Perempuan yang baik-baik itu bukanlah perempuan yang sempurna.
Tidak sempurna sabarnya, namun mampu menguatkan kesabaran demi zuriat yang disayanginya. Persis Maryam AS.
Tidak sempurna keyakinannya, namun mampu meneguhkan hatinya kerana percaya akan janji Allah SWT. Persis ibu Nabi Musa AS.
Tidak sempurna masa silamnya, namun demi mengejar peluang syurga, dia sanggup korbankan segalanya. Persis Zulaikha.
Melalui buku ini, Ustaz Syaari mengupas kisah-kisah perempuan yang diangkat kedudukannya di sisi Tuhan, di sebalik ketidaksempurnaan yang mereka ada. Buku ini sesuai dibaca oleh tidak kira lelaki mahupun perempuan, kerana al-Quran diturunkan sebagai penawar buat jiwa seluruh manusia.
Anak kelahiran Tumpat, Kelantan merupakan Jurulatih Utama (Principal Trainer) sepenuh masa di syarikat milik beliau sendiri, Ibrah Paradigm Training & Consultancy. Syarikat tersebut diwujudkan sejak Mei 2011.
Beliau merupakan Graduan Ijazah Sarjana Muda Bahasa dan Sastera Arab dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan kini sedang melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana dalam bidang Tafsir al-Quran di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Kajian Sarjana beliau bertajuk “Aplikasi Ilmu Munasabah dalam Kisah Nabi Ibrahim a.s.” dan bercita-cita untuk menjadi ahli akademik dan pakar dalam tafsir maudhuie al-Quran.
Beliau telah mendirikan rumah tangga selama hampir 8 tahun dengan Puan Nurul Suhadah Haji Shuib dan kini dikurniakan dua orang cahaya mata bernama Fatihah Wajihah dan Aqeel Muhtadi al-Fatih.
Beliau mula menggilap potensi dirinya dalam bidang kepemimpinan dan kejurulatihan sejak di bangku Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang. Beliau kini berpengalaman lebih dari 6 tahun dalam dunia latihan dan motivasi selain merupakan ahli berdaftar di bawah Pertubuhan Perunding Latihan Dan Motivasi Muslim Malaysia (TAMRIN).
Antara rancangan televisyen yang pernah menjemput beliau sebagai panel ialah TV3 dalam rancangan “Positif”, Astro Oasis dalam rancangan “Salam Muslim” dan TV Al- Hijrah dalam segmen “Assalamualaikum”. Ustaz Syaari juga merupakan panel tetap selama 4 tahun sejak tahun 2012 hingga 2016 di segmen “Ibrah” Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia, IKIM.fm.
Beliau merupakan jurulatih bertauliah di bawah Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) dengan sijil tauliah bernombor TTT 3891.
Terkini, beliau sedang menggembleng tenaga pakar-pakar dan sarjana- sarjana Tafsir di seluruh Malaysia untuk berbakti kepada Ibrah Institute Centre of Tadabbur yang akan menjadi pusat pembelajaran interaktif dan moden kepada ilmu tafsir dan takwil al-Quran.
Alhamdulillah buku ini adalah buku tadabbur yang terbaik pernah Saya jump setakat ini. Buku yang menjelaskan :
Peristiwa yang penyebab turunnya ayat - kedudukan surah di antara dua surah - seni turutan ayat yang disusun - seni penggunaan istilah arab yang tepat dalam menerangkan situasi.
Saya berasa lebih teruja apabila penulis menerangkan maksud huruf 'fa' yang terdapat dalam Surah Maryam (ayat 22 - Maka Maryam hamillah mengandungnya, lalu ia memencilkan diri dengan kandungannya itu ke sebuah tempat yang jauh). 'fa' membawa maksud sesuatu itu berlaku dengan pantas. Sesetengah ulama mengatakan Maryam mengandung 5 hari sahaja dan bukan 9 bulan. Wallahua'alam.
