Salah telahan saya selama ini. Menganggap ini kisah percintaan antara gadis Melayu dengan bangsa penjajah yang sering dimainkan di skrin televisyen.
Saya tidak tahu bagaimana penulis Hara, boleh bawa saya hidup dikalangan masyarakat Tanah Melayu. Setiap seginya cukup terperinci sekali, jika dipejamkan mata terdengar bunyi air perigi dicurah Puteh, rantai basikal kayuhan Abdul Jalil dan derapan kawad imperialis Nippon.
Jiwa pedih, seksa dan menanggung sesak nafas apabila kisah-kisah pemergian 'wira-wira' dalam kehidupan Melur hilang. Begitu juga penyeksaan yang dihadapi orang kita yang kini makin dilupai.
𝘏𝘢𝘱𝘱𝘺 𝘦𝘯𝘥𝘪𝘯𝘨 atau tidak...itulah yang buat hati saya bergolak untuk meneruskan pembacaan. Disamping garapan penulis yang tidak pernah lelah meninta budaya Melayu serta selingan adat Jepun.
Saya berharap ramai yang mengambil serius tentang 𝙎𝙪𝙧𝙖𝙩-𝙨𝙪𝙧𝙖𝙩 𝙙𝙖𝙧𝙞 𝙉𝙖𝙜𝙖𝙨𝙖𝙠𝙞. 623 muka surat terasa sungguh singkat. Saya desak semua untuk baca!
Terima kasih penulis Hara! Saya sangat berterima kasih kepada Hara kerana mengeluarkan novel ini 🫶🏼 dan saya doakan penulis terus sukses ✨
BUKU PKP 3.0: Surat-surat dari Nagasaki oleh HARA.
Sinopsis : Kisah seorang perempuan bernama Melur yang hidup di zaman pemerintahan Jepun di tanah Melayu. Jatuh cinta kepada seorang tentera Jepun bernama Akashi. Cinta mereka tanpa restu, ibubapa, keluarga dan kedua-dua masyarakat Melayu dan Imperialis Jepun. Cinta terlarang ini terpaksa dibayar dengan darah. Pengorbanan perasaaan dan jiwa. Perbezaan budaya, bangsa dan agama meletakkan keduanya berlantaikan duri di kaki dan menunggu di hujung jalan lembah berapi.
Ulasan:
Novel ini ditulis sangat teratur dari susunan bahasa, plot cerita dan perkembangan watak. Ayat bahasa melayu yang tinggi digunakan, namun tidak terasa kaku walaupun pada dialog. Hampir 3 bulan masa yang diperlukan bukan kerana bosan atau jalan cerita lambat. Sebab utamanya Kerana saya menikmati setiap aksara dan bait ayat yang disusun cantik dan kemas. Terlalu nikmat dan seronok pada pemilihan perkataan dan perumpaan yang dipakai di dalam ayat sebelum mencapai makna ayat. Menghayati setiap patah perkataan tanpa rasa ingin cepat habis membaca.
Keterujaan akan berlaku setiap kali membaca buku atau karya. Namun Kenikmatan seperti ini seingat saya hanya berlaku beberapa kali sahaja. Antaranya lain karya Salina oleh Pak Samad.
Penulis menyediakan landasan plot yang kukuh bagi memandu pembaca untuk terus setia membaca tanpa bimbang arah tuju cerita. Saya menjangkakan penulis seorang peminat dan mengkaji sejarah. Latar masa dan tempat yang digunakan pula bukan sebarangan. Mengambil latar masa tahun 40-an di Kelantan memerlukan kepada usaha keras menghadam sejarah. Ditambah pula latar masyarakat dan budaya Melayu di zaman itu. Bahkan menyelitkan serba sedikit budaya Jepun.
Hasilnya, penulis berjaya membawa gambaran nuansa masyarakat melayu di zaman imperialis Jepun yang hidup dalam penuh kesengsaraan. Masyarakat melayu kampung hidup ketika itu berakarkan kepatuhan adat, budaya dan agama. Membuahkan santun dan sopan masyarakat melayu. Bak kata SN Usman Awang kurang ajarnya tetap santun. Watak barisan tentera Jepun, Akashi, Sato dan beberapa lagi menonjolkan sisi patriotisme terhadap negara dan bangsa mereka walaupun sebagai penjajah. Beberapa nilai budaya mereka juga disanjung tinggi dan menghormati budaya lain. Seperti kata pepatah melayu masuk kandang harimau mengaum, masuk kandang kambing mengembek.
