Membaca Saasatul Ibaad adalah mudah seandainya kita pernah membaca karya-karya lain Faisal Tehrani yang bercorak 'manipulasi-sejarah' (maksud saya menggunakan watak-watak dalam sejarah dan dihidupkan, bukan mengubah sejarah ya).
Mengisahkan mengenai keperluan dan kepentingan pemimpin yang berperibadi mulia, serta keperluan rakyat kepada pemimpin yang sebegitu rupa, Saasatul Ibaad hadir dengan jalan cerita epistolari (disertakan surat-surat dari Dato Utama Mahdi) dan pengkisahan semula sejarah dari sisi penulisnya yang menarik. Singgungan terhadap kerakusan penjajah, pemimpin-pemimpin tempatan serta pendedahan laku buruk pemimpin, Faisal Tehrani sudah berpesan di awalnya supaya jangan terkejut.
Seperkara yang menarik perhatian saya adalah ungkapan salah seorang watak di awal ceritanya, yang mana menurutnya ingin menyangkal teori Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas berkenaan Hamzah Fansuri sebagai tokoh bapa persuratan Melayu yang pertama dan mengangkat Dato Utama Mahdi. Secara ringkasnya, setelah membaca surat-surat Dato Utama Mahdi(atau pesan-pesan - andai ia sememangnya seperti itu bahasanya) saya dapati terdapat penggunaan istilah-istilah Sanskrit yang tidak kena aspek metafiziknya dan lebih bersifat Hinduistik dari segi pandangan alamnya dengan kita. Sebagai perbandingan, sudah tentu pemilihan kata amat penting, sepertimana yang diterangkan dalam Mysticism of Hamzah Fansuri, Hamzah Fansuri pada penggunaan perkataan hendak pun ada ketegasannya, bahkan jelas pilihan kata-katanya. Apa pun, ia adalah sebuah karya lama penulis dan boleh dikaji sekiranya berminat.
Jika anda berjiwa revolusi, amat digalakkan membaca karya ini. Saya? Mungkin tidak begitu revolusi.