Buku Asuhan Budi ini merupakan buku kelapan oleh Pendeta Za’ba (1895 - 1973) yang pernah kutelaah dan mungkin merupakan karya kedua terbaik beliau selepas Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri.
Lebih 14 tahun lalu, sewaktu berada di bangku persekolahan, nama Za’ba sering kali berkunjung tiba tatkala setiap tahun, Sayembara Menulis Khat dianjurkan di Teratak Za’ba di Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir – beberapa minit sahaja daripada jarak sekolah – yang merupakan tempat kelahiran beliau. Sudah tentu, daya akal pada zaman persekolahan tersebut hanya sekadar tercapai pada mengenali beliau sebagai seorang tokoh penting Bahasa Melayu sehingga digelar pendeta. Tidak lebih daripada itu.
Setelah membaca satu per satu hasil pena beliau (dari Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri, Mencapai Keluhuran Budi, Mencapai Ketinggian Dunia Akhirat, Bahasa Melayu: Kelebihan dan Kekurangannya, Pengembaraan ke Kedah, Perlis dan Kelantan, Kalung Bunga, Jejak-jejak di Pantai Zaman sehinggalah kepada Falsafah Takdir), pengalaman pembacaan menjadi berubah dan Za’ba pada hakikatnya bukan sekadar tokoh penting dalam Persuratan Melayu dan Tulisan Jawi, bahkan beliau merupakan salah seorang tokoh pengubah penting kelahiran Negeri Sembilan. Beliau cuba mengubah cara fikir masyarakat pada zaman beliau dari aspek keagamaan, pemikiran, pendidikan dan ekonomi.
Buku edisi kedua (2020) terbitan Akademi Jawi ini (edisi pertama adalah pada 1958 oleh H. M. Shah Enterprise) merupakan salah satu manifestasinya dan ia merupakan naskhah yang agak menyeluruh dalam memahami gagasan idea dan alur fikir yang dibawa oleh beliau. Dalam buku ini, Za’ba mengangkat beberapa tema penting dalam beragama iaitu aspek akhlak, ibadah, ekonomi dan pendidikan.
Jika kitab Ihya’ Ulumuddin dibahagikan kepada 40 bab (rubu’ al-‘adat, rubu’ al-ibadat, rubu’ al-muhlikat dan rubu’ al-munjiyat), dalam buku Asuhan Budi ini, Za’ba mencerakinkan gugusan ideanya kepada 10 bab. Za’ba (seperti Prof. al-Attas dan juga Hamka), cuba membahaskan setiap topik secara menyeluruh, dinamik dan seimbang di samping mengadun banyak dalil al-Quran, hadis, syair Arab dan pepatah Melayu lalu dikaitkan dengan realiti masyarakat pada zaman tersebut.
Tiga bab yang pertama berkisar mengenai akhlak, kemuliaannya dan kewajipannya terhadap diri dan alam sekeliling. Kemudian Za’ba membahaskan secara mendalam mengenai ibadat (puasa, beramal, amar ma’ruf nahi munkar) dan agama Islam dalam empat bab. Di sini, pembaca dapat melihat bagaimana Za’ba menyanggah fahaman Marx yang mendakwa bahawa “agama adalah candu kepada masyarakat (religion is the opium of the masses)”.
Terdapat satu bab terkait mengenai ekonomi (Za’ba juga pernah menulis karangan berkenaan punca kemiskinan orang Melayu bersama-sama dengan Ungku Aziz dalam Jejak-jejak di Pantai Zaman). Dalam bab ini, Za’ba mengupas mengenai amalan jimat cermat, zakat dan sikap bersederhana. Dua bab yang berbaki merupakan bab yang paling menarik kerana Za’ba menyinggung aspek pendidikan secara tuntas dan tidak berlapik-lapik.
Menurut Za’ba, teras pendidikan itu bermula daripada kecil iaitu daripada ibu bapa dan guru sehinggalah kepada alam berkeluarga. Tingkah laku yang dibuat, adab yang ditunjukkan serta ilmu-ilmu yang diajarkan inilah yang akan membentuk akhlak seseorang insan. Seperti tokoh-tokoh pendidikan yang lain (Adler, al-Attas, Hamka, Postman dll.), Za’ba juga berpendapat, pendidikan itu bersifat sepanjang hayat dan pemahaman seseorang insan terhadap agama itu perlu sentiasa diperdalami dan dikuasai seiring dengan pertambahan usia. Ia tidak seharusnya bersifat beku kerana ia bakal menatijahkan komplikasi berangkai kepada individu, institusi kekeluargaan, masyarakat dan negara.
Apabila menyentuh mengenai sistem pendidikan di kampung, bandar, sekolah dan kolej, Za’ba mengkritik halus terhadap masyarakat Melayu yang berkejar-kejar ingin mendapatkan pendidikan di Barat sedangkan ilmu agama (fardhu ain dan fardhu kifayah), penguasaan Bahasa Arab dan nilai akhlak masih belum berpaut kemas dalam sanubari mereka. Perlu diingat, Za’ba juga pernah belajar dan mengajar di SOAS, London pada 1947 - 1950 sebelum pulang ke Malaysia menjadi pensyarah bahagian Pengajian Melayu di UM selama enam tahun sejak 1953. Di London, Za’ba mempelajari Bahasa Arab dan Bahasa Belanda selain ilmu mantik, linguistik, sejarah Islam, Eropah Moden, Selatan dan Tenggara Asia.
Jika diamati hampir kesemua karangan Za’ba, kita akan dapati bahawa tema teras yang diangkat oleh Za’ba ialah keseimbangan dunia dan akhirat. Kata Za’ba, “Jika seseorang berpengetahuan pada dunia sahaja, nescaya dia akan jadi orang tamak akan kelabaan. Sebaliknya, jika seseorang itu berpengetahuan agama sahaja, maka tiadalah luas cita-cita dan pandangannya. Maka, terlebih baik jika termasuk dalam berpengetahuan pada kedua-duanya sekali.”
Kata Imam al-Ghazali, “Jika kamu mempunyai harta, kamu perlu menjaga harta tersebut. Jika kamu mempunyai ilmu, ilmu yang akan menjaga kamu.”