist. Penulis menekankan pesanan Dr. Yusuf Al-Qardhawi yang mengingatkan umat Islam akan perkara ini di dalam bukunya yang bertajuk “Pemuda Islam Yang Dijanjikan”.
Sejarah telah membuktikan dan seharusnya kita belajar dari kesilapan lampau. Saya percaya bahawa dalam usaha mengeksploitasi sesebuah bangsa dan negara, caranya bukan sahaja menggunakan kekerasan dan paksaan. Malah boleh saya katakan bahawa cara ini rumit, mahal (kos peperangan dan persenjataan) dan tidak mampu kekal lama (sustainable). Cara yang paling ampuh dan licik adalah dengan menyerang kepercayaan dan mengubah pemikiran mereka dengan pemahaman-pemahaman yang mengikut acuan kita atas nama modenisasi. Lihat sahaja apa yang berlaku di Turki. Kerajaan khalifah yang memerintah telah mampu bertahan dari pelbagai serangan selama ratusan tahun. Namun semuanya hilang dalam sekelip mata disaat rakyatnya disogok oleh pemikiran sekularisme.
Salah satu kenyataan yang begitu menyentuh jiwa saya dari penulis adalah “Hari ini kita melihat kekufuran sebagai lambang kebebasan dan kefasikan itu adalah seni dalam kemajuan”. Mahu atau tidak, manis ataupun pahit, itulah kenyataan paling tepat yang menggambarkan situasi yang terjadi dikalangan umat Islam di negara ini. Bila mana kita melihat generasi muda menganggap usaha dakwah sebagai sesuatu yang kolot dan mengongkong, kita perlu tahu bahawa umat kita dalam bahaya.
5. Pemikiran separatisme dan eksklusivisme dikalangan pendakwah
Pada kurun ke-5, Aristotle pernah mengetengahkan teori “causality” yang secara mudahnya setiap perkara yang terjadi mesti ada penyebab. Seperti isu yang telah saya ulas dari penulis sebelum ini, kita tidak boleh hanya melihat kepada masalah liberalisme (effect) semata-mata tanpa kita siasat apakah perkara yang menjadikan masalah ini kian merebak dikalangan masyarakat (cause).
Penulis telah menonjolkan dua masalah utama yang cukup besar dikalangan pendakwah bukan sahaja di peringkat bawah, tetapi juga di peringkat nasional. Menurutnya, sebagai orang Islam, kita seharusnya menggabungkan diri dengan masyarakat, bukan berpisah dan duduk dalam kepompong eksklusif.
Penulis menceritakan pengalaman beliau yang sungguh menarik saat beliau merantau ke Kazan, ibu negeri Republik Tatarstan. Disana beliau berkesempatan bertemu dengan Imam Ramil Hazrat Yunusov di Masjid Kul Sharif. Tatarstan merupakan sebuah negara republik yang majoriti rakyatnya beragama Islam, setelah menerima pengaruh agama Islam yang kuat dari Volga Bulgaria; negara Islam yang pertama dalam sempadan Rusia moden suatu ketika dahulu.
Saya bersetuju dengan penulis dengan menjadikan Tatarstan sebagai salah satu contoh terbaik untuk menggambarkan bahawa walaupun mereka berfahaman Islamik, namun mereka tidak mempunyai masalah untuk bergabung dan berasimilasi dalam sebuah federasi yang sekular. Berbanding dengan Chechnya, Dagestan dan Ingushetia yang mempunyai gerakan separatis dan mahu negara mereka bebas dari campur tangan Moscow sehingga terjadinya peperangan yang mengorbankan nyawa insan yang tidak berdosa.
