"Memandang dunia dari jendela sebuah satelit adalah seperti seorang penulis memandang dunia ciptaannya dari jendela sebuah fiksyen."
Mana Dadu Darjeeling? membuka pintu kepada sebuah dunia ajaib dan aneh di mana nasib manusia adalah ibarat bidak dalam permainan dam ular. Suara yang bercakap dalam dinding, manuskrip puaka, pencuri bibir penyair, dan pengembaraan psychedelic merentas alam semesta. Buku ini merupakan kumpulan cerpen pertama Wan Nor Azriq yang sebelum ini telah menempa nama sebagai novelis berbakat melalui buku seperti D.U.B.L.I.N dan Di Kala Bulan Bermain Biola.
"Cerita-cerita pendek Wan Nor Azriq, di antara keunggulan-keunggulan lainnya menghamparkan humor gelap dan cerdas." -- Aan Mansyur
"Cerpen-cerpen Wan Nor Azriq seperti membawa kita ke lubang imaginasi yang dalam." -- S.M. Zakir
Terima kasih kepada penulis yang bagi peluang untuk aku baca naskhah pra-cetak sebelum buku ini terbit. Memang ternanti-nanti koleksi cerpen ini lepas nampak posting Wan Nor Azriq di Instagram bulan Oktober lepas.
Judul dan konsep bukunya sangat menarik perhatian. Kumpulan cerpen yang bertema realisme-magis, kontemporari tapi bernuansa klasik dan misteri dengan idea-idea ceritanya yang penuh absurditi. Gubahan naratif dan diksinya sangat kemas dengan karakter-karakter cerita yang unik dan penuh rahsia. Suka cara penulis deskripsikan babak dengan gambaran sekitar yang jelas dan perinci-- perjalanan cemas Inche Jacob ke rumah Tuan Darjeeling, Pekan Lama dan rumah Kriapur, kembara Ford Cortina dan adventur di Istanbul.
Cerita-cerita di Dadu Orang Berdosa dan Tangga Insomnia buat aku teringat dengan buku Di Kala Bulan Bermain Biola. Kisah-kisahnya seperti satu untaian misteri yang bersambung namun berdiri dalam naratif sendiri (kadang terasa janggal dan rumit juga nak faham). Antara kisah yang aku suka-- Dua Pintu (aku harap cerita ini lebih panjang dan Inche Jacob berjaya dan tidak runsing lagi), Amanah Profesor Roolvik (jenayah literatur klasik yang sureal tapi seronok dibaca, masih sedih dengan nasib Profesor Pinto :/ ) dan Rumah Doktor Salgari (entah kenapa aku suka dengan Salgari si lelaki Itali ini walaupun dia dah meninggal dunia).
Tangga Mimpi, Ular Bawah Sedar dan Dadu Orang Mati agak menghiburkan dan lebih sedap eksposisi dan rangka kreativitinya. Sedikit buat aku teringat dengan buku Soneta Roda Basikal (tapi tak ada Proust di sini). Antara cerita-cerita aku suka-- Dialog Orang Tua (ada cameo Roslan Jomel yang misterius), Bibir T. Alias Taib (dah pernah baca di buku yang lain tapi masih juga jadi kegemaran), Merentas Alam Semesta (makhluk asing dan ikan paus putih bernama Moby Dick, ada adegan kejam waktu tengah kunyah Big Mac) dan Seolah-Olah Hüzün (cerita khas untuk Syafiq Ghazali-- jenayah airbnb dan dialog-dialog lucu-sinikal Caner dan pelancong yang aku suka, tak tahu kenapa aku pun sama-sama cakap alhamdulillah lepas habis baca).
Agak kagum dengan variasi idea yang bermain di luar kotak. Walau ada cerpen yang terlalu bizarre dan kena baca sekali lagi untuk hadam dan faham, ia masih satu kumpulan cerpen yang aku suka. Sesuai dengan judul Mana Dadu Darjeeling? buku ini menanti nasib para pemainnya-- goncang dadu, lempar, dan tunggu saja ke mana bidak permainan akan bawa kamu pergi.
"...dalam ruang waktu yang sempit itulah segala isi dunia ini berhenti bergerak, dan ruang imaginasiku ditarik dengan seluas-luasnya sehingga akhirnya rohku diterbangkan ke dunia lain..."