Tidak lupa juga, sisi gelap zaman Imperialisme. Pemerintahan tirani yang memihak kepada orang yang punya kuasa sahaja. Seperti Machiavelli yang hidup di zaman ' Might is right'. Anak bangsa dirosakkan secara paksa atau sukarela. Ada yang memilih bekerja bersama Imperialis tanpa mengorbankan jati diri dan patriotisme. Ada yang memilih mengorbankannya kerana kemelaratan hidup. Ada yang melakukannya demi kepentingan diri dan menjadi tali barut mengorbankan bangsa sendiri. Ada juga yang berjuang dengan penuh sabar, ada juga yang tertumpah darah demi menolak penjajahan.
Emosi. Ya, Emosi pembaca berjaya dikawal kemas pada tempatnya. Suka, duka, marah, teruja, suspen, simpati dan berbunga-bunga. Penulis berjaya menggengam akal fikiran saya kemudian melemaskannya di lautan emosi. Beberapa ketika saya menghentikan pembacaan demi menghela nafas untuk rehat dari bebanan emosi sebelum dilemaskan semula. Dalam masa hampir 3 bulan sepertinya saya diseksa. Setiap detik yang menyesakkan dada, saya akan berhenti untuk bertenang. Kemudian mengandaikan beberapa plot terbaik bagi mengatasi penderaan emosi ini.
Saya menggengam buku lima ketika Akashi cuba menyelamatkan Keluarga Wan Saad. Beratnya menanggung saat nazak Abdul jalil dihadapannya sambil menghulurkan selendang sempena ulang tahun kelahiran Melur. Bergetar bibir ketika Akashi berbohong demi keselamatan orang yang dicintainya. Pucat lesu ketika Puteh membantai anaknya separuh mati kerana tidak dapat menerima hakikat anaknya jatuh hati kepada musuh mereka. Musuh yang pernah mendera teruk adiknya, menendang ibunya, menjajah tanahnya dan mengucar kacirkan bangsanya. Pahit untuk menelan ucapan "Mak dah tak sayang Melur kan bapak?" dan " Bapak pun mahu pukul Melurkah?" saya terpaksa memikul dua bebebanan yang silih berganti antara Abdul Jalil dan Melur. Saya sendiri hampir benar-benar mahu sedekahkan Al-Fatihah di saat Siti Hawa meninggalkan Melur buat selamanya. Sedangkan keduanya berjanji setia akan bertemu semula suatu hari nanti.
Kisah ini juga diiisi dengan citra pemuda-pemudi melalui zaman remaja di era penjajahan. Penuh dengan ujian baru mengenal dunia. Cinta, tanggungjawab dan kehidupan. Persahabatan yang setia dalam suka dan duka. Kasih sayang ibu bapa terhadap anak yang tidak berbelah bahagi. Tambahan lagi, perebutan kuasa dan imperialisme mengheret orang-orang biasa tidak bersalah ke kancah perang. Manakala, konflik perbezaan bangsa pula perlu ditanggapi dengan 'dalam setandan pisang, tidak semuanya busuk'.
Akhirnya berat untuk saya meninggalkan 'Surat-surat dari Nagasaki' setelah beberapa bulan telusurinya dengan penuh rasa pahit dan manis. Dunianya itu memberi iktibar untuk saya kembali ke dunia nyata sekarang ini untuk bersyukur akan keamanan dari perang. Namun kini, tetap terus berjuang dengan penuh kesabaran dan ketabahan berdasar kemampuan masingasing bagi mengharungi detik penjajahan oleh wabak penyakit Covid 19. Hampir setahun kita didera kesihatan fizikal dan emosi. Semua itu tidak lain tidak bukan Allah ingin mengangkat darjat hambanya. Kembali berpaut pengharapan kepada yang Maha esa dengan sabar dan solat (Taabud).