Jika Allah boleh buat mengandung 5 hari dengan cukup sifat dan sihat, tiada mustahil Allah buat perkara yang lebih hebat lagi. Subhanallah.
Jangan lupa dapatkan pasangannya, Lelaki Yang Hebat Hebat Al Quran
MasyaAllah! Berjaya jugak habiskan buku ni setelah hampir 2 minggu lebih. Pembacaan aku agak slow untuk buku ini, sebab terrrrrrlalu banyak point menarik yang perlu aku tanda, catat dan hadamkan. Kupasan tafsir dari Ust Syaari memang sangat mengkagumkan, teliti, terperinci dan menarik. Setiap contoh dan penceritaan didatangkan dengan dalil. Tak sangka tafsir Alquran semenarik ini, dan membuatkan aku "melekat" dgn buku PYBBDA sebab nak tahu apa lagi yg bakal berlaku seterusnya dalam kisah-kisah yg ditulis. Tahniah & terima kasih Ust Syaari Ab Rahman!
Benarlah seperti yang diperkatakan oleh pembaca lain sebelum ini, buku ini memang mudah dibaca, bermanfaat dan dikupas dengan penyampaian yang menarik sudut pandangnya. Seronok membaca kisah wanita yang baik-baik dalam Islam mengikut surah dalam Al-Quran. Kisah yang paling terkesan ialah Surah Maryam dan kisah Zulaikha. Rating: 4.5
Buku ini sangat dekat dengan hati. Tak mahu berenggang dengannya setelah hampir sebulan ia jadi milik diri. – Kesemua 8 kisah yang terkandung dalam naskhah "Perempuan Yang Baik-Baik Dalam Al-Quran" ini telah menghadirkan rasa ketagih dalam diri saya untuk mengulangkaji dan memahami asbabun nuzul + membuat tadabbur terhadap bacaan Al-Quran saya. – Kisah kedua dalam buku ini ialah dari surah Al-Qasas. Penulis menceritakan ibrah kisah ibu Nabi Musa AS dengan terperinci sekali. Setakat ini, kisah inilah yang paling kekal bersemadi dalam memori setelah beberapa kali mengulang bacaan. – Penulis memulakan perkongsian dengan penceritaan sirah di sebalik surah ini di turunkan. Secara ringkasnya, surah ini di turunkan apabila Rasul SAW diperintahkan untuk berhijrah ke Yathrib (Madinah). Surah ini juga hadir untuk memberi ketenangan terhadap perasaan takut (kalimah khauf banyak di ulang² dalam surah ini) dan gundah para sahabat RA yang mendengar khabar bahawa pakatan orang musyrikin Quraisy sedang berpakat untuk membunuh Nabi Muhammad SAW. – Begitulah bagaimana kisah Nabi Musa AS di ceritakan bermula pada ayat ke-7 surah ini. – i) Bagaimana Nabi Musa AS kembali semula ke tangan ibunya. ii) Allah memartabatkan seorang ibu dengan panggilan ummi. iii) ibu mempunyai 'kuasa' yang boleh merubah segala-galanya. iv) terbahaginya ayat 7 ini kepada 3 elemen iaitu 2 perintah, 2 larangan dan 2 jaminan kepada ibu Musa AS. – Baca semula kisah ini ketika hari Nuzul Quran dan Hari Ibu yang jatuh pada hari ini menyebabkan saya tergerak hati untuk berkongsi di medium ini. – Jazakallah khayr Ustaz @syaariabrahman di atas penulisan serta perkongsian ilmu yang sangat baik ini. Khususnya kepada para wanita yg sedang mencari-cari semangat apabila berada dalam suasana khauf saat di uji dengan cabaran kehidupan. – Terima kasih buat ribuan kalinya kepada pihak @imanpublication kerana menerbitkan naskhah yang berkualiti serta bermanfaat kepada pembaca. Tahniah! – Oh ya, salam Nuzul Quran dan Selamat Hari Ibu 🌹
Setakat ini antara buku tadabbur quran yg terbaik saya pernah baca - digarapi dengan penulisan yg menarik & mudah difahami.
