Aku, Buku dan Kota Kaherah boleh dianggap sebagai sebuah mini memoir. Sebuah memoir tidak merakam seluruh riwayat hidup penulisnya. Buku ini mengisahkan dunia sang pencinta buku yang terjebak dalam dunia pesona buku yang mengasyikkan lebih dua dekad lalu. Ketika itu beliau sedang berkelana dalam pencarian ilmu di Kota Kaherah, Mesir.
1. Saya sering mendengar pengakuan orang yang mengatakan dirinya adalah pencandu buku, tapi hakikatnya kebanyakan mereka adalah tsundoku, pembeli/pengumpul buku. Membacanya kurang.
2. Saya adalah salah seorang daripada mereka. Sasaran 40 buah buku setahun pun saya gagal untuk lunaskan. Haih!
3. Jadi apabila saya membaca buku ini, sedikit sebanyak rasa skeptikal itu terbit. Mana ada orang yang benar-benar pencandu buku.
4. Saya silap. Penulis ini memang benar-benar orang yang "hantu buku". Bukan setakat membeli buku, tetapi beliau juga tahu siapa penulisnya dan apa yang dibincangka dalam setiap buku itu.
5. Jelas penulis adalah pembaca yang tegar dan sangat menghormati hasil lelah manusia yang mencurah bakti menulis buku.
6. Penulis untung sekali dimudahkan laluannya memburu buku-buku langka dan nadir dengan kehadiran manusia-manusia ajaib di Mesir.
7. Saya cemburu sekali dengan cerita beliau tentang kota buku Kaherah yang meriah. Bagaimana buku adalah "candu" yang ditagih ramai dan mempunyai kedudukan tinggi di Mesir.
8. Paling hampir, saya merasai suasana kota buku sebegini ketika di Indonesia, tepatnya di Jakarta. Haih! Rindunya mahu ke Blok M, Pasar Senen dan tentu sekali, Gramedia.
9. Buku ini ditulis dengan baik. Bahasanya bagus. Ada kala, kalau tak keterlaluan saya katakan, penceritaan beliau mengingatkan saya dengan penulisan Ustaz Hasrizal (Saiful Islam).
10. Buku ini berbaloi untuk dibaca. Penulis mengingatkan saya untuk terus isitqomah membaca, dan menggali ilmu dalam setiap baris ayat yang ditulis.
Masih belum ada sebarang buku yang merakamkan kembara sastera tanah air kita, kecuali Literacity: Fragmen Sastera KL (tetapi itu lebih kepada antologi esei dan wawancara).
Maksud saya, tiada lagi buku yang khusus berkongsi pengalaman individu menjejak kedai-kedai buku atau tempat-tempat yang mempunyai sejarah sastera; semacam travelog atau memoir. Kita ada Kembara Sastera Nisah Haron (jelajah UK) dan Dunia Ialah Sebuah Aksara + Kembara Mencari Sempadan oleh Muhammad Haji Salleh (jelajah dunia).
[Kemas kini: Ideologi karya Zin Mahmud juga banyak berbicara tentang buku dan kedai-kedai buku]
Aku, Buku dan Kota Kaherah ini pula, walaupun ia masih bukan kembara dalam negara kita, tetap sebuah naskhah berharga yang bercerita mengenai pengalaman penulis memburu kitab-kitab terpakai dan langka di kaki lima Kaherah. Cerita pasal reruai-reruai buku terpakai dekat Pesta Buku Antarabangsa Kaherah tu fuhhh, mengundang betul. Kalaulah PBAKL ada peluang sebegitu.
Kita banyak berbicara tentang sastera Eropah dan Amerika Latin sehingga sastera Arab ini mungkin seperti disebut. Buku ini hadir merintis jalan untuk kita mula memperkatakan buku-buku dari sana pula.
Nota: Dalam buku saya, Aku Mahu Membaca 1000 Tahun Lagi, ada satu bab tentang pengalaman saya memburu buku di Aceh pada 2 tahun yang lalu.
Sebuah perjalanan penulis yang menggunakan kesempatan yang ada untuk memburu buku-buku terpakai, nadir atau langka, ketika menuntut di Universiti Al-Azhar, Kaherah. Pengalaman penulis dalam dunia pembacaan boleh dikatakan sama dengan saya iaitu minat untuk menekuni buku itu hadir ketika menuntut di pengajian tinggi. Ketika itu baru tahu wujudnya pesta buku, mabuk buku dan sebagainya.
Satu kelebihan yang ada di Kaherah adalah terdapatnya pasar buku seperti Sur al-Azbakiyah yang membolehkan pembaca untuk mencari buku di tempat yang sama dari pelbagai penjual. Fenomena ini sukar dijumpai di Malaysia melainkan kita mengharapkan pesta buku tertentu baru dapat melihat pelbagai jenis buku dari pelbagai penerbit dan juga mengharapkan kedai buku besar seperti MPH, Kino dsb.
Walaupun genre dan bidang buku; kitab arab yang penulis minati berbeza daripada saya, satu perkara yang paling menarik perhatian adalah apabila penulis berjaya mendapatkan sebuah kitab yang diharamkan dijual di Mesir iaitu Ma'alim fi al-Toriq karangan Sayyid Qutb. Dikatakan Sayyid Qutb (semoga Allah mengampuninya dan merahmatinya) membawa doktrin takfiri, disebabkan itulah kitab tersebut diharamkan di Mesir.
Antara lain penulis menyebut tokoh-tokoh seperti Sheikh Idris al-Marbawi (orang Melayu) yang cukup tersohor di Mesir hasil penulisannya Kamus Marbawi (Arab-Melayu), Sheikh Nuruddin al-Banjari yang mengajar kitab kepada pelajar Malaysia di Kaherah, Sheikh Ali Jumaah yang mengeluarkan fatwa al-Azhar untuk penulis lalu dihantarkan kepada badan zakat di Perak sementelah penulis gagal mendapatkan wang zakat disebabkan penulis berketurunan Syed (keturunan Rasulullah saw).
Dunia ulat buku sememangnya aneh dan sangat mengujakan. Seseorang ulat buku yang pernah menetap di Mesir untuk beberapa ketika, pasti mampu melahirkan sebuah buku mengenai lautan khazanah perbukuan yang tidak bertepi di sana.