Di Malaysia pula, penulis berpendapat bahawa gerakan-gerakan dakwah yang pernah beliau sertai mempunyai pemikiran eksklusivisme. Kebanyakkan dari tenaga dakwah tersebut datang dari keluarga pendakwah dan terdedah dengan proses tarbiyah sejak dari kecil. Mereka ini membesar, dan mengenali antara satu sama lain dan akhirnya program-program dakwah yang dijalankan hanya berkitar dikalangan mereka juga. Saya tidak pasti akan fenomena sebegini kerana seperti saya katakan di awal ulasan ini, saya bukanlah individu yang terlibat secara langsung dalam proses dakwah. Saya berpendapat kemungkinan kenyataan ini benar adalah tinggi memandangkan saya telah mengenali penulis dengan rapat dan tahu akan aktiviti dakwah yang pernah beliau sertai.
Penulis mengkelaskan golongan ini sebagai “born daei” dan “ready made activist” yang menjadi pendakwah bukan asalnya datang dari kemahuan diri sendiri tapi hanya mengikut jalan yang sudah disediakan oleh ibu bapa mereka yang merupakan senior dalam dunia dakwah. Saya berpendapat bahawa ini bukanlah isunya dan penulis tidak mempunyai apa-apa masalah dengan golongan sebegini kerana penulis juga datang dari keluarga pendakwah tetapi penulis mengkritik sifat eksklusivisme yang terjadi di kalangan mereka.
Saya juga melihat barah eksklusivisme ini sebagai suatu masalah yang perlu dibendung dan dirawat segera supaya institusi gerakan dakwah tidak dicop sebagai hak eksklusif keturunan dan keluarga semata-mata. Hal ini akan menyebabkan lebih ramai masyarakat luar yang merasakan mereka tidak layak dan menjauhi gerakan dakwah di Malaysia.
Pada skala nasional pula, penulis menyentuh tentang sifat eksklusivisme negara kita dalam mengendalikan isu pelarian Rohingya. Isu ini juga merupakan isu yang hangat kami debatkan di podcast tempoh hari.
Penulis berpendapat bahawa negara kita jelas menunjukkan sifat eksklusivisme dengan melarang sesetengah pelarian Rohingya untuk berlabuh di perairan Malaysia. Menurut penulis lagi, sifat eksklusif yang ditunjukkan dalam hal ini dipacu oleh kefahaman nasionalisme yang ekstrem.
Saya kurang bersetuju dalam hal ini. Setiap negara di atas muka bumi ini mempunyai hak dan aturan dalam menerima kemasukan warga asing. Hak ini bukan hanya terpakai untuk pelarian Rohingya sahaja tetapi kepada semua yang statusnya bukan rakyat tetap sesebuah negara. Adakah terma eksklusivisme ini masih valid dalam hal ini?.
Namun begitu saya bersetuju dengan penulis bahawa kita perlu cuba yang terbaik dalam mengendalikan kes pelarian Rohingya ini atas dasar kemanusiaan dan tuntutan agama supaya berbaik baik sesama manusia. Satu perancangan yang rapi perlu dirangka untuk mengelakkan pelarian-pelarian ini dari terbiar tanpa arah dan akhirnya menyebabkan kematian.
6. American Exceptionalisme
Salah satu perkara yang sangat menarik minat saya adalah bila penulis menyentuh sifat berkecuali yang dipraktikkan oleh Amerika Syarikat. Perkara ini bagi saya bukanlah perkara yang asing dan baru dikalangan kita kerana Amerika sudah sejak azali cuba menjadi hero dalam segala hal.
Menurut apa yang penulis ulas, Howard Zinn pernah menerangkan bahawa setiap negara adalah unik; unik dalam erti kata yang spesifik yang membezakan sesebuah negara dengan negara yang lain. Menurutnya Amerika itu unik disebabkan sifatnya yang superior dari sudut teknologi, kemajuan dan ketenteraan sehingga membawa kepada self-congratulation.
