Buku MUHAMMAD : DAKWAH DAN DIPLOMASI.
Bilangan Halaman : 476 Halaman.
Mula Dibaca : Selasa, 25 Safar 1447 Hijrah, 19 Ogos 2025.
Tamat Dibaca : Isnin, 15 Rabiul Awal 1447 Hijrah, 08 September 2025.
Tidak seperti buku Fiqh Al-Haraqah Dari Sirah Nabawiyah atau Biografi Muhammad Bin Abdullah SAW yang menceritakan Sirah Nabi Muhammad SAW secara kronologi dari kelahiran hingga kewafatan Baginda, buku Muhammad : Dakwah Dan Diplomasi cuma menceritakan perjalanan Sirah secara ringkas tetapi yang membuatkan buku ini unik, penulis banyak memasukkan pelbagai bab yang membawa pembaca memahami Sirah dari perspektif lain dan ada bab yang bersifat panduan dalam menjalani kehidupan seharian.
Tapi sayangnya, penceritaan Sirah terlalu ringkas hingga banyak peristiwa besar yang tidak dihuraikan seperti peristiwa Bi'r Ma'unah dan Mata Air Raji' yang menyaksikan penglibatan golongan kafir terhadap para Sahabat R.A atau peristiwa pengumuman pembatalan perjanjian dengan golongan musyrik Mekah semasa musim haji yang diketuai oleh Saidina Abu Bakar R.A. Bab isteri-isteri Rasulullah SAW juga sekadar biodata ringkas mereka sahaja.
Penulisan buku ini dimulakan dengan bab adab. Salah satu adab kepada Rasulullah SAW adalah dengan berselawat ke atas Baginda SAW setiap kali mendengar nama Baginda SAW disebut. Selawat itu merupakan hak Baginda yang wajib ditunaikan oleh umatnya dan ia sebagai salah satu tanda cinta kepada Nabi Muhammad SAW. Penulis turut memasukkan puluhan kelebihan berselawat di dalam penulisannya.
Biasakan untuk paling tidak, berselawat sepuluh kali di waktu pagi dan sepuluh kali di waktu petang. Banyakkan berselawat khususnya pada hari Jumaat kerana pada hari itu, Selawat kita akan dibentangkan di hadapan Baginda SAW. Antara dari sekalian banyak kelebihan berselawat adalah dengan sekali Selawat, Allah akan mengangkat darjat kita ke sepuluh darjat dan mengampunkan sepuluh dosa kita. Dengan berselawat juga, mudah-mudahan kita berhak memperoleh syafaat Baginda SAW di Padang Mahsyar nanti dan dapat bersama Baginda SAW di syurga kelak.
Antara tanda cinta kepada Nabi Muhammad SAW adalah dengan istiqamah mengamalkan Sunnah Baginda SAW dalam kehidupan seharian kita. Penulis memasukkan banyak amalan Sunnah seperti solat sunat Rawatib, sunat semasa berwuduk dan sunat sebelum dan selepas bangun dari tidur. Ada satu Sunnah yang sangat mudah untuk dilakukan dan banyak faidlatnya iaitu bersiwak. Kita usahakan bersiwak sebelum menunaikan solat dan sebelum membaca Al-Quran. Kayu sugi mudah untuk disimpan di dalam kocek seluar, baju atau beg dan senang untuk dibawa ke mana saja. Lagipun, harga kayu sugi sekarang bukannya mahal, cuma sekitar RM 2.00. Boleh digunakan berulang kali sampai habis dipotong. Sebarang kayu sugi pula boleh bertahan beberapa bulan. Mudah bukan? Modal kecil tetapi manfaatnya besar. Bukan mahal seperti rokok atau vape yang membawa mudarat dan sia-sia yang sudah difatwakan haram.
Apa lagi Sunnah lain yang mudah diamalkan? Menunjukkan wajah yang manis ketika berinteraksi dengan orang lain atau untuk mudah faham, senyumlah sentiasa 😊😊. Usahakanlah untuk menghidupkan Sunnah. Tidak mampu buat semua, jangan tinggal semua. Dalam Sunnah ada kejayaan. Amal yang paling dicintai Allah adalah amal yang sedikit tetapi berterusan.
