Kata penulis, buku ini memiliki satu semangat. Semangat yang mahu menajamkan kesedaran makna beragama dengan pembuktian sains.
Ini buku tesis. Ini buku ilmiah yang diberi nafas baru dan dipersembahkan untuk pembaca awam. Format penulisan tesis dibentangkan dengan kemas untuk diceritakan kepada pembaca tentang kajian ini. Ada bahagian pendahuluan, metodologi, penemuan dan perbincangan serta kesimpulan.
Objektif utama kajian ini yang penulis mahu buktikan ada 2. Pertama, penulis mahu membuktikan penurunan hormon kortisol dengan melaksanakan solat tahajud. Kedua, penulis juga mahu membuktikan dengan menunaikan solat tahajud, akan membantu meningkatkan sistem pertahanan badan manusia.
Kajian dilakukan di SMU Luqman Hakim, Pondok Pesantren Hidayatullah Surabaya yang melibatkan 41 pelajar baru sesi 1999/2000. Pelajar yang terpilih berdasarkan 2 kriteria iaitu kriteria terangkum dan kriteria eksklusif.
Kriteria terangkum ialah lelaki, berumur 16-20 tahun, sihat jasmani dan rohani, tidak pernah melakukan solat tahajud dan bersedia menjadi sampel dengan menandatangani surat perjanjian manakala kriteria eksklusif pula ialah diketahui mengikuti atau menjalankan meditasi transendental seperti yoga, diketahui menjalankan wirid yang lazim dilakukan oleh pengamal tarekat, diketahui gagal menjalankan solat tahajud secara berterusan dan diketahui meminum ubat yang bersifat imunosupresif.
Hemoglobin, eritrosit, leukosit, hematokrit, BUN, kreatinin, SGOT dan SGPT diperiksa dan dipastikan melalui ujian darah yang dilakukan ke atas responden sebelum kajian bermula. Ini untuk mengetahui tahap kesihatan awal responden.
Mereka dikehendaki melaksanakan solat tahajud sebanyak 13 rakaat (2 rakaat solat iftitah, 8 rakaat solat tahajud dan 3 rakaat solat witir) , berwirid (Subhannallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar, Astarghfirullah, Allahummasalli ala Muhammad Wa ala ali Muhammad, La ila ha Illah sebanyak 200 kali) dan waktu mengerjakan solat tahajud ialah sekitar 2-3.30 pagi.
Daripada 41 orang responden, cuma tinggal 23 orang sahaja yang bertahan mengerjakan solat tahajud secara rutin selama 4 minggu berturut-turut. 8 minggu kemudiannya, cuma tinggal 19 orang sahaja yang mampu bertahan.
Dalam kajian ini, atas faktor-faktor kekurangan dana, penulis menyatakan dia cuma mampu menggunakan 9 pembolehubah sahaja sebagai tolok ukur kepada ujian ini untuk mencapai 2 objektif kajian tadi iaitu kortisol, IgM, IgG, IgA, jumlah limfosit, basofil, eosinofil, neutrofil dan monosit. 9 pembolehubah inilah nanti yang diperolehi daripada ujian darah responden yang diambil melalui vena periferal akan diuji di makmal untuk mengesan perubahan pada kortisol dan sistem ketahanan badan mereka.
Hormon kortisol digunakan sebagai tolok ukur untuk menguji stres manakala untuk menguji sistem pertahanan badan, komponen seperti neutrofil, basofil, eosinofil, monosit, total limfosit, igG, IgM, IgA pula digunakan.
Hasil kajian ini menunjukkan bahawa hormon kortisol menurun apabila solat tahajud dilaksanakan dengan niat ikhlas tetapi apabila ia tidak dilaksanakan secara ikhlas, ini akan menyebabkan pengamalnya stres dan meningkatkan hormon kortisol. Apabila stres juga, sistem pertahanan tubuhnya akan menjadi lemah.