Penulis juga mengetengahkan idea Chomsky yang beranggapan bahawa sikap exceptionalisme ini bukan hanya ada pada Amerika sahaja bahkan Great Britain juga pada suatu ketika dahulu merasakan mereka ini lebih maju dan superior dari negara-negara lain sehinggakan terbit frasa “The sun never set on the British Empire”. Mereka lalu merasakan menjadi tanggungjawab mereka untuk menjajah dan mengubah negara-negara lain yang dikatakan mundur untuk hidup lebih bertamadun. Lihat sahaja negara kita yang tercinta ini. Kita dapat lihat corak sistem tinggalan Empayar British masih kekal dalam pemerintahan negara kita seperti sistem perundangan contohnya.
Saya sangat tertarik dengan kenyataan yang diselitkan oleh penulis yang datang dari dua bekas setiausaha Amerika Syarikat:
“We have the right necessary to act unilaterally” – Madeleine Albright, 1997-2001
“This principle of our right to act unilaterally should not be universalized” – Henry Kissinger, 1973-1977
Lihat betapa angkuhnya kenyataan mereka. Pertama, mereka kata mereka mempunyai hak untuk bertindak secara superior dan yang kedua melarang pula pihak lain untuk bertindak seperti mereka.
7. Demokrasi Acuan Amerika
Amerika merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem politik demokrasi di negara mereka. Seperti kelazimannya, Amerika juga turut cuba ‘mendidik’ negara-negara lain dengan demokrasi cara mereka yang didakwa lebih bagus dan baik. Sebaliknya, apa sahaja usaha Amerika untuk campur tangan dalam urusan negara lain atas nama demokrasi adalaha dongeng semata-mata. Dalam hal ini, Amerika jelas merupakan sebuah negara yang penipu dan pembelit. Menerima ‘demokrasi’ cara Amerika umpama menerima api di dalam sekam. Mereka berlagak seolah-olah raja dalam dunia demokrasi tapi mereka juga yang paling banyak menokok tambah sistem demokrasi tersebut bila acuannya tidak selari seperti apa yang dirancang.
Saya bersetuju dengan penulis dengan mengambil contoh negara Mesir. Masih ingatkah kita disaat Mohamed Morsi diangkat menjadi presiden Mesir yang dipilih secara demokratik melalui pilihanraya pada tahun 2012? Pada waktu itu kita dapat melihat media massa melaporkan secara langsung ribuan rakyat Mesir sujud di jalanan tanda syukur.
Apabila Jeneral Abdel Fattah el-Sisi melancarkan kudeta menjatuhkan Mohamed Morsi, ini jelas bertentangan dengan aturan demokrasi. Namun begitu, John Kerry selaku setiausaha Amerika Syarikat pada ketika itu menyokong tindakan el-Sisi dan berkata bahawa pihak tentera telah berjaya mengembalikan demokrasi di Mesir. John Kerry dan konco-konconya jelas telah menghina sistem demokrasi secara total dan apa yang dapat kita simpulkan dengan bahasa mudah adalah demokrasi ala Amerika Syarikat adalah demokrasi berkepentingan.
Ada satu bahagian yang disampaikan penulis membuatkan saya tergelak. Tergelak kerana apa yang ditulis itu benar dan kelakar. Sungguhpun telah banyak yang boleh kita lihat bahawa Amerika Syarikat telah membelakangkan demokrasi dan kebebasan apabila ia bertentangan dengan kepentingan mereka, masih ada pertubuhan di Malaysia ini yang kononnya menjadi “advocates” kepada demokrasi yang berkiblatkan Amerika. Mereka ini boleh saya katakan “delusional” dan “ignorant”.
8. Kesimpulan
Buku ini dapat saya simpulkan sebagai buku yang mengetengahkan isu politik, falsafah, dan pengalaman hidup dari kaca mata seorang pendakwah. Terdapat banyak idea dan cadangan yang saya kira sangat baik dan boleh diketengahkan. Dengan membaca buku ini, anda seolah-olah membaca puluhan buku yang lain kerana banyak idea-ideanya diambil dan di ketengahkan oleh penulis. Saya jamin, dengan membaca buku ini, sedikit sebanyak akan menjentik pemikiran kita.