Uniknya buku Tn. Shahriman ini ialah pada rakaman klasik kanvas dunia keilmuan dan perbukuan Arab di sana pada sekitar tahun 1990. Penulis sempat bertemu dengan Sayyid Sabiq, pengarang kitab Fiqh al-Sunnah selain mampu melakarkan suasana dunia keilmuan di al-Azhar pada ketika itu yang membenih-rancakkan lagi warna-warni pelbagai disiplin ilmu pengajian yang dapat kita lihat pada hari ini.
Lubuk-lubuk buku terpakai di sana yang berkurun lamanya subur dan memaut hati para pencinta buku masih sentiasa tidak puas untuk digali. Jika Mesir sangat memalukan dari sudut birokrasi, pencemaran, kes-kes jenayah, kesesakan dan kemudahan awam, kota seribu menara itu masih menyimpan seinfiniti khazanah keilmuan, sejarah dan guru-guru yang bertatahkan nilaian kilauan permata.
Buku ini mungkin lebih enak dikunyah jika beberapa ejaannya diperhalusi semula dan disulam dengan buku-buku berbahasa Inggeris yang sangat lumayan mampu diterokai di sana selain institut-institut keilmuan yang menjalar dengan penuh ranumnya buah-buah wacana baik wacana Timur mahupun Barat.
Buku ini memang membangkitkan kembali perca-perca memoriku meneroka dua alam yang berbeza di sana iaitu alam turath yang mengakar di Masjid (dan Universiti) al-Azhar, Darb al-Atrak, Dar al-Salam, Mujallad al-‘Arabi, Masjid al-Asyraf, Masjid al-Fadhil, Syeikh Ibrahim, Ustaz Ahmad dan Darrasah dengan alam moden yang analitis-kritis di Zamalek, NVIC, Villa 6th October, IIIT, Tahrir, AUC, Diwan Bookstore, Dar Shorouk, Attabah, Maadi dan Cairo University.
Ini belum diambil kira saat-saat hati berputik penuh girang bagai dihembus bayu dingin Mediterranean saat merangkul naskhah diselaputi debu karangan Syeikh ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah, Syeikh al-‘Izz ‘Abd al-Salam, Ibn Sina, al-Ghazali, Ibn Rushd, Ibn Taimiyyah, Syeikh Muhammad al-Ghazali, al-Suyuti, al-Baqillani sehinggalah Lewis Mumford, Toynbee, Postman, Adler, Russell, Said, Lewis, Armstrong, Chomsky, Martin Lings, Abdal-Hakim Murad dan Rumi.
Selalu kita membaca coretan pengambara buku ke kedai-kedai buku terpakai di Malaysia, atau di Eropah, mahupun ke kota-kota buku dunia. Ada yang gemar mencari buku langka, ada yang ingin merasai keunikan sesetengah kedai buku atau sekadar menikmati suasana yang berbeza dari kebiasaan. Aku, Buku & Kota Kaherah memberi perspektif baharu tentang dunia buku dengan menampilkan suasana perbukuan di negara Arab, khususnya di Mesir, atau lebih khusus lagi, Kaherah.
Memang jarang kita mendengar perkongsian dunia perbukuan berbahasa Arab, kurang sekali tulisan tentangnya, malah sedikit pengetahuan kita tentangnya, kecuali kepada mereka yang memang yang bergelumang di dalamnya, misalnya pelajar Malaysia di sana.
Inilah kelainan yang ada pada Aku, Buku & Kota Kaherah.
Saya terpesona dengan setiap ceritanya. Penulis menimba sepenuh pengalaman sewaktu berpeluang belajar di Univeriti al-Azhar dengan menggeluti buku dan pasaran buku nadir di Kaherah. Dia mencari buku dari lorong ke lorong, dari kedai ke kedai, menjejakkan kaki ke Pesta Buku Antarabangsa Kaherah yang terbesar di dunia Arab selain meluangkan masa bertalaqqi dengan buku-buku yang dibeli. Penulis menyedari nilai buku nadir, membuatkan dia akhirnya menjadi dia pemburu dan kolektor khususnya buku edisi pertama, buku-buku kontroversi buku bertandatangan penulis atau buku yang dilarang (buku haram). Semuanya ada nilai dan darjat yang tersendiri di mata seorang pemburu buku. Malah ada juga yang mencuri dan menjualnya pada harga yang sangat tinggi.
Selain bercerita tentang pengalaman menjadi kolektor dan pemburu buku nadir, penulis juga merakamkan pengalaman bertalaqqi dengan para mashaikh, menceritakan serba sedikit kandungan buku yang menarik dan penulis yang jarang didengar. Buku-buku berbahasa Arab dapat dicapai oleh mereka yang menguasai Bahasa Arab, atau mungkin, oleh mereka yang rajin membaca karya terjemahannya, sama ada dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris. Namun berpeluang membaca sendiri dalam bahasa asalnya berbanding terjemahan pasti membawa pemahaman yang berbeza, apatah lagi sekiranya terbit beberapa edisi berbeza, ya’ni edisi yang diperbaharui seperti yang berlaku pada Tafsir Zilal al-Quran yang ditulis oleh Sayyid Qutb. Malah penulis turut menegaskan adalah lebih baik membaca sendiri kitab-kitab ini berbanding mendengar komentar orang lain yang selalu mengundang salah faham, dan ini akan dapat membetulkan pandangan jika buku itu dibaca, dan dirujuk pada orang yang betul. Ini banyak membantu penulis membetulkan pandangannya sendiri, begitu juga pandangan rakan-rakan yang mudah terdedah dengan fahaman haraki yang bersifat perjuangan.
Kegilaan terhadap buku dan mengumpul buku menyebabkan penulis – apabila memutuskan kembali ke Malaysia - membawa pulang 20 kotak buku. Ternyata dunia buku Arab ini lebih mengasyikkan!
Antara kota ilmu peradaban Islam dahulukala. Pesta Buku Antarabangsa tahunannya, yang merupakan pesta buku kedua terbesar di dunia, patut dijejakkan kaki satu hari nanti pastinya. Ditambahkan lagi dengan pelbagai lubuk buku-buku nadir dari segala bidang ilmu Islam & Barat di segenap lorong-lorong berdebu nya. Pencinta buku mana yang tidak teruja.