Kumpulan cerpen surreal dan aneh yang diselitkan dengan humor gelap dan intelektual. Diselitkan juga lambakan rujukan-rujukan nama penulis, filem dan buku dari Barat. Tapi entahlah, rasa macam kena bersusah-payah, bertungkus-lumus dan gagah menggigihkan diri pula cuba nak habiskan baca buku ini. Kesemua cerpennya terasa membosankan dan mudah dilupakan. Dengan kebanyakan selitan rujukan-rujukan Barat juga tak begitu membantu untuk membuatkan cerpen-cerpen dalam buku ini punyai identiti sendiri dan menyegarkan apabila dibandingkan dengan cerita-cerita tulisan penulis Barat aku rasa pernah baca yang juga sepesen dengan apa yang cerpen-cerpen dalam buku ini cuba nak jadi. Entahlah, mungkin tak kena dengan cita rasa aku je. Bak kata orang, aku bukan pembeli yang disasarkan.
Tapi kalau nak dijadikan cerita, perasaan aku baca buku ni macam nilah kot. Cuba bayangkan: Encik A nak menonton filem tapi tak tahu nak tonton filem apa. Jadi, Encik A minta bantuan Encik B. Encik B ni gelar dirinya kinophile, iaitu baginya searas lagi tinggi daripada cinephile. Encik B pun berilah satu senarai filem-filem yang Encik A patut tonton. Semuanya filem hitam putih dari Eropah yang diterbitkan sebelum tahun ibu Encik A sendiri dilahirkan. Menurut Encik B, filem-filem yang tersenarai di dalam senarai yang dia senaraikan itu bagus-bagus belaka. Encik B turut menerangkan tentang metafora, alegori, simile dan setiap terma Encik A ingat pernah belajar sewaktu kelas KOMSAS dahulu yang Encik B kata Encik A perlu berikan perhatian. Walaupun Encik B turut memberi beberan dalam bebelannya, tapi Encik A tak kisah. Encik A tak berapa cerewet dengan bocoran jalan cerita sebelum Encik A menonton apa-apa filem. Bagaimanapun, sebelum Encik A balik, Encik B beritahu kesemua filem itu hanya boleh dimuat turun dari laman web tertentu dengan aplikasi tertentu dengan mengekalkan jumlah nisbah muat naik tertentu untuk Encik A muat turun filem yang seterusnya. Setelah pulang, Encik A pun mula tonton satu per satu filem. Setiap satu filem mengambil masa tiga hari untuk dihabiskan sebab setiap sepuluh minit, Encik A akan tertidur. Sebulan kemudian, Encik A jumpa Encik B semula. Encik B tanya sama ada Encik A dah habis tonton kesemua filem dan Encik A dengan jujurnya jawab ya. Teks ini adalah untuk memanjangkan cerita. Encik B tanya sama ada Encik A suka kesemua filem yang ditontonnya dan Encik A dengan tidak jujurnya jawab ya. Teks ini adalah untuk memanjangkan cerita. Encik B tanya sama ada Encik A dapat tangkap semua metafora, alegori, simile dan setiap terma Encik A ingat pernah belajar sewaktu kelas KOMSAS dahulu yang Encik B kata Encik A perlu berikan perhatian dan Encik A dengan tidak jujurnya jawab ya. Teks ini adalah untuk memanjangkan cerita. Dan akhir sekali, Encik B tanya sama pokok apa sebab goyang, nanti Encik A kata angin yang goncang. Lepas tu Encik A kata Encik A kandung air, sampai tempat sejuk Encik A pun cair.
Saya tak tau apa yang buat saya melekat dan berjaya habiskan buku ni. Jarang baca genre ni (ke tak pernah?)
Mungkin kerana:
* Setting cerita - rasa seperti zaman saya membesar; zaman 90an, alam fantasi, antik, menonton rancangan tv yg tak faham ceritanya (Ripley's believe it or not + The Neverending Story + muzik Cranberries) * Kebanyakan cerita guna kata ganti diri pertama jadi feeling tu lain. * ada kisah yang memaksa saya menelusuri lembah keseraman * Watak-watak real yang digabung dengan kisah rekaan buat saya keliru (terus google Nakhoda Ragam, M.C. Escher, Kuala Jerlus😂) * Cerpen: cerita pendek jadi gagah nak baca juga.
Saya suka Rumah Doktor Salgari, Bibir T. Alias Taib dan Limbo.
Semasa membaca kumpulan cerpen ini, saya teringat cerpen-cerpen Roslan Jomel. Kemudian, watak Roslan Jomel pula muncul dalam satu cerpen, seolah-olah buku ini telah membaca fikiran saya. (Buku membaca pembaca? Hm, macam premis cerpen yang Roslan Jomel akan tulis.)