This entire review has been hidden because of spoilers.
Buku yang bagus, membuka topik-topik menarik untuk direnung dan difikirkan bagi setiap pembaca. Setiap wacana disentuh dengan dasar fikrah islam sesuai bagi pemuda yang melibatkan diri dalam dakwah tarbiah. Cuma perlu pada penyusunan topik yang lebih tersusun agar pembaca dapat faham flow setiap topik yang nak dibincangkan. Elok juga jika setiap topik dikupas dengan lebih mendalam sebelum disampaikan buah fikir penulis sebagai contoh mengenai topik analisis politik tanah air, sistem nasionalisme komunisme marxisme, atau mungkin penulis perlu menulis buku asing pula agar dapat fokus menceritakan bab bab ini.
Buku yang dekat realiti masyarakat dengan isu2 yang disentuh. Cara penulis mengolah isu berdasarkan quote2 yang autentik menyebabkan penceritaan menjadi serius utk difikirkan. Nice writing indeed cuma cover page kena improve bagi menarik lagi. Tak padan dengan kandungan buku yang menarik.
Buku yang sangat sesuai di baca oleh aktivis dakwah malah penulisan berkenaan kerencaman pemikiran sesuai dibaca oleh semua pemuda. Pentingnya kita menghargai dan mempersiapkan diri untuk keluar dan berdiskusi tentang ideologi dalam masyarakat. Bravo Fathi!
Penulisan yang menarik berkenaan dengan kepelbagaian pemikiran. Seharusnya kita perlu lebih terbuka kepada idea baru. Namun saya tidak bersetuju dengan analisa politiknya kerana saya penyokong Amanah
Rasanya lebih dari seminggu baru saya mampu habiskan buku ini. Buku ini sedikit tebal, tambahan pula dengan kerja yang semakin menimbun mengurangkan sedikit momentum bacaan.
Seringkali saya membawa buku ini untuk membaca ke mana mana dan mereka akan membaca tajuk dan berkata,
"Berfikir tentang pemikiran... Hmm baca tajuk pun dah pening."
Saya hanya ketawa sahaja dan menerangkan hakikatnya buku ini tidaklah berat mana. Penulis banyak menyentuh soal dakwah dan tarbiyah sambil menyelitkan juga topik politik, ekonomi, sosial dan masyarakat serta lain lain untuk kita fahami dan berfikir.
Ya, berfikir. Secara keseluruhan, saya boleh katakan buku ini membantu saya rewire kembali otak dan pemikiran saya yang dah berkarat. Banyak input penting yang boleh diambil walaupun saya tidak berapa minat dengan topik politik, tetapi yang paling penting ialah kita ambil tahu tentang isu semasa dan setempat.
Kita perlu jadi umat yang berfikir dan melaksana bagi melakukan perubahan. Setiap orang ada peranannya sendiri dan terpulang kepada kita untuk merealisasikannya ataupun tidak.
Komen saya untuk buku ini ialah sepanjang saya membaca, saya tercari cari cara atau sesuatu yang membolehkan insan biasa seperti saya untuk menyumbang apa yang saya mampu lakukan. Jujur saya katakan, saya tidak mempunyai kumpulan usrah, tidak mengikut organisasi tarbiyah atau seumpamanya dan kurang pendedahan semasa belajar.
Saya yakin ramai lagi seperti saya tidak kira yang masih bekerja atau belajar tidak tahu bagaimana langkah pertama untuk terlibat dan menyumbang di dalam dakwah. Kebanyakan daripada kita mempunyai kepakaran sendiri dan saya tertanya tanya jika kita mampu aplikasikan kepakaran tersebut dalam bidang dakwah.
Contoh, jika ada seseorang yang berlatarkan pekerjaan membina website, alangkah baik jika dia tahu bagaimana cara untuk menyumbang kepakarannya tidak kira dari segi mendidik atau membantu untuk membina website derma kilat atau sebagainya.
