Buku pertama yang dihabiskan pasca PBAKL2019. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang telah memberikan saya kekuatan untuk menghabiskan serta menghadam buku ini. Semoga Allah memberikan ganjaran yang besar kepada sahabat saya Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi yang telah menulis sebuah buku yang sangat bagus dalam bahasa ibunda kita yang membahaskan tentang "niqab".
Apa yang saya boleh katakan ialah; buku ini membahaskan tentang apa itu niqab. Sejarahnya, pensyariatannya, pandangan para ulama terhadapnya serta tatacara penggunaannya menurut timbangan neraca al-Quran, al-Sunnah dan Aqwal al-Salaf.
Buku ini bukanlah buku yang menekankan kewajiban berniqab, tetapi buku ini hanya sekadar menerangkan kepada kita hakikat kedudukan niqab di sisi Islam yang mana ramai daripada kita sudah tidak ambil tahu.
Apa yang menarik ialah buku ini membawa pandangan kesemua mazhab tentang amalan berniqab. Juga ia mengambil kira pandangan-pandangan ulama yang tidak mewajibkan berniqab, hanya sekadar mengharuskan sahaja. Jadi buku ini bukanlah buku yang hanya menekankan kewajiban berniqab. Inshaallah anda akan faham bila anda telah sampai kepada penutup buku ini.
Buku ini juga meruntuhkan banyak persepsi buruk tentang amalan berniqab. Ia mencantas pandangan kononnya amalan berniqab ini merupakan amalan "arabisasi" yang merebak dalam kalangan wanita Islam. Oleh itu buku ini wajar dibaca oleh sekalian manusia yang mahu tahu yang lebih lanjut tentang niqab.
Benarlah kata Dr. Abdul Basit tentang buku ini: "...buku ini cukup ilmiah, sarat dengan fakta dan kaya dengan rujukan.."
Akhir sekali, saya cabar mereka yang memperlekehkan amalan berniqab ini untuk menulis bantahan kepada buku ini dengan kualiti yang setanding malah lebih lagi jika kamu berada di pihak yang benar.
Buku yang sangat baik untuk dibaca untuk siapa yang ingin tahu sejarah niqab dan persoalan-persoalan berkenaan dengannya. Sangat kagum dengan nota kaki yang dicatat (begitu banyak rujukan yang di buat) untuk melengkapkan penulisan buku ini. Semoga Allah memberkati segala urusan Ustaz Wan Muhammad Izzat. Barakallahufikum..