Menggabungkan dua buah novel terawal karya Sasterawan Negara Keris Mas yang mempunyai kedudukan dan sejarah tersendiri dalam dunia kesusasteraan tanah air. Pahlawan Rimba Malaya melukiskan sejarah perjuangan anak bangsa mempertahankan maruah dan tanah air daripada belenggu penjajahan tentera Jepun yang ganas dan tidak berperikemanusiaan. Tepatnya, Pahlawan Rimba Malaya menampilkan tema revolusi bangsa-bangsa di Malaya sewaktu penjajahan; tentang manusia dalam perang: mempertahankan hak dan martabat bangsanya, kebangkitan nasionalisme dan kesedaran akan pentingnya memiliki keperibadian sejati, di kalangan rakyat peribumi.
Manakala novel Korban Kesuciannya mengisahkan pergolakan hidup dunia remaja dan generasi muda membina cinta dan cita-cita dengan cara gayanya yang tersendiri. Kritikan novel ini oleh Aminuddin Baki dalam akhbar Utusan Zaman keluaran 12 Jun 1949 membuka era baru dalam esjarah dunia kritikan tanah air.
Buku ini amat berguna bagi golongan remaja, pengkaji sastera dan masyarakat umum mengenali, menghayati dan menjiwai novel-novel awal Sasterawan Negara Keris Mas.
Keris Mas atau nama sebenarnya Kamaluddin Muhamad adalah Sasterawan Negara Malaysia 1981. Beliau seorang wartawan, editor, pentadbir sastera, sasterawan, dan pengkritik. Juga dikenali dengan nama samaran seperti Pejuang Sastera Negara, Aku, KM, Kamal Kamludin M dan Mister X.
Dilahirkan pada 10 Jun 1922 di Kampung Ketari, Bentong, Pahang.
PENDIDIKAN : (1). Sekolah Melayu Bentong, Pahang, 1929 – 1933. (2). Tawalib School, Sumatera, Indonesia. (3). Kolej Kulliahtul Muallimin al-Islamiah, Sumatera, dan lulus dalam bidang Ilmu Umum, 1940. (4). Pitman College, Singapura. (5). Mengikuti kursus matrikulasi di Unversity of London di Singapura. Tidak tamat akibat terhalang oleh Perang Dunia Kedua.
KERJAYA: (1). Pegawai Penerangan Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (PKMM). (2). Anggota Sidang Pengarang akhbar Utusan Melayu, Singapura, 1947. (3). Wartawan, Melayu Raya, Singapura, 1953. (4). Wartaawan Warta Negara, Pulau Pinang, 1954 – 1955. (5). Pengarang Umum, Dewan Bahasa dan Pustaka, Johor Bahru, 1956. (6). Ketua Pengarang DBP, 1962 – 1971. (7). Ketua Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera, DBP, 1971 – 1977.
ANUGERAH/GELARAN: (1). Anugerah Pejuang Sastera yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Hussein Onn, 1976. (2) Anugerah Sastera Negara oleh Seri Paduka Baginda yang Dipertuan Agong yang membawa gelaran Sasterawan Negara, 1981. (3) Anugerah bintang kebesaran Ahli Mangku Negara (AMN) oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, 1968. (4). Anugerah bintang kebesaran Kesatria Mangku Negara (KMN) oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, 1982. (5). Anugerah SEA Write Award oleh Raja Thailand diBangkok, 1987. (6). Anugerah Kehormat ijazah tertinggi Doktor Persuratan oleh Universiti Sains Malaysia, Pulau PInang, 1989.
KEGIATAN/PERLANTIKAN: Antaranya: (1). Setiausaha Panel Hadiah Karya Sastera, 1971 – 1976. (2). Anggota panel Anugerah Sastera Negara, 1979. (3). Penulis Tamu, DBP, 1977 – 1978. (4). Karyawan Seni, Universiti Malaya, 1979. (5). Pengasas ASAS ’50 di Singapura berkonsepkan “Seni Untuk Masyarakat”. (6) Salah seorang pengasas Persatuan Penulis Nasional (PENA).
Beliau meninggal dunia di Hospital Besar Kuala Lumpur pada 9 Mac 1992 kerana sakit jantung. Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
Permata di perlimbahan. demikian saya menggelarkan buku ini dalam simpanan bertahun-tahun, akhirnya terbuka hati mahu membacanya kali ini.