Masalah kita terutamanya golongan muda mereka takut untuk menyertai program seperti ini kerana rendah diri dalam ilmu agama. Pada pendapat saya, jika kita mampu mencari titik persamaan antara keduanya, sudah tentu kita dapat kembangkan lagi dakwah dan organisasi tarbiyah.
Namun begitu, saya cuma seorang pembaca buku yang cuba mencari ilmu. Masih ramai di luar sana seperti saya yang mungkin tidak pasti bagaimana ingin melibatkan diri di dalam dakwah. Mohon ditegur jika ada khilaf di mana mana. :)
Mula-mula saya baca, saya fikir buku jenis apa ni? Lepastu saya teruskan. Rasa macam bersembang dengan penulis. Bersembang dengan orang yang banyak ilmu. Saya ambil masa dalam berbulan juga nak habiskan sebab topik dia perlukan pemikiran kritis.
Secara kasarnya, buku ni ibarat luahan perspektif penulis tentang isu semasa merangkumi dakwah, ekonomi, politik, pendidikan dan banyak lagi. Apa yang ditulis buat saya buka mata luas-luas tentang dunia ni. Saya kagum dengan senarai rujukan penulis. Banyak sangat saya tab tepi sebab nak tanda dari mana maklumat yang penulis cedok. Kiranya, macam tak bercakap atas angin la.
Namun, ada beberapa perkara yang saya tidak bersetuju dengan penulis. Antaranya, penulis berpendapat bahawa golongan selebriti tidak memberi impak dalam hidup. Seolah-olah menonton drama contohnya menunjukkan seseorang tu mengambil berat tentang orang yang tidak dikenali dan ia merupakan perkara sesia. Saya nak tanya: Apa beza drama dengan novel? Kedua-duanya membawa kisah dan nilai masing-masing. Saya kira tidak sepatutnya kita pukul rata bahawa drama semua melalaikan. Ada juga buku yang melalaikan.
Selain itu, penulis membandingkan kualiti hidup rakyat Korea Utara yang sengsara dengan rakyat Malaysia yang hidup lebih mewah. Rakyat Malaysia yang dikatakan hidup mewah ini merungut tentang kesusahan hidup. Adakah kita tidak seharusnya berasa susah langsung? Mungkin kesusahan itu tidak zahir di mata kita namun kesusahan itu ada dan perlu disahkan. Mungkin penulis ingin membicarakan tentang rakyat kita yang tidak bersyukur, saya faham. Akan tetapi, menidakkan kesusahan itu ibarat menyapu habuk ke bawah karpet. Saya yakin kebanyakan orang sedia maklum yang hidup ini bukan perbandingan siapa lagi susah, siapa lagi beruntung.
Akhir sekali, penulis mengatakan bahawa orang yang tidak menyumbang kepada penyelesaian akan menjadi sebahagian dari masalah yang perlu diselesaikan. Ada kebenaran dalam kenyataan ini. Saya cuma nak bangitkan adakah tidak membuat kebinasaan (do no harm) itu tidak menyumbang langsung kepada kesejahteraan?
Saya rasa ini sahaja yang saya nak kupas tentang buku ini. Saya sarankan orang muda macam saya baca buku informatif ni. Syabas, penulis.