Rakyatnya masih ramai yang miskin secara zahirnya, namun tidak pada rohaninya. Buku-buku dalam pelbagai bidang ilmu sentiasa dicari, kelas-kelas pengajian di masjid & madrasah disana tetap ada yang menghadiri mengambil berkat ilmunya. Para ulama dan ilmuwan sentiasa timbul dari sana. Negara yang memang penting dan unik buat umat Islam sedunia.
Ditambahkan lagi dengan kisah unik dan menarik berkaitan kecanduan buku disana. Pencuri buku yang obses dengan buku-buku nadir. Si pemandu teksi yang kehidupannya tidaklah kaya, namun masih ketagih dengan koleksi buku-buku lusuhnya.
Bab penulis mengejar buku larangan Sayyid Qutub membuatkan saya lebih teruja untuk mencari buku larangan yang masih saya cari sehingga kini, iaitu buku kontroversi dari Kassim Ahmad, Hadis : Satu Penilaian Semula.
Dengan cerita suka-duka kehidupan pelajarnya, kisah pelbagai ilmuwan tempatan & Nusantara yang banyak jasanya disana, buku ini memang cukup perisanya. Bertambah lagi pengetahuan saya mengenai Universiti Al-Azhar ini hasil dari buku nukilan bekas pelajarnya ini. Sebelum ini saya cukup menikmati buku Travelog Debu-Debu Kota 1000 Menara, buku lain dari penuntut universiti ini di cawangan Tanta nya.
Namun kesudahan kisah penulis sebagai penuntut di sana ini boleh dikira memilukan. Lebih-lebih lagi kerana saya juga membawa nama keluarga yang sama seperti penulis. Sudah tentu lebih memahaminya.
Dari bacaan di media sosial, mungkin bakal keluar buku sekuelnya. Pasti akan lebih menarik lagi kisahnya dari penulis. Akan menanti dengan penuh sabar 😊
Seterusnya ke satu lagi buku dari pencandu buku ketika beliau belajar di Mesir juga, iaitu buku Rihlah Ilmiah di Kota Kaherah.
Mesir adalah antara negara terawal membawa masuk mesin pencetak buku, sekitar kurun ke-18. Hasilnya, Mesir menjadi lubuk buku nadir dan langka sehingga hari ini! ... Buku ini menghimpunkan kembara penulis saat menuntut di Al-Azhar, Mesir sekitar pertengahan tahun 90-an hingga awal tahun 2000. Sebahagian besarnya penulis menggambarkan keterujaan, keghairahan, dan kecintaan penulis kepada buku. Kita bakal dibawa menelusuri pelbagai kedai buku terpakai di Mesir yang lebih dikenali sebagai Sur Al-Azbakiyah iaitu pasar buku terpakai. Lebih menarik apabila penulis bersahabat dengan pelajar dari Mesir, penjelajahan kedai buku semakin luas hingga ke ceruk yang jarang disinggahi terutamanya oleh pelajar Malaysia.
Penulis turut berkongsi mengenai buku-buku agama yang bersifat nadir, buku yang diharamkan, serta tokoh-tokoh hebat yang ditemuinya, mahupun penulisan mereka. Antara lain, penulis mencoretkan suka duka pengalamannya menuntut ilmu, tentang krisis kewangan yang dihadapinya, sakit misteri yang memaksanya pulang ke Malaysia, ketaksuban untuk berpersatuan, dan bermacam-macam lagi.
Penulis agak lantang mengkritik dan memperkatakan hal-hal tabu yang dihadapinya seperti pandangan serong masyarakat terhadap penuntut Al-Azhar, sikap kasar dan suka bergaduh orang Mesir, pelajar yang lalai berpersatuan, kerelevanan pengharaman buku, dan banyak lagi. Jangan terkejut apabila di awal pembacaan lagi, anda akan menemui kritikan pedas penulis terhadap persekitaran kota Kaherah yang penuh sampah sarap, berbau hancing dan penuh gelandangan!
Bagi yang berhajat ke Mesir sama ada ingin bercuti atau sebagai penuntut ilmu, buku ini mungkin sesuai untuk anda. Pastinya banyak yang sudah berubah memandangkan ia adalah pengalaman penulis kira-kira 20 tahun yang lalu. Apapon, bacaan yang menarik👍🏻
Buku yang mengisahkan pengalaman penulisnya semasa belajar di Universiti al-Azhar. Minat beliau pada buku semakin bertambah dengan adanya Pesta Buku Kaherah dan berkelanjutan hingga ke pasar buku terpakai. Kesukaan beliau semakin menjadi-jadi bila ada sahabat punya minat yang sama.
Berdasarkan tajuk-tajuk kitab yang beliau catatkan, beliau cenderung kepada kitab falsafah, kitab tasawwuf dan kitab hadith. Beliau sanggup berjimat untuk membeli kitab-kitab langka yang orang Mesir sendiri susah mendapatkannya. Pada tahun 90an itu mesti mendapatkan kitab fizikalnya. Keadaan sekarang mungkin sudah berbeza kerana banyak kitab sudah didigitalkan dalam bentuk pdf.
Bila sedang membaca buku ini, kekadang terfikir yang beliau beli dan kumpul kitab banyak-banyak macam tak mau balik Malaysia lagi. Mesti timbul masalah untuk bawa balik nanti.
Menariknya buku ini boleh juga belajar bahasa Arab 'ammiyyah. Disebabkan buku ini, aku menyambung membaca buku Sayyid Qutb, Ma'alim fi ath-Thariq, yang susah nak habis.
Firasatku seolah mengatakan buku ini akan ada sambungan. Apa kesudahan pengajian master beliau? Apa jadi dengan kitab sebanyak 20 kotak itu? Apa jadi dengan sahabat beliau, Abdul Rahman? Penulisnya hendaklah bertanggungjawab untuk menulis sambungan cerita dengan tajuk yang lain.
Buku ini menjadi bualan ramai orang sewaktu diawal penerbitannya pada Januari tahun lepas. Rasa terpanggil pula untuk membacanya.