Buku selenggaraan A. Karim Haji Abdullah ini menawarkan dua buku dalam satu. Dua novel ulung Keris Mas, Pahlawan Rimba Malaya dan Korban Kesuciannya merupakan novel-novel yang patut saya baca sejak sekolah dahulu (di sekolah mengkaji cerpen-cerpen Keris Mas sahaja).
Buku ini juga merakamkan catatan awal Keris Mas mengenai novel-novel yang ditulisnya ini. Membaca catatannya sahaja sudah membangkitkan semangat menulis. Ketahui bagaimana semangat, cara dan liku perjalanan penulisan Keris Mas untuk novel pertamanya itu.
Dua buah novel Keris Mas ini menceritakan pergolakan masyarakat pada zaman prakemerdekaan dan juga pascamerdeka yang menarik untuk dikupas. Novel pendek tetapi hasratnya sampai - memberi kesedaran perjuangan kepada bangsa Malaysia.
Seronok baca bahagian kata pengantar penulis tentang bagaimana dia dapat idea menulis setiap novel pendek ini.
Pahlawan Rimba Malaya Fiksi sejarah di waktu penjajahan Jepun di Malaya dan Singapura. Perihal anak muda Jefri yang menjalin hubungan dengan soldadu Jepun dan dalam diam cuba menumpas penjajahan dengan rancangan rahsia bersama anak-anak muda Melayu yang lain. Kisah berlegar sekitar perjuangan, perit dihukum tanpa salah dan diancam sehingga pelbagai cubaan pemberontakan dilakukan. Ada hal kerjasama antara bangsa demi tanahair yang disisip penulis, menggambar inspirasi dan semangat setiakawan walau beza bangsa dan budaya.
Korban Kesuciannya Kisah Cikgu Aini yang bersahabat baik dengan penolong penghulu, Encik Busu. Cikgu Aini seorang perempuan yang ditinggal suami selama bertahun yang menghilang waktu pemerintahan Jepun. Pada masa sama Cikgu Aini bersahabat baik dengan Ustazah Aminah yang banyak membantu beliau dimasa susah dan sunyi namun kata-kata orang sekeliling banyak tidak elok tentang persabahatan Aini dan Busu. Konflik bertambah kalut bila Busu berkeputusan menikahi Aminah demi menjaga nama baik Aini. Busu yang sentiasa sibuk dengan hal kampung dan membina cita-cita untuk mengangkat martabat bangsa dan keluar dari belenggu penjajahan tidak sedar dia sebenarnya dalam diam telah merosak perasaan dan persahabatan kedua-dua wanita itu.
-------
Dua novel yang bawa genre berlainan namun kisahnya berlegar di zaman penjajahan Jepun dan darurat. Pahlawan Rimba Malaya lebih kepada kebangkitan nasionalisme anak muda dan Korban Kesuciannya lebih fokus kepada hal perasaan dan emosi, konflik diri dan pergolakan tanggungjawab dan amanah. Penceritaan dan bahasanya kemas dan santai (ada sedikit ralat percetakan). Latar yang bertema revolusi ketika perubahan politik dan sosial tanahair bagi adegan suspen dan sedikit gambaran sejarah silam. Rating sebenar 3.5 bintang.
Pahlawan Rimba Malaya dan Korban Kesuciannya adalah dua novel pendek yang terikat dengan zaman penjajahan Jepun. Merangkumi perjuangan mereka yang mahu menuntut kebebasan dan kemerdekaan dan juga kesan penjajahan ini terhadap kehidupan mereka yang hidup di zaman itu.
Pahlawan Rimba Malaya mengisahkan tentang Jefri, sewaktu penjajahan Jepun dan memaparkan hal-hal yang berlaku sekitarnya di zaman itu. Setiap bab menunjukkan rakaman kehidupan sewaktu zaman penjajahan Jepun, memberi sedikit sebanyak paparan mengenai hubungan antara kaum, pergelutan hidup mereka yang berada dalam kesempitan dan juga kepayahan perjuangan menuntut kemerdekaan. Gaya penulisan untuk kisah ini boleh dikatakan romantis, agak berlawanan dan agak janggal terasa dengan jalan ceritanya yang disampaikan seperti sedang membaca buku teks, sekaligus membuatkan ceritanya terasa agak bosan. Entahlah, berkemungkinan sebab bulan ini telah pun membaca beberapa karya yang bertemakan perjuangan menuntut kemerdekaan sewaktu zaman penjajahan yang lebih baik yang membuatkan cerita kali ini kurang terasa impaknya. Selain itu, prakata dari penulis sebelum bermulanya cerita ini yang menceritakan usaha untuk menerbitkan novelnya terasa amat menarik, malahan lebih menarik dibaca berbanding cerita ini.