Saya tersentuh dengan ibrah perempuan-perempuan yg baik yg disebut di dalam Al Quran. Banyak sekali ilmu baru yg diperolehi melalui pembacaan buku ini.
Sungguh aku suka buku ini. Hingga aku pastikan bila nak baca buku ini,aku hanya fokus pada dia tanpa distraction. Banyak isi yg aku suka hingga penuh tagging di letak (mungkin terpengaruh lepas quran tagging session ngan ayesya ☺️) Buku ini bukan hanya utk perempuan. Aku pasti lelaki pun blh dapat intiptinya.
Isi yg dikutip : - Betapa darjat wanita diangkat. Ustaz ada compare kisah layanan terhadap wanita di zaman jahiliah dan layanan selepas munculnya islam. Dan untuk itu aku bersyukur sebagai wanita islam di zaman kini.
- Dari Surah Al-Mujadalah ayat 12. Pengajaran yg halus dari ayat ini : Allah ajarkan pada kita,apabila kita ada masalah,keluarkan sedekah supaya mudah-mudahan masalah itu akan diselesaikan.
- surah Mumtahanah ada mengisahkan tentang kisah Nabi Adam dan Hawa sebelum mereka dikeluarkan dari syurga.Juga kisah ini ada teguran buat sahabat Nabi bernama Hatib bin Abi Balta’ah. Kisah-kisah ini motivasi buat pendosa seperti kita. Allah mahu mengajar kita bahawa syurga bukan utk org yg sempurna. Orang yg ke neraka ialah orang yg melakukan kesilapan dan orang yg ke syurga pun sama,yang membezakan mereka ialah taubat. Dalam surah ini juga ada dikisahkan tentang perempuan mekah yg berhijrah ke madinah kerana Islam dan dalam ayat quran,Allah perintahkan Nabi memelihara mereka. Ini simbolik kasih sayang Allah dan menunjukkan bahawa pentingnya seseorang perempuan itu membuat keputusan utk dirinya sendiri demi mencari keredaan Allah.
- ada kisah 3 perempuan di dalam neraka. Kisah isteri nabi nuh,isteri nabi lut dan kisah isteri Abu Lahab. Juga kisah asiah yg suaminya firaun. Ada pengajaran yg pasti di situ.
- dan akhirnya ibrah dari Surah Yusuf (surah yang paling aku suka) - motivasi buat diri sendiri.
Tiada komen negatif yg nak diberi.semuanya aku suka. Target nak beli buku ustaz yg lain.
Ada beberapa yang ingin saya kritik (unpopular opinion) dan ulas tentang penulisan buku ini.
1. Penulisan agak tidak kemas (bagi saya)
Tapi tidaklah hairan apabila Ustaz Syaari sendiri telah mengakui buku ini bukanlah hasil penulisan secara terus beliau tapi merupakan hasil pengumpulan nota pelajar yang setia mengikuti kuliah beliau. Jadi mungkin tidak kemas dari segi susunan nota yang telah dikumpul tu.
2. Tidak sesuai untuk pemula (beginners)
Setelah habis membaca saya sedari bahwa buku ini sesuai sebagai pelengkap bacaan kerana ia menceritakan tentang:
- sebab ayat diturunkan pada waktu tertentu - kenapa ayat al-Quran yang tertentu dipilih - ibrah kisah tersebut diturunkan
Jadi buku ini tidak menceritakan Kisah² dlm Al-Quran secara detail/lengkap.
Saya sebagai pemula yang hanya tahu serba sedikit kisah dalam Al-Quran mempunyai banyak persoalan yg tak terjawab. Maka sangat disarankan untuk baca kisah² dalam Al-Quran yang lebih detail dari buku lain terlebih dahulu supaya lebih faham dan dapat impak bacaan yang lebih mendalam.
