ISTAC Illuminated is a portrait and celebration of Kuala Lumpur’s International Institute of Islamic Thought and Civilazation (ISTAC). Beginning with an examination of the philosophy and intentions Professor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas, and an account of the conception and founding of ISTAC’s library and many historic and beautiful artifacts.
Buku ini sahaja sudah cukup membuatkan pembaca terpukau dengan kegemilangan sebuah institusi pendidikan yang sudah pun bertapak di tanah Melayu sekitar tahun 1993. Perasaan kagum bercampur baur dengan kesedihan pasti akan singgah pada kolam hati setiap pembaca terutama sekali apabila tiba pada penghujung buku yang mempamerkan kesuburan ISTAC dengan budaya ilmu.
Pada akhir buku inilah dapat diketahui tokoh-tokoh ilmuan terawal yang telah datang melawat ISTAC sebagai salah satu medium pertukaran budaya, model pendidikan dan melihat koleksi-koleksi buku, manuskrip dan artifak nadir dan terawal yang ada di perpustakaan ISTAC. Tidak kurang juga ada yang hadir untuk melihat seni bina dan arkitektur yang dilakar oleh Prof. Al-Attas sendiri.
Antara tokoh yang pernah bertandang ke ISTAC ialah Seyyed Hossein Nasr, Huston Smith (pengarang The World's Religion), Graham A. Fuller (pengarang A World Without Islam), Syeikh Muhammad ‘Alawi Al-Maliki al-Hasani (pengarang Mafāhim Yajibu an-Tusahhah), Syeikh Abd al-Majid al-Zindani, Dr. Zakir Naik dan Dr. Javed Iqbal (anak kepada Muhammad Iqbal, pengarang The Reconstruction of Religious Thought in Islam) selain ahli Jabatan Agama di Singapura, MUIS (Majlis Ugama Islam Singapura).
Tidak kurang juga menteri-menteri dan tokoh-tokoh daripada Asia sendiri seperti, Prof. Ungku Aziz, Raja Nazrin, Dr. Mahathir Mohamad, Anwar Ibrahim, Dato Seri Najib, Syed Hussein Alatas, Prof. Shaharir Mohd Zain, Kassim Ahmad, Haji Ahmad Azam Abdul Rahman (Presiden ABIM), Dr. Muhammad Amien Rais (Presiden Persatuan Muhammadiyah yang merupakan salah satu organisasi pendidikan terbesar di dunia dengan 28 juta keahlian) dan lain-lain lagi.
Buku bersaiz coffee-table yang sarat dengan gambar-gambar antik ini bermula dengan serba sedikit penceritaan falsafah dan gagasan ISTAC oleh Prof. Al-Attas sendiri. Pada bab kedua, penulis mula berkongsi mengenai 'the making of ISTAC's building' dan konsep pembinaan bangunan ISTAC itu sendiri sebelum beralih kepada bab ketiga yang menyorot seni bina dan konsep biasan cahaya yang tersembunyi di sebalik pembinaan masjid ISTAC.
Apabila pembaca menapak ke bab keempat, barulah khazanah-khazanah agung, manuskrip-manuskrip tertua lagi langka serta judul-judul buku failasuf yang terpelihara kondisinya serta artifak-artifak penting dalam sorotan sejarah (keris, senapang dan kapak) dikongsi oleh penulis. Pada setiap gambar yang disertakan, penulis memberikan kapsyennya yang tersendiri dan beberapa puisi dalam bahasa asing (Parsi, Arab dsb), turut diterjemahkan oleh penulis.
Senarai judul-judul tesis master dan PhD yang menggiurkan oleh generasi terawal penuntut di ISTAC boleh dilihat pada lampiran buku ini. Sebahagiannya telah pun (dan baru) diterbitkan pada akhir-akhir ini.
Membaca buku ini (berbekalkan juga bacaan kebanyakan karya-karya tulisan Prof Al-Attas sendiri) pasti cukup menyedarkan pembaca bahawa arkitektur, model, akar falsafah, sistem, koleksi bahan-bahan yang ada serta jaringan keilmuan yang dirancang, disulam dan dibina ini—tidak dapat tidak—memerlukan masa yang cukup lama, cita-cita yang cukup besar serta jiwa yang penuh berani bagi merealisasikannya seperti apa yang ada pada hari ini!