Korban Kesuciannya pula dimulakan dengan Aini yang mengimbas kembali saat dia kehilangan suaminya di zaman kedatangan Jepun menyebabkan dia terpaksa hidup sendirian dan kemudiannya menjadi antara tunjang kepada kemajuan sebuah kampung. Kisah diteruskan dengan konflik perasaan dengan antara tiga lagi watak yang turut melibatkan diri dalam usaha untuk memajukan kampung yang didiami mereka. Pergelutan dan penderitaan dalaman mereka menjadi semakin parah kerana menafikan dan dinafikan perasaan cinta bagi menjaga nama baik, kepentingan diri dan kepentingan orang yang dikasihi yang mudah terdedah dengan mulut orang-orang kampung yang kolot dan suka bersangka buruk. Di sini gaya bahasa tulisan yang romantis dan puitis penulis dirasakan lebih bersesuaian dengan cerita, malahan turut menjadikan cerita yang disampaikan lebih berkesan. Setiap penderitaan hati watak jelas terasa sehingga terasa seperti dirobek-robek jugalah jantung sendiri sewaktu membacanya. Keberkesanan penyampaian emosi setiap watak dalam cerita ini buat aku rasa nak baca lagi sekali cerita ini supaya boleh sekali lagi rasa penderitaan watak-watak itu. Punyalah masokis perangai.
Sementara Pahlawan Rimba Malaya menghilangkan perasaan ingin membaca dan kemudian mengambil kira-kira lima hari jugalah untuk dihabiskan, Korban Kesuciannya menghidupkan kembali perasaan ingin membaca dan memerlukan tidak sampai lima puluh minit pun untuk dihabiskan. Jadi, 4 bintang untuk Korban Kesuciannya sahaja. Pahlawan Rimba Malaya mungkin 2 atau 3 bintang sahaja.
BUKU MERDEKA : Pahlawan Rimba Malaya dan Korban Kesuciannya oleh SN Keris Mas. (Edisi Malaysia Membaca)
Buku ini adalah gabungan antara 2 novel pendek.
Pahlawan Rimba Malaya adalah kisah mengenai Jefri yang bangkit selepas menerima kesan imperialisme. Bangsanya melarat, ditindas segenap sudut. Atas semangat nationalisme, dia menyertai gerakan gerila bawah tanah yang bermotifkan serangan bersenjata sebagai tanda tidak reda tanah ini dijajah. Nyawanya dicagar demi cinta kepada negara.
Korban Kesuciannya pula kisah empat orang pemuda Aini, Aminah, Busu dan Wan Asri. Masing-masing punya cita-cita suci. Akhirnya berlaku konflik diri sendiri dan masyarakat. Cita-cita suci mereka terkubur. Jiwa mereka derita dan sengsara. Boleh saya rangkumkan seperti peribahasa "yang dikejar tak dapat, yang dikandung keguguran."
Luar Naratif: Antara dua novel punya persamaan antaranya iaitu merasai keperitan dan kesengsaraan kesan imperialisme. Jiwa terkorban, cita-cita terbantut, mimpi indah hanya teman beradu, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, menjadi hamba di bumi sendiri dan pengkhianat bangsa yang menangkuk di air yang keruh.
Konflik tanggungjawab terhadap negara dan masyarakat bertembung dengan tuntutan jiwa dan cinta yang menyempurnakan sifat manusia. Tidak semua orang dikurnia keseimbangan antara dua hal itu. Apabila terjerat, jiwa terseka. Salah satunya terpaksa dikorbankan.
Selain itu, pertembungan pemikiran orang lama dan generasi baharu terutamanya berkaitan hal wanita. Masyarakat ketika itu memandang hubungan lelaki dan wanita sebagai hubungan nafsu sahaja.