Keadaan dunia sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW penuh dengan kezaliman dan kejahilan. Politikus dan tuan tanah menindas rakyat marhaen dengan cukai yang melambung tinggi. Tulang empat kerat rakyat dibanting saban hari dan hanya dapat menikmati sebahagian kecil sahaja hasilnya kerana bahagian yang lebih besar dirampas oleh pemimpin. Kekayaan negara hanya berlegar di sekeliling mereka yang berada di atas bukan saja kerana memerah hasil susah payah rakyat tetapi juga kerana ekonomi negara dibina berasaskan sistem riba. Si kaya makin kaya, yang miskin terus melarat.
Anak perempuan dibunuh kerana takutkan kemiskinan, sang suami begitu dayus merelakan isterinya berzina dengan lelaki lain. Empayar besar seperti Parsi mengamalkan kepercayaan mengarut seperti penyembahan api. Syariat Islam ajaran Nabi Ibrahim A.S yang suci sengaja diubah-ubah hinggakan jemaah haji pada waktu itu bertawaf dalam keadaan telanjang.
Hari ini, dunia kembali kepada sistem jahiliah. Rakyat tersepit dengan bermacam-macam tekanan ekonomi, politikus pula menerima wang pencen sampai mati. Revolusi Industri memaksa rakyat bekerja sembilan jam sehari dengan upah yang terlalu kecil hingga teepaksa meminjam wang di bank dengan faedah demi memiliki sebuah keperluan seperti rumah dan kenderaan. Apabila sudah terbeban dengan riba yang diselubung atas nama pinjaman peribadi dan perumahan, maka rakyat terpaksa bekerja lebih separuh hari untuk menambah pendapatan. Dengan sistem riba sahaja, betapa besar natijah yang menimpa umat Islam.
Keharmonian keluarga tergadai, rumah yang dibeli dengan sistem riba sudahnya menjadi ibarat hotel tempat berehat seketika dari kepenatan membanting tulang. Rumah yang dibayar melalui pinjaman dengan unsur riba ibarat kubur yang sunyi dari ibadat, zikir, bacaan Al-Quran dan majlis ilmu kerana penghuninya keluar bekerja siang malam demi membayar segala macam bil dan cukai. Anak-anak terabai dari mendapat perhatian ibu bapa yang terpaksa bekerja hampir sepanjang hari dan hampir setiap hari.
Golongan kayangan di atas pula hidup selesa tanpa peduli rakyat yang kelaparan dan kekontangan jiwa akibat ditekan oleh kerasnya kehidupan. Di kala keringat rakyat diperah-perah, ada golongan kayangan yang sempat berjoget apabila diumumkan pertambahan pendapatan yang sudah sedia berlebihan. Kekayaan dan hasil negara hanya dinikmati mereka yang duduk di atas, yang di bawah hanya menerima hampas atas nama bantuan rakyat yang sebenarnya berpusing kembali kepada yang di atas.
Itu semua belum masuk lagi cerita jijik berkenaan 'swingers' atau tabiat bertukar-tukar pasangan oleh mereka yang sudah berkahwin. Zina berleluasa, pesta arak pula menjadi hiburan.
Jika di zaman jahiliah dulu, taraf wanita sangat hina dan tiada tempat dalam masyarakat, hanya layak sebagai objek pemuas nafsu lelaki. Islam datang memuliakan wanita, mereka diberi tempat dalam pembangunan masyarakat, suara mereka didengari, diberikan hak mewarisi harta sedangkan sebelum kedatangan Islam dulu, wanita langsung tidak layak memiliki apa-apa waima kebebasan dirinya sendiri.
Hari ini, hari Islam sudah menang, umat Islam bebas mengamalkan ajaran Islam dalam suasana aman tetapi ada segelintir para wanitanya yang tanpa segan silu menayang aurat, berjoget di depan kamera, tiada rasa malu bertepuk bertampar dengan kaum lelaki.
Salah seorang Sahabat R.A yang pernah meriwayatkan berkenaan ciri-ciri fizikal Nabi Muhammad SAW ialah Hind Bin Abi Halah R.A. Beliau ialah anak kandung Saidatina Khadijah Binti Khuwailid R.A melalui hasil perkahwinan dengan bekas suami yang dahulu, iaitu sebelum Khadijah R.A menikah dengan Nabi Muhammad SAW. Sekaligus, Hind R.A adalah anak tiri kepada Nabi Muhammad SAW.
Ketinggian Nabi Muhammad SAW tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah. Rambut Baginda SAW tidak lurus dan tidak kerinting, sebaliknya ikal mayang dan panjangnya hingga mencecah paras bahu, mata Baginda SAW hitam, berbulu mata lentik dan hidung mancung.