Saya sangat berharap agar buku ini dapat saya baca pada waktu saya masih di bangku sekolah, memasuki alam remaja, sekitar tahun 1995, sehingga melangkah masuk universiti dan tamat belajar pada tahun 2005. Namun, tidak mungkin dapat saya putarkan masa. Hampir meniti usia 40-an, saya rasa banyak ketinggalan! Banyak yang saya tidak tahu. Penulis nampaknya telah membuat "rumusan" untuk buku-buku yang pernah dibaca sepanjang hayatnya (tidak silap saya usia penulis sekarang 30 tahun), yang telah "dihadam" dan dicerna dengan lumatnya dalam minda pemikiran penulis. Rumusan? Jangan terkejut sekiranya saya beritahu jumlah mukasuratnya hampir 390 mukasurat. The topics cover almost everthing. Dari sekecil dan se"simple" topik (kehidupan peribadi), sehinggalah menyentuh soal politik dan pemerintahan sebuah negara. Bila membaca bahagian awal bab, saya pelik, Tak Kena Dengan Tajuk Lah! Berfikir Tentang Pemikiran? Seusai habis bab demi bab, saya semakin menyelami pemikiran penulis, dan benarlah, buku ini is indeed - Berfikir Tentang Pemikiran. Dari satu bab ke bab seterusnya ianya akan membuatkan anda berfikir dan maybe akan meluahkan - Ehhh Haah Kann?? Ehh Iyee Lah Kan?? Ye Tak Ye Jugakk....haishhkkk baca sendiri lah, baru tahu....
Mungkin boleh untuk dikatakan buku yang menulis dengan jujur tanpa perlu memburukkan orang lain dengan bahasa yang buruk. Kebiasaannya, ketika mengkritik sikap dan pendirian orang lain, kita ada kecenderungan untuk merendahkan. Tetapi untuk buku ini, lebih cenderung ketengahkan pemikiran.
Yang paling menarik perhatian saya tentang bagaimana penulis berjaya mengadun kandungan buku yang dibaca dengan pengalaman atau fikiran yang sedang dilalui. Bahkan, dalam satu proses itu boleh diadun 3-4 buah buku.
Jujurnya, awal-awal baca tak capai dengan jangkaan yang saya letakkan. Selepas masuk ke bab kedua, dah boleh ikut rentak gaya penulis.
Buku yang menarik, terutamanya dalam bab pemikiran. Orang Islam perlu berani berfikir, tidak hanya terkongkong dengan pemikiran-pemikiran lama. Perlu berani bereksplorasi, jangan terlalu jumud.
Persoalan politik juga menarik untuk dibincangkan. Terutamanya soal politik pragmatik versus politik moral. Cuma mungkin ini buku penulis yang pertama, jadi point agak bertaburan tidak bersusun sangat. Mungkin edisi kemas kini boleh disusun semula tajuk-tajuknya.
Sungguh padat. Pelbagai aspek disentuh, dibahas, di pertikaikan juga diberikan jawapannya tidak hanya pada aspek tertentu. Persoalan2, pengajaran2,kisah2, teguran2 sangat memberikan pelbagai solusi, membuka lebih luas pengetahuan dan sempadan ilmu.. mahupun dijadikan persediaan dan panduan di beberapa aspek buat pembaca. Sangat sesuai buat aktivis dakwah, juga remaja dan belia yang sedang meningkat dewasa. . SAF is awesome!
This entire review has been hidden because of spoilers.
Buku ini sesuai dengan pembaca yang mencari jalan tarbiah yang berkesan. Ada juga menyentuh berkaitan politik tetapi pada pendapat saya, 70% isinya berkaitan usaha dan cabaran penulis dalam menyampaikan tarbiah bersulamkan dengan pemikiran-pemikiran tradisional masyarakat yang penulis cuba untuk pembaca berfikir dan menilai. Buku ini sangat bagus.
Banyak isi-isi yang menarik, terutamanya tentang soal-soal kehidupan, membuatkan kita berfikir. Persoalan pembaharuan pemikiran saya kira akan sentiasa relevan sepanjang zaman. Cuma pembacaan beliau perlu dikembangkan agar hujah dan contoh lebih sofistikated.
Cukuplah untuk saya katakan bahawa Eisya yang 10 tahun akan datang (jika masih hidup) akan berterima kasih kepada Eisya yang sebelumnya kerana membaca buku ini!
