Pernahkah kita mendengar adab duduk berguru hendaklah pelajar duduk pada jarak lima kaki? Percayakah saudara jika saya beritahu peristiwa hanya seorang pelajar sahaja dibenarkan masuk belajar dalam kelas berbanding sejumlah pelajar? Tahukah saudara, sekeping roti canai menjadi silibus pendidikan sivik dan moral? Pernahkah saudara menemui seorang gadis yang berdiri di depan rumah pada waktu pagi pada setiap hari agar peluang belajar datang ke muka pintu?
Penceritaan itu terkandung dan tersusun baik dalam buku ini. Ini adalah penceritaan yang membawa para pembaca kepada perjalanan tiga orang penulis dalam menguasai pendidikan dalam pengalaman hidup mereka.
Buku ini membuang ketakutan pembaca terhadap falsafah pendidikan yang dilihat sebagai perkara yang berat, teknikal dan terlalu serius.
Allahuakhbar Membelek buku ini bermula dari kulit hadapan sedar-sedar telah sampai ke halaman terakhir. Langsung niat untuk sambung belajar (yang kerap didendangkan serta berlegar dalam fikiran) semakin meluap-luap.
Bezanya, sebelum ini niat tersebut hanya untuk menyambung ke peringkat lebih tinggi, tapi kini makin terbuka untuk tidak lebih memfokuskan kepada sesuatu tujuan sahaja.
Dalam hidup, selagi bernyawa, tuntutlah ilmu dalam bidang apa sahaja. Bumi Allah luas, walau senipis mana buku yang dibaca sekalipun, pasti ada sesuatu yang boleh dijadikan tauladan serta diambil manfaat darinya.
Terima kasih pada 3 Puan Neng. Segala nasihat serta kepayahan Puan sekalian dalam ikhtiar menimba ilmu yang dicoretkan dalam naskhah ringkas ini akan saya jadikan panduan untuk lebih berjaya pada masa hadapan.