Biarpun pelbagai dugaan dan cabaran yang terpaksa ditempuhi, akhirnya mahligai bahagia terbina jua. Eyda Amanda mengharapkan agar kebahagiaan di sisi Dani Zairie akan kekal abadi selagi hayatnya. Namun sayang, cinta sucinya dikhianati. Badai melanda lantaran kehadiran orang ketiga.
Dani Zairie tidak pernah berubah. Jejaka macho dengan trademark playboy ini mudah hanyut dalam pujuk rayu perempuan-perempuan yang menggilainya. Sehingga akhirnya, Eyda Amanda terpaksa mempertaruhkan nyawa hidup di sisi Dani Zairie. Lantaran amalan ilmu hitam, perempuan sihir yang terlalu obses untuk memiliki Dani Zairie separuh nyawa.
“Ingat Eyda! Sekali kau melangkah pergi. Akan aku pastikan kau kembali melutut ke pangkuanku lagi! Aku bersumpah tujuh keturunan kau tak akan hidup senang!” – Dani Zairie
“Demi ALLAH! Dunia akhirat aku akan menunggu setiap detik dan waktu saat pembalasan dan pengadilan ALLAH terhadap kau, Dani. Biarpun aku tidak mampu membalas dengan kudratku atas segala kekejaman dan kezaliman kau. Namun, aku pasrah dan berserah serta yakin bahawa suatu saat dan ketika, pasti balasan ALLAH akan kau terima di dunia atau di akhirat nanti!” – Eyda Amanda
“Hei perempuan! Kau dengar sini baik-baik! Kau menangis air mata darah sekalipun, kau takkan dapat balik laki kau! Ha! Ha! Ha!” – Maya Maria
Pengorbanan cinta Eyda Amanda hanya sia-sia. Percintaan yang tiada penghujungnya. Lantaran perbuatan durjana syaitan bertopengkan manusia. Permainan cinta dan kecurangan Dani Zairie akhirnya mencetuskan derita dan sengsara buat Eyda Amanda.
Di mana noktah kehidupan yang harus Eyda Amanda tempuhi? Mampukah Eyda Amanda mempertahankan rumah tangga yang dibina bersama Dani Zairie? Bagaimanakah pengakhiran kisah cinta mereka?
Erm. Penceritaan agak caca marba. Tak ada hujung pangkal. Semua watak tak function.
Ayahnya asyik ugut, kalau jadi lagi tau lah saya nak selesaikan. Tapi tiada apa yang ayahnya buat pun.
Yang si Eyda perempuan tercantik abad ini kegilaan semua lelaki pon sangat confusing. Muka surat ni gaduh dengan family mertua mati-mati tak nak berdamai, muka surat sebelah merindui suami. Ermm.
Tajuk yang menarik membuatkan aku memilih buku ini untuk dibaca. Dengan cover yang gelap, aku sedar bahawa ini mungkin sebuah cerita duka yang menghambat hidup watak utamanya.
Blurb cerita menjanjikan sebuah cerita yang penuh kegelapan, dengan sihir menjadi mainan, pasti cerita ini akan membawa pembaca meniti cerita yang mungkin berbeza.
Awal-awal cerita lagi aku dihidangkan dengan kecurangan sang jejaka - Dani Zairie. Aku sungguh berharap Eyda Amanda tidak meneruskan perkahwinan mereka. Tapi, tidak, itulah yang terjadi.
Datangnya Maya Maria yang menggunakan ilmu hitam untuk memiliki Dani Zairie, sungguh gila dalam satu pusingan cerita yang tidak berkesudahan. Banyak kali aku menjerit dalam hati,"Cerai ja la gila!", tapi Eyda Amanda kerap kembali semula kepada Dani Zairie, beberapa kali juga sepanjang cerita. Letihhh. Adakah ini akibat sihir terkutuk yang Maya gunakan?
Watak ibu bapa Eyda Amanda juga kurang memberangsangkan. "Anak hangpa jelas2 nampak kena pukul hangpa boleh suruh bersabaq. Bersabaq apa lagi gila hangpa pun dah nampak beberapa kali redflag Dani tu!" Dah aku pulak geram dengan situasi tersebut.
100 halaman terakhir memaparkan Eyda di syarikat baru, dengan suasana baru. Muncul Danish Abadi menyulam cinta dengan Eyda Amanda. Dengan politik pejabat yang dimasukkan, aku rasa dah cukup dengan segala konflik sebelumnya. Politik pejabat pada 100 halaman akhir ini hanya memacu cerita untuk Eyda dan Danish.
Adakah akhirnya Eyda dan Danish akan bersama? Adakah Dani dan Maya mendapat pembalasan setimpal atas perbuatan buruk mereka? Semuanya akan terjawab jika anda membacanya dalam Hati Tercarik Luka.
Kesalahan tatabahasa bahasa Inggeris yang digunakan dalam dialog terutamanya agak jelas dan mengganggu pembacaan aku.
Tuntasnya, tajuk dan premis cerita - kecurangan dan sihir, bagi aku menarik, tapi cara cerita ini dibawa, terasa ada yang kurang.
Cerita perempuan yang terlalu mengagungkan cnta sang suami bukanlah antara pilihan teratas bacaan saya. Kepatuhan, terlalu dibelai rasa cinta kurang menjadi minat saya bahan bacaan sebegini. Buku ini tentang kemelut rumahtangga yang menjurus derita dibahu sang isteri akibat suami yang mata keranjang.
Sikap suami menyebabkan si isteri menderita akibat ilmu hitam dari wanita yang memuja suaminya. Pengorbanannya tidak dihargai kerana suami masih tak sedar diri.