Satu perkara menarik dalam buku ini adalah peniaga dan penjual buku jalanan di lorong-lorong kecil ini, mereka bukan sekadar menjual buku, tetapi mereka juga berilmu dengan buku-buku yang dijual. Mereka sangat arif dengan nama penulis, latar belakang penulis, edisi cetakan dan kepada siapa patut dijual. Mereka adalah intelektual jalanan.
Menarik sangat buku ni. Selain dapat maklumat pasal buku, aku juga dapat tahu berkenaan perangai masyarakat Mesir, situasi kehidupan dan serba sedikit sejarah dan tokoh di Mesir.
Tak boleh berhenti baca. Sebenarnya saya tidak pernah tahu yang Mesir adalah kota buku sebelum ini. Dan membaca ini, walaupun saya dari bidang berbeza, saya rasa berminat mahu belajar bahasa Arab semula dan lebih mendalaminya, supaya saya boleh membaca buku-buku dari ilmuwan Islam terdahulu. Betapa ada yang sanggup berlapar untuk membeli buku, pelajar pula. Saya sangat kagum.
Saya pilih untuk baca buku ni sebab nak cari semula semangat membaca sebab hampir seminggu tak membaca🥲, memandangkan tajuk buku ni adalah tentang buku.
Ternyata, pilihan saya tepat Alhamdulillah😊
Saya berjaya habiskan bacaan buku ni dan mula eksaited nak baca buku seterusnya pula.
Buku ni menceritakan tentang pengalaman penulis di Kota Kaherah, Mesir di mana beliau 'book hunting' buku-buku yang langka. Kagum lah dengan orang yang boleh baca buku bahasa Arab ni. Terasa kerdil pulak diri sendiri huhu. Penulis juga ada selitkan tentang tokoh-tokoh penulis Islam dan Mesir yang sangat luar biasa bagi saya, bila mana tokoh tersebut berdedikasi kan hidup mereka untuk mengkaji bahasa, membaca dan menulis. Subhanallah hebat.
Habis je baca buku ni, rasa macam terinspirasi untuk terus membaca dan berkongsi dengan orang lain bahawa best nya membaca ni dan inshaAllah ada manfaatnya! 💪🏼
Perkongsian yang menarik dan lepas membaca buku ini, saya tak sangka memang ada jenis orang yang obses untuk mengumpul buku2 nadir ni. Harapnya satu hari nanti dapat melihat sendiri susana di pesta buku Mesir, teringin nak explore macam penulis buat.
Pencinta mesti akan suka buku ini. Penulis berjaya menukilkan apa yang peminat buku selalu fikirkan dan apa yang akan diperbuat bila bertemu buku. Kisah buku, ulamak, dunia Al Azhar dan dunia buku di Mesir sangat menarik.
Saya rasa seperti mahu ke Mesir dan tinggal dan belajar di sana.
Saya seorang pembaca yang tidak membaca mana-mana ulasan dan membeli buku mengikut kehendak hati. Begitu juga dengan buku ni. Saya cuma menikam nasib, menyeronokkan ataupun tidak, itu belakang cerita.
Setelah menghayati dan membacanya dari kulit ke kulit, ternyata saya ia tidak mengecewakan malah sungguh rugi kerana saya tidak memilikinya dari awal. Buku ini tentang penulis, buku, dan Kota Kaherah.
Penulis merupakan pelajar Al Azhar dan meminati buku dari kecil, malah ayahnya memainkan peranan utama dalam hidupnya perihal buku. Kesusahan yang dialaminya ketika di Mesir langsung tidak menjejaskan minatnya tentang buku. Dimana ada buku-buku langka dan nadir, disitulah beliau. Lagi satu, beruntunglah seseorang yang mempunyai sahabat dan berkongsi minat yang sama. Itu satu rezeki. Malah dari buku ini juga saya tahu tentang Pesta Buku Terpakai dan tentang orang-orang gila/pencuri buku. Ada juga salah satu watak dalam buku ni menganggap memiliki buku merupakan terapi. Begitulah.
Kalau ditulis disini tentang buku di Mesir, sungguh tidak dapat mengeluarkan segala rasa tentang pembacaan ini. Walaupun saya tak pernah menjejakkan kaki ke Mesir, tetapi dengan pembacaan saya, terasa seperti saya mahu kesana dan rasa seperti mengelilingi buku-buku terpakai. Saya memahami perasaan orang-orang yang mencintai buku atau gila buku. Aaahh, susah mahu menulis. Sekiranya kalian ada dihadapan saya, sudah tentu saya akan menceritakan nikmat yang dikongsi penulis dalam bukunya ini. Saya teringat disatu bab dimana penulis menceritakan kisah tentang Anwar Al Jundi dimana beliau mendedikasikan seluruh hidup untuk membaca dan menulis dan beliau kata beliau lebih senang dalam menulis berbanding bercakap di khalayak ramai. Terlalu banyak tokoh yang diceritakan dalam buku ni menampakkan penulis seorang yang serius dalam pengajian ilmu dan matlamat beliau di Mesir.
Selain daripada itu, apa yang menarik perhatian saya lagi adalah, seorang penjual buku bukan sekadar menjual tetapi mengetahui segala isi buku yang hendak dijual. Sepatutnya beginilah sikap seorang penjual buku yang harus ditanam oleh semua penjual buku. Saya masih ingat pada sebelum datang ke semenanjung, saya seorang penjual buku dan saya wajib tahu serba sedikit tentang buku yang dijual supaya mudah untuk berinteraksi dengan pembeli. Saya harap skil seperti ini ada pada semua.
Apa yang saya dapat dalam buku ini adalah kita tak boleh berpihak pada satu pendapat bagi sesebuah buku. Kita seharusnya memperluaskan lagi agar kita tahu memilih dan membuat kesimpulan sendiri. Bergaul dengan semua orang tidak kisahlah siapa dia, kerana setiap yang hidup itu ada manfaatnya. Cumanya harus tahu menapis mana yang baik ataupun buruk.
Pentingnya buku itu adalah suatu yang sukar digambarkan kerana buku itu adalah rakaman sejarah ketamadunan malah ia adalah kumpulan ilmu. Rugilah mereka yang menganggap enteng tentang buku. Membaca buku ini tidak sama seperti membaca media sosial. Buku jugalah yang memandu kita ke mana arah harus dituju. Tiada istilah picisan dalam pembacaan.