Jaga kesihatan, duduk di rumah jika tiada urusan, jaga SOP dan ambil vaksin. Dan sanar menunggu giliran vaksin.
Judul buku: Surat-surat dari Nagasaki Penulis: Hara Penerbit: Hara (Swaterbit) Tahun terbit / Cetakan: Oktober 2020 / Cetakan pertama. Jumlah muka surat: 623 Tarikh baca: 06 Dis 2020
Ulasan buku:
Saya hanya mengambil masa satu malam untuk menghabis-baca novel berjudul, ‘Surat-surat dari Nagasaki’, tanpa saya meninggalkan walau satu pun muka suratnya. Bahkan setiap patah perkataannya, saya selusuri tanpa rasa ingin meloncat dan mempercepat baca.
Buku ini, sebuah buku hasil tulisan seorang penulis baru di dunia novel. Merupakan buku pertama penulis. Diterbitkan secara swaterbit. Kemunculan buku ini pada saya, telah menyahkata yang buku swaterbit tidak sebaik mana. Atau, penulis baru bukunya tidak sebaik mana.
‘Surat-surat dari Nagasaki telah membuktikan bahawa penulis, tidak kira baru atau lama, tidak kira terbit di bawah rumah penerbitan kecil, besar atau swaterbit bukan ukuran yang patut dipandang oleh pembaca.
Pada saya, ‘Surat-surat dari Nagasaki’ adalah di antara novel fiksyen tempatan yang mempunyai kualiti penulisan yang amat baik sekali. Malah, novel ini juga membuktikan bahawa penulis kita tidak hanya menulis mengikut rasa, melainkan dengan kajian dan pembacaan yang berbulan-bulan lamanya. Mungkin, bertahun juga.
‘Surat-surat dari Nagasaki’, bukan sahaja ditulis dengan bahasa yang baik, tetapi juga berjaya menampilkan kosa kata yang membawa kita ke latar masa cerita.
Perkataan seperti, helang sewah, lesung hindik, lancip hidung, pohon anak keruing adalah di antaranya.
Berdasarkan pembacaan saya, cerita ini boleh dikategorikan sebagai fiksyen sejarah. Cerita yang berkisarkan kehidupan masyarakat di Tanah Melayu pada zaman pendudukan Jepun. Peristiwa sejarah dan tahun-tahunnya, turut diselitkan juga di dalam cerita ini. Contohnya seperti, peristiwa penyerahan beberapa buah negeri di Tanah Melayu kepada pihak Siam. Juga beberapa siri lain yang melibatkan lakaran sejarah perang dunia pada tahun tersebut.
Walaupun berkisarkan peristiwa sejarah, tetapi penulisannya masih indah bila dilakarkan juga kisah cinta di antara dua watak berlainan bangsa dan agama. Kisah cinta yang tidak indah sebagaimana kisah cinta lain. Manisnya sedikit, peritnya … ah, sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.
Hati saya berat menanggung rasa watak-watak yang dinukilkan oleh penulis. Watak ibu yang pecah hatinya bila mengetahui satu-satunya anak gadis yang dijaga sedang jatuh cinta dengan seorang askar Jepun!
Bangsa yang telah membuatkan mereka sekeluarga mengikat perut akibat catuan makanan. Bangsa yang telah memporak-perandakan keamanan – dengan rogol, bunuh dan segala jenayah kejam tidak terbilang.
Malah, kecut hati si ibu, bila anak lelakinya yang berusia sembilan tahun pernah bukan sahaja dilempang, tetapi hampir mati dikerjakan. Anak itu telah dibawa ke markas Jepun dan dipukul kerana anak itu telah melastik askar-askar Jepun, membalas dendam terhadap perbuatan memancung ayam kesayangannya dengan kejam!
Tetapi, si kakak pula yang selama ini menjadi kegilaan teruna-teruna anak bangsa mereka, tetapi tidak pernah walau sekali pun membuka hatinya kepada mereka; kini bukan sahaja membuka, tetapi telah memberi hati itu kepada salah seorang daripada penjajah bangsa!
Luluh hati ibu.
