Saya membuat keputusan untuk membeli buku ini selepas membaca Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal yang asalnya ditulis oleh Martin Lings (Abu Bakr Sirajuddin), kemudian diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu oleh Farhan Affandi serta Al-Mustaqeem
Mahmod Radhi dan diterbitkan oleh IBDE.
Saya mula membaca karya Martin Lings tersebut pada bulan April 2024 dan berjaya mengkhatamkannya dalam tempoh kira-kira tiga bulan.
Minat saya terhadap buku ini timbul selepas membaca karya Martin Lings mengenai sejarah hidup Baginda Rasulullah SAW. Buku itu berjaya memupuk kembali minat saya untuk membaca, setelah saya hampir dua tahun meninggalkan tabiat ini akibat kesibukan kerja dan kehilangan motivasi untuk membaca.
Secara jujur, kehilangan minat membaca itu mungkin juga disebabkan oleh pilihan genre saya sebelum ini, yang kebanyakannya adalah fiksyen atau fantasi seperti Dune dan Harry Potter. (Haha!)
Selepas menghabiskan pembacaan Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal dalam masa tiga bulan, pada awal Julai 2024, saya dengan penuh semangat mencari buku yang membincangkan sirah para sahabat Baginda. Akhirnya, saya menemui buku ini, Abu Bakr as-Siddiq: Liku-liku Hayat & Pemerintahan Khalifah Pertama, bersama sebuah lagi buku terbitan IBDE mengenai Sayyidina Umar Al-Khattab RA, khalifah kedua umat Islam. Minat saya terhadap sejarah tokoh besar Islam menjadi semakin mendalam.
Saya memulakan pembacaan kedua-dua buku mengenai sahabat Baginda Rasulullah SAW ini sebaik sahaja buku tersebut tiba, yang saya beli secara online melalui Shopee. Saya membaca kedua-dua buku ini secara bergilir-gilir hampir setiap hari, dan berjaya mengkhatamkan kedua-duanya dalam tempoh sekitar satu bulan atau lebih.
Buku mengenai Abu Bakr as-Siddiq ini berbeza dengan buku mengenai Umar Al-Khattab. Buku tentang Umar Al-Khattab lebih menyerupai analisis keperibadian dan perwatakan (character study), sementara buku Abu Bakr as-Siddiq lebih menekankan peranannya sebagai khalifah pertama selepas kewafatan Baginda Rasulullah SAW.
Menariknya, buku ini terasa seperti sambungan langsung kepada Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal karya Martin Lings. Walaupun ditulis oleh penulis yang berbeza, kisah Abu Bakr dimulakan dengan hubungannya bersama Baginda dan diteruskan dengan peristiwa selepas kewafatan Rasulullah SAW. Buku ini seolah-olah menyambung naratif yang tamat dalam buku Martin Lings, menjadikannya seperti sebuah “sekuel”.
Lebih menarik lagi, sebahagian besar bab dalam buku ini turut menceritakan kisah Khalid al-Walid, panglima perang pada zaman Abu Bakr. Gaya penceritaan penulis, yang kadangkala memberikan perspektif dari sudut pandang Khalid al-Walid, amat memberi kesan. Terjemahan yang baik ke dalam Bahasa Melayu juga berjaya menangkap emosi pembaca, sehingga saya benar-benar dapat merasai kisah ini di lubuk hati.
Peranan Sayyidina Abu Bakr RA sebagai penggerak utama dalam mempertahankan dan memperluaskan pengaruh dakwah Rasulullah SAW tidak dapat disangkal. Sebagai khalifah pertama umat Islam, beliau memainkan peranan penting dalam mengekalkan kestabilan dan membuka jalan bagi perkembangan Islam ke seluruh dunia.
Secara kesimpulannya, buku Abu Bakr as-Siddiq: Liku-liku Hayat & Pemerintahan Khalifah Pertama karya Muhammad Hussein Haikal ini telah memberikan kesan yang mendalam kepada saya secara peribadi. Bukan sahaja ia membantu memupuk kembali hobi membaca yang telah lama saya tinggalkan, tetapi ia juga berjaya menarik minat saya untuk lebih mendekatkan diri dengan pegangan din saya, iaitu Islam. Alhamdulillah, dengan izin Allah, buku ini menjadi salah satu asbab yang membawa saya ke arah perjalanan spiritual yang lebih bermakna. Insya-Allah