Buku-buku terpakai, langka, dan nadir sangat berguna untuk generasi hadapan. Ada yang tidak diulang cetak sedangkan isi-isinya masih relevan dan diperlukan untuk masa kini. Sayang kalau dibiarkan begitu sahaja. Tulisan-tulisan ulama silam dan tokoh-tokoh terdahulu harus dijaga malah saya berharap buku-buku tersebut jatuh ke tangan yang benar-benar memerlukannya.
Aku, Buku & Kota Kaherah boleh aku katakan sebuah nashkah yang ditulis oleh seorang pencinta tentang kekasih hatinya. Buku ini ada tarikannya yang tersendiri. 30 minit pertama, aku membaca buku ini sambil berdiri. Aku merasai keseronokkan dan tidak sabar untuk sama-sama menjelajah Kota Kaherah.
Bila aku nampak buku ini diiklankan di instagram, seakan ada satu tarikan yang sukar dijelaskan. Penulis bukan seorang yang aku kenali, pada awalnya aku ingat ini buku lama rupanya ini buku yang baru terbit. Ya, aku tidak buat background check pun untuk buku ini. Mungkin kulit buku yang berwarna biru dan gambar susunan buku di lorong itu berjaya menarik perhatian aku.
Nampaknya aku tidak buat pilihan yang salah, ini sebuah buku yang menarik. ☘aku suka jenis font yang digunakan, mudah dan sedap untuk dibaca. ☘aku suka jenis kertas yang digunakan untuk mencetak buku ini. ☘aku suka cara penulis membawa pembaca masuk ke dalam pengalaman hidup beliau yang pada aku amat berharga. ☘aku suka kesinambungan kisah untuk setiap bab. ☘aku suka buku ini sebab banyak maklumat baru aku perolehi. ☘aku suka pada akhirnya penulis memberitahu beliau ada 20 kotak buku untuk dibawa pulang. Beliau lebih sanggup dirinya yang tak balik Malaysia, apa yang penting buku-buku itu perlu diterbangkan pulang. 😁
Kota Kaherah merupakan destinasi dan syurga untuk semua pencinta buku. Banyak buku nadir dan langka serta kitab-kitab falsafah dan pelbagai jenis buku ada di kota ini. Pasar buku Sur al-Azbakiyah sesuatu yang unik. Penjual buku di sana juga kaya dengan ilmu pengetahuan. Mereka bukan setakat menjual buku, tetapi tahu isi kandungan buku-buku yang dijual.
Satu hari nanti, aku teringin untuk pergi ke kota ini bagi melihat sendiri deretan kedai-kedai yang menjual buku seperti yang diceritakan penulis.
Lima bintang saya beri untuk betapa penuhnya buku ini dengan isi. Penulis berkongsi rahsia sekaligus menanamkan kegilaan membaca yang sangat membangkitkan gelojak untuk sentiasa konsisten dengan amalan membaca. Setiap bab saya baca dengan penuh teruja. Terima kasih atas penulisan ini. Saya berharap saudara penulis dapat menghasilkan karya-karya seterusnya untuk masa akan datang.
Buku yang menemani malam sambil nonton The Untold Story
Pengkisahan yang menarik antara pengalaman seorang penuntut usuluddin yang melazimi talaqqi, pada masa yang sama seorang pemburu buku di sekitar kota Kaherah.
Sebetulnya buku ini antara pilihan untuk dibeli ketika awal penerbitannya dahulu, tetapi si penjual salah menghantar buku lain, dan proses pemulangan, penggantian yang merimaskan membuatkan saya malas mahu komen.
Kemudian, barangkali Tuhan memang mahu saya baca buku ini. 2022 saya berkesempatan bertemu dengan penulisnya atas urusan buku lain, dan terus meminta beliau bawakan sekali bukunya dengan terbitan baharu oleh JT. Buku yang cantik, kemas dan tentunya seimbang dari aspek penyusunan cerita, gambar dan tata letak huruf yang menyenangkan pembacaan.
Apa yang saya boleh katakan tentang buku ini?
1. Penulis membawakan sisi berbeza Mesir kepada saya (yang memang kurang mengenali Mesir) sekalipun dikatakan sebagai bumi Anbiya, kota ilmu ... tentunya sisi 'suram' Mesir yang jarang diperkatakan orang. Penulis memulakan memoir mininya dengan gambaran Mesir yang kotor dengan sampah sarap dan sikap masyarakatnya yang kurang menyenangkan.
2. Setiap kisah diceritakan dengan tuntas dan tidak meleret, sesekali diselitkan unsur humor, serius, dan kejutan yang pelbagai.
3. Saya pun suka buku tapi tidak segila penulis. Saya akan utamakan makan dan keperluan lain, tapi penulis memang gila buku (melampau bagi saya) apabila sanggup membelanjakan sebahagian besar wangnya untuk membeli buku-buku lama dan terpakai.
4. Saya kemudiannya sedar bahawa kesemua buku yang dicari, dimiliki dan dibaca bukan semata-mata memenuhi kegilaannya terhadap buku tetapi lebih daripada itu sebagai bahan tambahan pengajian yang diikuti di sana, dan tentunya daripada buku-buku tersebut beliau memperkuat ketajaman ilmunya.
5. Selang seli kisah diri penulis, kisah buku yang pelbagai dan kota Kaherah sememangnya menarik jika divisualkan (sedikit sebanyak saya terbayang babak filem Ketika Cinta Bertasbih) terutama keributan masyarakat di sana, paparan pengajian dan sebagainya.
6. Melalui catatan bersifat diri penulis, saya mengenali watak baharu penulis - pandai melukis, pandai menulis dan cerita-cerita peribadi tentang orang sekelilingnya terutama Abdul Rahman, kawan buku yang pada awalnya ditulis tak mahu memanjangkan cerita tentang Abdul Rahman tapi kemudian nama Abdul Rahman disebut banyak kali dalam catatan tentang perburuan buku. Kisah masyarakat yang skeptikal terhadap pelajar agama, sedikit hal politik dan mazhab dan tentunya kisah keluarga yang menjentik hati (terutama tentang doa ibu bapa).