Luluh juga hati anak gadis yang bernama Melur bila tubuhnya dibantai ibu walaupun dia tidak melakukan apa-apa perkara terlarang. Malah, telah cuba dihindar perasaan.
Cinta itu memang bukan calang-calang rasa. Tidak menyinggah sebarangan. Tetapi, sekali diduga Tuhan, peritnya tidak tertanggung dek keadaan. Melur sedar akan bahananya rasa, tetapi walau cuba ditolak, rasa itu semakin kuat bergendang.
Hatinya jatuh pada Leftenan Akashi yang pernah dia dan adiknya, Daud membantu merawat luka leftenan itu, tanpa pengetahuan ibu bapa mereka. Daripada satu rasa kemanusiaan, merawat kecederaan, membawa kepada rasa yang lebih mewalangkan. Leftenan muda ini juga punya rasa yang sama, tetapi kerana percaya ia akan membuatkan gadis itu dan keluarganya diancam bahaya, maka rasa yang pernah diluahkan itu dibunuh dengan satu dusta.
Jenayah perang – perkosaan, penjualan wanita tempatan, penyeksaan kepada yang dianggap pengkhianat; malah pembunuhan kejam tersaji dengan susun ayat yang mencengkam perasaan. Lebih tersiat bila turut diceritakan tentang pengkhianatan anak bangsa yang hampir memusnahkan gadis bangsa sendiri demi kepentingan diri.
Memang rabak perasaan membaca kisah penjajahan yang tidak pernah luput akan kekejamannya ini, walau negara sudah lama mengecap kemerdekaan.
Satu perkara yang dapat saya rumuskan bila tiba di pengakhiran cerita adalah – setiap jenayah yang dilakukan oleh satu-satu bangsa, walau sesakit mana pun hati kita terhadap sejarah kekejaman mereka, tidak harus dipukul rata.
Kerana, di antaranya mungkin ada yang masih punya rasa kemanusiaan. Masih punya sisi sakit bila melihat manusia lain disakiti. Masih cuba membantu dalam helah yang cuba disembunyikan daripada ketua-ketua mereka. Tetapi, dayanya mereka itu kecil dan memerlukan korban nyawa.
Mereka juga ada yang tidak dapat mengelak bila terpaksa menyertai perang dan patuh kepada arahan yang dikeluarkan oleh negara mereka. Malah, bukan nyawa rakyat tanah jajahan mereka sahaja yang menjadi korban kerakusan bangsa mereka, malah mereka sendiri pun diancam dengan kehilangan nyawa sama ada dalam perang atau jika didapati curang. Harakiri itu hukuman yang amat sukar dielakkan.
Keterpaksaan mengikuti perang, adalah petanda nyawa bukan milik mereka lagi. Mereka sudah terkorban dan dikorbankan lebih awal lagi.
Kerana itu …
Di antara jutaan kaca yang melukakan, tidak mustahil ada satu permata yang benar-benar memberi sinar. Yang mampu memotong kaca lain dengan nyawa sendiri dipertaruhkan.
Surat-surat dari Nagasaki membawa kisah berlatar sewaktu Perang Jepun. Kisah Melur dan adiknya, Daud membantu seorang tentera Nippon yang tercedera secara sembunyi-sembunyi. Kisah keluarga-keluarga di Kelantan yang menderita masa perang akibat penaklukan Inggeris dan diikuti Jepun. Catuan makanan yang melampau menjadikan rakyat semua kelaparan dan terdesak. Kisah kehilangan nyawa orang-orang yang tidak berdosa namun menjadi mangsa akibat percaturan perang.
Saya suka cara penceritaan dan penulisan buku ini yang tersusun dan lancar.
It’s a slow burn historical-love story. Complete package, kisah cinta terlarang, kasih sayang keluarga, persahabatan, pengorbanan dan pengkhianatan.
Cuma, aku tak dapat bagi 5🌟 sebab tak berpuas hati dgn:
1. Apa yg membuatkan Akashi memilih utk memeluk Islam? Adakah kerana Melur & Daud tolong masa dia cedera teruk masa tempur tu, dia jatuh hati dgn Melur ketika tu dan terus memilih utk memeluk Islam? Atau ada sebab lain? Pasti ada sebab utama sampai Akashi memilih utk berpindah agama dan kepercayaan dia. Aku rasa perlu utk dijelaskan dlm cerita ni.