Sedangkan keduanya diperlukan gandingan dalam mencorak bangsa dan mewarnai negara. Contoh mudah, dalam perihal mendidik di sekolah punya guru lelaki dan perempuan. Dan perhubungan kedua-dua itu hanyalah demi mendidik anak bangsa. Janganlah ditafsir dengan perhubungan nafsu.
Wanita juga punya peranan dalam mendidik dan membina masyarakat dengan kemajuan berfikir berpandukan ilmu dan pengatahuan.
Pengajaran, sebagai manusia kita punya usaha dan ikhtiar memilih kehidupan kita sendiri. Berlaku adillah terhadap diri sendiri, keluarga dan masyarakat.
Karya kedua Keris Mas (atau Kamaluddin Muhammad) yang saya baca. Di dalam buku ini, dihimpunkan dua buah cerita. Walau genre ceritanya berbeza, namun masihlah kedua-duanya berlatarbelakangkan zaman hiruk-pikuk menuntut kemerdekaan, dan menjadikan pengorbanan sebagai tema utama.
Cerita yang pertama, Pahlawan Rimba Malaya mengisahkan seorang pemuda Melayu, Jefri yang bekerja secara diam-diam tapi tekun, untuk menggempur tentera Jepun. Sebak bila saya baca. Satu kalimat yang menyimpan kemas amanat daripada mereka, yakni para pejuang kita: "Meski maut akan datang juga menjemput kita satu persatu, namun cita-cita ini janganlah patah di tengah, janganlah puas dengan satu kemenangan dan janganlah berputus asa dengan satu kematian, sampai cita-cita mendirikan sendi kemuliaan bangsa dan tanah air kita dapat didirikan." (h. 53).
Karya-karya yang menceritakan perihal peperangan dan perjuangan menuntut kemerdekaan, mestilah dibaca oleh generasi kini agar insaf akan segala derita dan jerih payah mereka yang telah mengorbankqn tenaga, harta, masa, bahkan diri mereka demi mengecapi kemerdekaan. Pengorbanan yang dilakukan oleh para pejuang terdahulu wajar kita renungi dan hargai. Harga yang sungguh mahal perlu dibayar!
Cerita kedua, Korban Kesucian pula memaparkan kisah cinta tragis yang dialami para pemuda dan pemudi pejuang bangsa yang cinta akan negara, namun tersalah percaturan pula dalam memperjuangkannya. Dalam perkara ini, siapakah yang perlu dipersalahkan? Cikgu Aini, Ustazah Aminah, Encik Busu atau Encik Asri?
Tiada sesiapa yang layak dipersalahkan sebenarnya, menurut saya. Kesemua daripada mereka telah berkorban demi anak bangsa, hanya sahaja salah percaturan.
Yang paling saya gemar dalam kedua-dua penceritaan ini ialah bahasanya yang “baik sekali, lembut, manis dan berbunga-bunga” persis yang diungkapkan oleh Aminuddin Baki pada ulasan beliau terhadap Korban Kesucian. Terpesona saya dengan bahasa Bung Keris di dalam buku ini. Penceritaan berkenaan derita peperangan juga tidak terlalu terperinci, seperti kebanyakan karya lain yang menceritakan babak darah terpercik ke sana-sini demi menyeret pembaca untuk merasai sama penderitaan watak. Saya tidak gemar dengan penulisan yang sifatnya begitu.
Paling minat dengan gaya penulisan buku ini. Lenggok bahasa lama yang ketara, ada bahagian yang perlu dibaca berulang kali untuk difahamkan. SN Keris Mas juga ada selitkan surat-surat antara watak dalam buku ini. Buku yg ada surat selalunya lebih hidup ceritanya, teknik yg turut diguna Hamka & penulis kontemporari, Nicholas Sparks.
Kedua-dua cerita amat dekat di hati. Palawan rimba berkongsi kisah perjuangan & semangat menulis. Korban kesucian menyelitkan elemen cinta tak kesampaian
Dua cerita dalam satu buku. Kedua-duanya berlatarkan zaman perang. Biarpun dalam keadaan serba susah, gelisah, derita dan air mata, Keris Mas tidak menyulamkan kata-kata yang menderitakan pembaca. Bahasanya tenang meskipun dalam suasana yang tidak menentu. Pembaca tidak terdera sebaliknya dapat menghayati watak dengan sepenuh perasaan