7. Tentang buku, tentu sahaja saya 'surrender' kerana nyatalah penulis bukan calang-calang orang dalam menggali ilmu pengetahuan (Mesir ialah lubuk ilmu), dan pemilihan buku amat penting - memilih buku yang benar-benar bermanfaat kerana waktu dan usia manusia tidak panjang.
8. Cemburu? Tentunya, tapi untuk mengambil langkah mempelajari bahasa Arab semata-mata mahu ke Mesir dan merasai sendiri pengalaman menggali buku-buku berharga di sana, saya ... mengaku kalah.
Jadinya, tunggu sahaja buku seterusnya daripada penulis, mungkin perkongsian isi kandungan buku-buku yang memberi nilai tambah buat dirinya.
Tahniah untuk buku yang sangat padat dengan ilmu pengetahuan dan menumbuhkan semangat cintakan buku yang tinggi buat pembaca.
Kisah dunia penulis bersama buku sepanjang bergelar penuntut ilmu di Mesir. Menarik olahan dan kisah yang ditulis.
Apalah khabar sahabat beliau Abdul Rahman sekarang.
Masih ada lagi kah ammu-ammu di suq azbakiyah sana.
Ketika sedang membaca buku ini, sudah pasti memori saya semasa di sana juga berputar. Benar juga yang ditulis, bahkan masih sama ketika zaman saya. Itulah mesir, dulu, kini dan selamanya haha.
Buku ini lebih kepada dunia beliau bersama buku dan hal-hal yang berkaitan pelajaran talaqqi, seperti buku kontroversi dan buku yang dicuri. Ada juga kisah isu pelajar di sana. Bab duit sudah semestinya.
Saya kira penulis buku ini jujur dalam menampilkan beberapa isu yang selalu menjadi buah mulut pelajar Mesir, seperti isu persatuan pelajar, usrah haraki dan sebagainya. Namun terpulang kepada pembaca bagaimana ingin memandang isu tersebut.
Apa yang pasti, zaman belajar akan sentiasa dirindui, buku yang baik untuk throwback kenangan.
Membaca naskah ini mengingatkan saya kepada kepada kedai buku yang kami singgah sewaktu ke Jakarta dua tahun lalu. Kerana belum pernah ke Kaherah, yang paling dekat yang saya mampu bayangkan cuma suasana kedai buku di Jakarta.
Pendirian kami sama, lebih gemar membeli buku terpakai. Naskah ini saya sifatnya ringan dan tidak membosankan. Saya menghabis baca hanya dalam setengah hari.
Sangat segar dibaca bagi pembaca yang selalu berhadapan dengan 'reading-block'. Terasa ingin membeli dan membaca lagi buku baru setelah menghabiskan ini!
Aku, Buku & Kota Kaherah Syed Shahriman Jamalullayl
Kalau korang memang seorang pencinta buku, buku memoir ini wajib korang baca.
Membaca pengalaman hidup pencinta buku yang lain menambah lagi kecintaan kepada buku.
Sedikit sebanyak beri gambaran juga tentang keadaan di Mesir. Walaupun tak pernah sampai lagi kat sana😅.
Kalau korang ex Azhari, baca buku ni mesti terkenangkan tempat belajar.
Pengalaman penulis dalam memburu buku-buku langka dan terpakai juga amat mengujakan.
Berjumpa dengan pencuri buku. Ada juga pak supir (pemandu teksi) yang gilakan buku. Berebut buku dengan pengunjung lain. Bahkan membeli buku-buku haram😬. Semua pengalaman ni amat mahal sekali harganya.
"Buku adalah sumber ketamadunan. Buku juga menatang gagasan penulis yang mencurahkan sepenuh daya keintelektualannya untuk tatapan dan manfaat umat Tidak sedikit buku-buku yang mampu merubah dunia. Maka amat rugi bagi mereka yang tidak bersedia turut serta bagi berkongsi wacana yang mencorak minda dan melukis masa depan yang lebih gemilang dengan cara memanfaati buku"
"Hidup kita terlalu singkat sedangkan buku-buku terlalu banyak. Maka kita perlu memilih dan membaca buku-buku yang bernilai dan bermanfaat agar tidak tersiakan masa dan waktu."
Menyeronokkan. Keunikan pengalaman penulis ini adalah seperti uniknya juga buku-buku nadir dan langka itu. Berlatarbelakangkan pula dengan bumi Mesir pada era 90an yang suasananya jauh beza berbanding hari ini.
Di sebalik itu, buku ini juga menayangkan kepada kita tentang budaya buku dalam kalangan warga Mesir yang bermacam-macam ragamnya, baik mahupun kurang baik.
Mudah-mudahan suatu hari nanti dapat juga berkesempatan melawat ke Mesir dan menziarahi kedai-kedai bukunya.
Meskipun suasana di Mesir dan tingkah penghuninya tidak indah untuk dikhabarkan, penulis menemui permata berharga yang membuatkan beliau tidak sanggup meninggalkan Mesir. Saya turut tenggelam dalam kisah penulis di bumi Mesir ketika menuntut di Universiti Al Azhar sekitar tahun 90an dan 2000. Kota Kaherah digambarkan sebagai syurga buku dan ia merupakan faktor utama penulis tidak dapat melupakan kota tersebut. Ayahnya merupakan pencetus awal kepada minatnya terhadap buku. Pembaca akan mendapat gambaran suasana pada zaman dahulu ketika anak-anak muda disibukkan dengan buku atau majalah berbanding gajet. Saat penulis menggambarkan kegembiraan berkunjung ke perpustakaan sekolah membuatkan saya teringat kenangan dulu. Penulis membalas kenyataan biasa masyarakat bahawa membaca majalah kartun dan seumpamanya tidak mengembangkan pemikiran. Penulis membuktikan bahawa membaca bahan berkenaan dapat menumbuhkan bakatnya terhadap melukis dan menulis. Berbalik pada pengalaman beliau sebagai salah seorang Azhari, beliau tidak terlepas daripada kata-kata pedas dan sinis daripada masyarakat. Beliau turut menghadapi kesukaran sewaktu awal kuliah seperti masalah bahasa, sistem pengurusan dan sebagainya. Sungguh mencabar bagi para penuntut ilmu di perantauan, hanya niat dan keazaman yang kuat menjadi tembok semangat daripada terus runtuh. Untuk menjadi pelajar yang berjaya, pentingnya menjaga adab-adab ketika menuntut ilmu. Penulis merupakan contoh terbaik kerana konsisten menghadiri setiap kelas. Banyak perkara yang saya bersetuju dengan penulis terutamanya bab menuntut ilmu. Jangan sibuk berpersatuan sehingga terabaikan ilmu yang masih perlu dikutip. Turut diceritakan kegilaan penulis memburu buku-buku nadir serta pelbagai peristiwa pelik dan lucu yang berlaku. Nilai buku nadir lebih tinggi daripada nilai buku baharu baginya. Melalui penulis juga saya dapat tahu serba sedikit tentang beberapa orang penulis dan guru zaman dulu seperti Syed Qutb, Dr Muhammad Yusuf Musa, Sheikh Yusuf ad Dijwi dll. Terdetik rasa teringin nak baca karya mereka juga. Penulis membuatkan keinginan para pembaca untuk membaca dan membeli lebih banyak buku semakin membuak-buak.