3. Adakah buku ini secara overall masih baik?
Yess, sangat baik dan masih disarankan buat semua untuk membaca buku ini. Saya akan melakukan bacaan semula setelah saya baca kisah² dalam al-Quran yang lebih terperinci.
Dan mungkin waktu itu baru saya boleh memberikan 5 bintang kerana impak bacaannya lebih mendalam. InsyaAllah
Alhamdulillah sebuah lagi buku tadabbur yang penuh ibrah & sangat menginspirasikan, membuatkan kita berasa lebih dekat dengan ayat² Al-Quran.
Kita juga akan lebih kagum dengan kehebatan susunan serta pilihan setiap kalimah Allah yang diturunkan, sehingga kita berasa 'wah', 'oh begitu', 'patutlah' dalam hampir setiap kisah.
Terdapat banyak hikmah & ibrah yang dapat dikaitkan dengan kehidupan kita, diolah dengan baik oleh penulis.
Sungguh, Al-Quran merupakan mukjizat yang hebat bagi generasi Ulul Albab, yang berusaha menggunakan akal fikiran dan mata hati untuk memahaminya.
Buku yang cuba mengangkat tokoh-tokoh wanita dalam Al-Quran dengan pendekatan berkenalan dengan surah tersebut dan keistimewaannya. Pendekatan gaya bahasa yang lebih santai dan bersahaja memudahkan pembaca. Mungkin tidak banyak buku di Malaysia yang mengangkat tema ini dengan gaya begini di Malaysia.
Namun, boleh dikemaskan struktur pengolahan dan juga susunan isi-isi agar ‘standard’ untuk setiap bab. Juga dilebihkan huraian tentang tokoh-tokoh wanita tersebut seperti tajuk buku ini.
Gaya penulisan Ustaz Syaari sangat baik kerana mampu membuat pembaca ingin mengetahui intipati ayat seterusnya.
Selain diceritakan perempuan yang baik-dalam Al-Quran, buku ini turut menceritakan 3 wanita yang akan dimasukkan dalam neraka. Banyak pengajaran yang boleh kita boleh ambil daripada belahan ayat Al-Quran yang ditulis.
Sebuah buku yang menarik mengenai kisah-kisah perempuan yang diangkat di sisi Tuhan di sebalik ketidaksempurnaan. Kupasan oleh Ustaz Syaari amat mudah difahami dan membuatkan aku susah nak letak bila dah baca. Rupanya ada lagi kisah perempuan dalam surah tertentu yang aku baru tahu setelah membaca buku ini. Sangat sesuai untuk dibaca baik lelaki mahupun perempuan.
“Perempuan-Perempuan yang Baik-Baik dalam Al-Quran” adalah buku yang mengetengahkan tema tadabbur Al-Quran mengenai wanita.
Siapa yang mengikuti rapat penulisan Ustaz Syaari Abd Rahman pasti tak asing lagi dengan pembawaan tadabbur Al-Quran yang penuh santai, berilmiah dan menarik minat pembaca atau pendengar. Dan, yang penting tiada unsur Israiliyat!
.
Sebelum itu, suka saya jelaskan perkataan tadabbur ini berasal daripada perkataan arab iaitu عبر yang bermaksud menjambatani. Secara konsepnya, perbuatan tadabbur itu mengajak pembaca Al-Quran untuk menghayati setiap kalimah yang terdapat dalam kitab suci dan seterusnya menghubung kaitkan dalam kehidupan seharian mereka.
Ya, ini satu proses berterusan dan berpanjangan. Hingga akhir hayat!
.
Buku ini terdiri daripada beberapa siri tadabbur surah yang mengangkat tema wanita:
Jika kalian tanya siapa wanita dan apa cerita yang berkenaan dengan wanita yang ada dalam buku ini, saya lebih mencadangkan anda menghayati sendiri buku ini, baru ada “feel”!
.