2. Apa jadi pada Sato selepas dia bantu hantar surat ke ibu Akashi dan keluarga dia tu dan tolong palsukan kematian Akashi? Kita dapat penutup yg baik pasai Akashi tapi tidak utk Sato. Aku cuma rasa Sato juga perlu ada closure sebab dia watak penting dlm cerita ni. Matikah dia? Atau berjaya pulang bertemu isteri dan anak dia?
Jadi, 4🌟 aku dapat bagi utk Surat surat dari Nagasaki. Oh, satu hal lagi, tak tau la aku rasa tajuk Surat surat dari Nagasaki macam tak mengambarkan cerita novel ni😅 scene surat dari nagasaki cuma Akashi-Ibu dan Sato-Ibu Akashi- Isteri Sato. Surat Daud dgn Akashi pun macam tak berkaitan ja kalau nak dikaitkan dgn tajuk novel ni🤔 I don’t know, pandangan aku saja.
Anyway, kudos to Ms. Hara for this epic love story.
This entire review has been hidden because of spoilers.
THE BOOK IS WORTH IT!! Perjalanan kisah antara Melur dan Leftenan Akashi sangat mengujakan. Ia seperti mereka ditakdirkan bersama. Walaupun mereka cuba berhenti melibatkan diri antara satu sama lain, tapi ia macam ditakdirkan untuk bersama.
When people ask me what is jodoh, I definitely will say Melur and Leftenan Akashi. CAUSE THEY ARE BELONG TO EACH OTHER.
Buku ni best sangat sampai baca dalam satu hari. Tapi the ending is quite fast... macam tak puas and I really wish Hara would put more romantic scenes...
Walauapapun buku ni sangat berbaloi dan 5 bintang untuk Hara!
It's just the prime book I need for war-time Malaya. Akashi, Sato, Melur Daud transcend time and space. Lots of love for this nicely, eventful, wartime novel. Highly recommended
Alhamdulillah akhirnya berjaya habiskan buku ni. Bermula dengan ternampak reels di TT, jatuh hati pada covernya. Kemudian saya cuba membaca sedikit petikan dari wattpad tentang buku ini,membuatkan saya ingin memilikinya.
Melur seorang gadis kampung yang cantik mewarisi kecantikan ibunya yang berdarah melayu siam. Mempunyai seorang kawan baik yang bernama Siti Hawa dan seorang adik lelaki bernama Daud. Kisah ini berlaku di tanah melayu sekitar tahun penjajahan Jepun.
Suatu hari Melur dan Daud telah terjumpa seorang askar Jepun yang tercedera. Mereka cuba untuk menyelamatkan askar Jepun tersebut dan dari situlah bermulanya kisah pertemuan Melur dengan Leftenen Akashi.
Buku ini ditulis dengan baik. Penerangan yang bagus,bahasa yang indah dan matang. Ternyata penulis seorang yang berpengalaman. Kisah cinta mereka tidak cringe tapi kita dapat merasakannya. Terasa seperti menonton drama jepun suatu masa lalu. Sempat juga mengalir airmata dalam beberapa babak yang melibatkan Siti Hawa, Abdul Jalil dan beberapa watak lain.
Sila dapatkan buku ini bagi yang belum membacanya. Tahniah penulis!!!
Akhirnya, aku berjaya habiskan bacaan novel setebal 623 muka surat. Fuh! Bacaan bermula dari Februari sampai September 2024. Lama bukan sebab tak menarik, tapi sebab aku terlalu menikmati setiap babaknya, sampai rasa sayang nak cepat habiskan.
Cerita ini berkisar pada zaman penjajahan Jepun, namun yang paling menarik perhatian adalah percintaan terlarang yang dilarang antara seorang tentera Jepun dan gadis Melayu.
Secara jujurnya, aku berharap novel ini diangkat ke layar perak.
Kepada peminat fiksyen sejarah, sila masukkan buku ini dalam daftar bacaan kalian. Buku underrated yang sangat berbaloi dibaca. Tahniah dan terima kasih kepada penulis.