Berfikir Tentang Pemikiran merupakan satu luahan hati daripada penulis sepanjang perkelanaan beliau dalam meniti kehidupan. Daripada seorang yang mendapat tarbiah secara langsung di sekolah agama dan disusuli dengan perkelanaan ke menara gading di luar negara. Ia dimulakan tentang perbicaraan akan kepentingan tarbiah dalam hidup seseorang. Peri pentingnya tarbiah dan usrah dalam membentuk masyarakat dan bi’ah (suasana) yang harmoni.
Sebagai seorang yang mendapat akses pendidikan dari sekolah agama dan lahir dari sistem usrah dan tarbiah, ada beberapa sisi yang aku kurang setuju. Benar naqib usrah boleh dikategorikan sebagai ‘murabbi’ yang memberi nasihat dalam membentuk perilaku dan memandu menjadi seorang Muslim yang lengkap dan sejati. Teringat pepatah Arab ada menyebut bahawa:
لو لا المربي ما عرفت ربي
“Jika bukan kerana Murabbi (guruku), mungkin aku tak kenali tuhanku.”
Tetapi untuk melazimi dalam aktiviti harian anak -anak usrah dalam menyuntik elemen-elemen yang berunsurkan ala-ala usrah tidak dipersetujui oleh aku. Ia menampilkan sisi syadid (keras) dalam membangunkan sebuah ekosistem yang ditunjangi oleh nilai dan pengamalan usrah tersebut. Malah, sistem usrah ini perlu diberi nafas baharu. Bacaan-bacaan yang menggugah dan mencabar minda.
Pembacaan yang meliputi falsafah-falsafah Yunani, perkara-perkara yang bertingkah dan bertongkah arus terutamanya dalam kritikan-kritikan untuk membangun agama Islam dan meneguhkan pelbagai aspek dengan sekukuh-kukuhnya. Ini bertepatan dengan seruan dengan Ustaz Hasrizal yang menyeru sewajarnya pendakwah-pendakwah perlu berani untuk keluar dari ruang lingkup bacaan bernafas agama dengan memperluaskan neraca bacaan mereka ke arah falsafah, kebudayaan, geopolitik dan pelbagai lagi.
Selain itu, pandangan penulis terhadap sistem dan drama-drama politik dan politikus yang dipertontonkan oleh rakyat sangat kritikal. Di dalam kritikalnya penulis, ada pandangannya yang kurang diperjelaskan terutamanya dalam hal-hal yang terkait dengan DAP. Sebagai seorang yang pernah terlibat secara tidak langsung, DAP mendukung segala yang terkandung di dalam Perlembagaan Malaysia. Namun, tidak mengenepikan langsung tintaan penulis terhadap hal politik yang begitu keras sekali.
Seperti tulisan beliau di dalam Dua Sayap Ilmu, horizon pembacaan beliau yang luas, menampilkan sisi yang pembacaan beliau meliputi pelbagai aspek dalam menukilkan kritikan, pujian, pandangan serta pembentukan pemikiran beliau dalam menilai dan memberi buah fikir terhadap sesuatu isu.
Secara keseluruhannya, buku ini menampilkan dua kekuatan, ringan dari menyampaikan hal-hal yang terkait dengan dakwah melalui isi penyampaiannya kerana penulis terlibat dan mendukung agenda dakwah melaui persatuan dan individu secara langsung dan tidak langsung. Berat dari segi perbahasan hal-hal kecil yang dipandang oleh manusia sehingga hal-hal terkait dengan isu geopolitik khususnya yang terkait dengan negara-negara Islam. Mungkin boleh diperhalusi dengan lebih lagi dengan memperkecilkan sub-bab kepada lebih banyak lagi dan menyusun setiap sub-bab dengan tema besar bab-bab tersebut.