Saya amat mencadangkan buku ini dibaca oleh sesiapa sahaja yang ;
1. Ingin mendekati dunia tadabbur Al-Quran 2. Ingin buku tadabbur yang santai dan mudah difahami 3. Ingin mempelajari keindahan bahasa Arab 4. Ingin mencintai nikmat Al-Quran 5. Ingin mengenali peribadi utuh wanita menurut Al-Quran
.
Pada saya, sebagai seorang graduan Bahasa Arab, buku ini benar-benar menjentik hati saya untuk lebih mendalami bahasa ini dengan lebih mendalam.
Dan, bagi perspektif seorang perempuan, buku ini berjaya membawa satu mesej penting kepada saya untuk berusaha menjadi perempuan yang terbaik di mata Rabbul Jalal, Yang Maha Esa.
Bismillah. Menurut pandangan saya, tajuk buku agak 'misleading'. Tajuk yang diberi : 'Perempuan yang baik-baik dalam Al-Quran' memberikan tanggapan bahawa buku ini membahas secara mendalam mengenai wanita-wanita yang disebutkan dalam Al-Quran sekaligus mengaitkan kisah mereka untuk memberi ibrah & teladan kepada wanita zaman kini. Namun begitu, saya dapati buku ini lebih menjurus ke arah tafsir ayat-ayat dalam surah tertentu secara keseluruhan. Buku ini menyentuh sangat banyak isu dan mungkin lebih tepat jika diberikan tajuk 'Ibrah dari surah-surah yang diturunkan kerana perempuan' dan sebagainya.
Namun demikian, jika diketepikan isu tajuk itu, buku ini adalah cukup baik dan terang dari segi penjelasannya. Bahasa yang digunakan sangat ringan dan santai. Sesuai untuk mereka yang baru mahu mula membaca.
Kisah-kisah yang diceritakan juga adalah kisah-kisah yang sudah diketahui umum, jadi tidak begitu menambah ilmu baru untuk saya sendiri sebagai pembaca. Sesiapa yang mencari buku untuk dijadikan rujukan, buku ini sesuai dan mudah difahami penceritaannya tetapi untuk mereka yang mencari buku yang membahas dari sudut yang baru/berlainan & mencari ilmu baru, buku ini bukan yang kalian cari. Buku ini untuk mengingatkan, namun kurang dari segi menambahkan.
Secara keseluruhan, usaha yang amat baik dari Ustaz Syaari. Sususan topik kemas dan sangat memudahkan pembaca 👍🏻
Buku ini mengupas 8 surah yang terdapat didalam Al-Quran dimana surah-surah tersebut mempunyai perkaitan dengan perempuan.
Banyak ibrah yang aku dapat apabila membaca buku ini. Setiap penerangan yang diberikan membuatkan aku lebih kagum dengan cara penyusunan ayat Al-Quran.
Aku tersentuh apabila melihat penyusunan ayat ke-20 dalam Surah Maryam yang dilakukan oleh Allah mengambarkan betapa sucinya Maryam. Hebatnya Maryam sehinggakan sanggup mati ketika dia sedang mengandung untuk elak memberikan fitnah kepada agamanya.
Selain itu, Ustaz Shaari turut tadabbur mengenai surah Al-Mujadalah, iaitu surah yang menceritakan tentang zihar. Surah ini membuktikan Allah mengangkat darjat seorang isteri dan memberikan amaran kepada sang suami untuk menghargai isteri mereka.
Highlights dalam buku ini:
🌻 Sebahagian pendakwah masa kini sering menutup pintu terhadap golongan yang berdosa serta mudah memberi penilaian yang buruk terhadap mereka. Sebaliknya, mereka haruslah pandai memberikan harapan kepada mereka untuk bertaubat serta berubah kearah kebaikan. Sikap melabel seperti ini perlulah dibuang.
🌻Amat sukar untuk mempertahankan iman kalau kita sukar berterima kasih kepada Allah.
🌻Bukan mudah untuk mengubah sesiapa. Ada kalanya ia menjadi hanya dengan beberapa patah kata, ada kalanya ia menjadi dengan akhlak dan tingkah laku.
