Politik adalah sebarang tindakan yang melahirkan maslahah kepada rakyat, dan berusaha sedaya mungkin untuk memastikan sebarang kerosakan yang menimpa rakyat dapat dielak. Dalam pada politik itu mencapai kebaikan dan tolak keburukan dari menimpa rakyat; semua ini boleh dilaksanakan tanpa menggunakan label agama, malah tidak semestinya dilaksanakan oleh seorang pemimpin Muslim. Malah, terdapat banyak kes bahawa capaian terhadap maslahah dan tolak kerosakan ini tidak berjaya dilaksanakan di negara Muslim, malah terdapat ramai ulama. Buku ini, cuba menghuraikan berkenaan asas kepada pemikiran ini. Sejauh mana pengaruh agama dalam mempengaruhi keputusan politik, dan bagaimana agama boleh dihindari dari diperalatkan dalam kerangka kuasa politik.
Nama : Wan Ji bin Wan Hussin (Pak Syaikh Muka Buku) Kelahiran : Rong Chenok, Pasir Mas, Kelantan Pendidikan : 1-Institut pendidikan al-Balaghul Mubin, pasir Mas Kelantan (tahfiz al-Quran); 2-Pondok Lubuk Tapah, pasir mas kelantan; 3-Karachi, Pakistan; 4-Al-Azhar, Mesir; 5-Universiti Malaysia Kelantan.
MasyaAllah! Ini sebuah buku yang sangat baik. Walaupun temanya berat, namun ia mudah dibaca.
Seperti tajuk buku, mesej utama buku ini adalah untuk menjelaskan tentang kedudukan politik dalam Islam.
Hal-ehwal politik adalah perihal perhubungan sesama manusia. Umat Islam terlibat dengan politik dengan tujuan untuk mendatangkan kemaslahatan kepada manusia.
Dalam politik, ruang adalah terbuka bagi umat Islam dalam melaksanakan sesuatu untuk mencapai kemaslahatan kepada manusia. Tiada cara yang khusus yang boleh dilabel sebagai "cara Islam".
Jadi, kalau ada parti politik yang mendakwa dialah yang membawa politik dengan "cara islam" yang sebenar, itu adalah karut.
Hal ini kerana, jika sesebuah parti politik itu (waima tanpa muslim dan label Islam) dapat melaksanakan sesuatu yang mendatangkan kemaslahatan kepada manusia, menjaga kebajikan rakyat, memastikan keadilan tertegak, dan menghalang berlakunya kezaliman; maka politik seperti itu adalah dituntut dalam Islam.
Ambil contoh parti-parti politik yang mentadbir negara-negara Skandinavia yang terkenal dengan penjagaan kebajikan rakyatnya dan berintegriti tinggi.
*****
Buku ini sangat wajar dibaca oleh ahli gerakan Islam / golongan Islamis, lebih-lebih lagi yang sering mencanangkan idea "negara Islam".
Para pengundi pun patut baca buku ini, supaya jelas kepada kita, bila kita nak pilih parti/calon itu, mana satu yang selari dengan tuntutan Islam (dan ianya tak semestinya berlabel Islam).
Hal ini kerana, jika kita hanya sokong sesuatu perjuangan kerana ia punya 'label' Islam, penampilannya ala Arab (ana/enta/enti), tapi kosong kualiti kepimpinan dan kepakaran yang perlu untuk menguruskan manusia, maka ia tidak mencapai tujuan yang dikehendaki Islam (maqasid).
Jadi, di dalam buku ini, penulis telah menyenaraikan dalil Al-Quran & hadith serta hujah ulama' sama ada dari pihak yang rigid mahupun yang luas.
Sebelum kita memilih pegangan kita, perlunya kita menilai hujahan kesemua pihak dan bukannya taqlid buta kepada individu tertentu.