Kulit Nabi Muhammad SAW putih kemerah-merahan, berjanggut tebal dan lehernya tegap. Dada Baginda SAW bidang dan sama paras dengan perut. Terdapat garisan bulu panjang dari dada hingga pusat.
Tapak tangan dan tapak kaki Nabi Muhammad SAW tebal dan bahagian tengah tapak kaki pula melengkung tidak mencecah tanah.
Di belakang badan Nabi Muhammad SAW, tepatnya di tengah-tengah antara dua bahu bahagian atas, terdapat tanda kenabian yang saiznya seperti telur burung merpati yang ditumbuhi bulu di sekeliling tanda itu.
Nabi Muhammad SAW berjalan dengan tenang tetapi cergas dan tegap, ibarat sedang berjalan menuruni lembah. Cara percakapan Baginda SAW juga jelas, ringkas tetapi terperinci dan mudah difahami.
Mukjizat paling agung dan terpelihara hingga hari kiamat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW adalah Kitab Al-Quran. Kehebatan Al-Quran merangkumi laras bahasa yang sangat tinggi dan susunan ayat yang sangat indah. Pada era dakwah Nabi Muhammad SAW, golongan elit pembesar musyrikin Mekah adalah terpelajar malah ada di kalangan mereka yang menguasai bahasa Arab dan mahir dalam selok-belok syair seperti Walid Bin Al-Mughirah. Mereka cukup memahami bahawa apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW itu benar dan bukan rekaan manusia tetapi mereka tiada hujah balas untuk menentang wahyu. Hinggakan apabila mereka dicabar untuk membawakan ayat yang sebanding dengan Al-Quran, mereka tidak mampu!
Selain itu, Al-Quran juga menceritakan banyak kisah yang pernah berlaku pada zaman umat-umat terdahulu. Pada zaman jahiliah, sangat sedikit golongan yang pernah membaca kitab-kitab lama. Rata-ratanya tidak mengetahui berkenaan sejarah para Nabi A.S yang terdahulu. Golongan Yahudi cukup mengenali Nabi Muhammad SAW sepertimana mereka mengenali anak mereka sendiri kerana khabar kedatangan Nabi akhir zaman sudah diberitakan dalam kitab lama. Apabila golongan pembaca kitab lama ini mengetahui wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW berkenaan sejarah umat-umat terdahulu, sebenarnya mereka tiada alasan untuk menolak Baginda SAW kerana mereka cukup mengetahui kebenaran Nabi Muhammad SAW sebagai Nabi akhir zaman.
Tiada siapa yang tahu mengenai kisah-kisah para Nabi dan umat terdahulu melainkan dia adalah seorang Nabi. Seperti kisah Addas yang terus mencium dan mengakui Nabi Muhammad SAW apabila Baginda SAW memberitahu berkenaan Nabi Yunus A.S.
Masyarakat jahiliah era itu menganggap kehidupan manusia tamat apabila mereka mati. Al-Quran juga memberitakan mengenai peristiwa yang belum berlaku tetapi pasti akan berlaku seperti Hari Kiamat, syurga dan neraka. Selepas manusia mati di dunia, akan ada kehidupan panjang di alam sana.
Banyak lagi kisah mukjizat Nabi Muhammad SAW yang tidak dimasukkan dalam buku ini seperti kisah seorang Sahabat, Qatadah Bin Nu'man R.A yang terkeluar matanya semasa Perang Uhud kemudian Nabi Muhammad SAW memasukkan kembali matanya dan atas izin Allah, penglihatan Qatadah R.A itu kembali pulih malah lebih cerah dari sebelumnya.
Begitu juga dengan kisah semasa perjalanan hijrah Nabi Muhammad SAW semasa Baginda SAW singgah ke khemah Ummu Ma'bad, di mana kambing yang sudah tidak mengeluarkan susu, kemudiannya mampu mengeluarkan susu yang banyak hingga mengenyangkan semua orang yang ada di situ.