Kesimpulannya, perempuan yang baik-baik itu bukanlah perempuan yang sempurna. Tak sempurna sabarnya namun berusaha menguatkan kesabaran. Tak sempurna keyakinan namun berusaha meneguhkan hati kerana percaya dengan janji Allah. Di sebalik ketidaksempurnaan mereka, Allah mengangkat kedudukan mereka di sisi-Nya.
Alhamdulillah rasa sangat2 bersyukur dapat baca dan faham tulisan Ustaz Syaari Ab Rahman, tulisan beserta contoh,nasihat dan teguran yang sangat jelas mengenai kisah perempuan yang baik2 dalam al-Quran.
Menghimpunkan kisah-kisah mengenai beberapa wanita yang kisahnya diceritakan dalam Al-Quran.
Beberapa ayat dipetik dan dihuraikan secara panjang lebar.
Iaitu Surah An Nisa' berkenaan kemuliaan wanita, kisah ibu Nabi Musa dalam surah Qasas, kisah Maryam dalam surah Maryam.
Kisah perempuan yang mengadu dalam Surah Al- Mujadalah, kisah perempuan yang diuji dalam surah Al-Mumtahanah, kisah perempuan yang berbisik-bisik (para isteri Nabi) dalam surah At- Tahrim.
Dibawakan juga kisah tiga perempuan di dalam neraka iaitu isteri Nabi Lut dan isteri Nabi Nuh serta Ummu Jamil, isteri kepada Abu Lahab dalam surah Al- Masad.
Dan yang terakhir adalah kisah Zulaikha dalam surah Yusuf. Yernyata Zulaikha yang pada awalnya berusaha menggoda Nabi Yusuf untuk berbuat maksiat, akhirnya mengaku bersalah dan bertaubat setelah lama Nabi Yusuf dipenjarakan.
Gaya penyampaian santai dan diberikan penjelasan juga tentang makna dan keistimewaan sesuatu perkataan yang dipilih dalam sesuatu ayat, dengan mendalam.
Amat membantu dalam usaha seorang wanita untuk menghayati sifat-sifat terpuji yang disukai Allah dan sifat keji yang dimurkai.
Saya paling terkesan dengan kisah pada bab 3-Surah Maryam, dan bab 8-Babak Konspirasi Zulaikha.
Sebelum-sebelum ini, saya kerap mengulang video ceramah Ust Hannan Attaki yang bercerita tentang kisah Maryam. Sekarang baru saya fahami teknik penceritaan Ustaz Hannan adalah menggunakan gaya tafsir dan tadabbur seperti pada buku ini.
Tambahan pula, terjemahan mengikut ayat dan pemilihan kata kunci pada ayat-ayat tertentu dapat membantu melahirkan rasa kagum terhadap kalam Allah SWT.
Keseluruhannya, ini merupakan sebuah bacaan yang sangat baik buat semua yang mahu lebih menghayati dan tadabbur kisah-kisah dalam al-Quran.
“...hak al-Quran kepada pembaca bukan sekadar membaca, tetapi hak al-Quran adalah kita melihat ayat-ayat Allah SWT ini dengan hati selepas akal, dengan perasaan setelah pemahaman” (p. 145)
Saya tak rasa jemu membaca buku ini, saya suka sebab saya dapat mengenali dengan lebih dekat setiap wanita yang disebut dalam al Quran. Setiap surah yang di lampirkan memberi penjelasan yang jelas dan ada pengajaran di sebalik setiap ayat.
This book is ‘Rich’. Rich of knowledge, information & lessons Subhanallah.