Memperhalusi "Berfikir Tentang Pemikiran" hasil pena Saudara Syed Ahmad Fathi bagaikan menjejakkan kaki ke sebuah 'labirin intelek'. Di sini, setiap helaian, frasa dan lorong bukan sekadar jalan menuju ke arah pengetahuan, tetapi sebuah ‘laluan’ yang mengajak kita untuk merenung dan berfikir dengan lebih mendalam. Buku ini bukan sekadar mosaik himpunan pengalaman, pendapat dan kata; ia adalah titian , dialog antara dua jiwa—penulis dan pembaca—yang sama-sama berlayar mencari kebenaran.
Ketika menelusuri lembaran demi lembaran, dua elemen terpenting—'evolusi' dan 'revolusi' dalam pemikiran—berfungsi sebagai petunjuk kompas yang mengarahkan kita melalui labirin intelektual ini. Ibarat dua mata angin yang menunjukkan kepelbagaian dan ‘complexity’ alam pemikiran, ianya menegaskan betapa wujudya lapisan-lapisan dan ‘strata’ kehidupan intelektual itu sendiri.
Secara jujur, saya lebih suka ilustrasi edisi pertama . Ianya bukan sekadar hiasan, tetapi sebuah simbolisme yang ‘mengungkap’ nuansa 'penerokaan, pengembaraan, dan perkongsian' penulis. Seolah-olah bagaikan ‘guiding star’ yang memandu pembaca melalui perjalanan intelektual ini, ilustrasi tersebut memberikan isyarat tentang apa yang bakal pembaca ‘temukan’ dalam ‘odyssey’ ide dan pemikiran ini.
Secara ringkas, "Berfikir Tentang Pemikiran" bukan sekadar monolog penulis, tetapi karya perdana penulis yang mencatatkan pengembaraan intelektual yang ‘menggesa’ dan 'mencabar' pembaca untuk ‘melampaui’ batasan pemikiran konvensional. Ia membawa kita ke sebuah ‘dunia baru’, di mana kita diajak untuk tidak hanya menerima dan memahami, tetapi turut merasakan 'keindahan' dan ‘complexity’ dari dunia pemikiran dan ide itu sendiri.
Berfikir tentang Pemikiran - sesuai dengan tajuk. Memang saya banyak berfikir pun ketika menghayati setiap baris demi baris. Banyak yang kita perlu ubah, banyak yang kita terlepas pandang.
“Orang yang tidak mahu berubah akan ketinggalan, orang yang berani melihat perubahan sebagai satu pengembaraan dan sedia berubah akan kekal relevan”.
Pentingnya ATTARBIYAH (mendorong/memberi arahan). Anak hasil didikan ATTARBIYAH ini adalah anak yang boleh mempengaruhi orang lain ke arah kebaikan dan ia sendiri tidak terpengaruh dengan any negative vibe.
Buku ini banyak mengubah cara saya berfikir dan membantu saya melihat dan memahami suatu perkara dari pelbagai perspektif. Contohnya perspektif sejarah yang perlu dilihat sama ada dari masyarakat atau pemimpin politik. Buku ini juga sarat dengan kritikan yang dilontarkan oleh penulis terhadap model pendidikan,ekonomi ,politik dan sikap masyarakat. Kesimpulannya, buku ini harus dibaca oleh setiap anggota dan lapisan masyarakat demi memperbaiki corak fikir dan membantu individu mencapai tahap pemikiran yang kritikal demi menghadapi dunia yang serba mencabar dengan jutaan karenah manusia.
Terima kasih. Topik utama buku ni bagi saya ialah “menjadi faham”. Faham bukan sekadar tahu. Tapi faham mampu menyelamatkan manusia dari melakukan keburukan. Satu kegembiraan membaca buku ni ialah banyak diperkenalkan dengan sumber pembacaan yang baik-baik. Macam baca technical paper. Ia membantu memahami latar belakang setiap pendapat yang dikemukakan.
Saya baca versi e-book. Dari segi penerbitan, ada penambahbaikan perlu dilakukan berkaitan bahasa dan font.