Wan Nor Azriq meminjam semangat penulis-penulis lain untuk mencipta sesuatu yang baru. Dia dengan selambanya membawa pembaca ke dalam dunia Shahnon Ahmad dalam novel Di Kala Bulan Bermain Biola (menurut buku itu, saya insaf dan membina hidup baru di Banggul Derdap dan saya mandi sungai dan sembahyang setiap hari. Dunia fiksyen memang sangat menakjubkan.)
Saya pasti ada banyak homage untuk penulis-penulis lain dalam buku ini tapi saya tak dapat tangkap sebab saya tak baca buku-buku yang WNA baca. Tapi saya baca buku-buku WNA. Dan cerpen Rumah Penyair Kriapur adalah seperti bonus untuk novel Di Kala Bulan Bermain Biola. Penulisnya juga terperangkap di Pekan Lama seperti pembaca-pembacanya. Padan muka.
Saya boleh menggambarkan pengalaman membaca koleksi cerpen WNA ini dengan salah satu cerpennya sendiri iaitu Rumah Doktor Salgari. Sebagai pembaca, kita lalui apa yang dilalui watak utamanya: Kita meneroka satu tempat biasa atau familiar, rasa kehadiran hantu (atau roh), dan kemudian jumpa sebuah ruang baru yang pelik.
Cerita-cerita aneh & ajaib: adiwira musang, pencuri bibir penyair, pelahap bola mata, pelanduk dua raja, alien peminat The Beatles & yang membawa pembaca - seperti Alice - terjatuh ke lubang imaginasi yang dalam.
Mana Dadu Darjeeling? merupakan kumpulan cerpen pertama penulis yang memenangi Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH melalui novel D.U.B.L.I.N.. Kumcer ini mengandungi 27 cerpen yang terbahagi kepada enam bahagian, dan setiap bahagian mempunyai tema tertentu. Antara cerpen yang menjadi kegemaran ialah Bibir T. Alias Taib.
Bibir T. Alias Taib mengisahkan satu perniagaan yang menjual bibir T. Alias Taib, seorang pemuisi terkenal yang nukilannya terasa dekat pada jiwa anak muda. Cerpen ini merupakan sebuah alegori bagi perihal peniruan karya yang semakin berleluasa terutamanya dalam dunia puisi baru-baru ini. Cerpen ini menunjukkan kegiatan ini semakin parah sehinggakan penciplak boleh membuat duit melalui karya yang dicurinya itu. Cerpen ini juga ada menyentuh isu kebanyakan pemuisi muda sekarang hanya menulis tanpa ilmu sekadar untuk mendapat secebis perhatian. Sedangkan puisi harus punyai maksud dan bukan hanya susunan perkataan yang indah semata-mata. Begitu juga untuk memahami puisi, kadang memerlukan pemahaman tertinggi untuk menghadamnya.
Secara keseluruhannya, kumpulan cerpen ini merangkumi pelbagai genre dan semestinya ceritanya tidak boleh lari daripada unsur surealisme. Sebahagian cerpen dalam kumcer ini ditulis dengan cara tidak konvensional menjadikan cerpen itu unik dan sedikit mengelirukan. Sudah tentu ada cerpen yang buatkan pembaca terpinga-pinga ingin tahu apa sebenarnya penulis cuba sampaikan dan ada juga cerpen yang buatkan pembaca beransur ke cerpen seterusnya dengan hati yang puas.
3 tahun lepas, pernah tanya Poe, ada ke buku kumpulan cerpen WNA dan Poe jawab, moga moga ada nanti. Jadi apabila Katapilar terbitkan buku ni pada Disember tahun lepas, aku terus pre order tanpa was was.
Ada beberapa cerpen mention pasal Pekan Lama, Kuala Jerlus, Encik H, Poe, jadi aku anggap dunia cerpen ini saling bersimpang siur dengan dunia novel beliau.
Macam AzriqVerse something like that.
Tiga cerpen feveret (selain Rumah Dr. Salgari dan Bibir T. Alias Taib) 1. Rahsia Adiwira Musang 2. Bola Mata (cannibalistic and kinky) 3. Merentas Alam Semesta
Mana Dadu Darjeeling? - seperti tajuknya, buah dadu yang mempunyai enam sisi begitu juga kumpulan cerpen ini terbahagi kepada enam bahagian.