The book starts with a discussion of the Quran verses from surah An Nisa which Allah revealed to acknowledge the noble status of Women. The following chapters Ustaz Syaari recounted the stories of exceptional women whom status are elevated in the eyes of Allah ❤️
Even though some of the Surah(s) are less popular within our culture in Malaysia but the lessons from the Surah(s) are mind blowing Subhanallah. The narration is clear & straightforward which make it understandable even when discussing complicated issues. If you are familiar with Ustaz Syaari’s writing, you’ll know what I’m talking about 😅
The best part is, when you read the book, you are also reciting the Quran along with the translation and doing the tadabbur of the whole surah/verses as well. I tagged my Quran too, so i actually did multiple tasks as I read the book. So how can i not love this book?😘 Now i know what the fuss is all about! 😍
Perasaan yang sama saya dapat rasakan bila baca Perempuan Yang Baik² Dalam Al-Quran dengan buku Lelaki Yang Hebat Dalam Al-Quran. Rasa wow bila baca tu. Nyata lagi terang bersuluh mukjizat Al-Quran yang nabi kita dapat sungguhlah hebat.
Naskah ini membawa pembaca untuk mengenal wanita yang disebut di dalam Quran antaranya ibu Nabi Musa, Maryam ibu kepada Nabi Isa, isteri kepada Nabi Nuh, Nabi Hud dan Luth, isteri Al Aziz (pemerintah Mesir) disebut juga sebagai 'Zulaikha', isteri Abu Lahab dan lain² lagi. Kesemua diceritakan membawa pengajaran tersendiri yang mana ada ayat tidak menyebut secara terperinci mengenai nama watak tersebut, tempat, dan sebagainya supaya manusia terkemudian yang hidup selepas itu dapat memfokuskan pada yang sepatutnya.
Penulisan yang mudah difahami, sangat bagus dan membantu kita tahu lebih lanjut tentang surah berkenaan.
Walaupun tajuknya perempuan, ia sesuai dibaca lelaki juga. Dengan karakter yang kuat, peribadi perempuan-perempuan ini wajar dijadikan idola/role model.
Sesuai untuk bacaan keluarga, dan semestinya anak-anak yang membesar, supaya mereka tahu siapa dan apakah nilai-nilai yang perlu diterap dan diamalkan.
Sangat tertarik dengan kisah Zulaikha yang ingin mengoda Nabi Yusuf walaupun sudah bersuami ketika itu. Dia bermula dengan perempuan yg jahat, khianat tetapi berakhir dengan husnul khotimah kerana sudah bertaubat.
Penggunaan bahasa dalam buku ini juga sangat mudah difahami. Sy selalu mengalami kesukarahan untuk memahami maksud di sebalik terjemahan ayat Al Quran namun penulis memberi penerangan dengan cemerlang 😉
'Kaum wanita dicela dalam Bible. Menurut kandungan kitab itu, kerana Hawa lah Nabi Adam AS tersingkir dari syurga dan menyebabkan anak keturunan manusia terkandas di dunia. Selanjutnya golongan wanita ditindas oleh bangsa Nasrani disebabkan original sin yang dilakukan oleh Hawa. Hawa diletakkan sebagai wakil yang menunjukkan kelemahan wanita. Sehingga bangsa Melayu sendiri terpengaruh dengan memadankan perkataan nafsu dengan perkataan hawa, menjadi 'hawa nafsu'. Sebetulnya sebutan nama Hawa yang sebenar adalah Hawwa'.'
Perempuan Yang Baik-Baik Dalam Al-Quran nukilan Syaari Ab Rahman merungkai kisah-kisah tentang wanita yang tercatat dalam kitab suci Al-Quran. Menerusi 8 surah, penulis mengemukakan kisah-kisah yang sarat dengan pengajaran, mengangkat darjat wanita sekali gus memperkenalkan pembaca kepada wanita yang baik-baik mahupun sebaliknya.
Menerusi buku ini, pembaca didedahkan kepada tadabbur 8 surah yang mengandungi kisah wanita tertentu dalam Islam iaitu Surah An-Nisa', Surah Al-Qasas, Surah Maryam, Surah Al-Mujadalah, Surah Al-Mumtahanah, Surah At-Tahrim, Surah Al-Masad dan Surah Yusuf. Di samping mengetahui lebih lanjut tentang asbab nuzul turunnya surah-surah berkaitan, pembaca juga dapat merenung ibrah kisah-kisah yang berhubung kait dengan kehidupan masa kini.