"Buku, selain untuk dibaca, ia juga boleh menjadi hiasan dan melambangkan status sosial seseorang"
Aku, Buku & Kota Kaherah: Kembara Sang Pencinta Buku Oleh Shahriman Jamalullayl Diterbitkan oleh Toko Buku Azbakia Penilaian Goodreads: 4.28/5 Penilaian Saya: 5/5
"Tanpa bergaul dengan orang Arab dan mempraktikkan bahasa, sampai bila aku tidak akan boleh berbahasa Arab. Apa yang aku perhatikan, ramai dalam kalangan pelajar kita yang kurang menguasai bahasa Arab dengan baik. Punca utama adalah kurang bergaul dan berinteraksi dengan orang tempatan khususnya, atau dengan wafidin dari negara-negara yang lain. Kebanyakan pelajar Malaysia hanya berinteraksi dengan orang Arab ketika membeli barang di kedai atau berurusan di pejabat-pejabat kerajaan yang pastinya tempoh bermuamalah ini adalah terbatas. Manakala di kuliah juga tidak mahu bergaul dan menyisihkan diri daripada pelajar-pelajar Mesir atau daripada pelajar-pelajar dari negara Arab dan bukan Arab. Masalah ini diwarisi dari generasi ke generasi."
Tidak perlu ditulis panjang kenapa buku ini amat digemari. Bibliophile atau penggemar buku akan dapat menikmati buku ini seperti seorang dahaga yang mendapatkan air. Membaca pengalaman penulis di Sur al-Azbakiyyah, teringat perasaan yang sama berada disekitar kawasan tersebut pada Mac tahun lepas. Bumi Mesir, bumi yang lain daripada yang lain.
"Hari ini aku tinggalkan bumi bertuah ini. Aku tinggalkan seluruh kenangan. Segala kenangan pahit dan manis, suka dan duka, membuatkan aku menjadi dewasa. Sungguh, pengalaman itu begitu mahal buatku. Kenang-kenangan itu akan sebati dalam ingatan. Akanku imbas segala kenangan ini sebagai teman di kala sepi. Imbasan memori sebegini pada masa-masa tertentu pasal indah untuk dikenang kembali terutama apabila berada dalam keadaan serba tertekan. Oh Mesir! Hari ini aku pulang meninggalkanmu. Entah bila akan aku berpeluang menginjak bumimu, menghirup udaramu, menyedut debu-debu suci dan meneguk air Sungai Nil dari perut bumimu. Sungguh, aku pasti akan datang semula menziarahimu. Sungguh, aku akan merinduimu!"
“Buku dibaca kerana isi tulisannya. Buku dibaca kerana ia menampung idea dan gagasan penulisan.”
Selesai pembacaan terhadap buku ‘Aku, Buku & Kota Kaherah : Kembara Sang Pencinta Buku’ karangan Shahriman Jamalullayl. Mengandungi 293 muka surat, saya mengambil masa 6 hari untuk menghabiskan buku ini.
Cara penulisan buku ini adalah ala-ala travelog. Namun bukanlah semata-mata travel, buku ini mengikuti pengalaman penulis selama beliau belajar di Universiti al-Azhar. Tidak juga terikat dengan itu, ia kadangkala membawa kita kepada kenangannya ketika muda tentang bagaimana boleh tercetus minat atau cintanya terhadap buku sejak di bangku persekolahan lagi.
Penulis membawakan pelbagai macam pengalamannya berkaitan buku. Dek kerana beliau menyambung pengajian di Kota Kaherah, iaitu Kota Buku menurut penulis maka banyaklah cerita yang beliau bawakan hanya berkenaan buku sahaja. Pencarian buku-buku langka, buku-buku yang diharamkan kerajaan, maarad kitab dan banyak lagi kisah buku yang diceritakan penulis.
Tidak terhenti disitu, penulis juga menceritakan sudut pandangnya terhadap beberapa isu. Antaranya isu berpersatuan. Dimana penulis kelihatan kurang bersetuju dengan hakikat seorang pelajar itu hanya memfokuskan kepada persatuan tanpa memiliki ilmu yang kemas di dada. Umpama kau cuba membawa kebaikan namun kau sendiri tidak mengetahui apakah kebaikan itu. Seperti tikus membaiki labu. Begitu.
Mungkin kalian tertanya, “kau kan nak belajar kat Riyadh, kenapa baca buku Mesir pula ni?”. Bagi saya, membaca buku tidak semestinya perlu seiring dengan apa yang kita lalui. Benar, kadangkala membaca dengan emosi lebih meninggalkan kesan namun membaca dengan apa yang kita suka lebih banyak memudahkan kita menyingkap maklumat yang terdapat di dalamnya. ‘Read what you love until you love to read’.
Cukuplah sekadar itu. Setinggi-tinggi penghargaan buat sang pemberi buku ini. Semoga apa yang pemberi ini semogakan tersemoga dan segala kebaikan jua dikurniakan keatasnya.
