Hospital adalah sebuah gelanggang yang aneh. Ia menyaksikan kehidupan bermula dengan sangat mempersona. Sering juga merakam kematian – dalam rupa yang pedih dan menggamamkan.
Semestinya sebagai petugas yang bertelingkah di dalam gelanggang aneh ini – terlalu banyak warna yang terpalit pada tubuh pengalaman. Sedih, sunyi, terasing, tersepit, simpati, inspirasi, debar, curiga. Ia cuma sebahagian kecil adjektif yang mencomotkan uniform kerja yang penuh cemar.
26 Kes daripada 26 Penulis.
Tidak mudah melunturkan semua warna pengalaman yang pekat dan rencam ini. Ia warna kehidupan. Ia warna pergulatan. Ia juga warna kematian. Tidak ada hitam atau putih.
Naskhah ini adalah sebahagian daripada warna yang paling membekas, ingatan paling sukar dilupakan sebagai petugas kesihatan.
"Ada kala, kita merasakan diri kita belum bersedia untuk melakukan sesuatu, merasakan diri tidak mampu, tetapi apabila keadaan mendesak, ternyata didalam diri kita ada kebolehan yang boleh menyinar,ada kekuatan yang mampu menggegar."
Personally, aku memang suka penerbitan Kata-Pilar Books ni sebab buku-buku mereka kebanyakkannya berkaitan dunia perubatan dan ditulis oleh 'ahli'nya. 26 Kes: Himpunan kes yang tak terlupakan ni salah satunya. Ia merupakan kes-kes sebenar yang telah dimurnikan dari cara penyampaian dan penulisan supaya privasi sesiapa yang terlibat tidak terdedah.
Membaca kes pertama saja sudah membuatkan aku berasa kagum dengan kemuliaan dan kewibawaan kakitangan kesihatan yang terlibat. Tak semua orang mampu untuk melakukan apa yang dilakukan oleh watak didalam kes pertama.
Buku ini lebih menarik kerana perkongsian pengalaman dan info medik ditulis oleh penulis-penulis yang terdiri daripada pegawai perubatan, terapis, dietitian, pakar -pakar pelbagai bidang, MA, & farmasis. Jadi, kes-kes yang ditulis juga berkaitan bidang-bidang berkenaan.
Membaca 26 Kes ini membuatkan emosi aku sedikit turun naik, kerana dari kes pertama sehingga kes 26, mengamit pelbagai rasa. Ada yang sedih, lucu, kecewa, penyesalan dan sebagainya. Buku ini juga ditulis santai dengan menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh masyarakat awam. Ada pun medical term yang digunapakai, disediakan catatan untuk memudahkan fahaman kita.
Sejujurnya, membaca 26 himpunan kes ini membuatkan aku untuk lebih menghargai keringat dan pengorbanan mereka, menginsafi dan lebih bersyukur dengan keadaan diri terutama kesihatan dan kehadiran orang-orang di sekeliling kita.
Tahniah kepada semua penulis yang terlibat, semoga terus berkongsi ibrah dari pengalaman-pengalaman kalian :) Untuk dapatkan buku ni, korang boleh ke website Katar-Pilar Bookstore okay :)
Kisah pertama sahaja sudah membuatkan dada berdebar-debar. Terus duduk tegak sehingga habis buku dibaca. Terima kasih para doktor, jururawat, ahli terapi dan mereka yang terlibat menyantuni pesakit.
Berdedikasi merawat dan menjalankan tanggungjawab. Banyak info baru bagi saya dapat diketahui. Antaranya kes dipatuk ular dan kematian bayi baru lahir yang melekat dalam ingatan.