Pada zaman apa sekalipun, tradisi reformisme seringkali mendapat tentangan berganda kerana di kiri dan kananya dihimpit oleh kebekuan dan kekauan daya fikir untuk membawa perubahan. Jadi, apabila Inteligensia Penyuluh Nusantara datang menggempur wacana dengan idea-idea seperti Burhanuddin al-Helmy, Syed Sheikh al-Hadi, HAMKA dan yang lainnya, maka ia wajar disambut dan dibincangkan sekritisnya, Amat sayang sekali sekiranya inisiatif pembukuan wacana reformisme sebegini tidak disambut dan didiamkan, kerana apa lagi yang kita harapkan untuk perubahan boleh berlaku sekiranya masyarakat masih lagi selesai untuk menikmati kitaran hidup yang sama dan berada pada takuk yang lama tanpa berminat untuk mengusahakan apa-apa.
Buku yang seperti ini barangkali bukanlah sesuatu yang baharu, kerana telah didahului oleh banyak buku lain sepertinya. Tapi, wajar untuk disedari bahawa sebegini adalah perlu diteruskan kerana kita tidak mahu sikap penghargaan terhadap idea dan tokoh hanya dilakukan apabila tokoh itu sudah tiada terus berulang. Maka, Inteligensia Penyuluh Nusantara datang kepada genggaman tangan anda, bacalah seisinya dan hadamlah selumatnya. Jika mampu, datangkanlah kritik-kritiknya. Wacana akan terbangun apabila ada yang terus membawakan perbincangan, tetapi wacana akan bergembang apabila ada yang berani mendatangkan kritikan.
Kholas. Buku keempat dibaca tahun ini -berderet buku Lestari Hikmah dari buku nombor 1-sampai 4- Buku ini jika lebih berfokus kepada semua inteligensia nusantara adalah lebih baik. Ada beberapa esei tidak berfokus, dari Luqman Tarmizi dan seorang lagi tulisan perempuan. Karya ini sekurang-kurangnya bagus untuk sesiapa nak mengenali tokoh-tokoh intelegensia nusantara (intelegensia kita ambil secara mudahnya, ialah pemikir) seperti yang tertera di gambar buku juga seperti Syed Syeikh Al-Hadi, Hamka, Burhanuddin Helmy dan ramai lagi, antaranya juga ialah Haji Misbach. Wan Khuzairey yang menulis perihal Haji Misbach, dan Lestari Hikmah berani menerbitkan tulisan ini, patut dipuji lantaran kerana Haji Misbach itu seorang komunis Islam. Tulisan itu juga pernah didiskusikan di Kuliah Buku tahun lepas, oleh Wan Khuzairey sendiri. Juga dalam buku ini, ada juga ulasan karya seperti Tajus Salatin dan cerpen Robohnya Surau Kami, juga tulisan Wan Khuzairey. Untuk aku karya ini sesuai untuk para pemula mengenali para pemikir bangsa nusantaranya. Untuk lebih jauh, harus cuba cari dan telaah karya-karya yang mereka hasilkan.
Kumpulan tulisan daripada barisan penulis yang berlatar-belakangkan yang berbeza dalam mengetengahkan tema dan nilai intelektual di nusantara. Dibahagikan kepada 3 aspek dan skop perbincangan:
1)Seruan Dari Tokoh Nusantara 2)Pemikiran & Pendidikan yang Kritis 3)Sastera yang Menghidupkan
Skop perbincangan banyak mengetengahkan kritikan-kritikan sosial kepada masyarakat nusantara pada zaman mereka, yakni zaman Syeikh Syed Al-Hadi, Ahmad Boestamam dan tokoh-tokoh yang jarang didendang namanya seperti Haji Misbach. Kritikan sosial yang dilemparkan kepada masyarakat setempat ketika itu bagi menyedarkan dan keluar dari kebelengguan kehidupan yang jumud. Malah, penulisan digunakan oleh mereka sebagai tanda untuk menyedarkan dan memberi mesej akan tradisi-tradisi nusantara yang kolot dan sebagainya.
Skop kedua menyentuh dari segi emansipasi wanita, sudut pandang kontroversi Najmuddin At-Tufi yang dilontarkan kritikan-kritikan pedas oleh beberapa ulama ulung mengenai Nas dan Maslahah dan lain-lain lagi. Emansipasi wanita merupakan hasil perjuangan tokoh-tokoh nusantara silam yang banyak menekankan akan peri penting pendidikan yang sewajarnya kepada wanita. Bahkan, dasar kesaksamaan dalam pendidikan antara lelaki dan perempuan masih menjadi bualan hangat pada hari ini.