Apa yang aku sedar setiap kali habisnya satu bahagian, cerpen yang dikumpulkan dalam itu berkisarkan teras yang sama dan aku pun cepat-cepat turunkan anotasi tentang apa yang aku faham sebelum memori ikan emas aku membuatkan aku lupa apa yang aku baru sahaja baca.
i. Dadu Orang Berdosa mengisahkan cerita orang-orang yang masih tidak dapat melepaskan perkara lalu dan menjadi taksub sehingga memakan diri.
ii. Tangga Insomnia mengenai kisah kehidupan yang diganggu/dihantui oleh sesuatu yang tidak mampu melihat melalui lensa realiti dan mereka ini seperti hilang ke dunia lain.
iii. Ular Kembar yang menyikap satu-satu lapisan cerita definisi dualiti, tidak kira dalam diri sesorang ataupun antara dua entiti seperti Yin dan Yang.
iv. Tangga Mimpi tanpa segan-silu mengkritik secara halus bagaiman hidup mengidolakan sesorang sehingga kita lupa akan kewujudan suara sendiri.
v. Ular Bawah Sedar mengitari kisah ketakutan serta keinginan/nafsu yang sudah lama bersarang, yang duduk di lubang paling dalam dan tanpa kita sedar, ia membentuk siapa diri kita.
vi. Dadu Orang Mati mengalihkan perspektif bertumpu yang sejujurnya, kita semua ini berseorangan dalam lingkaran kehidupan dan jika kita bertuah, kita dapat menemui jiwa yang membuatkan kesunyian itu mampu ditanggung.
Bagi aku, Mana Dadu Darjeeling? mengumpulkan kisah-kisah 'dark humour' dan ia mengalu-alukan aku untuk keluar daripada keselesaan pemikiran sedia ada. Naratif yang berlatarbelakangkan 'absurdity' yang terjalin bersama intipati perubahan perspektif cukup membuatkan aku timbang semula dengan apa yang aku faham selama ini.
Mana Dadu Darjeeling? merupakan pembacaan yang bukan mudah untuk diterima oleh semua orang tetapi untuk orang yang bersedia menerima sesuatu dengan mudah.
Seperti biasa, Wan Nor Azriq tidak pernah mengecewakan pembacanya dengan imaginasi biasa. Beliau membawa kita ke satu dunia yang direka khas di dalam imaginasi yang kita sendiri tidak mampu lihat di dunia nyata. Olahan dan susunan perkataan, keindahan bahasa yang dijaga oleh penulis sama sekali tidak merosakkan dunia rekaan beliau di dalam minda kita. Kompilasi cerpen oleh penulis lebih santai berbanding novel-novel beliau sebelum ini. Namun ianya mempunyai keistimewaan yang berbeza.
Naskah ini terlalu berat untuk aku baca. Disebabkan gaya penulisan yang begitu, ia membuatkan aku terpinga-pinga adakah pulau yang dimaksudkan penulis itu wujud atau khayalan semata-mata? Watak-watak dan reference yang digunakan juga aku kurang mengerti, mungkin ilmu aku terlalu cetek berbanding penulis. Aku tidak enjoy baca buku ini disebabkan permasalahan di atas. Mungkin aku malas berfikir di luar kotak. Keseluruhannya, buku ini sesuai dibaca ketika tengah malam.
Buku cerpen dengan tema magis realisme yang baik. Ada cerpen yang pernah dibaca sama ada tercetak (bibir T Alias Taib) atau atas talian (seolah olah huzun). Saya rasa koleksi cerpen ini sangat bagus sama ada dari segi idea atau penyampaian. Cuma saya rasa kurang selesa dengan rujukan karya karya atau penulis tertentu, dalam dan luar negara. Bukan apa, untuk yang tak berapa tau pasal penulis hebat macam saya ni jadi agak clueless dan cenderung untuk abaikan semua tu.
Aku memerlukan orang lain untukku memahami apa yang ingin disampaikan penulis. Ada tak orang boleh tolong beri kesimpulan untuk setiap cerpen dalam ni, kerana aku serius tak faham. Gigih jugalah nak habiskan baca buku ni. Buku dah beli, sayang tak habiskan baca. Kalau buku pinjam, awal² lagi dah pulangkan.
Pertama kali membaca karya Wan Nor Azriq. Mungkin lepas ni boleh cuba baca karya beliau yang lain.
Ceritanya menarik kerana cerita daipada berbagai-bagai latar dan tidak terhad pada satu gaya sahaja.. pembaca tidak bosan kerana setiap cerita luar biasa.. menunjukkan penulis berpengetahuan luas..
--namun saya bukan seorang pembaca yang dapat memahami cerita beliau
Penulisannya bagus. Tapi saya je tak dapat tangkap. Tak tahu nak baca sebagai baca sahaja atau perlu fikir kalau ada maksud tersirat. Kalau ada orang boleh simpulkan setiap cerpen, bagus jugak !