Sebuah kembara seorang bibliofil di Kota Kaherah. Tajuk bukunya merangkumkan isi di dalamnya. Aku, Buku, dan Kota Kaherah. Kisah peribadi penulis, kembara buku dan peristiwa-peristiwa yang berlaku di kota Kaherah ini sepanjang hidup penulis di sana.
Saya sendiri merasai beberapa pengalaman kembara di toko-toko buku di sekitar kaherah. Sedikit sebanyak catatan penulis mengembalikan nostalgia saya menyelusuri maktabat, suwar azbakiya, pesta buku kaherah.
Penulis juga menyelitkan pengalaman bermasyarakat terutamanya dengan pencinta buku. Sama ada pembaca, pembeli, penjual, pengumbul dan termasuklah juga pencuri buku. Kebanyakkan ukhuwah yang dibina oleh penulis berasaskan ilmu dan buku.
Di pertengahan penulis menyelitkan secara gambaran mudah tentamg beberapa wacana yang berlegar dalam kalangan Mahasiswa Malaysia di Mesir.Isu seperti talaqi-haraki(persatuan), pro ikhwan dan pro Al-Azhar.Isu ini mungkin dapat dihadam oleh mereka yang pernah belajar di sana. Saya sangat suka isu ini dibawa oleh penulis.
Kisah beberapa tokoh di Mesir juga diangkat merancakkan lagi kembara pembaca. Tokoh berjasa seperti Sheikh Ali Jumuah, Sheikh Idris Al-Marbawi, Sheikh Nuruddin Al banjari, dan Sheikh Syed Sabiq. Begitu juga tokoh kontroversi Syed Qutb. Saya kira beliau sedikit mewakili pemikiran Azhari, memadai buat penuntut baru di Mesir yang tidak punya visi dan misi yang jelas belajar di Mesir. Jadi, buku ini juga sesuai bagi mereka yang berhajat menyambung pelajaran di Mesir sebagai beberapa gambaran awal dan tepat.
Buku ini boleh dikira sebahagian dari kenangan saya yang dicatatkan oleh orang lain.Buku ini juga diterbitkan hampir belasan tahun selepas penulis menamatkan pengajian di Mesir.
“Buku adalah sumber ketamadunan. Buku juga menatang gagasan penulis yang mencurahkan sepenuh daya keintelektualannya untuk tatapan dan manfaat umat. Tidak sedikit buku-buku yang mampu mengubah dunia. Maka amat rugi bagi mereka yang tidak bersedia turut serta bagi berkongsi wacana yang mencorak minda dan melukis masa depan yang lebih gemilang dengan cara memanfaati buku.”
(Syed Shahriman Jamalulayl - Aku, Buku dan Kota Kaherah)
Jujur, buku ini membawa saya mengenali dunia bibliofil di tanah Arab, khususnya kota Kaherah Mesir dengan lebih mendalam.
Siapa sahaja yang tidak kenal nama Mesir yang kaya dengan peradaban dan keilmuan. Di sinilah bermulanya dunia penerbitan pertama di tanah Arab. Di sinilah terkumpulnya ulama yang dilahirkan dari al-Azhar. Dan, sini jugalah adanya perpustakaan tertua dunia Alexandaria Bibliotica.
Bercakap mengenai bumi Mesir ini, sebenarnya tidak boleh terlepas dengan buku. Maarad kutub adalah antara daya penarik buat penuntut ilmu di sana (juga negara-negara Arab sekitarnya) untuk “tenggelam” dalam timbunan-timbunan buku yang amat berharga.
Penulis juga membawa saya menyelami suasana jual beli buku terpakai yang terhidang luas di sekitar jalan kota Kaherah juga di sebuah pasar buku terpakai terbesar di sana, Sur al-Azbakiyah melalui pengalaman yang beliau rasai.
Rugi pula rasanya tak singgah di pasar ini sewaktu berkunjung di Mesir dulu. Itulah sibuk nak panjat piramid saja. Yang langka, terus dilupa.
Pada hemat saya, buku mini memoir yang memuatkan kisah perbukuan ini adalah satu usaha yang baik dan perlu dipuji kerana membentangkan budaya keintelektualan yang ada di bumi berkat sana.
Memang setiap negara itu ada budayanya yang unik dan tersendiri dalam menyemarakkan lagi dunia perbukuan.
Buku ini lebih banyak menceritakan usaha penulis dalam mengumpulkan buku² nadir. Aku boleh katakan, penulis ini terlampau mencintai buku. Seperti hari itu tidak lengkap jika tidak melawat kedai yang menjual buku² langka.
Setahu aku, di Malaysia kita juga mempunyai kedai yang menjual buku terpakai, tetapi tidak terlalu terkenal.
Melihatkan kegigihan penulis dalam membaca buku, menelaah buku² agama, membuatkan aku tertanya, adakah terdapat buku² terpakai berkaitan medik di Mesir ?
Penulis lebih banyak berkongsi pengalaman beliau dalam usaha mendapatkan buku² yang tinggi nilainya. Sedikit berbeza dengan buku tulisan saudara Iman Danial Hakim yang berkongsi resensi buku² yang telah beliau baca.
Aku kira mereka yang ulat buku ini tidak boleh lari dari istilah tsundoku. Dan ia bukan satu kesalahan untuk mengumpul sebanyak mungkin buku untuk rujukan akan datang. Entah berapa kg buku yang penulis bawa pulang ke Malaysia. 20 kotak buku, bukan jumlah yang sedikit.
Penulis juga berkongsi perjalanan hidup beliau sebagai mahasiswa di Mesir. Aku boleh lihat beberapa kali penulis menyatakan rasa tidak puas hati terhadap persatuan pelajar di situ - PMRAM.
Jarang aku baca orang bicara soal persatuan dalam buku. Jadi betullah apa yang aku tahu bahawa memang wujud kelompok yang di gelar budak persatuan dan budak talaqqi. Pada hemat aku, mengapa perlu dilabel, adakah budak persatuan tidak boleh menjadi budak talaqqi juga ?
Penulis juga ada menyebutkan tentang buku tulisan Sayyid Qutb - Petunjuk Sepanjang Jalan. Jujurnya aku juga teringin untuk membaca naskah asal karya ini dalam bahasa Arab. Untuk melihat sendiri kebenaran yang dinyatakan penulis bahawa ada unsir takfiri dalam karya tersebut.