Prosesnya lebih kurang begini :-
1. Setelah emosi positif diterima oleh otak, ia akan diformat dan dihantar ke talamus. 2. Talamus nanti akan merangsang hipokampus dan amigdala untuk merembeskan GABA. GABA ini tugasnya sebagai pengawal gerak balas emosi dan pengendali HPAA. Talamus juga akan merembeskan dopamin untuk merangsang prafrontal kiri-kanan. 3. Kemudian, selepas ada timbal balik antara talamus-hipokampus-amigdala-prafrontal kiri dan kanan, talamus akan bersentuh dengan hipotalamus yang akan menyebabkan sekresi CRF. 4. CRF akan menyebabkan tindakbalas HPAA. 5. HPAA pula akan menyebabkan tindakbalas ACTH yang akhirnya turut merangsang sekresi kortisol oleh korteks adrenal. 6. Dengan emosi positif tadi, sistem limbik-CRF-HPAA-ACTH akan mampu mengendalikan sekresi kortisol yang berlebihan dan akhirnya akan menyebabkan terhindar daripada stres serta meningkatkan sistem perrtahanan badan. 7. Tetapi apabila, emosi negatif diterima (seperti dipaksa, berpura-pura), sekresi kortisol yang terhasil akan meningkat. Ia akan menyekat penghasilan imunoglobulin melalui penekanan ke atas proliferasi limfosit yang seterusnya menyebabkan sistem pertahanan menjadi lemah.
Nota :Peningkatan kortisol akan menyebabkan penurunan imfosit, eosinofil, neutrofil, monosit dan IgA atau sama makna dengan penurunan sistem pertahanan badan.
Proses (1)-(7) yang saya senaraikan itu adalah hasil daripada beberapa "proses tambah tolak" kepada beberapa kaedah penerangan proses anatomi yang diterangkan penulis dalam buku ini. Saya mengadunnya dan meringkaskannya mengikut pemahaman saya yang cetek ini sehinggalah tinggal seperti yang tersenarai. Jikalau anda memiliki buku ini, mungkin anda ada pemahaman yang lain malah lebih baik selain daripada yang saya senaraikan itu.
Ada 3 penemuan baru melalui kajian ini kata penulis. Pertama, tahap keikhlasan seseorang boleh dibuktikan secara ilmiah dengan menggunakan tolok ukur hormon kortisol di dalam badan seseorang. Kedua, sistem pertahanan tubuh badan bukan sahaja boleh dipulihkan dengan penggunaan teknologi kimia, tetapi juga melalui pendekatan ibadah solat tahajud dan ketiga, kebenaran agama Islam boleh dibuktikan secara ilmiah iaitu melalui kajian saintifik.
Solat tahajud menjadi tidak bemakna tanpa niat yang ikhlas. Bukan solat tahajud sahaja, tetapi apa-apa sahaja yang kita lakukan, menjadi tidak bermakna tanpa niat yang ikhlas. Buku ini bukan sahaja berjaya menunjukkan kepada kita solat tahajud adalah terapi tubuh dan jiwa kita, tetapi juga memberitahu kita, mengajar kita betapa Allah menjadikan setiap perkara, dari sekecil-kecil hingga sebesar-besarnya, sentiasa ada hikmah. Tiada satu pun sia-sia. Bila lagi agaknya kita mahu melihat semua itu dengan pandangan mata hati?
Bagus hanya saja sangat ilmiah dan spesifik membahas terkait psikoimun dan hubungannya dengan shalat tahajud. Sehingga buat orang yang tidak terlalu familiar dengan struktur biologi dan susunan otak seperti saya, agak sulit mengerti.
Buku ni saya beli di MPH beberapa bulan yang lepas & terus baca bila sampai rumah ( tapi masih berbaki beberapa mukasurat di bab akhir sebab tak sempat).InsyaAllah akan smbung baca bila kesibukan selesai nanti....Buku ni terlalu saintifik untuk saya fahami pada bab awalan..Tapi tetap saya baca untuk mencari keajaiban & kesempurnaan solat tahajjud yang sememangnya istimewa..Memang banyak manafaat & yang paling penting untuk mendirikan sembahyang malam memang perlu mujahadah & istiqamah..Buku ini sangat memberi motivasi..Sememangnya solat ini terapi yang sangat mujarab untuk mengubati penyakit2 termasuk penyakit hati yang ada dalam setiap daripada kita seorng hamba yang lemah..Sama-samalah kita mencari kemanisan solat malam sebagai ibadah tambahan supaya kita dibangkitkan antara manusia terpuji di akhirat kelak..InsyaAllah.
ibadah perlu ikhlas. penerangan tentang sistem terutamanya circadian system pun cukup detail. cumanya, sudut bahasa perlu ditapis. masih banyak peminjaman kosa kata indonesia.
oh, ya! baik juga andainya karya ini diterjemah ke bahasa inggeris. aku kira lebih mudah memahami terma-terma sains yang ada didalamnya.