Azizi Haji Abdullah adalah seorang karyawan yang sangat aku sanjungi zaman sekolah dulu. Seorang Tua di Kaki Gunung adalah novel beliau yang aku baca lebih 20 tahun yang lalu. Apabila aku terjumpa naskah yang diterbitkan semula, aku grab tanpa ragu. The other 1 yang diterbitkan semula oleh Jiwa was Memoir Seorng Guru.
Novel ini adalah cermin yang mengundang kita untuk menelaah jiwa yang rapuh, ego yang membara, dan cinta yang tak terucap. Ia sebuah karya yang tipis pada halaman, namun sarat dengan monolog emosi dan falsafah hidup yang melangkaui zaman. Dari perdebatan antara hati yang tercalar dan tubuh yang menua, hingga pertanyaan mengapa sebuah karya agung tidak merangkul kemenangan di Sayembara Hadiah Novel GAPENA - Yayasan Sabah II (1981), novel ini adalah kanvas kehidupan yang dilukis dengan penuh melankoli.
Di tengah-tengah naratif yang kemas dan berlatarkan suasana kampung yang pekat, kisah ini berpusat pada Tukya, seorang lelaki tua yang jiwanya terkesan dengan kata-kata tajam anak cucunya. Digerakkan oleh kombinasi maruah yang tercalar, kasih sayang yang mendalam, dan ego yang berkeras, Tukya menyahut cabaran untuk membina sebuah rumah baru, berhadapan dengan usianya yang lanjut dan kudratnya yang dah tak seberapa.
Konflik novel ini selain melawan alam rimba, menebang cengal batu, juga melawan dalaman. Ia adalah pertarungan antara Tukya dengan dirinya sendiri, seolah-olah dia bermusuhan dengan kudrat dan usia. Setiap langkahnya adalah sebuah self-assurance, sebuah seruan bahawa dia masih berguna, masih kuat, masih layak dihormati. Di samping Nek Besah hadir sebagai watak pasif, namun setia, dia menjadi saksi kepada keghairahan dan kedegilan suaminya, manakala Fikri, si anak, menjadi simbol jurang generasi yang gagal memahami hati orang tua.
Azizi Abdullah membina dunia Tukya dengan bahasa yang klasik, sederhana, namun kaya dengan butiran yang amat terperinci. Beliau berjaya melukiskan suasana kampung dan hutan rimba dengan jelas, memperkenalkan kita kepada ilmu lama - jenis pokok, petua memanggil haiwan, dan cara membina rumah. Pengetahuan mendalam ini bagi aku bukan sekadar hiasan, ia adalah roh novel, yang membenarkan cerita berkembang. Ilmu ini mengesahkan bahawa Azizi haji Abdullah bukan menulis kosong, beliau adalah legasi ilmu tradisi yang kian hilang.
Naratifnya adalah penceritaan yang bermain dengan emosi, penuh dengan monolog dalaman Tukya yang buat aku turut merasai kecil hatinya. Ada ketikanya aku terpegun dengan semangatnya, dan ada kalanya aku rasa nak marah dengan kedegilannya. Hubungan Tukya dan Nek Besah yang seperti merpati dua sejoli tu menambahkan lagi kedalaman emosi, membuktikan cinta sejati adalah kesetiaan dan pengorbanan, bukan sekadar kata-kata.
Novel ini, walaupun ditulis pada era 80-an, bagi aku masih relevan dan kritikal kepada generasi muda hari ini. Ia adalah manual yang amat berharga untuk memahami psikologi orang tua - ia memberi pandangan tentang kenapa orang tua kita atau datuk nenek kita sering dilihat sebagai "keras kepala" atau "terlalu sensitif." Novel ini mengajar kita di sebalik kedegilan itu, tersembunyi kasih yang terluka, keinginan untuk terus relevan, dan rasa takut dilupakan. Ini adalah pelajaran yang amat diperlukan oleh generasi yang semakin berjarak dengan orang tua.
Dengan pelukisan dunia rimba dan petua lama yang begitu terperinci, novel ini membuka mata aku kepada kekayaan tradisi nenek moyang yang sering dianggap "khurafat" dan "ortodoks". Ia mengajak kita menyimpan dan menghargai warisan purba sebagai sebahagian daripada identiti bangsa, walaupun dah tak diamalkan.
Watak Fikri adalah cermin yang menyakitkan. Aku kira dia adalah generasi aku yang mula terasa selesa dan gagal menyelaraskan kehidupan bandar dengan kehendak orang tua di kampung. Dia ingatkan aku tentang penyesalan hidup yang akan ditanggung akibat mulut yang lancang dan hati yang jauh.
Seperti novel sastera yang sealiran dengannya, novel ini berpusat pada genre tragedi yang membawa kita meratapi nasib malang. Aku yakin generasi muda yang dibesarkan dengan penceritaan yang lebih positif - ada yang akan rasa novel ni "tak bermanfaat." Buktinya, ada aja yang rasa kecewa dan meragukan tujuan karya, sebab novel ni seolah-olah mengesahkan bahawa kehidupan hanya penuh kesengsaraan dan berakhir dengan musibah.
Membaca semula karya ini pada usia 40an sebegini, aku rasa Azizi Abdullah tak bermaksud untuk menulis sebuah karya yang optimistik. Sebaliknya, novel ini adalah melankoli yang mendamaikan, ia adalah sebuah potret jujur tentang kehidupan. Zaman kita zaman iPhone, zaman 80an dulu, untunglah ada selipar melapis kaki. Ia bukanlah sebuah panduan yang berjanji kebahagiaan, tetapi sebuah peringatan tentang hakikat kerumitan manusia pada sesebuah era.
Ini adalah novel yang amat patut dibaca oleh setiap peminat novel Melayu kita. Kalau kau belum tua, ia adalah persediaan. Kalau kau dah tua, ia adalah teman. Dan bagi semua, ia adalah pengajaran.
5 / 5 stars