Skop terakhir banyak menceritakan tentang hal-hal kritikan sosial kepada ibadah dan sisi pandangan yang jumud. Dinukilkan tulisan A. Navis yakni Robohnya Surau Kami yang banyak mengetengahkan hal-hal kritikan sosial terutamanya dalam hal-hal ibadah dan rumah ibadat Muslim. Namun, perkara paling yang menarik adalah tulisan yang terakhir bagi aku sangat menginsafkan. Pengalaman hidup mempunyai RM 2.00 di dalam dompet dikorelasikan pengalaman menjadi sukarelawan Dapur Jalanan Kuala Lumpur (DJKL) dan melahirkan satu terma yang agak menarik, yakni ‘manusia NonProfit’.
Secara keseluruhannya, buku ini merupakan satu penanda bahawa nusantara ini banyak melahirkan tokoh-tokoh dan ahli cendekia yang selalu tidak didendangkan namanya tetapi mempunyai sumbang saran yang tak ternilai dalam membangunkan masyarakat nusantara secara amnya. Walakin begitu, aku mengharapkan supaya pihak Lestari Hikmah dapat melahirkan sekuel bagi buku ini untuk mencerahkan dan mengagaskan lebih idealisme dan gagasan ilmuan dan intelegensia nusantara.
BUKU:Inteligensia Penyuluh Nusantara terbitan lestari hikmah. (Bacaan kedua dalam hari-hari kurungan)
Koleksi tulisan yang mengangkat tema Intelektualisme. Para penulis menyumbang idea dan pemikiran mereka bagi membudayakan wacana ilmu. Penulisan makalah atau artikel seperti ini memeriahkan lagi budaya ilmu.
Bahagian pertama: Seruan tokoh beragama.
Mengumpulkan tulisan berkaitan tokoh-tokoh intelektual di nusantara ini. Menceritakan sejarah ringkas tokoh-tokoh dan sumbangan mereka dalam pemikiran dan perjuangan intelektual. Fokus utama pada kemajuan akal fikiran. Dalam erti kata memaksimakan akal yang dikurniakan tuhan.Melawan taklid buta dan kepercayaan karut yang membelenggu masyarakat ketika itu.Sama ada ada dari segi beragama ataupun adat. Antaranya isu emansipasi wanita.
Bagaimana sheikh Al-Hadi mengetuai kaum muda dalam membebaskan wacana taklid buta dalam masyarakat melayu yang menyekat kemajuan. Akal dan wahyu perlu seiring. Beliau memperjuangkan islam yang bersifat universal. Tidak menyempitkan kepada pengamalan ritual semata-mata. Contoh isu zakat, puasa dan haji perlu dilihat dari sudut falsafahnya juga. Antara lain, Dr.Burhandin Al-Helmy dan perjuangan kemerdekaan Malaysia. Beliau memperluas falsafah kebangsaan melayu, tidak terhad kepada bangsa semata-mata. Ahmad boestamam menjadikan pena selaku alat perjuangan pemikirannya.M.Natsir dan Haji Misbach dalam perjuangan dalam perjuangan kemerdekaan Indonesia. Dan terakhir Buya Hamka dan karya-karya yang mendidik masyarakat untuk berfikir.
Bahagian kedua: Pemikiran dan Pendidikan.
Membahaskan pandangan Najmudin At-tufi antara nas dan maslahah. Pandangannya ditolak ramai ulama kerana menjerumus ke arah syiah. Penulis cuba menjernihkan pandangan beliau.Kisah Muhammadiyah sebuah organisasi Islam yang besar di Indonesia. Di asaskan oleh Kiyai Haji Ahmad Dahlan yang menginspirasikan Pemikiran Ibnu taymiah,sheikh muhammad abduh dan sealiran itu. Bagaimana teologi Al-maun menjadi asas kepada pergerakan itu dalam membumikan agama dan menggambarkan sifat universal. Kemudian tulisan yang membahaskan akal budi dengan makna yang luas. Permasalahan,kritikan dan saranan dalam daya fikir yang lemah. Seterusnya disambung wacana yang sehingga hari tidak berkesudahan iaitu Wanita. Membahaskan kedudukan dan peranan wanita. Kehadiran Islam dilihat membebaskan wanita. Namun tetap ada kelompongan perlaksanaannya oleh muslim. Membedah juga karya Taj Al-Salatin yang melawan sifat feudalistik. Menolak kesetiaan membuta tuli. Dan terakhir di bahagian ini tentang ilmu dan pendidikan. Penulis menghuraikan bermula asas kewujudan ilmu itu menghubungkannya kepada tauhid. Menyelitkan juga unsur tasauf dalam persediaan menuntut ilmu. Seterusnya menjelaskan proses pendidikan berlaku. Ilmu dihuraikan dengan konsep yang lebih luas. Dari sudut tujuan dan kaedah. Bagi memudahkan pemahaman pembaca, penulis menuliskan dalam bentuk peta minda.
Bahagian ketiga Sastera yang menghidupkan.
