Buku : Lahir Untuk Lari dari 7km ke 42km oleh Ridzuan Bakar. Terbitan Kasi Terbit.
Buku ini saya beli tahun lepas sebagai salah satu cara meniupkan semula semboyan untuk saya kembali berlari di Malaysia selepas mendapat momentum larian di bumi Firaun. Namun, dek Pkppkdpkpppkbkpkpkkpkpnpnkpkpkp saya tiada selera untuk baca buku ini, tambahan pula larangan bersukan. Kini, barulah dapat habiskan baca selepas membeli barangan larian baharu seperti kasut, baju, seluar, jam dan beg. Banyak juga modal🤣.
Tulisan sangat menginspirasi bagi sesiapa yang ingin mula menceburi dunia larian. Penulis sendiri mula berlari selepas 24 tahun selepas kali terakhir berlari sewaktu sekolah menengah.
Tulisan ini berkisar tentang catatan perjalanan penulis menyertai acara larian secara serius. Bermula dari hanya 7km sehinggalah berjaya menamatkan 42km (Full Marathon) dengan catatan masa terbaik peribadi.
Kisah merangkumi jerih payah menyertai pelbagai acara larian. Penulis juga menyertai kelab larian demi menuntut ilmu larian. Di situlah latihan dan teknik diajarkan.
Selain daripada kisah penulis, buku ini boleh dijadikan panduan untuk semua pelari. Diselitkan di akhir setiap bab info dan pengetahuan berkaitan larian. Antaranya :
1. Sejarah larian dan marathon 2. Jenis larian dan teknik larian 3. Teknik regangan sebelum dan selepas larian 4. Kesihatan dan nutrisi pemakanan untuk larian. 5. Kecederaan yang dialami 6. Kaedah mencegah, mengatasi, merawat kecederaan.
Banyak info yang berguna untuk saya dan pelari. Banyak juga istilah yang saya tak pernah dengar sebelum ini. Paling menarik, selepas membaca buku ini, barulah tahu saya menggunakan teknik larian yang diberi nama speedwork fartlek. Saya sudah mengamalkannya sehingga menamatkan 21km tanpa mengetahui teknik itu sememang salah satu teknik larian.
Namun tidak terlepas juga, ada beberapa teguran membetulkan kesalahan yang saya lakukan dalam aktiviti larian. Keselahan yang boleh mengundang kecederaan misalnya.
Selain itu, buku ini dipenuhi kata-kata (quotes) motivasi buat para pelari. Buat pencinta larian, teruskan berlari. Tiada semangat? Boleh baca buku ini.