Makhluk apakah yang telah membunuh Pakkuza dengan kejam? Darah dan daging Pakkuza disedutnya hingga kerontang. Perut Pakkuza dirobeknya. Jantung, hati dan limpa Pakkuza direnggutnya. Biji mata Pakkuza dikorek.
Makhluk apakah itu? Bertualang di hutan. Makanannya manusia, di setiap bulan mengambang.
Jembalangkah?
Matanya hijau menyala-nyala. Anak matanya berwarna hitam. Tirus membelah mata hijaunya.
Ularkah?
Mampukah Bahadurin menewaskannya? Mampukah Yasen dan Vrkolak melupuskannya dari dunia?
Makhluk apakah itu... yang bertualang dalam HUTAN?
penulis memang tak mahu bagi pembaca bernafas dengan buku tebal ini, tak gitu GU Tajul Zulkarnain? walaupun buku ini tempuh sedikit masalah ketika mahu diselesaikan, tapi hasilnya akak harus puji. tahap menakjubkan.
buat yang suka fantasi, mistik, memang akak sarankan baca. kisahnya berlatar belakangkan hutan. penduduk bahadur yang menghuninya aman damai walaupun ada je yang suka cari hal. bermula bencana bila pakkuza dibunuh dengan kejam. jasadnya kering melekat tulang dan kulit. matanya rompong. jantung, hati dan limpa pula hilang dari jasad.
bahadurin, gelaran pada pendekar bahadur dapat mengesan ada bahaya dan petaka. jakas dan dupah pula dapat mengesan mata hijau yang mengekori langkah mereka. tanpa mereka sedar, mereka telah ditanda! cuma perlu menanti bulan purnama yang seterusnya.
akak suka dengan perkembangan cerita, olahan dan babak yang disusun dengan cantik. pembaca tak akan ditinggalkan. walaupun ikutkan ada sesetengah dialognya panjang, tapi untuk novel bersiri seperti ini memang perlukan penerangan terperinci supaya pembaca tidak tersesat.
muncul pula enam beradik vrkolak dan yasen yang singgah di bahadur. rupanya mereka memburu makhluk itu. dari situ penghulu tok dahan dapat informasi makhluk jenis apa yang mahu menjadikan bahadurin sebagai mangsa. vrkolak beradik dan yasen dari balkan, jauh dari bahadur tapi demi mahu memburu makhluk durjana, mereka sanggup tinggalkan tempat asal yang bernama sofia, tempat yang penduduknya punya kelebihan dan magis tersendiri. bahadurin pun terpegun juga rahsia diri mereka.
beb, kisah ini kisah fantasi. so, korang boleh letak tepi kalau berlegar di fikiran benda yang dianggap tak logik. kita manusia pun bukan dapat mengkaji keseluruhan rahsia alam. semua di bawah kekuasaan Yang Maha Esa.
suka juga dengan watak sirdi. watak ini menceriakan cerita. ada tipu muslihat yang dibuat hingga membuatkan jakas menyimpan amarah tapi tipu muslihatnya sangat berguna. pengembaraan sirdi bersama tiga belas bahadurin juga sangat mencabar dan menarik untuk dibaca.
setiap watak didirikan punya kekuatan sendiri. termasuk hoda, si anak muda yang suka berangan dan suka menipu. cilupa pula, yang mulutnya celupar dan mencari geruh antara manusia. pun menjadi batu api. biasalah, kan? sikap dan sifat setiap manusia atau makhluk memang berbeza. ada yang baik, ada yang biasa dan ada yang sebaliknya.
satu lagi kekuatan novel ini boleh dilihat dengan pembinaan naratif dan dialog yang banyak menyelitkan perkataan melayu yang sangat jarang kedengaran tapi ada. bahasa lain yang ada cuma bahasa sirdi bercakap dengan naga. selain itu, sepenuhnya bahasa melayu yang cantik tersusun. kalau jumpa pelik-pelik tu bukanlah kesalahan ejaan tapi memang perkataan itu ada. sangat mengangkat penggunaan bahasa melayu.
memandangkan ini siri satu, memang sakit sikitlah rasa hati. satu hal pula nak tunggu yang seterusnya. tapi kredit juga untuk penulis sebab pastinya yang baca Hutan akan menanti yang seterusnya. cumanya perlu pastikan yang seterusnya sama tahap seperti yang ini, atau pun perlu lagi hebat.
sikap manusia yang pelbagai ada digambarkan. ada yang baik dan ada juga yang mengambil kesempatan di atas kelemahan yang lain.
naga, betul ke wujud?
serigala jadian, apa rahsia mereka?
HUTAN, perlu ke dihapuskan dengan kemajuan moden kononnya hingga lupa, di situ pun ada penghuninya?
rahsia alam
Allah sahaja yang tahu.
kita manusia, hanya perlu sujud pada-Nya dan tidak mempertikaikan apa yang tidak logik dipandangan mata atas setiap kejadian yang ada.
Best giler kut novel ni!👍 fantasi...adventure..thriller...love...cukup rempahnya... Serius recommended👍... Tak reti nk review...hahaha...bacalah guys.... Tak rugi,berbaloi2...
Penduduk Bahadur gempa kerana kematian seorang Bahadurin, pahlawan Bahadur. Kematiannya bukan kematian biasa. Penuh misteri dan menyeramkan. Para Bahadurin yang lain berusaha untuk menghapuskan pembunuh dengan bantuan Yasen dan Vrkolak.
Jakas, sahabat baik Pakuzza seorang Bahadurin bertungkus lumus mencari pembunuh sahabatnya. Pandai bersilat juga pandai membaca hati.
Yasen pemimpin Vrkolak yang sudah lama memburu sang pemangsa yang sudah memakan terlalu banyak korban di merata tempat.
Beberapa muka surat yang awal dah sarat dengan emosi. Sedih, geram, hiba, dendam, dan keliru sudah bercampur aduk di awal cerita. Kematian Pakkuza dengan cara misteri membawa seribu macam emosi ke dalam cerita ini.
Rentak cerita laju dan mengasyikkan. Hinggakan tak terasa baca 730 muka surat. Tak sabar nak baca ke penghujungnya. Suasana menegangkan, suspense, seram berjaya dipaparkan dengan baik dalam novel ni.
Pelbagai misteri dah rahsia terbongkar satu per satu mengikut alur cerita. Bukan diberi sekali hentak. Membuatkan SH tertanya-tanya lepas ni apa, kenapa macam ni dan pelbagai lagi persoalan semasa membaca. Namun semuanya terjawab seiring dengan perjalanan cerita.
Kuasa dan keistimewaan yang ada pada watak-watak dalam novel ni juga amat menarik perhatian. Setiap mereka punya keistimewaan yang tersendiri. Bukan sahaja watak tapi perjalanan pengembaraan mereka turut disertakan keistimewaan yang pelbagai.
Habis baca nampaklah tulisan volume 1. Tak sabar tunggu sambungannya. Harap-harap cepatlah jumpa sambungannya.