Membedah pemikiran dalam cerpen "Robohnya surau kami" oleh A.A navis. Kritikan dalam beragama yang hanya menumpuka aspek rohani dan ritual semata-mata. Menekankan fungsi agama itu meliputi keseluruhan hidup termasuklah diri,masyarakat dan seluruh alam.Tentulah yang selalu ditekankan iaitu memberi manfaat kepada manusia sejagat.Yang terakhir "Dikala Hamka mengenang Dr.Sutomo" membawa kita menghayati 3 kisah tentang manusia yang berbakti dan memberi kepada manusia lain tanpa menghiraukan dan mengharapkan balasan. Masih wujud manusia yang diistilahkan penulis sebagai manusia yang bersifat 'non -profit'. Juga wujudnya 'Non profit community'.
Awalnya saya fikir buku ini biographical, jadi ringan saja untuk dibaca. Ternyata saya salah; buku ini bukanlah bacaan yang ringan, tetapi ia sangat ilmiah dan paradigm shifting. Bagi saya ia bacaan yang sangat menarik dan necessary to read.
Di bahagian pertama, para penulis membawakan ringkasan kisah hidup beberapa intelektual Nusantara yang berfokus kepada cara berfikir dan sumbangan mereka. Pembaca akan dapati bahawa persamaan antara golongan ini adalah, mereka merupakan para pemikir yang sentiasa berusaha mencari jalan untuk memajukan dan membantu masyarakat dalam bidang masing masing. Intelektualisme mereka diterjemahkan dalam bentuk tindakan yang berfokus kepada penambahbaikan untuk masyarakat.
Di bahagian kedua, para penulis berpindah pula kepada makalah makalah ringkas yang berkisarkan topik yang pelbagai, namun berfokuskan kepada tema utama, iaitu memupuk intelektualisme, meraikan perbezaan dalam diskusi ilmu dan menyantuni perbezaan tersebut dengan adil, dan menanam semangat berfikir serta berhenti mengikut secara buta tuli, dalam apa pun aspek kehidupan. Di bahagian ini, ada makalah yang sangat teknikal, contohnya makalah yang membincangkan nas & maslahah, yang menurut saya mungkin bukan mudah difahami semua pembaca. Yang selebihnya bersifat lebih umum. Secara peribadi, makalah 'Seabad Muhammadiyah' dan 'Taj al Salatin' paling memberi kesan kepada saya.
Di bahagian ketiga, ada sebuah ulasan bagi karya sastera Robohnya Surau Kami dan sebuah karya berkisarkan ripple effect kesukarelawanan yang non profit dalam kehidupan. Sekecil kecil bantuan dari kita yang lebih mampu, dapat meninggalkan kesan mendalam pada diri yang menerima, dan mampu memotivasikan mereka dan menjadi stepping stones untuk mereka membina kehidupan yang lebih baik.
Saya merasakan bahawa buku ini sangat wajar untuk dijadikan bahan bacaan dalam kalangan masyarakat, untuk memupuk semangat berfikir demi kemaslahatan sejagat. Kebetulan pula saya baru saja selesai membaca beberapa buku seperti Teguran Jujur dan Suci Hamka, dan Perangai Bergantung pada Diri Sendiri Za'ba, jadi saya semakin sedar betapa pentingnya budaya berfikir, dan betapa tandusnya ia dalam kalangan kita hari ini, termasuklah saya sendiri.
Maka perlulah kita pupuk semula budaya ini, dan ada baiknya jika dimulakan dengan bacaan bacaan yang memotivasikan seperti buku ini. Dari sisi lain, wujudnya buku ini menunjukkan bahawa sudah ramai juga dalam kalangan kita yang sudah lebih selangkah ke depan dalam memasyarakatkan budaya berfikir, dan ini adalah satu indikator yang sangat menggalakkan dan praiseworthy.
Saya juga sangat sukakan selitan senarai rujukan di akhir setiap tulisan - sangat professional, transparent dan membantu cross reading.
Semoga buku ini dapat menginspirasikan lebih ramai orang lagi untuk menjadi pemikir ummah, sebagaimana ia telah menginspirasikan saya juga.
Kehidupan orang Melayu yang seringkali bertaklid buta, terlalu cepat redha, lemah cita-cita begitu berkait rapat dengan corak pemikiran Islam yang dibawa sejak berzaman. Jika ramai orang Melayu mengatakan kelemahan Melayu berpunca daripada pengaruh penjajah, saya ingin mengatakan bahawa disebabkan kemunduranlah kita dijajah.
Sebagai seorang pembaca buku yang tegar dan jujur, buku ini dengan tulus ikhlas memberi pengenalan kepada sesiapa yang ingin mengenali Kaum Muda dan jasa-jasa mereka di Wilayah Melayu. Mereka ini seringkali dianggap musuh Kaum Tua namun sebagai seorang insan yang adil, saya memuji dan mengenang jasa Kaum Muda dan Kaum Tua. Mereka hanya bertegang urat demi membawa agama dan bangsa kejalan yang baik.
Jika anda ingin berkenalan dengan Za'ba, Syed Sheikh Al-Hadi, HAMKA, Syed Abdul Rahman Kawakibi atau sealiran dengannya maka bacalah buku ini dahulu sebagai langkah permulaan.