Sebagai seorang perempuan, penghayatan terhadap kisah perempuan-perempuan baik dalam al-Quran ini menyedarkan bahawa perempuan yang baik bukan lah perempuan yang sempurna kerana kita semua cenderung melakukan dosa walaupun berdamping dengan golongan yang beriman dan berpegang teguh pada agama seperti kisah isteri Rasulullah SAW (Aisyah RA dan Hafsa RA) mahupun kisah isteri Nabi Nuh AS & Nabi Lut AS. Yang paling penting adalah pengakhiran hidup kita; adakah baik atau sebaliknya?
🌟4.8/5.0. Buku yang perlu dibaca oleh semua golongan baik lelaki mahupun perempuan sebagai pedoman, seperti mana kita membaca al-Quran.
Buku ini mengandungi 8 bahagian yang dimulakan dengan Surah An-Nisa di mana surah ini menceritakan tentang kemuliaan wanita. Bagaimana sebenarnya kedudukan wanita itu dalam Islam dan bagaimana Islam mengangkat martabat wanita selayaknya daripada terus dicemari oleh tradisi Arab yang menindas mereka.
Perempuan-perempuan yang dikisahkan dalam Al-Quran ini tidak hanya fokus kepada mereka yang suci, baik semata mata. Namun diceritakan juga kisah wanita yang durhaka, melawan Islam, yang melakukan perkara tidak baik namun bertaubat kemudiannya, dan juga kisah2 wanita yang tetap bersama suaminya yang melawan Islam bahkan turut serta dalam menganiaya Rasulullah SAW.
Penulisan buku ini sangat mudah difahami, susunan kata yang jelas dan tidak asing bagi kita sebagai orang awam untuk membacanya. Buku yang sangat baik untuk dibaca oleh mereka yang nak berjinak jinak dengan dunia tadabbur. Apa itu tadabbur? Ianya merupakan usaha untuk mencari makna disebalik zahir suatu perkara. Kalimah tadabbur juga digunakan pada setiap usaha manusia untuk mendalami hakikat satu perkara. (Ref: Laman Web Mufti Wilayah Persekutuan)
Semoga kita sama2 berusaha untuk lebih memahami isi Al-Quran dalam membaiki kehidupan dan diri kita. Bukankah seorang Muslim itu mesti lebih baik daripada semalam? Tiada istilah terlewat dalam melakukan penambahbaikan pada diri dan kehidupan kita. Moga2 Allah membantu kita. Amīn.
'Wahai wanita, ambillah wanita Alquran ini sebagai suri teladan. Mereka ini diiktiraf Sang Pencipta, belajarlah dari mereka bagaimana menjadi hamba yang diredhaiNya'
Memujuk dan terpujuk. 2 perkataan ini cukup untuk menggambarkan naskhah hebat ini. Ini merupakan buku pertama dari siri pertama ibrah Quran karya penulis. Dimulakan dengan perempuan yang baik-baik, diikuti lelaki yang baik-baik dan diakhiri dengan siri keluarga. Buku ini berkisarkan kisah perempuan-perempuan baik yang diangkat Allah dalam Al-Quran. Namun, bukan semata bercerita yang baik-baik, diungkap juga ketidaksempurnaan mereka. Bukan itu sahaja, terdapat juga beberapa kisah wanita yang dimurkai seperti kisah Ummu Jamil, isteri Abu Lahab, kisah isteri Nabi Luth AS dan Nabi Nuh AS. Setiap kisah dikupas mengikut neraca Al-Quran dan dipersembahkan segala dalil yang menjadi asas kepada penceritaan. Buku ini mempunyai teladan yang kita boleh ambil mengikut watak yang dipegang baik sebagai individu, anak, isteri dan ibu. Sangat direkomendasi! 💯