Penulis turut membantah tuduhan-tuduhan buruk yang pernah dilemparkan musuh-musuh Islam terhadap Nabi Muhammad SAW melalui hujah-hujah yang konkrit. Contohnya, mereka menuduh bahawa Islam disebarkan dengan kekerasan. Wahai mereka yang memusuhi Islam, tidakkah kalian menggunakan akal untuk menganalisis corak peperangan yang berlaku semasa zaman Nabi Muhammad SAW? Tiga belas tahun dakwah di Mekah yang penuh dengan seksaan dan tekanan malah ada Sahabat R.A yang dibunuh, tetapi peperangan mula berlangsung pada fasa pembinaan Kota Madinah.
Butakah mata kalian dari melihat bahawa yang meniup api peperangan adalah golongan musyrikin Mekah yang sudah sangat lama menyakiti umat Islam dan golongan Yahudi yang berkali-kali mencabuli perjanjian dengan Nabi Muhammad SAW hingga menggugat keselamatan Kota Madinah? Golongan Yahudi sendiri dalam diam-diam, menyiapkan kelengkapan perang dalam skala yang besar. Untuk apa lagi kalau bukan untuk memerangi Nabi Muhammad SAW?
Yang sering memulakan peperangan adalah golongan penentang Islam. Pembesar Yahudi sanggup merantau jauh bagi mengumpulkan kabilah-kabilah Arab untuk menyerang Kota Madinah. Utusan Nabi Muhammad SAW pun pernah dibunuh. Islam membawa mesej keamanan tetapi musuh-musuh ini yang sering menyebar kebencian dan menyalakan api peperangan.
Penaklukan Kota Mekah pula berlaku tanpa pertumpahan darah yang besar, hanya sedikit sahaja penentangan yang dihadapi oleh pasukan pimpinan Khalid Al-Walid R.A. Apa Nabi Muhammad SAW lakukan selepas berjaya dalam penaklukan tersebut? Berbelas-belas tahun menghadapi cacian, seksaan, pemulauan tetapi kemudiannya Baginda SAW memaafkan dan membebaskan seluruh warga Mekah! Malah, mereka yang masuk dalam senarai yang dikehendaki untuk dibunuh juga ada yang diampunkan seperti Ikrimah Bin Abu Jahal R.A.
Berapakah jumlah korban di pihak musuh dalam semua siri peperangan dan operasi ketenteraan sepanjang era pembinaan Kota Madinah selama sepuluh tahun? Adakah mencecah seribu? Adakah mencecah puluhan ribu? Cuba cari pula berapa jumlah korban semasa Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua yang sudah pasti dicetuskan oleh golongan kafir juga? Mencecah jutaan manusia! Jadi, siapa yang ganas sekarang?
Satu lagi isu yang sering dimainkan sampai hari ini adakah isu perkahwinan Nabi Muhammad SAW dengan Saidatina Aisyah R.A. Musuh-musuh tegar Nabi Muhammad SAW seperti Abu Jahal, Abu Lahab dan Walid Bin Al-Mughirah yang sering melancarkan serangan berbentuk penyebaran imej yang salah terhadap Baginda SAW pun tidak pernah walau sekali menyerang dengan isu perkahwinan dengan wanita muda. Bermakna ia adalah kebiasaan masyarakat pada zaman itu. Setiap tindakan Nabi Muhammad SAW berpandukan wahyu dari Allah SWT, begitu juga dalam urusan perkahwinan.
Tiba-tiba manusia hari ini yang mengaku mereka membawa peradaban moden pula berkata-kata tanpa akal.
Aku berharap pihak penerbit dapat memperbaiki beberapa kesilapan fakta dalam buku ini yang aku yakin tidak disengajakan oleh penulis seperti pada halaman 205. Ibu Nabi Muhammad SAW adalah Saidatina Aminah Binti Wahab R.A, bukan Saidatina Khadijah Binti Khuwailid R.A. Pada halaman 338, penulis menyatakan Abu Dujanah R.A syahid pada Perang Uhud tetapi sebenarnya beliau syahid dalam Perang Yamamah yang berlaku jauh selepas Perang Uhud. Pada halaman 368 pula, isteri Nabi Muhammad SAW yang juga anak kepada Abu Sufyan Bin Harb R.A bernama Ramlah R.A, bukan Hindun.
Moga dengan pembacaan buku-buku Sirah seperti ini dapat menyuburkan lagi kecintaan kita terhadap Nabi Muhammad SAW, Ahlul Bait, para Sahabat dan semua yang mengikuti jejak langkah mereka hingga hari kiamat. Moga Allah izinkan aku untuk terus mempelajari Sirah Nabi Muhammad SAW dan sejarah Islam sampai aku tutup mata, Aamiin.